Monday 2 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 25)

SETELAH siap berdandan, aku mencapai beg tangan jenama B.U.M Equipment dan terus melangkah turun dengan penuh yakin. Di ruang tamu, kulihat ayah sedang berbual mesra dengan Azhari. Aku tersenyum melihat mereka. Mereka memandang serentak ke araku. “Dah siap, Aween?” soal ayah. Aku mengangguk.
“Dah, ayah,” jawabku ringkas. Kupandangi Azhari yang sudah bangkit dari sofa. Matanya turut memandangku sambil menguntum senyuman. Aku membalas senyumannya dengan seikhlas hati.
“Pergi dulu, ayah,” ucapku bersalaman dengan ayah. Tangan sasa itu kucium dengan penuh hormat. Ayah mengusap lembut kepalaku.
Take care,” ucapnya lembut. Aku mengangguk. Seketika kemudian, giliran Azhari pula bersalaman dengan ayah.
“Tolong tengok-tengokkan Aween,” pesan ayah kepadanya.
“InsyaAllah, pakcik. Kami minta diri dulu,” ucapnya.

Proton Wira yang dipandu Azhari meluncur pergi membelah jalanraya. Sepanjang perjalanan, hatiku terus berbunga ceria. Tiada lagi duka yang melanda. Bila aku bersama dengan Azhari, hatiku cukup gembira. Malah, rasa gembira ini jauh lebih terasa berbanding sewaktu kami sedang hangat bercinta dulu. Begitu juga di saat aku bersama dengan Shazzy. Tidak pernah aku rasai gembira seperti ini. Cukup luar biasa sekali.
“Kita nak makan kat mana ni?” soalku memecah kesunyian.
“Aween nak makan apa?” soalnya pula kepadaku. Aku menjungkitkan bahu.
“Terpulanglah ke mana Ari nak bawak. Aween tak kisah,” jawabku. Dia tersenyum memandangku.
“Kita makan Western food, nak tak?” cadangnya.
Western food? Tak ada benda lain ke nak makan? Thai food ke... lagipun, dah lama Aween tak makan tomyam seafood,” ujarku. Dia ketawa kecil.
“Tadi orang tanya dia, dia tanya kita balik. Bila kita dah beri cadangan, dia bagi cadangan pulak,” rungutnya diikuti dengan tawa.
“Apa Ari cakap?” gertakku perlahan.
            “Tak ada apalah. Okey, Ari bawak Aween ke satu tempat. Kat situ ada macam-macam. Western food ada, Thai food ada, Malay food pun ada,” tuturnya. Aku mengangguk tanda setuju. Ikut sahaja ke mana hendak dibawanya aku pergi.

*****
KERETA yang dipandunya berhenti di hadapan sebuah restoran yang terletak di Kampung Baru. Aku memerhatikan keadaan restoran yang kelihatan ceria dengan lampu malap yang bergemerlapan. Aku terfikir sejenak. Serasakan, aku pernah ke sini, tetapi aku tak ingat bila dan dengan siapa. Kami memboloskan diri keluar dari perut kereta. Aku hanya mengikut jejak langkahnya menuju ke restoran tersebut. Dia memilih meja yang terletak di luar, berhampiran dengan sebatang pokok palma yang dililit dengan lampu-lampu kecil berwarna kuning. Cukup tenang dan romantik. Pandai dia memilih tempat.
           
Seorang pelayan datang ke meja kami untuk mengambil pesanan. Seperti biasa, dia akan memesan air teh ais untukku dan teh O ais limau untuknya. Ah, dia masih ingat akan minuman kegemaranku. Dan dia pula, dari dulu sehingga kini itulah yang disukainya. Teh O ais limau.
            “Nasi putih dua, tomyam seafood untuk dua orang. Telur dadar dengan sup sayur campur pun untuk dua orang. Lagi, ikan siakap kukus yang kecil. Itu aja,” ujarnya kepada pelayan itu. Seketika pelayan itu berlalu membawa pesanan kami.

Aku memandangnya dengan pandangan yang berkerut. Dia turut hairan melihat aku memandangnya sedemikian rupa.
            “Kenapa pandang Ari macam tu?” soalnya. Aku tersenyum sinis.
            “Tadi orang tu kata nak makan Western food? Alih-alih sampai sini aja order tomyam. Selera dah berubah ke?” perliku. Dia ketawa kecil.
            “Dah orang tu nak makan tomyam. Nanti karang kalau sorang makan Western food, sorang lagi makan Thai food, tak syoklah pulak,” dalihnya. Aku mencebik. Kami hanya berbual kosong selepas itu, sekadar hendak menghilangkan kebosanan dan menghindarkan suasana di landa keheningan.

Sesekali aku akan memandang sekeliling, cuba mengingati akan tempat ini. Dia hanya tersenyum kambing melihat gelagatku itu.
            “Kenapa? Pelik ke tengok tempat ni?” soalnya. Aku masih terpinga-pinga.
            “Taklah,” jawabku ringkas dan bersahaja.
            “Ingat lagi tak tempat ni?” soalnya lagi. Sekali lagi dahiku berkerut memandangnya. Aku pernah ke sini bersamanya?
            “Kita pernah ke sini?” soalku. Dia mengangguk laju.
            “Aween dah lupa?” soalnya pula.
            “Ingat-ingat lupa. Rasa macam pernah datang, tapi tak ingat bila dan dengan siapa,” ujarku bersahaja. Dia ketawa kecil.
            “Yalah, kan Aween dah lupa segala-gala tentang Ari?” perlinya. Aku terdiam. Terasa sinis kata-katanya itu. Benar-benar menusuk ke dada ini.
            “Kita pernah ke sini dulu, Aween. Masa tu kita masih di semester satu. Ingat lagi tak, waktu tu Ari makan black papper steak, Aween pulak makan chicken chop?” Dia mengingatkan aku akan memori itu. Hmm… baru aku ingat. Serasakan, itulah kali pertama aku ke sini dan inilah tempat yang kami duduki dulu. Seketika aku tersenyum seraya mengangguk.

            Tidak lama kemudian, makanan dan minuman yang dipesan tiba di meja kami. Bukan main kencur lagi air liurku melihat tomyam seafood yang masih panas berasap itu. Serasakan sudah agak lama masakan ala Thai yang sememangnya menjadi kegemaranku ini tidak menyapa ke tekakku. Sebaik menceduk kuah tomyam serta telur dan sup sayur campur ke pingganku, terus aku menyuapnya ke mulut dengan lahap sekali. Seketika aku mengambil sedikit ikan siakap kukus ke pingganku. Aku terus menyuap tanpa mempedulikan mata yang memandang. Pendek kata sampai tak ingat dunia.

            Suapanku terhenti sebaik aku mengangkat wajahku memandangnya. Matanya begitu tajam merenungku. Kulihat nasi di pinggannya tak luak. Rupanya dari tadi dia memerhatikan aku makan. Aku mengerutkan dahi.
“Kenapa tak makan?” soalku gugup. Dia tersenyum seraya menggeleng.
“Kenapa? Tak sedap ke?” soalku lagi. Dia ketawa.
“Tak, Ari leka tengok Aween makan. Berselera sungguh, macam orang kebulur sepuluh hari,” ujarnya bersenda. Aku ketawa. Lantas aku meletakkan sudu dan garpu ke atas pinggan. Dia memandangaku pelik.
“Kenapa berhenti? Tak habis ya?” soalnya pula. Aku menggeleng.
“Ari tak makan, Aween pun tak mahu makan,” rajukku. Dia ketawa. Kepalanya digelengkan berkali-kali.
“Okeylah, Ari makan. Alahai, itupun nak merajuk,” rungutnya. Pantas dia mencapai sudu dan garpunya lalu menyuap makanannya yang masih penuh di pinggan itu. Laju sekali suapannya. Aku tersenyum seraya menggeleng.

 Kali ini, giliran aku pula memehatikannya makan. Dan dia turut terkedu melihat aku merenungnya tanpa menjamah nasiku yang masih berbaki di pinggan.
“Kenapa, Aween?” soalnya hairan. Aku tersenyum lagi bersama gelengan kecil. Dia yang mulanya terpinga-pinga melihat gelagatku akhirnya ketawa.
“Aween tengok Ari makan ya?” Aku ketawa mendengar pertanyaannya itu. Seketika dia menyuakan sudunya yang penuh dengan nasi ke mulutku. Aku memandangnya dengan pandangan yang berkerut. Seketika aku perhatikan sekeliling. Tiada sesiapa yang menyedari akan kelakuan kami itu memandangkan tempat yang kami duduki itu agak tersorok. Melihat kesungguhannya itu, pantas aku menyahut suapannya. Kami tersenyum, geli hati dengan insiden itu.

Selesai menjamu selera, Azhari mengeluarkan beg duitnya untuk membuat pembayaran. Ketika aku hendak menghabiskan minumanku, tiba-tiba aku ternampak kelibat seseorang. Jantungku berdetak hebat melihat pasangan itu berjalan seiring memasuki restoran tersebut. Si gadis begitu mesra memaut lengan si jejaka. Perasaanku tercalar kembali. Ah, kenapalah aku diketemukan dengan mereka di sini?

Azhari yang terperasan akan perubahan wajahku turut memaling ke belakang. Dia turut memandang pasangan itu. Seketika dia menoleh semula ke hadapan menghadapku. Dadaku berombak kencang. Dia kelihatan cemas melihat aku begitu. Seketika dia memegang lembut tanganku.
            “Aween, sabar. Dah jom kita pergi,” pujuknya. Kami bangun. Sebaik aku berdiri, mataku bertaut dengan mata si jejaka itu. Dia turut terkesima melihat aku di situ. Si gadis yang mulanya kelihatan ceria turut berubah rona wajahnya tatkala melihat aku tercegat di situ. Seketika dia memaling semula ke arah Shazzy yang masih memerhatikanku. Dia mengetapkan bibir geram. Ah, tak sanggup untuk aku melihat pasangan itu lagi. Lantas aku berlalu pergi. Dalam pada itu, Azhari memaut bahuku erat bagi menenangkan hatiku yang sedang bergelodak. Kami meninggalkan restoran itu.

*****

DALAM perjalanan, aku hanya membisu bersama esakan halus. Azhari yang tenang memandu di sebelah turut terdiam. Mungkin hendak membiarkan aku melepaskan apa yang terbuku di hati. Sesekali dia akan mengerlingkan matanya ke arahku. Seketika tangan sasanya menangkap telapak tanganku, lantas digenggamnya erat.
“Sabarlah, Aween. Jangan diikutkan sangat hati tu. Aween baru aje nak sembuh. Nanti Aween sakit balik,” pujuknya. Dia juga kelihatan cemas melihat aku menangis begitu. Tisu yang terletak di atas dashboardnya kutarik lalu kukesat airmata yang kian deras mencurah.
“Aween tak sangka, benar-benar tak sangka. Sanggup dia buat Aween macam ni. Apa, selama dua tahun kami menjalinkan hubungan cinta, tak beri apa-apa kesan ke pada dia?” luahku bersama sendu. Sekali lagi aku menangis di hadapan lelaki ini hanya kerana seorang lagi lelaki. Dia mengeluh berat.
“Sabar, Aween. Ingat Allah,” pujuknya lagi.
“Argh! Dasar lelaki. Sebelum dapat, bukan main manis lagi mulut berkata-kata. Bila dah dapat, lepas tangan macam tu aja. Tak fikir hati dan perasaan kami selaku kaum wanita,” luahku agak keras. Dia terdiam. Mungkin juga terasa hati dengan kata-kata pedasku itu, kerana dia juga pernah melakukan kesilapan yang serupa. Cuma kurasakan teruk lagi perilaku Shazzy ini berbanding dengan Azhari dulu.

“Aween, sudahlah tu. Ari faham apa yang Aween rasa. Ari minta maaf kalau perbuatan Ari dulu pun membuatkan Aween tersinggung seperti sekarang ni,” dia terus berusaha memujukku. Aku masih membatu. Tangisanku kian reda. Suasana menjadi hening lagi. Masing-masing terus menyepi.

“Aween, Ari bawak Aween ke satu tempat, nak tak?” dia mengumpanku. Aku mengerling ke sebelah memandangnya.
“Ke mana?” soalku sedikit hambar.
“Ke tempat yang Aween boleh melepaskan rasa tertekan Aween tu,” ujarnya.
“Yalah, kat mana?” soalku lagi, menekannya.
“Aween pernah ke Berjaya Times Square?” soalnya pula. Aku menggeleng.
“Kita ke sana, ya? Main kat indoor team parknya. Seronok tau,” ujarnya ceria. Aku tersenyum. Seronoknya! Boleh main roller coaster. Kata orang, Taman Tema Cosmo’s World tu memang seronok. Aku sendiri pun tak pernah pergi, walhal sudah beberapa tahun taman tema itu ditubuhkan. Pantas aku mengagguk laju. Azhari tersenyum riang melihat aku tersenyum semula.
“Dah, jangan nangis lagi,” pujuknya seraya mengusap lembut pipiku yang masih bersisa dengan airmata itu.

*****

AZHARI terus membawaku ke Berjaya Times Square. Aku agak terpegun melihat suasana taman tema tertutup itu. Pelbagai jenis permainan terdapat di situ. Hatiku riang. Seronoknya. Kami ke kaunter tiket untuk membuat pembayaran.
            “Berapa nak kena bayar ni?” soalku sambil mengeluarkan beg duitku.
            “Eh, tak apalah. Biar Ari bayarkan,” ujarnya. Sehelai note lima puluh ringgit dihulurkan kepada kaunter tersebut.
            “Dewasa, dua orang.” Seketika dua helai gelang kertas diserahkan kepada kami. Sebelum mengenakan gelang tersebut di pergelangan tangan kami, ia haruslah discan terlebih dahulu di pintu masuk taman tema.

            Aku seakan tidak sabar hendak bermain permainan-permainan yang ada. Suasana cukup meriah sekali dengan muzik latar yang berkumandang, suara riuh para pengunjung dan tak lupa juga suara mereka yang menjerit kegerunan menaiki permainan-permainan yang mencabar seperti roller coaster.
            “Jomlah, Ari. Kita tengok apa yang ada,” rengekku sambil memegang pergelangan tangannya. Dia tersengih melihat gelagatku yang tak ubah seperti anak kecil.
            “Sabarlah. Ah’ah… sebelum tu, beg tu kena simpan kat locker dulu. Tak boleh bawak masa main. Jom, kita ke locker dulu,” ujar Azhari. Kami ke satu tempat yang menempatkan beberapa buah locker untuk para pengunjung menyimpan barang-barang. Dua keping syiling lima puluh sen harus digunakan untuk mendapatkan kunci locker tersebut.

            Mulanya Azhari mengajakku menaiki Supersonic Odyssey Roller Coaster. Aku tergamam. “Hisy, itu nanti-nantilah. Yang thrill-thrill kita naik last. Sekarang kita main benda lain dulu,” bantahku. Dia tersenyum sinis.
            “Takut ya?” perlinya. Aku mencebik.
            “Mana ada takut. Tak takutlah,” ujarku selamba. Berlagak! Tapi tengok aja landasan roller coaster yang melingkari seluruh taman tema ini, aku dah gayat. Seriau!
            “Jangan takut. Alah, kalau Aween berani menggelongsor masa kat air terjun hari tu, takkan setakat naik roller coaster ni pun dah takut?”
            “Mana ada Aween takut? Aween tak takutlah. Cuma Aween cadangkan supaya kita naik benda lain dululah,” tegasku. Dia ketawa.
            “Hmm… okeylah, okeylah. Ari setuju.”

            Naik pening kepalaku setelah mencuba permainan-permanian yang terdapat di situ. Kalau setakat menaiki Spinning Orbit yang berputar di atas tiang berukuran 30 meter dan Dizzy Lizzy itu, bolehlah tahan lagi. Apa yang benar-benar membuatkan aku gerun, apabila menaiki DNA Mixer yang begitu laju berputar. Ada ketikanya ia terhenti sewaktu kepala kami dihala ke bawah. Mahunya tak gayat? Apalagi, menjeritlah aku ketakutan. Bayangkan kalau kita terjatuh dalam kedudukan macam itu? Nauzubillah, boleh pecah kepala! Azhari pula bukan main suka lagi mentertawakanku melihat aku menggeletar selepas manaiki DNA Mixer itu.

            Selepas itu, kami ke tingkat atas. Di situ hanya terdapat banyak permainan untuk kanak-kanak. Tapi, ada juga permainan yang boleh dimainkan oleh orang-orang dewasa.
            “Jomlah, kita naik roller coaster pulak,” ajakku bersungguh. Dia tersenyum lebar. Aku tahu, dia memang menantikan saat ini. Sejak dari tadi dia bagaikan tak sabar untuk menaiki roller coaster tersebut. Kami ke tingkat yang teraras, di mana letaknya pintu masuk Supersonic Odyssey Roller Coaster. Terkebil-kebil aku menahan gentar sebaik mengambil tempat di atas roller coaster itu. Dalam hati aku melafazkan ‘bismillah’ sebaik roller coaster itu mulai begerak. Aku semakin cemas apabila ia makin laju bergerak. Semakin laju ia bergerak, semakin kuatlah aku menjerit. Sampaikan mengalir airmata aku keluar kerana terlalu banyak jerit dan gelak.
            “Apa macam, seronok?” soalnya. Aku mulai terbatuk-batuk kerana telah menjerit sekuat hati tadi. Aku tersenyum seraya mengangguk.
            “Tapi sekejap sangatlah, tak puas macam kat Genting Highland tu,” rungutku. Dia ketawa. “Kat Genting tu tak usah cakaplah. Itu outdoor game,” tuturnya. Apa yang menggelikan hati kami apabila melihat gambar kandid kami yang berwajah cemas sewaktu berada di atas roller coaster tertayang di skrin gambar. Macam-macam rupa dan gaya. “Besarnya mulut Aween ternganga,” komennya bersama tawa. Aku mencebik.
            “Eleh, tengoklah muka Ari tu macam orang nak tahan ‘angin’,” balasku pula. Terburai lagi tawa kami.
           
Selepas itu, Azhari mengajak aku menaiki Space Attack. Aku terkaku melihat permainan yang dimaksudkan itu. Seketika aku menelan air liur. Kelat. Sedangkan menaiki DNA Mixer tadi pun, naik pucat mukaku bila ia terbalik menghalakan kepala ke bawah, inikan pula Space Attack itu yang jauh lebih tinggi. Dari bawah aku mendongak ke atas, melihat mereka yang menaiki permainan itu menjerit apabila ia terhenti di atas dan menghalakan kepala mereka ke bawah. Fuh, lagi dasyat! Silap-silap boleh gugur jantungku ini.
“Jomlah,” ajaknya bersungguh. Aku masih berdiri di situ, tidak berganjak.
“Aween, apa lagi yang ditunggukan tu? Jomlah cepat. Kenapa, takut ke?” ejeknya. Aku menjeling. Ah, aku memang cukup pantang bila dicabar! Nak tak nak, terpaksalah aku turutkan juga ajakannya itu, sedangkan hatiku ini bukan main hebat lagi berdegup. “Relax, Aween. Ari ada kat sebelah,” ujarnya menenangkanku. Aku mengambil tempat bersebelahan dengannya.

“Jom naik roller coaster lagi!” ajakku riang selepas menaiki Space Attack.
“Aween nak naik roller coaster lagi? Eh, biar betul,” ucapnya bagaikan tidak percaya. Aku mengangguk laju.
“Betul, Aween nak naik roller coaster buat kali yang penghabisan. Lepas tu baru kita balik,” ucapku bersungguh.
“Betul ke ni? Tak nak naik Space Attack tu lagi? “usiknya.
“Boleh aja kalau Ari nak!” Dia melopong.
“Betul ke ni? Tak takut?” ejeknya. Aku menggeleng. Biarpun permainan itu tampak mengerikan, tetapi setelah mencuba, memang seronok.
“Okeylah, jom.” Pantas kami melangkah ke tingkat atas semula. Seronok, memang seronok. Kalau disuruh aku naik roller coaster sepuluh kali sekalipun, aku pasti mahu.

*****

TEPAT jam sebelas malam. Kereta yang dipandu Azhari tiba di hadapan rumah. Dari luar kelihatan lampu masih terpasang di dalam rumah. Tahulah aku yang ayah masih belum tidur lagi. Mungkin menunggu kepulanganku, barangkali?
           
            Masing-masing menyepi sebaik kereta diberhentikan. Aku menghelakan nafas lembut. Tak tahu hendak berkata apa lagi. Sungguh, aku tidak pernah rasa seronok seperti ini. Tiap kali bersamanya, kurasakan bagai ada sesuatu di dalam hatiku ini. Tapi aku tak pasti apakah dia. Cinta? Argh, tak mungkin cinta. Mungkin sekadar setia kawan.
           
            Tapi, entah kenapa, sejak pulang dari Kedah hari itu, aku benar-benar dapat rasakan sesuatu di hati ini. Aku seakan mengharapkan perkara yang tidak pasti darinya. Adakah aku ditakdirkan bertemu jodoh dengannya? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Tapi perasaanku ini… ah, aku tak faham. Perlukah aku mengharap apa-apa darinya? Hisy, tak… tak boleh! Nanti bila tak menjadi, aku juga yang merana. Sudah lupakah aku akan apa yang pernah dilakukannya dulu?
            “Aween, dah sampai.” Sapaannya itu menyentakkan aku dari lamunan.
            “Oh, dah sampai?” soalku agak menggelabah. Aku menarik nafas panjang. Rasa lega kerana segala apa yang telah terbuku di hati ini telah kuluahkan sewaktu aku menjerit tadi.
Thanks, Ari. Sebab sudi bersama-sama dengan Aween sepanjang malam ni. Aween rasa seronok sangat-sangat malam ni. Tak pernah Aween rasa sebegini rupa sebelum ni,” ucapku perlahan. Dia tersenyum simpul.
            Ah, no problem. Aween punya pasal, Ari sanggup buat apa sahaja,” ucapnya syahdu.

Ah, dia memberi harapan kepadaku lagi. Tidak, aku takkan termakan kata-katanya itu. Aku takkan terpedaya. Nyahlah kau wahai perasaan! Aku berperang dengan perasaanku sendiri. Sesungguhnya, aku tak mahu mengharapkan apa-apa lagi dari lelaki ini. Cukuplah sekadar kawan biasa. Tapi, dia pulak yang sering membuatkan perasaanku ini terbuai. Aku mengeluh berat. Seketika aku memaling ke arahnya. Kutatap lama wajah itu. Wajah pertama yang telah mengisi kekosongan di hatiku ini. Pantas kularikan pandanganku ke hadapan. Aku tertunduk.
“Ari,” ucapku perlahan. Terasa berat pula mulut ini untuk berbicara dengannya. Takut dia tersinggung. Sesungguhnya, dia telah banyak membantu dan menghabiskan masanya bersamaku. Orang yang baik sepertinya tak layak untuk disakiti hatinya. Namun, walau apapun, aku harus mengucapkannya juga. Agar tidak menjadi barah di kemudian hari.

Ada apa-apa yang Aween nak cakap?” soalnya tenang. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya lalu kulepas perlahan.
“Ari, Aween…” kata-kataku termati di situ. Ah, perlukah aku meluahkannya? Seketika aku sedikit tersentak apabila tangan sasanya memegang tanganku. Namun cepat-cepat aku menepisnya. Dia agak terkedu dengan tindakanku itu.
“Aween macam tak percaya yang Ari sekarang berada di sebelah Aween,” terluncur keluar juga akhirnya kata-kata yang tersekat itu tadi. Segera aku memandangnya, melihat reaksi wajahnya. Ternyata dia terkejut. Wajahnya turut berubah rona. “Apa maksud Aween ni? Ari tak faham,” soalnya keliru. Aku mendesis kecil.
“Aween sangka yang kita takkan berjumpa lagi setelah Aween pergi dari kolej tu…” aku meneruskan kata-kataku.
“Nanti. Nanti, nanti… Apa sebenarnya yang Aween cuba nak sampaikan ni? Dengar macam kiasan aja. Aween seolah nak cakap sesuatu tapi Aween macam melapik sampaikan Ari sendiri tak faham,” pintasnya. Wajahnya berkerut. Tiada lagi senyuman manis yang bisa menenangkan jiwaku ini.

Aku menarik nafas panjang lagi, sebelum menuturkan kata-kata yang seterusnya. Aku tahu, ia akan mengundang luka di hati Azhari.
“Ari, kita tak seharusnya bertemu lagi. Kita dah tersilap. Kedatangan Ari buat kali kedua pada mulanya memang tidak Aween senangi. Tapi sekarang, setelah berkali-kali kita bersama, Ari pun dah pernah bawak Aween balik kampung, lepas tu Ari temankan Aween sewaktu Aween dilanda kesusahan macam ni, benar-benar membuatkan hati Aween ni terbuai. Sedangkan sebelum ni Aween dah nekad untuk tak mahu mengharap apa-apa dari Ari lagi. Tapi, perasaan itu terlalu halus, Ari. Ia boleh menyusup bila-bila masa aja tanpa kita sedar,” luahku panjang. Kedengaran Azhari merengus.
“Aween tak mahu mengharapkan apa-apa dari Ari. Tapi kenapa Ari terus memberikan Aween harapan tu?” sambungku. Tanpa sedar aku telah menyalahkannya.
“Ari hadir semula dalam hidup Aween hanya sekadar kawan biasa. Ari tak suruh pun Aween mengharap apa-apa dari Ari,” akhirnya dia bersuara. Lembut tetapi keras maksudnya. Aku terdiam.
“Tapi sikap Ari membuatkan Aween serba salah. Kebaikan yang Ari curahkan kepada Aween, membuatkan hati Aween ni berbelah bahagi,” luahku lagi. Dia menghelakan nafasnya berat sebelum memulakan bicaranya.
“Jadi Aween rasa yang pertemuan kita buat kali kedua ini satu kesilapan? Begitu?” soalnya menekanku. Lambat-lambat aku mengangguk.
“Ya, memang ianya satu kesilapan. Ari tak seharusnya menjejaki Aween sejak hari tu lagi. Sekarang Aween nak tanya, Ari mendaftarkan diri sebagai ahli KKM sebab Ari minat atau sebab nak jumpa Aween?” soalku pula. Dia terdiam. Sesekali dia meramas-ramas rambutnya yang sememangnya kelihatan bercacak-cacak kasar itu.
“Kerana minat pun ya, kerana Aween pun ya,” jawabnya jujur.

Aku kehilangan kata-kata. Rasa tak sanggup untuk meneruskan lagi. Tak sampai hati aku untuk melihat dia kecewa. Melihat dia runsing begini, sudah cukup membuatkan hatiku diserbu rasa bersalah.
“Aween tak mahu mengharapkan sesuatu yang tak pasti, Ari. Aween takut nanti termakan diri Aween sendiri. Aween jugak yang akan merana nanti. Perasaan Aween ni dah cukup terseksa atas perbuatan dua orang lelaki yang pernah Aween sayangi. Cukuplah. Aween tak mahu menyeksa perasaan Aween lagi,” sambungku.
“Ari faham, Aween. Ari faham. Okey, kalau macam tu lepas ni Ari takkan ganggu hidup Aween lagi. Ari takkan hubungi Aween lagi, Ari takkan datang berjumpa dengan Aween lagi dan Ari jugak akan menarik diri sebagai ahli KKM. Lepas ni, Ari takkan muncul di hadapan mata Aween lagi. Anggaplah kehadiran Ari ni hanya sementara. Dan anggaplah Ari telah hilang ghaib selepas ini. Kalau Aween nak anggap yang Ari dah mati pun, tak apa. Ari tak kisah…” belum pun sempat dia menghabiskan kata-katanya, aku telah memintasnya.
“Bukan macam tu, Ari…” Namun dia pula yang pantas memintas sebelum aku menghabiskan ayatku itu.
“Habis tu macam mana lagi, Aween! Ini yang Aween nak sebenarnya, kan?” kasar sekali dia bersuara. Aku tergamam. Tidak pernah dia bersikap kasar denganku seperti ini. Hatiku mulai tersinggung dengan herdikannya itu. Tanpa kusedari airmataku mengalir setitik demi setitik.

Segera aku membuka pintu kereta dan keluar dari situ. Tanpa menoleh ke arahnya, terus aku masuk ke rumah. Seketika kereta yang dipandunya hilang dari pandangan, sama seperti apa yang telah diperkatakannya sebentar tadi.
“Anggaplah Ari telah hilang ghaib selepas ini.” Kata-katanya itu tadi bagaikan terngiang-ngiang di gegendang telingaku ini. Kini, dia benar-benar sudah ghaib dari pandangan mataku. Hatiku menjadi sayu. Airmata juga semakin lebat mencurah. Sukar hendak percaya, yang aku telah kehilangannya buat kali kedua. Selamat tinggal, Khairul Azhari. Terima kasih atas segala-galanya…

No comments:

Post a Comment