Sunday 29 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 31)

SEPERTI yang telah dirancang, majlis persandingan kami akan diadakan seminggu kemudian. Pada malam sebelum majlis persandingan, rumahku sudahpun dipenuhi oleh sanak-saudara jauh dan dekat serta sahabat-handai yang rapat. Majlis persandingan akan diadakan selepas waktu Zuhur. Pada sebelah paginya, telah diadakan majlis khatam Quran dan juga majlis berinai.
“Nah, pakai baju ni,” ujar Kak Liz yang merupakan juruandam yang akan menyolekkan wajahku nanti. Aku mencapai kebaya bernuansa kuning diraja itu lalu kusarungkan ke tubuh kecilku. Seketika aku memerhatikan diriku di hadapan cermin. Aku tersenyum sendiri melihat kebaya yang melekap di tubuhku itu. Kebaya moden yang diperbuat daripada kain satin lembut digabungkan dengan kain lace turut dihiasi dengan jemaki dan sulaman eksklusif pada dada dan butang-butangnya. Hmm…tak sangka. Cantik jugak aku ni! Ni baru pakai baju pengantin. Belum lagi disolek dan dikenakan layah di kepala. Aku mulai perasan sendiri.
“Dah, apa lagi yang tersenyum-senyum kat depan cermin tu. Mari duduk sini, akak nak mekapkan muka tu,” bebel Kak Liz. Aku akur lalu melabuhkan punggung di bangku meja solek.
“Kak, kalau boleh jangan mekap tebal-tebal tau. Aween nak nampak natural,” pintaku. Kak Liz mengangguk.
“Hmm… yalah, Aween. Tahulah akak macam mana nak buat. Takkan akak nak mekap muka Aween tu tebal-tebal kot. Karang lain pulak jadinya. Tak pasal-pasal cik abang lari,” omel Kak Liz. Aku tersenyum mendengar mulutnya yang becok berceloteh itu.

Aku hanya duduk diam sambil memejam mata, membiarkan Kak Liz menyolek wajahku. Akhir sekali, rambutku didandan dan disanggul kemas. Sehelai layah yang diperbuat daripada kain lace dan taburan labuci dikenakan ke kepalaku bersama sebentuk tiara bertatahkan berlian tiruan.
“Hmm… dah siap,” ujar Kak Liz. Aku menoleh memandang cermin. Wow, biar betul! Aku ke ni? Kenapa nampak lain? Kak Liz yang sedang memerhatikanku hanya tersenyum. “Kak, nampak lainlah kak,” tuturku dalam nada kagum.
“Bila dah pakai mekap, mestilah nampak berbeza sikit,” jawabnya.
“Ni bukan berbeza sikit. Beza banyak ni, kak. Silap-silap Abang Ari sendiri pun tak kenal isteri dia ni. Nanti dia ingat pengantin perempuan dah bertukar dengan bidadari kayangan pulak,” sendaku. Kak Liz ketawa.
“Hisy! Kamu ni, Aween. Ada-ada aja,” gerutunya.

“Assalamualaikum,” kedengaran suara seseorang memberi salam. Aku menjawabnya sambil menoleh ke muka pintu. Aku tersenyum lebar melihat Farhana, Kak Min dan Kak Nad di muka pintu.
“Hai, masuklah,” pelawaku. Mereka melangkah masuk ke dalam kamar pengantinku. Di tangan masing-masing terdapat sebuah bungkusan hadiah.
“Eh, eh… cantiknya adik akak ni. Macam anak patung,” puji Kak Min.
“Eh, betul ke Aween ni?” senda Farhana. Aku ketawa.
“Yalah, akulah ni,” kataku pula.
“Kau nampak lain sangat.”
“Ha’ah, Ween. Akak pun hampir-hampir tak kenal,” sampuk Kak Nad pula. Aku tersenyum bangga apabila dipuji sebegitu.
“Cantiknya. Pandailah akak mekap. Kalau macam ni, esok saya kahwin nak suruh akak mekapkan saya, boleh tak?” ujar Farhana kepada Kak Liz. Kak Liz ketawa.
“Boleh, tak jadi masalah,” jawabnya dalam tawa.

            Seketika kemudian, muncul kakak sepupuku, Kak Diba di muka pintu. Wajahnya tampak berseri tersenyum ke arah kami.
“Aween, keluarlah sekarang. Pengantin lelaki dah tunggu kat luar tu,” ujarnya lembut. Aku semakin berdebar-debar. Farhana, Kak Min dan Kak Nad mulai mengerumuniku untuk memberi semangat kepadaku.
Relax, Aween. Takkan dah seminggu bersama masih nervous lagi kot?” ujar Farhana mengusikku. Seketika Kak Liz memimpinku keluar dari bilik dan terus menuju ke tingkat bawah. Aku menuruni anak tangga dengan penuh hati-hati. Terasa begitu janggal bila berkasut tumit tinggi seperti ini.

            Di luar sana sudah tersedia barisan kumpulan kompang. Dari jauh dapat kulihat susuk tubuh Azhari yang kelihatan menyerlah dengan baju Melayu cekak musang dari kain satin berwarna sedondon dengan baju kebaya moden yang kupakai. Tanjak yang menghiasi kepalanya serta sampin songket yang melingkari pinggangnya menyerlahkan lagi kesegakan dan ketampanan dirinya. Farhana yang berperanan sebagai pengapitku menggenggam erat tanganku yang kedinginan. Kami diarak bersama paluan kompang sebelum menjejaki pelamin. Aku hanya membatukan diri seperti sebuah boneka di saat sedang ditepung tawar oleh kaum keluarga dan sahabat handai. Sesekali aku menjeling ke sebelah melihat si raja hati. Dan aku tersenyum malu apabila mata kami saling bertembung.

*****

AKU duduk tersimpuh di tangga pelamin bersebelahan Azhari. Satu-persatu bungkusan hadiah kami capai lalu membukanya. Pada malam itu, aku hanya mengenakan sehelai baju kurung dari kain sifon berwarna hijau lumut. Manakala Azhari pula dengan baju Melayu Teluk Belanga berwarna hijau pastel. Kami hanya dikelilingi oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat sahaja, menyaksikan kami membuka setiap bungkusan hadiah yang diberikan oleh kaum keluarga, rakan-rakan serta para tetamu yang hadir sempena dengan hari perkahwinan kami.
            “Tu dari siapa tu?” soal salah seorang ahli keluargaku apabila sebuah bungkusan dibuka. Terdapat sekotak tea set di dalamnya. Azhari meneliti kad yang turut terselit pada bungkusan tersebut.
            “Yang ini dari Pak Lang dan Mak Lang sekeluarga dari Pasir Gudang,” ujar Azhari. Oh, tahulah aku Pak Lang dan Mak Lang yang mana satu. Pak Lang yang tinggal di Pasir Gudang itu merupakan adik lelaki arwah mama.
            “Yang mana satu, Aween?” soalnya kepadaku.
            “Alah, yang anak dia lima orang tu. Empat perempuan seorang lelaki. Dia balik awal tadi. Yalah, kan jauh dari KL ke Pasir Gudang?” jawabku panjang. Azhari mengerutkan dahi. Aku ketawa kecil.
            “Abang tak perasan kot,” kataku.
            “Hmm… mungkin jugak abang tak perasan. Yalah, ramai sangat family Aween yang datang dari Johor,” katanya pula. Aku mengangguk faham. Tentu dia tak ingat setiap ahli keluargaku yang datang dari Johor. Mana tidaknya, adik-beradik sebelah ayah sahaja dah sembilan orang, manakala mama pula lapan orang. Kedua orang tuaku datang dari keluarga yang besar. Bukan macam dia, dari keluarga kecil. Adik-beradik ibu cuma lima orang sahaja. Keluarga belah abahnya tak ada seorang pun yang dikenalinya. Maka sebab itulah aku lebih mudah mengenali setiap ahli keluarganya berbanding dengan dirinya untuk mengenali ahli keluargaku yang bilangannya agak besar.
           
            Hampir kesemua bungkusan hadiah telah kami buka. Pelbagai rupa dan bentuk. Ada yang beri set gelas, ada yang beri periuk nasi, ada yang beri set pinggan dan mangkuk porselin, album gambar, malahan ada jugak yang memberi barangan hiasan rumah seperti bingkai gambar, vase kristal, lampu tidur dan sebagainya. Namun yang pasti, majoritinya adalah barangan keperluan dan kelengkapan rumah. 
            “Hmm… senang sikit, bang. Tak payahlah kita nak beli barang-barang rumah ni nanti. Yang ini pun dah banyak,” ujarku. Azhari ketawa kecil.
            “Itulah berkatnya mendirikan rumahtangga ni. Murah rezeki,” selorohnya. Aku ketawa kecil.

*****

MENGEKEK kami ketawa melihat gambar-gambar kami yang terakam di kamera digital milikku. Ketika itu, hanya kami berdua sahaja yang berada di dalam bilik pengantin tersebut. Saudara-mara serta rakan-rakan semuanya telah pulang. Yang tinggal hanyalah keluarga terdekatku, atuk, nenek, Ijie, ayah dan juga kaum keluarga terdekat Azhari iaitu ibu, adik-beradiknya, tok dan Tasya.

            “Kenapa Aween tunduk aja?” soalnya ketika sedang menatap gambar yang diambil sewaktu majlis menepung tawar.
            “Habis tu, takkanlah nak mendongak aja setiap masa?” bidasku.
            “Atau Aween malu?” usiknya diiringi dengan tawa. Lantas aku mencubit lengannya dan dia masih lagi ketawa.
            “Ni anak cina mana pulak yang sesat kat sini ni?” usiknya lagi sebaik melihat gambarku yang sedang memperagakan persalinan pengantin kaum cina berserta sanggul lintang di kepala. Wajahku ketika itu turut dikenakan solekan tebal. Putih melepak bersama eye shadow, lipstik dan pembayang pipi merah menyala. Alisku turut dicelak tebal. Memang tak ubah seperti seorang watak opera cina.
            “Entah ya, sesat dari Beijing agaknya,” sendaku. Dan tawa kami pun meletus lagi.

            Malam kian merangkak sepi. Aku dan Azhari masih sibuk mengemas hadiah-hadiah pemberian orang yang masih berselerak di kamar itu. Banyak betul kotak-kotak berisi barangan kaca. Naik takut aku untuk menyusunnya tinggi-tinggi. Nanti tak pasal-pasal tumbang, jatuh dan pecah. Setelah selesai menyusun kotak-kotak hadiah, aku terduduk di birai katil, melepaskan lelah di situ. Seketika aku memandang kamar pengantin yang masih terhias indah itu.

            Azhari keluar dari bilik air di sudut kamar tidak lama kemudian. Aku terus memerhatikan dirinya yang sedang melangkah menghampiri meja solek. Kukerutkan dahi sebaik melihat dia mengeluarkan sesuatu dari dalam laci. Segera dia menoleh ke arahku bersama senyuman di bibir. Lambat-lambat aku membalasnya. Musykil sedikit dengan tindakannya itu.
            “Aween, abang ada sesuatu nak tunjukkan pada Aween,” ujarnya lembut. Dia menghampiriku. Lalu dilabuhkan punggungnya ke sebelahku. Semakin hairan aku melihatnya. Di tangannya terdapat dua keping sampul surat. Dia menayangkan salah satu daripadanya kepadaku.
            “Yang ini, dari ayah. Sekarang Aween nak abang bukak atau Aween sendiri nak bukak?” soalnya memberi kata dua. Aku memandang wajahnya.
            “Mana-manalah, bang. Kalau abang bukak pun, sama jugak macam Aween bukak sebab hadiah pemberian ayah tu milik kita bersama,” jawabku. Azhari tersenyum.
            “Jadi, Aween nak siapa yang bukak?” soalnya lagi.
            “Abang ajalah yang bukak,” akhirnya aku memberi kata putus. Dia tersenyum seraya mengangguk perlahan.
            “Okey, abang bukak,” ujarnya. Lalu dikoyakkannya hujung sampul surat itu dengan penuh hati-hati. Seketika dikeluarkannya dua keping tiket dari dalam sampul tersebut. Aku semakin hairan. Tiket apa tu? Hatiku bertanya.
            “Eh, eh… tengok ni! Tiket percutian ke Langkawi,” ucapnya girang. Aku turut tersenyum. Ya ALLAH, tak sangka ayah sanggup menghadiahkan kami tiket percutian. Terharu aku dibuatnya.
            “Bagusnya. Ayah support kita pergi honeymoon,” ucapnya lagi.
            “Bila tarikhnya tu?” soalku.
            “Hmm… hari ni, esok…” Kulihat dia sedang membilang hari dengan jemarinya.
            “Haa… dua minggu depan. Lagi empat belas harilah,” jawabnya.
            “Hmm… terpaksalah abang ambil cuti,” ujarku. Dia mengangguk.
            Bestnya bang, dapat pergi Langkawi. Tentu seronok, kan bang? Abang tentu dah banyak kali pergi,” ujarku sambil melentokkan kepala ke bahunya.
            “Memanglah abang dah banyak kali pergi. Tapi, abang dapat rasakan yang kali ini lebih seronok dan lebih bermakna,” katanya.
            “Kenapa pulak?” soalku berbasa-basi. Sedangkan aku dah tahu sebabnya.
            “Sebab abang akan ditemani isteri tercinta,” ucapnya syahdu. Ah, memang sudah kujangkakan. Itulah sebabnya mengapa dirasakan percutiannya kali ini lebih seronok dan bermakna.

            Tiba-tiba aku terpandang pada sekeping lagi sampul surat yang masih belum berbuka berada dalam genggamannya.
            “Err… bang, yang lagi satu ni pulak dari siapa?” soalku. Azhari tergamam. Kelihatan bibirnya agak berat untuk menjawabnya.
            “Dari seseorang…” kata-katanya tergantung di situ.
            “Seseorang? Siapa, bang?” soalku. Dia mengetapkan bibirnya. Sebuah keluhan berat terbit di bibirnya. Lantas diserahkan sampul surat itu kepadaku.
            “Ini pulak untuk Aween seorang. Bukan milik kita bersama. Jadi abang rasa, Aween berhak membukanya,” ujarnya perlahan. Aku menyambut sampul surat berwarna coklat cair itu. Lama kurenung sampul surat itu.
            “Siapa yang bagi ni, bang? Cakaplah,” rengekku, mendesaknya. Dia mengeluh berat. “Aween baca ajalah isi kandung dalam surat tu. Dalam tu ada tertulis siapa yang menitipkannya,” ujarnya bersahaja.

            Segera aku membuka sampul surat tersebut. Dan aku semakin terkejut melihat sepucuk surat di dalamnya. Lantas aku membaca setiap apa yang tercoret di dalamnya. Namun sebelum itu, aku cuba melihat di bahagian bawah surat tersebut untuk mengetahui siapakah gerangan pengirim surat misteri ini. Seketika dadaku berdegup kencang tatkala melihat nama Shazzy tertera di situ. Tiada apa yang istimewanya pada surat ini. Hanya sebagai ucapan selamat pengantin baru dan juga lebih menceritakan tentang perasaannya yang terluka apabila mendapat tahu yang aku telah mendirikan rumahtangga bersama jejaka yang pernah menjadi kekasihku sebelumnya. Malahan juga dia turut mencurahkan perasaannya yang tidak bahagia bersama isterinya kini dan sekaligus menceritakan tentang keadaan rumahtangganya yang sedang kucar-kacir.

            Sesungguhnya hatiku benar-benar tersayat dengan kehadiran warkah yang tak diundang ini. Berombak dadaku setelah selesai membacanya. Seketika aku dapat merasakan tangan sasa suamiku melingkari bahuku.
            “Dia pesan kat abang supaya jaga Aween dengan baik,” ucap Azhari berbisik. Aku mengetapkan bibir menahan geram.
            “Dia jumpa abang?” soalku keras. Azhari mengangguk perlahan.
            “Apalagi yang dia cakap kat abang? Bila dia jumpa abang? Aween tak tahu pun?” soalku lagi bertubi-tubi. Tak sangka dia masih sudi menghadiri majlis perkahwinanku ini.
“Itu aja yang dia cakap kat abang. Waktu tu Aween sedang sibuk melayan tamu lepas kita makan beradab,” jawabnya. Aku merengus keras.
            “Aween akan bakar surat ni, bang,” ucapku marah.
            “Terpulanglah. Itu hak Aween,” ujarnya perlahan.
            “Aween tak mahu simpan apa-apa kenangan tentang lelaki ini walau sebesar zarah sekalipun. Sebab Aween dah dapat agak yang ia akan merosakkan hubungan kita. Aween harap lelaki ini takkan jadi barah dalam rumahtangga kita, bang,” ucapku penuh geram. Azhari tersenyum. Tanganku diraih lantas jemariku diramasnya.
            “InsyaALLAH, tidak. Kalau betul pun ada orang yang cuba nak memisahkan kita, abang yakin kita dapat atasinya dengan rasional, sebab kita dah pernah terkena dulu. Kita belajar dari pengalaman, sayang,” ucap Azhari meyakinkanku. Aku terus memandangnya dengan perasaan terharu.

            Kini, dapat aku lihat betapa besarnya hikmah di sebalik dugaan yang pernah kami lalui bersama di suatu ketika dahulu. Sesungguhnya aku memanjat rasa syukurku kehadratMu Tuhanku, kerana telah mencelikkan mataku yang telah buta selama ini. Aku terlalu berdosa kerana sering mengeluh dan menyesali akan dugaan yang Engkau turunkan kepadaku sebelum ini, tanpa memikirkan akan makna dan hikmah di sebalik segala-gala yang berlaku ini. Terima kasih, wahai Tuhanku di atas segala rahmat yang Engkau limpahkan kepada hambaMu ini. Amin.

No comments:

Post a Comment