Monday 16 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 29)

“KAK, sudahlah tu, kak. Turunlah,” laung Ijie dari bawah. Aku hanya tersenyum kambing memandangnya di bawah. Seketika aku menggeleng.
            “Nenek, tengok kakak ni, nek! Dia degil tak mahu turun,” dia mengadu kepada nenek pula. Nenek yang berada tidak jauh dari situ turut menggeleng melihat kedegilanku. “Sudahlah tu, Aween. Dah banyak sangat buah ni. Esok-esok boleh galah lagi,” ujar nenek pula. Namun aku tetap berdegil hendak menggalah buah rambutan yang tumbuh lebat di atas sana.
            “Alah, nek. Lagi sikit aja ni,” bantahku.
            “Aween, janganlah degil. Darah kamu tu dahlah tengah manis. Karang jadi apa-apa karang, tak jadi naik pelaminlah kamu,” bebel nenek lagi.

            Senyumanku mengendur tatkala mendengar kata-kata nenek itu. Aku sendiri tak pasti, adakah majlisku itu nanti tetap akan berlangsung? Fikiranku terus melayang mengenangkan Azhari. Sudahkah dia menerima cincin itu? Dan sudahkah dia menemui ibunya untuk mengkhabarkan tentang pembatalan majlis perkahwinan kami? Dadaku berdegup kencang mengenangkan ayah. Tentu sekali ayah takkan dapat memaafkanku. Dan juga ibu, tentu sekali wanita itu akan membenciku kerana telah mempermainkan perasaan anaknya.
            “Kak! MasyaALLAH, sempat lagi dia berangan kat atas pokok tu?” sergahan Ijie menyentakkanku dari lamunan. Aku memandang ke bawah. Dia masih mendongak ke atas sambil mencekakkan pinggang.
            “Dahlah tu, kak. Dah banyak sangat dah ni. Takkan semua buah kat atas pokok tu akak nak jerukkan?” omelnya. Namun aku tetap tidak mengendahkan leterannya itu.
            “Hmm… sudahlah tu, Jie. Biarkanlah kakak kamu tu. Karang kalau jadi apa-apa karang, biar dia sendiri yang bersoal-jawab dengan ayah kamu,” sampuk nenek pula.

            “Kak…” laung Ijie lagi. Namun tiba-tiba kedengaran suara seseorang menyampuk membuatkan aku tergamam.
            “Tak apa, Ijie. Abang boleh buat Kak Aween turun.” Jantungku berdetak hebat sebaik mendengar suara itu. Pantas kutundukkan kepala, menghala ke bawah. Sah, dialah tuan punya suara itu. Tapi, musykillah! Apa dia buat kat sini? Ijie pula kelihatan terpinga-pinga melihat jejaka itu.
            “Abang ni…” belum sempat Ijie menghabiskan ayatnya, jejaka itu telah menjawab terlebih dahulu.
            “Nama abang Azhari. Bakal abang ipar Ijie,” ujarnya. Ijie masih terpinga-pinga di dalam kekalutan. Seketika kepalanya digaru-garu beberapa kali.
            “Eh, betul ke ni? Abang ni tunang kakak?” soalnya agak menggelabah. Azhari ketawa seraya mengangguk. Manakala aku pula masih melopong dengan tanda tanya di atas pokok rambutan itu. Senyuman terukir di bibir mereka. Lantas mereka berjabat tangan, saling berkenalan.
            “Hmm… abang tolonglah pujuk kakak tu turun. Bukan apa, bang. Buatnya kalau jatuh patah kaki ke, tak ke naya namanya tu? Alamatnya terpaksalah abang dukung kakak naik pelamin nanti,” senda Ijie. Aku menjengkilkan mata.
            “Amboi, amboi… sedapnya mulut tu bercakap!” marahku. Ijie ketawa. Begitu juga dengan Azhari.
            “Ijie masuk dulu ya, bang. Tu, tolong turunkan anak kera kat atas tu. Karang habis semua buah rambutan disapunya nanti,” Ijie berlawak lagi. Pantas aku memetik sebiji buah rambutan yang sudah layu lalu kubaling ke arahnya. Namun sempat dia mengelak sambil ketawa. Sempat juga dia menjelirkan lidah ke arahku.

            “Aween,” panggilnya lembut sebaik kelibat Ijie hilang dari pandangan. Aku terus memandangnya dengan dahi berkerut.
            “Ari buat apa kat sini?” soalku sedikit keras.
            “Kalau ya pun, turunlah dulu. Barulah kita boleh bincang,” ujarnya lembut.
            “Nak bincang apa lagi, Ari? Keputusan Aween murktamad,” putusku. Dia mengeluh berat. Tangannya mengurut dahi dalam kebingungan. Dikuis-kuisnya hujung kaki dengan pasir.
            “Aween, tolonglah. Jangan buat Ari macam ni. Sampai hati Aween buat kami semua macam ni. Aween masih berdendam dengan Ari hanya kerana peristiwa lama tu?” keluhnya. “Tak. Hal ni tak ada kena-mengena dengan peristiwa lama tu. Ini soal masa depan kita bersama,” terangku kuat.
            “Masa depan kita? Apa ni, Ari tak faham.” Dia mengeluh lagi diiringi dengan sebuah rengusan keras.
            “Tak faham sudah. Tak payah nak faham. Apa yang pasti, kita takkan hidup bersama. Cubalah terima hakikat yang kita berada di lorong yang berbeza, Ari,” tegasku.
            “Aween, tolonglah turun. Tak molek rasanya kita bincang dalam keadaan macam ni. Tengok, Ari kat bawah sini. Aween pulak kat atas sana. Macam mana masalah nak selesai?” pujuknya.
“Masalah dah pun selesai. Cuma Ari tu aja yang nak terus membiarkan masalah ni membelenggu diri Ari. Kalau tak, masakan Ari datang sini cari Aween? Kan senang kalau Ari cakap kat semua ahli keluarga Ari yang kita tak jadi kahwin? Habis cerita!” bentakku. Dia tersenyum sinis.
            “Mudahnya Aween cakap! Aween ingat senang Ari nak cakap kat keluarga Ari yang kita tak jadi kahwin? Sebelum Ari beritahu dia orang, Ari kena fikir dulu akan hati dan perasaan dia orang tu. Jangan nak samakan diri Ari dengan diri Aween. Aween suka bertindak mengikut kata hati tanpa memikirkan perasaan orang lain. Ari tak macam tu. Lebih-lebih lagi pada keluarga Ari sendiri. Ari takkan biarkan mereka terluka,” bidasnya.

            Aku terdiam. Dia juga begitu. Masing-masing membisu seribu bahasa. Sesungguhnya, aku cukup kagum dan terharu dengan pengakuannya tadi. Dia benar-benar lebih menitikberatkan hati dan perasaan orang lain berbanding dirinya sendiri. Sememangnya itulah sikapnya yang kukenali sejak dulu lagi. Dia sanggup membiarkan hatinya sendiri terluka demi menjaga hati insan-insan yang disayanginya.
            “Sudahlah Ari. Baliklah. Buang masa dan tenaga aja Ari ke sini. Aween tetap dengan keputusan Aween,” akhirnya aku bersuara.
            “Tapi kenapa Aween? Adakah disebabkan kebisuan dan sikap tak ambil peduli Ari selama kita bertunang ni menyebabkan Aween putuskan pertunangan kita?” soalnya.
            “Terpulanglah apa yang terlintas di fikiran Ari tu. Aween tetap dengan keputusan Aween. Takkan dapat diubah lagi,” tegasku.

Dan ketika itu, terasa dahan pokok yang kupegang sebagai pautan menjadi reput dan akhirnya patah. Aku panik lalu menjerit. Seketika kemudian tubuhku turut jatuh ke bawah bersama dahan reput itu. Aku menjerit sambil menyebut namanya. Dalam kekalutan itu, aku turut terdengar suaranya menyahut namaku. Seketika terasa tubuhku disambut dari bawah. Dan dalam sekelip mata tubuhku menghempap batang tubuhnya yang juga terlentang di atas tanah. Di kala itu juga mata kami saling bertaut. Aku terpaku. Lidahku turut kelu. Begitu juga dengannya. Masing-masing membisu. Dan aku mulai sedar sebaik dia tersenyum nakal. Pantas aku kalihkan tubuhku bersama perasaan malu yang menebal. Aku berdiri seraya mengibas-ngibas bajuku yang sudah dilumuri pasir. Dia masih tersenyum. Benar-benar menyakitkan hati.
“Tulah, orang suruh turun, tak mahu. Kan dah jatuh. Macamlah awak tu ringan sangat,” ejeknya. Aku menjeling tajam.

*****

DENGAN perlahan aku menuang air teh O yang masih panas ke dalam cawan lalu kuletakkan di atas meja kopi di hadapannya. Sepiring biskut kering turut kuhidang di atasnya. Pandanganku hanya dihala ke bawah. Langsung tidak memandangnya. Seketika aku mengambil tempat di atas lantai di sisi sofa yang didudukinya.
            “Jemputlah minum. Air bujang aja,” selorohku. Dia ketawa kecil, namun sinis kedengaran. “Aween tak minum sekali?” soalnya. Aku menggeleng.
            “Tak apa. Ari minumlah,” jawabku.

            Aku terus menundukkan wajah tanpa memandangnya. Namun seketika, secara spontan aku mendongakkan kepalaku memandangnya. Aku menelan air liur tatkala menatap matanya yang merenung tajam ke arahku. Dan seketika aku tertunduk kembali.
            “Kenapa tiba-tiba aja nak putuskan pertunangan kita? Apa lagi yang tak kena sebenarnya?” soalnya lembut tetapi tegas. Aku bungkam.
            “Adakah sebab Ari tak pernah ambil kisah pasal Aween sepanjang tempoh pertunangan kita ni, maka Aween ambil keputusan drastik macam ni?” soalnya lagi. Aku masih terdiam, buat tak endah dengan pertanyaannya itu.
            “Aween, tolonglah jawab. Ari tanya ni,” dia mulai mendesak.
            “Macam mana Ari boleh tahu yang Aween ada kat sini? Mana Ari dapat alamat kampung ni?” soalku pula tanpa menjawab soalannya terlebih dahulu.
            “Aween tak jawab soalan Ari lagi,” tegasnya. Aku mengeluh berat.
            “Ari, bukan maksud Aween nak berdendam dengan Ari. Tapi... ah, entahlah. Aween pun tak tahu macam mana nak cakap. Susah, Ari,” keluhku. Dia ketawa sinis.
            “Apa yang susah sangat? Explain aja, kenapa Aween tiba-tiba nak putuskan pertunangan kita, that’s all! Aween tahu tak, keputusan yang Aween buat ni satu keputusan yang gila dan tak boleh diterima akal? Aween dah menyusahkan semua orang. Come onlah, tak sampai dua minggu aja lagi majlis pernikahan kita akan dilangsungkan. Persiapan pun dah hampir seratus-peratus siap. Tiba-tiba Aween nak mintak putus. Apa semua ni?” luahnya penuh perasaan. Aku terus tertunduk diam.
            “Aween, tolonglah. Sudah sekian lama Ari impikan untuk hidup bersama dengan Aween. Dah pelbagai dugaan dan rintangan yang kita lalui bersama. Dan kita hampir berjaya melabuhkan bahtera kasih kita bersama. Ari hampir mendapatkan Aween. Tak lama aja lagi Aween akan menjadi milik Ari. Alih-alih aja jadi macam ni. Kenapa, Ween?” dia terus mengasakku. Ah, semakin terpukul aku dibuatnya.

            Airmata yang bertakung di kolam mataku akhirnya mengalir keluar setelah aku tidak mempu untuk menahannya dari terus melimpah.
            “Ari, bukankah banyak lagi gadis lain yang boleh Ari miliki? Kenapa mesti Aween?” soalku mulai memutar-belitkan keadaan. Aku mahu lari dari memberi alasan yang sebenar-benarnya.
            “Sebab pada Ari, Aweenlah wanita yang terbaik untuk Ari,” jawabnya penuh jujur dan ikhlas. Aku mengangkat wajah, merenung anak matanya. Mencari keikhlasan di sebalik mata sepet itu.
            “Pada Aween pulak, diri Aween ni tak layak untuk Ari. Ari berhak mendapat perempuan yang jauh lebih baik dari Aween,” bidasku. Seketika dia melopong. Mulutnya sedikit terbuka. Lama dia begitu. Dan aku pula bagaikan terpukau, terus merenung anak matanya itu. “Kenapa Aween cakap macam tu? Adakah Aween dengan Shazzy dah….” kata-katanya mati di situ. Aku membeliakkan mata. Apa yang terlintas di fikirannya?
            “Apa maksud Ari?” soalku sedikit kendur. Dia masih terdiam. Bibirnya seakan berat hendak meneruskan bicara.
            “Maksud Ari, Aween dengan Shazzy pernah melakukan perkara terkutuk tu?” soalku. Dia pula membatu. Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Aku ketawa sinis. “Kalau itu yang Ari fikirkan, Ari silap. Sejahil-jahil Aween, tak pernah terlintas langsung di fikiran Aween ni untuk melakukan perkara tu. Sekelumit pun tidak ada. Aween masih mampu menjaga kesucian diri Aween. Maruah Aween terlalu mahal untuk digadaikan.” Sedaya-upaya aku mempertahankan diriku dari terus dituduh begitu.

            Dia tertunduk kesal. Seketika dia mengusap dahinya lalu dilepaskannya keras. Nafasnya turut dilepaskan kuat.
            “Maafkan Ari kerana terlalu jauh berfikir. Ari percaya, yang Aween masih mampu menjaga kesucian diri Aween. Ari kenal siapa Aween. Dan Ari faham akan prinsip hidup Aween yang sudah sekian lama Aween terapkan dalam diri Aween tu. Cuma Ari nak tahu kenapa bersungguh benar Aween nak putuskan pertunangan kita. Itu aja. Apa sebenarnya yang mengganggu fikiran Aween?” soalnya buat kesekian kali.
            “Ya, sebab peristiwa lama tu. Aween mengaku yang peristiwa tu masih menghantui fikiran Aween. Aween takut Ari akan mempermainkan perasaan Aween lagi. Bila sekali Ari lukakan perasaan Aween, tak mustahil suatu hari nanti Ari akan mengulangi kesilapan yang serupa,” hujahku. Namun, itu hanya sekadar di bibir cuma. Akan tetapi, ada lagi alasan lain yang aku sembunyikan di lubuk hati itu.
            “Jangan bohong, Aween. Kata-kata itu hanya sekadar lahir di mulut, tapi di hati Aween lain. Sebenarnya ada alasan lain yang lebih kukuh lagi, bukan?” soalnya keras. Aku terkesima. Ah, baru aku ingat. Dia boleh baca isi hati orang lain. Ya ALLAH, macam mana aku boleh lupa? Ah, aku tak boleh nak lari lagi. Perlukah aku memberitahunya akan apa yang sebenarnya? Argh, malunya hendak berterus-terang!

            Dan aku tersentak apabila kedua belah tangannya menggenggam erat kedua belah tanganku. Seketika padangan kami bersatu. Ah, aku dapat merasakan yang aku akan tewas juga dalam renungan tajamnya itu. Nampaknya aku perlu memberitahunya tentang perkara sebenar yang menghantui fikiranku selama ini. Aku terpaksa. Renungan matanya yang begitu tajam menikam seakan merayu agar aku memberitahunya akan apa yang mengganggu mindaku kini, sehingga aku membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan kami.
            “Ari,” ujarku lembut. Ah, tak sanggup untuk aku bertentang mata dengannya lagi. Segera aku menundukkan wajahku ke bawah.
            “Aween takut,” ujarku perlahan. Kulihat dahinya berkerut sebaik aku mendongakkan wajah memandangnya.
            “Aween takut yang suatu hari nanti Aween tak mampu untuk membahagiakan Ari,” ujarku lagi. Semakin berkerut dahinya. Seketika dia menggeleng perlahan.
            “Apa maksud Aween?” soalnya lembut.
            “Ari, sebelum Aween kemukakan alasan Aween ni, Aween nak tanya. Adakah Ari ikhlas menerima Aween seadanya?” soalku serius. Dia kelihatan tergamam. Seketika dia mengangguk laju.
            “Memang Ari terima Aween seadanya. Kenapa Aween tanya macam tu? Apa, Aween masih ragu-ragu dengan keikhlasan dan kejujuran Ari?” soalnya pula. Aku bungkam tanpa reaksi.
            “Walau apapun kekurangan yang ada pada diri Aween, masihkah Ari sudi menerimanya dengan hati yang redha?” soalku lagi, ingin menguji sejauh mana keikhlasan jejaka ini. Dia mengangguk lagi.
            “Ari terima semuanya dengan hati yang rela, Aween. Pada Ari, Aween tak kurang apa-apa. Cukup sempurna pada pandangan mata Ari,” ujarnya perlahan. Aku terkaku. Serasakan, kata-kata itu pernah lahir dari bibirnya suatu ketika dahulu. Tapi aku tak ingat bila. Namun yang pasti, kami masih lagi di dalam hubungan cinta ketika itu.
            “Betul?” soalku buat kesekian kali.
            “Betul. Ari bersumpah. Kenapa tanya semua ni, sayang?” dia pula menyoalku. Cukup lembut dah syahdu kedengarannya.
            “Sebenarnya, Ari. Aween dihantui peristiwa yang pernah berlaku ke atas keluarga Aween. Mama Aween meninggal dunia kerana menderita kanser pangkal rahim. Apa yang Aween tahu, penyakit tu juga merupakan salah satu penyakit keturunan. Aween takut kalau Aween jugak akan mewarisi penyakit yang sama. Aween tak sampai hati melihat Ari menderita sepertimana yang pernah dialami oleh ayah dulu,” luahku panjang. Azhari mengeluh lalu beristighfar.
             “Astagfirullahal’azim… pasal itu rupanya?” ujarnya bersama ketawa kecil.
            “Ari tak sangka yang Aween boleh berfikir sejauh tu. Aween, kalaupun arwah mama Aween dulu menderita penyakit kanser ni, tak semestinya Aween turut akan dapat sama,” tuturnya lembut.
            “Jangan cakap, Ari. Faktor keturunan boleh dijadikan penyebab kenapa seseorang itu menghidap kanser. Tak mustahil suatu hari nanti Aween akan mewarisi penyakit tu,” bidasku.

            Azhari terdiam. Seketika dia meramas rambutnya kasar. Sebuah keluhan berat terbit di bibirnya.
            “Aween, Ari sayang sangat kat Aween. Ari benar-benar ikhlas. Okey, macam nilah. Apa kata, lepas kita kahwin nanti, setelah beberapa kali kita bersama, Ari akan bawak Aween jumpa specialist. Kita buat check-up, untuk memastikan sama ada Aween berisiko ataupun tidak dengan penyakit tu,” cadangnya. Aku terdiam.
“Macam mana, setuju dengan pandangan Ari?” soalnya. Aku menggeleng kecil.
            “Entahlah, Ari. Aween pun tak tahu nak cakap apa lagi. Yalah, kalau sekadar berucap di bibir, semua orang boleh buat. Tapi nak melaksanakannya tu, belum tentu lagi boleh. Tak semudah melafazkan di bibir…” Namun seketika, kedua belah tanganku dipaut lagi. Begitu erat sekali. Aku terkesima.
            “Aween, pandanglah Ari. Renunglah mata Ari ni sedalam-dalamnya. Di situ terdapat bukti akan keikhlasan hati Ari terhadap Aween,” ucapnya penuh syahdu.

            Lalu dalam keadaan yang teragak-agak, aku mengerlingkan anak mataku, menentang anak matanya. Begitu tajam sekali renungannya. Dan bagaikan ada satu semangat yang meresap ke dalam tubuhku membuatkan aku begitu berani menentang panahan anak matanya itu. Ya, aku bagaikan dapat melihat keikhlasan hatinya di situ.
            “Macam mana kalau hasil pemeriksaan mengatakan yang Aween berisiko? Sanggup Ari meneruskan kehidupan Ari bersama Aween atau Ari akan meninggalkan Aween?” soalku, ingin menguji lagi sejauh mana keikhlasannya terhadapku. Pantas dia menggeleng. “Ari tetap akan terus setia menjadi suami Aween. Ari akan berusaha untuk mencari pakar supaya Aween dapat dipulihkan. Ari takkan biarkan Aween terus menderita. Ari akan sentiasa berada di samping Aween sampai bila-bila,” ucapnya bersungguh. “Betul ke ni? Jangan cakap aja, tapi buatnya tidak. Ari kena janji dulu yang Ari benar-benar memaksudkan kata-kata Ari tu,” tegasku. Seketika dia mengangkat tangan kanannya seakan mahu berikrar.
            “Ari janji akan mengotakan kata-kata Ari tu tadi. Janji dengan Aween, dengan keluarga Aween dan yang paling penting sekali janji dengan ALLAH,” ucapnya. Aku terdiam lagi. Tak tahu hendak berkata apa. Kini jelaslah sudah yang Azhari benar-benar ikhlas menyayangi diriku. Aku yakin, dia mampu menjadi seorang suami yang penyayang sepertimana yang pernah kuimpikan selama ini.

Lama aku tertunduk. Dalam keadaan yang perlahan, aku mengangkat wajah merenung matanya dalam. Ya, aku masih dapat melihat sinar keikhlasan yang terpancar di anak mata itu. Aku masih dapat melihatnya. Aku mulai tersedu. Cukup terharu dengan kesungguhan Azhari untuk menerimaku seadanya. Tanpa sedar aku melentokkan kepalaku ke pehanya. Aku teresak sambil menyembamkan wajah ke ribanya. Sementara jari-jemari sasanya mengusap lembut rambutku.
            “Percayalah, sayang. Ari akan menjadi seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab. Ari akan jaga Aween sampai bila-bila. I swear,” ucapnya bersungguh. Semakin terharu aku dibuatnya. Sama sekali aku tidak menduga yang lelaki ini benar-benar ikhlas menerimaku walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Di kala ini kurasakan betapa bersalahnya aku kerana sering menghampa dan mengecewakan lelaki ini sebelum ini. Betapa berdosanya aku kerana sering mempersendakan kejujurannya selama ini. Seharusnya aku rasa bersyukur kerana diketemukan lelaki berhati mulia seperti ini.
            “Ari, maafkan Aween. Aween tak sangka begitu hebat sekali keikhlasan Ari walaupun Aween selalu mengecewakan perasaan Ari. Maafkan Aween,” ucapku dalam sendu. “Sudahlah tu, sayang. Lupakan semua tu. Kita akan bina hidup baru nanti. Ari pasti akan membahagiakan Aween. Percayalah, tak ada gadis lain yang dapat menduduki hati Ari ni melainkan Aween sorang,” ucapnya berbisik dan penuh syahdu.

            Seketika aku mengangkat wajah memandangnya. Pipiku yang sudah basah dek airmata kuseka dengan telapak tanganku. Aku masih tersedu.
            “Ari, terima kasih kerana terlalu ikhlas mengasihi diri ni. Terima kasih, Ari. Aween janji yang Aween jugak akan menjadi seorang isteri yang solehah sama seperti Siti Khadijah dan Saidatina Aisyah,” ucapku bersungguh. Dia tersenyum seraya mengusap pipiku lembut.
            “Jangan berterima kasih pada Ari. Sepatutnya Ari yang berterima kasih pada Aween sebab sudi menerima Ari dan memberi peluang untuk Ari membahagiakan Aween,” ucapnya pula. Pantas aku mengangkat jemariku lalu meletakkannya di bibirnya yang basah itu. Aku menggeleng perlahan.
            “Sudah, jangan cakap lagi. Aween tak mahu dengar semua tu. Sememangnya sejak dulu lagi tempat di sini memang untuk Ari,” tuturku perlahan sambil menunding ke arah dadaku.

            Seketika aku mengalihkan tanganku dari bibirnya. Dia tersenyum bahagia. Tanpa kuduga, dia membongkokkan tubuhnya, mendekatkan wajahnya ke wajahku. Lantas bibirnya melekap ke ubun-ubunku lembut. Aku terpana. Namun kubiarkan saja tindakannya itu. Seketika dia mengusap lembut anak-anak rambutku yang terjuntai di dahi.  Sama sekali tidak kuduga yang dia berani bertindak sebegitu rupa. Cukup romantis. Selama ini, belum pernah mana-mana lelaki mengucup dahiku melainkan ayah serta kaum keluargaku yang lain. Hatta Shazzy sendiripun tidak pernah menyentuhkan bibirnya ke mana-mana bahagian di wajahku selama dua tahun kami menjalinkan hubungan. Kalau adapun, cuma sekadar di tangan sahaja. Sesungguhnya dialah lelaki luar yang pertama meletakkan bibirnya ke dahiku seperti itu. Ah, aku tak kisah semua itu. Bukankah tak lama lagi dia akan menjadi suamiku? Apa yang penting sekarang ini, dia harus mengotakan janjinya untuk terus berada di sampingku kelak. Itu sudah cukup memadai.

No comments:

Post a Comment