Monday 21 February 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 18)

AKU menggeletar kesejukan sebaik air jernih dan dingin itu kujirus ke tubuh. Mana tidaknya, mandi pada pukul enam setengah pagi. Embun pun masih segar di luar sana. Ah, nak buat macam mana. Inilah gaya hidup orang kampung. Mandi air perigi. Sejuk. Mana ada alat pemanas seperti yang terdapat di dalam bilik air rumahku di Kuala Lumpur?

Setelah selesai, pantas aku mencapai tuala mandiku dan membalut tubuhku yang menggeletar kedinginan. T-shirt sendat berlengan tiga suku panjang kusarungkan ke tubuh dan terus bergegas keluar. Setelah bersiap, aku turun ke dapur semula untuk menyiapkan sarapan pagi. Kubuka periuk nasi. Nasi semalam masih ada dan masih elok. Boleh buat nasi goreng. Yes! Aku bersorak dalam nada berbisik. Takut penghuni rumah ini akan terjaga.

Aku memulakan kerjaku dengan memotong dan menghiris bawang, mentitik cili padi dan menggoreng bilis.
“Eh, buat apa tu, Aween?” sapa ibu dari belakang. Aku sedikit tersentak.
“Hmm… sedapnya bau,” pujinya ketika aku sedang menumis bawang. Aku hanya mampu tersenyum.
“Awat tak kejutkan ibu? Boleh jugak ibu tolong,” omelnya. Aku ketawa kecil.
“Tak apa, bu. Memang Aween ingat nak sediakan sarapan pagi ni,” ujarku sambil tanganku memasukkan bahan-bahan tadi ke dalam kuali.
“Ni nak buat apa ni?” soal ibu lagi.
“Nak buat nasi goreng kampung, bu. Alah, masak cincai-cincai aja,” kataku merendah diri. Ibu ketawa kecil.
            “Cincai pun, tapi bau sedap,” puji ibu lagi. Ah, kembang aku dibuatnya.

Setengah jam kemudiannya, sarapan pagi sudahpun siap terhidang di atas meja. Seperti selalu, ibu akan mengetuk pintu bilik Azhari untuk menggerakkannya dari lena.
“Ari, bangkit dah?” laung ibu. Aku hanya tersenyum. Hmm… kalaulah aku ditakdirkan menjadi isteri Azhari, alamatnya jenuhlah aku nak mengejutkannya setiap pagi. Hatiku menggerutu sendirian.

Sementara menunggu Azhari bersiap, aku mengemas dapur terlebih dahulu. Segala perkakas-perkakas dapur yang memenuhi sinki kubasuh terlebih dahulu. Setelah selesai, aku ke ruang makan pula. Kutuang air Nescafe panas ke dalam cawan. Tidak lama kemudian, Azhari keluar dari biliknya dalam keadaan kemas. Dia menghampiri meja makan. Seketika, deria hidungku terbau haruman Romano Classic yang dipakainya. Serta-merta kenangan lama menggamit kembali. Aku mengetapkan bibir, mengawal emosi yang tiba-tiba bergelora.
“Wah, sapa yang masak ni, bu? Tak pernah pun nampak ibu buat nasi goreng macam ni?” dia bersuara sambil mengalihkan pandangannya ke arah ibu. Ibu tersenyum melihat anaknya itu. Seketika matanya beralih memandangku
“Bukan ibu yang masak. Ni hah, anak ibu yang sorang lagi ni yang masak. Pagi-pagi lagi dia dah bangkit, buat sarapan untuk kita,” ujar ibu. Azhari tersenyum memandangku. Aku hanya membalas pandangannya tanpa sebarang reaksi.

Seperti selalu, kami bersarapan bersama-sama. Kulihat dia begitu lahap sekali menyuap nasi goreng tersebut ke dalam mulutnya. Wajahnya tampak ceria. Sambil mengunyah, dia tersenyum ke arahku. Aku membalas senyumannya bersama gelengan kecil. Gelojoh, macam budak-budak! Bisik hatiku.
            “Perlahan-lahan makan tu, Ari!” tegur ibu. Dia tersenyum kambing memandang ibu. “Sedaplah, Aween. Pandai Aween masak. Susah-susah sangat, Aween kahwin ajalah dengan Ari. Nanti, taklah Ari kebulur,” sendanya. Hampir tercekik aku dibuatnya. Namun aku masih mampu mengawal diriku dari terus melatah. Lantas kucebirkan bibirku. Huh, ada hati nak kahwin dengan aku konon. Tak malu. Porah!
“Amboi, amboi… senangnya hang cakap! Hang ingat kahwin ni setakat nak kena bagi makan aja ka? Banyak lagi tanggungjawab lain, tau,” tegur ibu.
“Tapi memang betul kan, itu tanggungjawab isteri buat suami,” bidasnya.
“Memanglah. Tapi, hang jangan lupa, tanggungjawab hang kat isteri lebih berat. Hang kena jaga dia baik-baik, ambil berat hal-hal kebajikan dia, sakit-pening dia, bukan setakat bagi nafkah, dah tu dok main lepas tangan macam tu aja,” bebel ibu lagi.
            “Itu Ari taulah, bu. Ibu tak payah nak habak pun Ari memang dah tau dah. Macamlah Ari ni buta agama,” dia membalas lagi.

Ah, ni yang lemah ni! Timbul pulak dah soal rumahtangga. Tak senang duduk aku dibuatnya. Rasa panas punggung ni. Namun, nasib baiklah tidak lama selepas itu mereka terus senyap. Tidak lagi berbalah akan hal itu.

*****

PAGI ITU, ibu telah membawa kami ke nurserynya yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Kalau jalan kaki pun, boleh sampai. Aku agak terpegun melihat pemandangan di sekitar nursery yang tak ubah seperti di dalam taman bunga. Terdapat pelbagai jenis pokok bunga seperti bogunvilla, jasmine, ros Jepun, bunga trompet, bunga siantan dan banyak pokok-pokok bunga lain yang aku sendiri tidak tahu apakah namanya. Juga terdapat taman orkid, kaktus dan bosai yang pelbagai bentuk. Cukup unik. Tambahan suasana lanskapnya yang begitu memukau dan cuaca pagi itu yang agak redup, begitu memukau pandangan mata ini.

            Aku berjalan beriringan dengan Azhari melewati seluruh kawasan nursery itu. Sepanjang kami berada di situ, tiada topik lain yang kami bualkan selain dari berkenaan dengan pokok. Tak sangka yang Azhari banyak mengetahui selok-belok berkenaan pokok bunga dan teknik-teknik bercucuk tanam. Memang tidak dinafikan, Azhari dan ibu memang mempunyai minat yang serupa. Patutlah mereka berdua tampak serasi.
            “Aween suka?” soalnya. Aku mengangguk laju.
            “Mestilah suka. Semua benda yang berunsur alam semulajadi Aween suka,” jawabku. Dia tersenyum.
            “Dah lama ke ibu buka nursery ni?” soalku pula kepadanya. Dia menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluarnya. Kami masih melangkah sambil menikmati keindahan suasana nursery itu.
            “Lama jugak. Seingat Ari lepas tamat PMR. Maknanya dah nak dekat sembilan tahun. Mula-mula dulu, nursery ni taklah sebesar macam ni. Ibu memulakan perniagaan ni secara kecil-kecilan aja. Lama-lama, bila dah maju, jadilah besar macam ni. Tapi, dalam masa yang sama, kita orang adik-beradik tolong jugaklah beri ibu suntingan modal,” ceritanya. Aku mengangguk.

            Seluruh nursery itu telah kami lewati. Akhir sekali, kami ke ladang orkid. Mataku meliar, memandang sekitar ladang orkid itu. Aku tersenyum. Seronok melihat bunga-bunga orkid yang pelbagai warna dan rupa itu. Setahu aku, setiap orkid di situ memiliki nama yang berbeza seperti Cattleya, Dendrobium, Golden Shower, mokara, Vanda dan macam-macam lagi. Sememangnya, bunga orkid merupakan bunga yang paling kugemari kalau hendak dibandingkan bunga-bunga lain.
            “Cantiknya,” pujiku sambil membelek-belek bunga orkid kecil yang berwarna kuning berbelang. Dia hanya tersenyum melihat aku menyentuh lembut bunga orkid tersebut. Tiba-tiba, gugur sekuntum bunga orkid yang agak besar saiznya. Warnanya putih diadun dengan warna ungu di tengah-tengah. Cantik. Ya ALLAH, sayangnya ia gugur. Aku memandang Azhari dengan pandangan yang sayu. Mata kami bertentangan.
            “Sayang kan, bunga tu gugur?” ujarku. Dia tersenyum.
            “Aween sukakan bunga tu?” soalnya. Aku mengangguk. Lantas dicapainya bunga orkid yang gugur itu tadi, lalu diselitkannya pada pelipat telingaku. Aku agak tergamam dengan tindakannya itu.
            “Ari berikannya pada Aween,” tuturnya penuh lembut dan syahdu. Seketika aku tersenyum, meraba-raba lembut bunga orkid yang tersisip pada pelipat telingaku itu. Kurenung wajahnya lama. Ternyata, kejujurannya itu benar-benar terlakar pada wajahnya. Lantas dia memaut bahuku erat. Kami beriringan meneruskan perjalanan kami, melewati seluruh nursery yang agak luas kawasannya itu.

*****

SELEPAS kami menikmati makan tengahari kami di salah sebuah warung yang menjual mihun sup Utara, Azhari membawaku bersiar-siar di sekitar Bandar Alor Setar. Kami singgah ke Masjid Zahir terlebih dahulu memandangkan Azhari hendak menunaikan solat Zuhur dan Asar. Aku yang masih ‘bercuti’ hanya menunggunya di dalam kereta. Sementara menunggunya, sempat aku memandang sekitar masjid yang agak besar dan luas itu. Tak ubah seperti Masjid Wilayah yang terletak di Jalan Duta. Cuma Masjid Wilayah kurasakan lebih besar dan luas berbanding dengan Masjid Zahir ini. Namun, senibinanya sungguh menakjubkan.

            Tidak berapa lama selepas itu, Azhari kembali semula ke kereta. Dia tersenyum ke arahku sebaik memboloskan diri ke dalam kereta.
            “Tak nak jalan sekitar masjid ni?” soalnya. Aku menggeleng. Dia terus memandu, membawaku ke destinasi yang seterusnya. Seterusnya, dia membawaku ke Muzium Negeri Kedah yang menempatkan koleksi barangan peninggalan sejarah Negeri Kedah serta alatan pusaka DiRaja Kedah. Antara yang paling mendapat perhatian di sini, adalah pokok bunga emas yang digunakan oleh kerajaan Negeri Kedah pada zaman dahulu sebagai pemberian terhormat kepada kerajaan Siam. Tidak banyak masa kami habiskan di situ. Hanya sejam lebih sahaja.

            Selepas itu, aku dibawanya ke Menara Alor Setar. Tiba di situ, aku disuruhnya menunggu di satu tempat dan dia pula menghilang entah ke mana. Tidak lama selepas itu, dia muncul semula. Rupa-rupanya dia telah membeli dua keping tiket untuk menaiki menara tersebut. Dari atas, aku dapat melihat sekitar Bandar Alor Setar serta perkampungan yang berdekatan. Di atas menara tersebut juga terdapat beberapa buah teropong untuk para pengunjung melihat sekitar Bandar Alor Setar dengan lebih dekat.
           
            Akhir sekali, Azhari telah membawaku ke Kota Kuala Kedah yang merupakan sebuah kubu tinggalan sejarah yang terletak berhampiran dengan Sungai Kedah.
“Kubu ni dahulunya dibina bertujuan untuk berlindung dari diserang musuh. Kubu ini juga dikenali sebagai Kuala Bahang. Tujuan ia dibina bagi mempertahankan kerajaan dari diancam Portugis. Walaubagaimanapun, kubu itu telah musnah diserang oleh kerajaan Acheh dan Bugis. Dan ia dibina semula pada tahun 1771. Namun pada tahun 1821, ia diserang semula oleh kerajaan Siam,” terang Azhari panjang. 
“Kalau nak diikutkan, panjang ceritanya tentang Kota Kuala Kedah ni. Tapi, Ari cuma boleh ceritakan sebahagiannya aja,” ujarnya lagi. Aku mengangguk.
            “Tak apa. At least Aween tahu jugak sedikit-sebanyak tentang Kota Kuala Kedah ni daripada tak tahu langsung,” ujarku pula. Ketika itu, kami sedang duduk beristirehat berhampiran sebuah meriam lama yang masih lagi terdapat di situ.

Sehinggalah senja hampir menjelma, barulah kami berangkat pulang. Namun, sempat lagi kami menikmati keindahan warna jingga yang menghiasi dada langit di saat terbenamnya mentari petang.

*****

PADA malam itu, salah seorang daripada bapa saudara Azhari telah bertandang ke rumah ibu. Suasana begitu riuh-rendah dengan suara anak-anak kecil yang merupakan sepupu-sepupunya. Selepas menolong ibu membuatkan minuman, aku dan Tasya ke laman rumah. Kami melabuhkan punggung di anak tangga sambil menyaksikan anak-anak kecil itu berkejar-kejaran di laman rumah. Azhari pula kulihat bukan main seronok lagi melayan kerenah mereka. Dia pun turut berkejaran dengan budak-budak itu. Aku dan Tasya hanya mampu menggeleng.
“Kalau kak nak tau, macam tulah Abang Ari. Suka sangat melayan budak-budak,” ujar Tasya. Aku ketawa kecil.
“Depa ni tiap-tiap minggu memang datang sini, melawat tok dengan Mak Teh,” Tasya bersuara lagi. Aku mengangguk. Sesekali aku turut sama ketawa melihat Azhari yang begitu ceria sedang menimang-nimang salah seorang budak perempuan.
“Budak yang Abang Ari dukung tu, namanya Ira. Budak tu memang manja dengan Abang Ari,” kata Tasya lagi. Aku ketawa lagi.
“Tak sangka pulak akak yang Abang Ari tu sukakan budak-budak sampai macam tu sekali. Agaknya, kalau dia jadi guru tadika mesti sesuai, kan?” ujarku bersama senda. Kami ketawa serentak.
            “Nakai jugak akak ni. Habak kat Abang Ari karang,” ucap Tasya bersama sebuah ugutan. Aku mencebirkan bibir.           

Tiba-tiba salah seorang daripada mereka meluru ke arahku. Aku tersentak apabila dia menarik-narik tanganku.
“Kak, mailah kita pi main,” ajak budak itu manja. Aku tersenyum memandangnya. Comel sungguh budak itu.
“Siapa nama?” soalku lembut.
“Atie,” jawabnya lembut. Aku tersenyum seraya mengusap-usap kepalanya lembut. “Mailah kak, kita pi main,” ajaknya lagi dengan pelat Utaranya. Aku mengangkat wajah, memandang Azhari yang sedang mendukung Ira. Dia tersenyum seraya mengangguk. Aku serba-salah. Bukannya apa, aku tidak berapa pandai sangat hendak melayan kerenah budak-budak kecil seperti ini. Takut nanti, bila terkasar sikit, mereka akan merajuk. Kalau setakat merajuk tu, boleh tahan lagi. Buatnya kalau mereka menangis, macam mana? Dahlah anak orang. Mak bapaknya pun aku tak kenal. Silap-silap kita jugak yang kena marah kerana menyinggung perasaan anak-anak mereka.
“Pi ajalah, kak. Kesian kat dia,” pujuk Tasya.
“Ajak Kak Tasya,” ucapku. Dia memandang aku dan Tasya bersilih ganti. Tasya pula hanya tersenyum.
“Tak mau. Nak main dengan akak jugak. Abang Ari kata akak baik,” rengeknya.
“Atie, hang tarik tangan akak ni kuat-kuat,” Tasya menghasut Atie. Apalagi, bila disuruh begitu, tanganku pun direntapnya kuat. Aku ketawa.
“Alamak, kuatnya Atie tarik tangan akak,” kataku sambil ketawa.
“Tarik lagi Atie, bagi kuat sikit. Bawak kak ni pi kat Abang Ari sana,” semakin galaklah si Tasya menghasutnya. Aku memandang Tasya dengan pandangan yang membuntang.

Aku tiada pilihan lain, terpaksa menurut rentak Atie, menuju ke arah Azhari yang masih berdiri di situ. Tak sampai hati pula aku hendak menghampakan Atie yang kelihatan bersungguh untuk mengajakku main bersamanya. Langkahnya terhenti sebaik kami menghampiri Azhari. Aku lantas mendukung Atie. Wajahnya merona ceria. Pipinya yang merah menggebu itu kucium dengan penuh geram.
“Nak main apa ni?” soalku kepadanya. Dia tersenyum manja. Aduh, comelnya dia. Kalaulah esok aku dapat anak secomel ini, alangkah bagusnya. Aku berangan sendirian. “Main kejak-kejak,” jawabnya. Aku mengerutkan dahi.
“Nak kejak sapa?” soalku. Dia menunding ke arah Azhari. Azhari yang sedang mendukung adiknya yang berumur dua tahun itu tersenyum mengejek.
“Kejaklah, Abang Ari tak takut pun,” ujar Azhari seraya mencubit kuat pipiku. Aku tergamam. Kupandangnya dengan mata yang membuntang.
“Aduh! Cis, tak guna kau, Ari! Jaga kau!” bentakku lantas mengejarnya sekeliling rumah. Atie yang berada di dalam dukunganku ketawa mengekek keriangan. Begitu juga dengan Ira yang berada di dalam dukungan Azhari. Azhari terus berlari dan berlari manakala aku pula tidak putus asa untuk mendapatkannya. Suka-suka hati dia aja mencubit pipi aku depan budak-budak ini. Dahlah kuat. Sakit!

Tasya dan yang lain-lain pula bersorak keriangan melihat kami berkejar-kejaran. Mereka melonjak-lonjak sambil bersorak menyebut perkataan ‘akak’. Tahulah aku yang mereka berpihak kepadaku. Tetapi malangnya mereka tidak mengetahui akan namaku. Maka sebab itulah mereka hanya memanggilku dengan panggilan ‘akak’. Mereka masih bersorak, menggamatkan lagi suasana malam itu. Memang riuh suasana rumah ibu pada malam itu.

Setelah kepenatan, aku terkulai semula di anak tangga. Atie pula seakan tidak mahu berenggang denganku. Tanpa dipinta, dia melabuhkan punggungnya ke atas ribaku. Termengah-mengah aku dibuatnya. Semput sampai terbatuk-batuk. Dah lama rasanya tak berlari-lari seperti ini. Terasa diri ini seolah-olah telah kembali semula ke zaman kanak-kanakku. Tak sangka, bila dah dewasa begini pun masih ada lagi peluang untuk aku bermain kejar-kejar seperti ini.
“Wah, nampaknya dia dah minat kat akak,” ujar Tasya. Aku ketawa kecil.
“Atie suka ka kat akak ni?” soal Tasya kepada Atie. Gadis kecil itu mengangguk laju. Aku tersenyum seraya mengusap-usap rambut halusnya itu.
“Kalau Atie suka, nanti suruh Abang Ari kahwin dengan akak ni, na…” ujar Tasya mengusikku. Aku mulai geram dan lantas menyiku pinggangnya.
“Pandai-pandai aja Tasya ni!” rengusku. Dia ketawa mengejek.
“Berapa umur dia ni?” soalku kepada Tasya.
“Akak tanyalah dia,” ujar tasya selamba.
“Atie, berapa umur Atie?” soal Tasya kepada Atie. Dia menunjukkan keempat-empat jarinya.
“Empat tahun, la,” ujarnya. Kami ketawa.
“Pandai…” pujiku. Dia tersenyum manja. Seketika aku mengalihkan pandanganku ke arah Azhari yang masih ligat melayan kerenah budak-budak itu. Aku mentertawakannya, melihat dia dibuli oleh Ira apabila si kecil itu merengek meminta Azhari memboncengnya dengan basikal. Di kala itu, timbul rasa kasihan di hatiku buatnya kerana tidak berpeluang untuk berhenti rehat.

*****

AKU menghulurkan segelas air sirap sejuk kepada Azhari yang sedang terbaring kepenatan di atas sofa kayu itu.
            “Terima kasih,” ucapnya sebaik menyambut gelas jernih itu. Diteguknya air sirap itu dengan rakusnya. Aku tersenyum seraya menggeleng-geleng melihatnya.
            “Kesian kau. Kena buli dengan budak-budak,” ejekku bersama tawa. Dia hanya tersengih mendengar ejekanku itu.
            “Seronok melayan budak-budak ni,” ujarnya, membela diri. Aku mencebik. Peluh masih kelihatan memercik di dahinya. Begitu juga dengan baju Melayu yang dipakainya, basah kuyup kerana terlalu banyak berpeluh.
            “Untung anak kau esok, dapat bapak yang kaki layan macam ni,” ujarku tanpa niat apa-apa. Hanya sekadar gurauan. Dia tersenyum simpul.
            Malang pulak anak kau esok, sebab mak dia tak pandai nak melayan budak,” balasnya kepadaku. Aku mencebik. Aku kenakan dia, dia kenakan aku balik. Ceh!

            Kami terus menyepi selepas itu. Masing-masing menumpukan perhatian di kaca televisyen. Ibu pula sudah menghilang di biliknya.
            “Sekejap aja, dah seminggu kita kat sini. Rasa macam tak percaya yang esok kita dah nak balik KL,” ujarku memecah kesepian antara kami. Dia memandangku bersahaja.
            “Kenapa, Aween rasa nak terus tinggal kat sini ke? Kalau nak tinggal kat sini, tak apa. Tak ada masalah. Sekurang-kurangnya ibu ada kawan. Sesekali Ari balik jenguk,” tuturnya, bergurau. Aku mencebik.
            “Amboi, bukan main lagi! Habis tu, ayah Aween kat KL tu pulak macam mana? Takkan nak tinggalkan macam tu aja?” bidasku. Dia tersenyum sinis.
            “Risau kat ayah ke, risau kat ‘ehem-ehem’?” usiknya. Aku menjengkilkan mataku kepadanya. Bengang dengan usikan nakalnya itu.
           
            “Selama Aween berada kat sini, dia ada call Aween tak, bertanyakan khabar?” soalnya setelah menyepi seketika.
            “Siapa?” soalku pura-pura.
            “Eleh, buat-buat tanya pulak dia!”
            “Shazzy ke?”
            “Yalah, siapa lagi…” Aku menghelakan nafas berat bersama geleng lemah. Dia mengerutkan dahi.
            “Kenapa?” soalnya lagi.
            “Tak,” jawabku ringkas.
            “Langsung tak?” Aku menggeleng.

            Satu keluhan berat kedengaran di bibirnya. Dia memandangku lama. Aku tergamam dengan renungan tajamnya itu. Tak tentu arah aku dibuatnya.
            “Apa yang dah berlaku ni? Aween dengan Shazzy….” dia tidak meneruskan pertanyaannya. Aku terus memandangnya sayu.
            “Jangan tanya pasal tu, Ari. Cukuplah sekadar Ari tahu yang kami sedang berkrisis sekarang ni. Aween ikut Ari balik sini pun, sebab Aween perlukan ketenangan. Aween nak lupakan seketika kekusutan yang melanda,” ujarku jujur. Dia mengerutkan dahi. “Berkrisis? Sejak bila?” Ah dia mengasak aku lagi dengan persoalan itu. Aku merengus keras.
            “Tak usah tanya, Ari. Tolonglah. Aween tak mahu sentuh hal itu dengan orang lain, lebih-lebih lagi dengan Ari,” rayuku. Aku memandangnya dengan harapan, semoga dia tidak menyoalku lagi akan hal itu. Sengaja kuraih simpati melalui riak wajahku. Dia terus merenungku tajam. Ah, semakin tidak keruan aku dibuatnya. Namun akhirnya dia mengangguk perlahan. Aku menarik nafas lega. Seketika aku tersenyum.
            “Terima kasih, Ari. Sebab memahami diri Aween,” ucapku.
            “Aween, satu perkara yang Ari nak Aween tahu, yang Ari masih sayangkan Aween,” ucapnya penuh romantis.
            “Ari masih berharap yang satu hari nanti, kita akan hidup barsama,” ucapnya lagi. Aku terus bungkam. Tak tahu apa harus kukatakan lagi. Ah, Azhari. Andainya ditakdirkan kita ada jodoh, kita tetap akan bersama suatu hari nanti walau dalam apa jua cara sekalipun. InsyaALLAH, masa itu akan tiba juga nanti.

*****

TERASA begitu kejap dan erat sekali pelukan ibu. Aku menelan air liur, menahan rasa sebak yang melanda. Lama aku berada di dalam dakapan wanita itu. Sesungguhnya aku tidak dapat menahan diriku dari terus menangis. Airmata yang kutahan sejak dari tadi akhirnya mengalir juga membasahi pipiku. Setelah seminggu berada di sini, terasa berat hati ini untuk meninggalkannya.
            “Ibu, terima kasih dengan layanan baik ibu sepanjang Aween berada kat sini,” ucapku sayu.
            “Sama-sama. Kalau ada masa, mai la sini lagi, ya. Ibu akan sentiasa menanti kedatangan Aween kat sini,” ucap ibu pula dengan penuh hiba. Aku mengengguk laju.
            “InsyaALLAH, ibu. Kalau tak ada aral melintang, Aween akan datang lagi bersama Ari. Aween akan sentiasa merindui ibu di sana nanti,” ucapku, cuba menahan emosi yang melanda.

Pelukan terlerai. Ibu mengusap pipiku lembut. Aku tersenyum hambar. Wajahnya tampak sayu sekali. Tentu dia agak keberatan untuk melepaskan aku dan Azhari pulang ke Kuala Lumpur. Apabila kami sudah pulang semula ke Ibu Negara nanti, tentu rumah itu akan menjadi sepi semula. Ibu akan keseorangan lagi. Lantas kucapai tangannya dan kucium lama. Di kala itu terasa seolah-olah aku sedang mengucup tangan mamaku sendiri. Seketika terasa rambutku diusap mesra.

            Azhari menghampiri kami. Tangan ibu disambar dan diciumnya dengan rasa penuh hormat. Lantas tubuh anak terunanya itu dipeluk erat. Kedua-dua belah pipi Azhari dikucupnya dengan penuh kasih. Sayu kulihat kedua-dua beranak itu. Kalaulah mama masih ada, tentu aku dan adikku, Ijie juga akan dapat merasakan kasih yang serupa seperti itu. Ya ALLAH, sesungguhnya aku terlalu merindui mamaku. Tiada apa yang mampu kulakukan bagi mengubati rindu ini selainkan mendoakan kesejahteraan mama di sana.

Kereta yang dipandu Azhari mulai bergerak dan keluar dari perkarangan rumah itu. Sebelum berlalu, Azhari membunyikan hon keretanya dan kami melambaikan tangan ke arah ibu yang masih setia berdiri di anak tangga, menghantar pemergian kami dengan pandangan matanya. Akhirnya Proton Wira milik Azhari meluncur pergi, meninggalkan perkarangan rumah itu. Seketika kemudian, Azhari membunyikan sekali lagi hon keretanya. Rupanya tok dan Tasya sedang sibuk menyapu di laman rumah mereka ketika itu. Kami turut melambaikan tangan ke arah mereka dan mereka membalas lambaian tangan kami.
“Tok, Tasya, kami balik dulu,” laungku sebaik cermin tingkap kuturunkan. Mereka mengangguk.
“Haa… yalah, senang-senang nanti mailah sini lagi,” ucap tok.
Bye, kak. Jumpa lagi,” jerit Tasya pula.

Kereta terus meluncur, membelah jalanraya dan seterusnya meninggalakan negeri jelapang padi itu.
“Lain kali, kalau Ari nak balik kampung, Aween nak ikut tak?” soalnya setelah lama kami menyepikan diri. Aku mengangguk laju. Tentulah aku mahu. Azhari tersenyum senang.
“Ari, terima kasih sebab sentiasa menemani Aween selama Aween berada di kampung,” ucapku. Dia mengangguk bersama senyuman yang melebar. Lantas dia mencapai tanganku lalu diramasnya lembut. Aku menarik nafas dalam. Damai!

Sunday 20 February 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 17)

KAMI turun lagi ke bendang pada keesokan paginya. Namun, pada kali ini kami tidak berdua, malah bertiga kerana Tasya juga turut bersama dengan kami.
            “Baik-baik jalan tu, Kak Aween. Sat lagi karang terpelecok,” katanya yang berada di belakangku ketika itu. Azhari yang berjalan di hadapanku memalingkan wajahnya ke arah kami. Tiba-tiba dia menghulurkan tangannya kepadaku. Aku agak terpaku melihat huluran tangannya itu. Wajahnya kutenung. Mata kami saling bertemu.  Bagaikan dipukau, aku menyambut huluran tangannya itu. Tanganku yang sejuk itu digenggamnya erat.

            Sebelah tanganku dipimpinnya manakala sebelah lagi tanganku dipegang oleh Tasya yang berada di belakangku. Di kala itu, terasa selamatnya diri ini. Ibarat seorang puteri yang dikawal rapi oleh dua orang pengawalnya. Tanpa sedar aku senyum sendirian mengenangkan apa yang telah terlintas di fikiranku sebentar tadi.
           
Akhirnya kami tiba juga di pondok kecil tempat kami duduk semalam. Tanpa kusedari, sudah begitu jauh kami berjalan. Aku menanggalkan selipar dan terus memanjat pondok tersebut. Aku menarik nafas lega sebaik sampai pada pondok tersebut. Sepanjang perjalanan tadi, aku hanya dibayangi dengan sesuatu yang agak menakutkanku. Apalagi kalau bukan L.I.N.T.A.H, lintah! Kalaulah dia hinggap pada betis aku ni, agaknya menjerit sakanlah aku. Silap-silap boleh demam ketakutan.
            “Kenapa tak bawak novel semalam tu?” soal Azhari. Aku ketawa kecil.
            “Buat apa nak bawak. Aween dah habis baca dah,” jawabku. Dia terlopong.
            “Dah habis dah? Fuh, express betul!” katanya kagum. Aku ketawa lagi.

            Dari jauh, aku melihat Azhari begitu sibuk memasang mata kail pada tiga batang pancing buluhnya. Manakala Tasya pula turut menyangkung di sisinya di atas batas bendang. Aku hanya mampu memerhatikan mereka dari pondok kecil tersebut. Sesekali mereka bergelak-ketawa dan sambil bertepuk-tampar. Cukup mesra. Dan entah mengapa, kurasakan hati ini begitu sebal melihat mereka bermesra begitu. Seolah-olah, yang berada di samping Azhari itu bukan Tasya, tetapi Hardija. Tanpa dipinta, peristiwa yang memeritkan itu mengganggu fikiranku lagi. Aku meletakkan telapak tanganku ke dahi, lalu mengusap lembut rerambut yang terjuntai menutupi dahi. Rasa hiba terus menyelinap. Kenapa tiba-tiba sahaja aku jadi begini? Adakah kerana kemesraan mereka itu seolah-olah mengembalikan aku ke zaman kekecewaanku dulu? Mungkin. Ah, tak sanggup rasanya aku hendak merosakkan ketenangan jiwaku ini dengan mengingati hal-hal lama itu. Lantas mataku memaling ke arah lain. Perasaanku yang tadinya bergelora menjadi damai semula tatkala melihat sekumpulan bangau yang berterbangan. Dan setelah agak jauh terbang, barulah mereka mendarat di atas petak sawah.

Tanpa kusedari, Azhari telah melabuhkan punggungnya di sisiku. Tasya pula begitu setia menunggu pancing di atas bendang. Sayup-sayup kedengaran suara manjanya menyanyi lagu ‘Ikan di Laut, Asam di Darat’. Aku dan Azhari saling berpandangan. Senyuman manis terukir di bibir kami. Ketika itu, aku hanya dapat merasakan yang cuma kami berdua sahaja yang berada di situ. Entah mengapa terasa bagaikan ada kelainan pada perasaanku ini di saat berada di sampingnya kini. Adakah aku mulai jatuh hati terhadapnya buat kali kedua? Oh, tidak! Tak mungkin aku jatuh cinta padanya lagi. Tetapi, macam mana pula dengan perasaanku kini? Haruskah aku menafikannya? Mengapa mesti dia? Kenapa tidak Shazzy? Bukankah aku ini masih lagi kekasihnya?

            Shazzy! Ah, nama itu. Semenjak aku sampai di sini, nama itu seakan pudar dari ingatanku. Kalau dulu, wajahnya yang sering bermain di mataku saban malam. Tetapi kini, setelah aku menjejakkan kakiku ke negeri jelapang padi ini, wajah itu tidak lagi hadir dalam igauanku. Sebaliknya, wajah Azhari pula yang semakin galak menari-nari di layar mataku saban malam. Ah, macam mana semua ini boleh berlaku? Mengapa begitu mudah sekali perasaanku ini beralih arah kepada orang lain? Mana perginya prinsip hidupku dulu, yang kononnya begitu setia kepada yang satu? Mana? Adakah Shazzy sudah kuusir keluar dari hatiku ini, lantas mengizinkan Azhari mendapat tempatnya semula?

Ah, aku tak sekejam itu. Tetapi perasaanku kini… Argh! Ya ALLAH, aku tak faham. Aku benar-benar tak faham dengan apa yang sedang melanda diriku kini. Aku keliru. Teramat keliru dengan naluri hatiku sendiri. Aku merengus kasar tanpa kusedari.
“Eh, kenapa ni?” soalnya, mematikan lamunanku. Aku tergamam. Ah, dia terdengar rupanya rengusan kerasku tadi. Aku menggeleng dengan perasaan kalut.
“Tak ada apa,” jawabku acuh tak acuh.
“Apa yang Aween fikirkan sebenarnya?” soalnya lagi. Benar-benar mengasak mindaku. Aku hanya membatu.
“Tak ada apa, Ari. Aween okey,” jawabku lagi, meyakinkannya. Harap-harap dia tidak menyoalku lagi.
Sure?” soalnya lagi. Aku mengangguk. Dan aku mulai menarik nafas lega apabila dia tidak terus mengasakku dengan segala macam persoalan yang berhubung kait dengan naluri dan perasaanku ketika ini.

“Berapa umur si Tasya tu?” soalku, sengaja hendak mencari topik untuk berbual dengannya. “Sembilan belas,” jawabnya pendek. Aku mengangguk.
“Dia sebaya dengan Awie. Bakal cikgu tu,” sambung Azhari.
“Bakal cikgu? Dia belajar kat maktab ke?” soalku lagi. Azhari mengangguk.
“Hmm… kat UPSI, Perak. Sekarang ni dia tengah cuti.”
“Tapi dia tu tak nampak macam budak umur sembilan belas tahun,” kataku. Dia ketawa kecil. “Tinggikan, dia?” kata Azhari. Aku mengengguk, bersetuju dengan pendapatnya itu.

Serasakan, dia jauh lebih tinggi dan tampak lebih matang dariku. Aku pula, jangankan kata bertubuh kecil, rupa pun macam budak-budak. Bak kata rakan-rakanku, muka ‘baby-face’. Cewah, perasan! Ah, bukan aku yang perasan sendiri, tetapi orang-orang di sekelilingku yang berkata begitu. Bagi sesiapa yang tidak mengenali aku, kalau aku bohong mengatakan umurku baru tujuh belas tahun sekalipun, tentu mereka akan percaya. Sebaliknya, sukar pula untuk mereka mempercayai sekiranya aku mengaku yang umurku sudah menjangkau 24 tahun. Walhal, itulah umurku yang sebenar kini.
“Aku teringin nak jadi tinggi,” ujarku tiba-tiba. Kedengaran Azhari ketawa.
“Kenapa kau ketawa? Lawak ke?” soalku kepadanya.
“Memang lawak pun. Nak jadi tinggi?” ejeknya bersama tawa. Aku mengetapkan bibir menahan geram. Sakit pula hati mendengar dia ketawa sebegitu.
“Tak ada benda lain ke yang nak minta? Awak tu memang dah kecik macam tu, mana boleh tinggi lagi,” katanya lagi bersama tawa yang masih bersisa. Aku menjeling. Hmm… yalah, aku sedar diri aku ni siapa. Dah pendek tu, pendek ajalah. Janganlah nak berangan nak jadi tinggi pulak. Getus hatiku.
“Bersyukurlah dengan apa yang ALLAH jadikan kat diri kita ni, Aween. Janji kita sempurna, tak ada cacat celanya,” tuturnya lembut.

Aku terdiam seketika. “Apa pendapat Ari tentang gadis cilik macam Aween ni?” soalku, ingin tahu. Dia mengurut-urut dagunya yang berjanggut sejemput itu sebelum menjawab soalanku.
“Entah, Ari tak tahu nak cakap macam mana. Tapi, terus-terang Ari katakan yang taste Ari adalah pada gadis kecil macam Aween ni. Pada Ari, gadis bertubuh kecik ni unik,” jawabnya. Aku menelan air liur. Macam tak percaya yang jejaka kacak dan tinggi lampai macam Azhari ini memilih gadis bertubuh kecil sepertiku sebagai gadis idamannya.
“Apa yang uniknya?” soalku lagi, ingin menguji sejauh manakah kejujurannya terhadap kata-katanya sebentar tadi. Dia menjungkitkan bahu.
Susah nak cakap, Aween. Memang dah taste Ari kat gadis-gadis bertubuh kecik, nak buat macam mana? Pada Ari, peratusan gadis dewasa tetapi memiliki tubuh kecil hanya ada sepuluh peratus aja. Jarang sekali kita nampak gadis yang sudah meningkat dewasa masih maintain saiz tubuh mereka seperti sewaktu mereka masih kanak-kanak. Sungguhpun ketinggian mereka tu tidak memenuhi kriteria untuk mencebur dalam bidang peragaan, namun mereka tetap ada daya tarikan mereka tersendiri. Pasal tulah Ari katakan yang gadis bertubuh kecil ni unik,” terangnya panjang lebar. Aku memandangnya bersama mata yang membeliak. Wow! Aku cukup kagum dengan penerangannya sebentar tadi.
“Contohnya?” soalku lagi. Dia tersenyum seraya menundingkan jarinya ke arahku. Aku terkedu. Aku? Apa maksudnya itu?
“Aween,” katanya bersahaja. Aku mengerutkan dahi. Keliru.
“Segala sifat-sifat yang ada pada Aween. Tengok aja pada diri Aween. Walaupun kecik, tapi aktif, cergas, lasak, bersemangat waja dan kental, suka menyahut cabaran. Itu semua daya tarikan yang ada pada diri Aween. Orang selalu bertanggapan, gadis kecil ni lembik, tak boleh nak buat kerja-kerja yang berat, tak boleh nak ceburi bidang lasak. Malah jugak tak boleh nak menceburi bidang modelling. Tapi, Aween dah membuktikannya. Ari kagum melihat kesabaran dan keberanian Aween sewaktu kita di Air Terjun Jerangkang hari tu,” katanya lagi.

Aku tersenyum. Bangga dipuji begitu. Malah, aku cukup senang hati kerana dia mengkagumiku. Di kala itu juga timbul rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana menjadikanku seorang gadis bertubuh kecil yang serba boleh.
“Hmm… senyum. Sukalah tu, orang puji,” ujarnya menyentakkanku. Namun aku masih mampu mengawal diriku dari terus tersipu.
“Hei, mestilah. Orang dah puji kita, siapa tak suka? Terima kasihlah, sebab mengkagumi gadis cilik yang serba kekurangan seperti Aween ni,” ucapku.
            “Siapa kata Aween ni serba kekurangan. Pada Ari, banyak kelebihan yang ada pada Aween tapi tak ada pada gadis-gadis lain,” pujinya lagi. Aku tersenyum lagi. Tak mahu bertanya lebih-lebih, nanti kembang semangkuk!
            “Abang Ari, ikan!” jerit Tasya, menyentakkan kami. Aku dan Azhari saling berpandangan. Lantas Azhari turun dan menyarung selipar Jepunnya. Aku turut menyarung seliparku dan mengekori Azhari dari belakang menuju ke arah Tasya. Dan aku terpana apabila dia menyambar dan memimpin tanganku tanpa dipinta. Begitu kemas sekali genggaman tangannya itu. Aku pula seakan merelakan pegangan itu. Di kala itu, serasakan diriku begitu selamat berada di dalam pegangannya.

*****

KAMI berlari anak di atas batas bendang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Seperti tadi, tanganku begitu setia berada di dalam genggaman Azhari. Kasihan Tasya, ketinggalan di belakang.
            “Kak Aween, Abang Ari, tunggulah!” jeritnya. Kami berhenti dan terus menoleh ke belakang. Terkedek-kedek dia berlari mendapatkan kami. Dan tak semena-mena, kakinya tergelincir kerana batas yang kami lalui itu agak licin dan berlumpur. Apalagi…
            “Aaarrgghh….” jeritnya. Aku dan Azhari yang melihat kejadian itu tidak dapat menahan diri dan terus ketawa. Naik pecah perut kami mentertawakan Tasya yang sudah terbongkang di atas selut itu.
“Janganlah gelak. Tolonglah,” jeritnya lagi. Merah padam mukanya menahan malu. Dalam pada itu, dia turut sama ketawa.

Lantas aku melepaskan tanganku dari genggaman Azhari dan berjalan menghampiri Tasya. Kuhulurkan tanganku kepada Tasya, untuk membantunya. Dia menyambut tanganku dan aku menariknya dengan perlahan dan penuh berhati-hati. Takut nanti aku pun terpelecok sama.
“Macam mana boleh jatuh ni?” getusku. Habis kotor seluar track yang dipakainya disaluti lumpur.
“Tu hah, licin sangat tanah tu, penuh lumpur,” katanya dalam nada merungut. Aku ketawa. Kami berpimpinan tangan menuju semula ke arah Azhari yang masih galak ketawa. Kulihat Tasya mulai menarik muncungnya panjang.
“Teruk betullah Abang Ari. Dia gelakkan kita, bukannya nak tolong,” rungut Tasya. “Hang tu yang tak berhati-hati. Mata tu letak tang mana. Kak Aween yang tak biasa dengan bendang pun tak jatuh,” balas Azhari bersama tawa yang masih berbaki.
“Ari, cukuplah tu,” tegurku lembut.

Tiba di rumah tok, Tasya terus berlari ke biliknya untuk menukar pakaian. Aku dan Azhari pula terus meluru ke dapur. Kami sama-sama menyiang ikan-ikan yang kami bawa pulang dari sawah.

Hari itu, kami makan tengahari di rumah tok, memandangkan ibu tiada di rumah menguruskan nurserynya.
“Banyak dapat ikan?” soal tok.
“Dak aih. Empat ekok aja,” jawab Azhari. Ketika itu, tok sedang memarut kelapa untuk membuat gulai labu kuning. Seketika kemudian, Tasya muncul di dapur.
“Seronok dapat main kat bendang, Aween?” soal tok kepadaku. Aku memandangnya bersama segaris senyuman. Kuanggukkan kepala laju.
“Mestilah seronok, kan Kak Aween? Sebab cik abang ada sama. Abang Ari pulak bukan main lagi, dok pimpin tangan Kak Aween,” Tasya mengusik kami. Aku dan Azhari mencebik.
“Memang seronok, kan Aween? Lagi seronok bila tengok budak tu terjatuh kat atas lumpur. Kesian kat dia, tok. Tak taulah, agaknya sebelum ni dia tak pernah turun bendang kot,” giliran Azhari pula membalas usikkan Tasya. Tok memandang Azhari.
“Awat, Aween jatuh ka?” soal tok lagi kepadaku. Aku mendengkil lantas menggeleng laju.
“Bukan Aween, tok. Tu haa.. hak yang kat belakang tok tu yang jatuh,” ujar Azhari bagi pihakku. Semakin panjanglah muncung Tasya. Tok memandang Tasya.
            “Hang ka yang jatuh, Tasya?” tok menyoal Tasya pula. Tasya menjeling tajam ke arah Azhari. Seketika kemudian, tok ketawa. Dan kami turut sama ketawa. Lucu mengenangkan insiden tadi.

Saturday 19 February 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 16)

AKU terjaga pada pukul tujuh pagi. Selepas mandi dan bersiap, aku turun ke dapur, melihat ibu yang sedang menyediakan sarapan pagi. Sebaik aku menjejakkan kaki ke anak tangga dapur, bau yang cukup menyelerakan begitu menusuk ke hidung. Terasa kencur air liurku ini. Tak semena-mena, perut yang tadinya tak terasa apa-apa menjadi lapar. “Ibu,” sapaku. Wanita itu memalingkan kepala, memandangku. Segaris senyuman teukir di bibirnya.
            Ada apa-apa yang boleh Aween tolong?” soalku sambil melangkah turun. Ibu menggeleng.
            “Tak apalah, Ween. Duduk ajalah kat situ. Nanti ibu siapkan sarapan, kita boleh minum sama,” tuturnya.
            “Ari tak bangun lagi ke, bu?” soalku setelah menyedari yang jejaka itu tiada di sekitar rumah itu.
            “Hmm… belum lagi. Biasalah, dia tu. Waktu-waktu begini, mana nak bangun. Kena tunggu ibu gerakkan, baru dia nak bangkit. Selalunya, lepas ibu siapkan sarapan pagi, baru ibu gerakkan dia,” jawabnya panjang-lebar. Aku mengangguk. Liat jugak mamat tu bangun pagi. Getus hatiku.
           
            Aku melangkah ke sebuah kabinet yang berisi bahan-bahan membuat minuman seperti Milo, Nescafe, kopi, teh dan gula. Malam tadi, ibu telah memberitahuku, sekiranya aku ingin membuat air, bahan-bahannya disimpan di situ.
            “Kat mana ibu simpan teko?” soalku sambil tercari-cari.
            Ada kat dalam kabinet sana tu,” ujarnya sambil menunjukkan aku ke satu arah.
            “Ari kata, ibu ada buka nursery?” soalku sambil membancuh air Nescafe di dalam teko. “Hmm… ada. Nanti ibu bawak Aween. Tapi, hari ni ibu tak ke nursery,” katanya. Aku ketawa kecil. Lantas aku melangkah ke peti ais lalu mengeluarkan tin susu pekat.

            Setelah semuanya siap dihidang, aku mula membasuh periuk dan kuali yang memenuhi sinki. Sambil itu, mataku tak lepas dari menjamu pemandangan di luar tingkap. Aku begitu leka menikmati kehijauan bendang yang terbentang luas. Begitu indah saujana mata memandang.
            “Apa yang dimenungkan tu?” Tiba-tiba aku disapa dengan satu suara. Segera kupalingkan wajah ke belakang. Aku mengekek kecil melihat Azhari yang tidak berbaju. Hanya mengenakan kain pelikat bersama tuala mandi lusuh yang menutupi kedua belah bahu dan dadanya. Rambutnya yang basah kelihatan kusut-masai. Tahulah aku yang dia baru sahaja selesai mandi. Tak sedar pula aku bila masanya dia bangun dan masuk ke bilik air di sudut dapur.
            “Awat Aween ketawa?” soalnya dalam loghat Utara. Aku masih lagi mengekek seperti tadi. “Awat, awat! Tengok Ari tulah. Pergilah pakai baju. Karang terburai kain tu karang,” sendaku bersama sisa tawa yang masih berbaki. Dia turut sama ketawa dan terus berlalu dari situ. Seketika kemudian dia menjengukkan lagi wajahnya ke muka pintu dapur. “Cantiknya kain,” perlinya diikuti dengan tawa. Aku agak tersipu. Seketika mataku memendang ke bawah, pada kain batik yang kupakai. Ah, barangkali dia belum pernah melihat aku berkain batik seperti ini. Walhal, aku memang dah biasa berkain batik. Cuma aku jarang mengenakannya. Aku hanya memakainya bila tiba waktu ‘bulan mengambang’ bagi menahan rasa sakit senggugut.

            “Aween, berhentilah dulu. Mai sarapan sama,” laung ibu. Aku membersihkan tanganku yang berlumuran sabun lalu mengelapkannya pada kain batik yang kupakai. Lantas kuaturkan langkah menaiki anak tangga. Kelihatan Azhari sudah bersedia di meja makan. Ibu pula sibuk menceduk mihun goreng untuk anaknya. Setibanya aku di meja makan, terus aku mencapai dua biji cawan lalu menunagkan air Nescafe panas ke dalamnya. Kuserahkan sebiji daripadanya kepada Azhari.
            “Wah, bagus betul dapat layanan istimewa macam ni,” ujar Azhari. Aku mencebik. Ibu juga begitu.
            “Layanan istimewa hang kata? Sepatutnya hang tu yang kena layan Aween, sebab dia tamu. Bukannya dia yang kena layan hang,” sangkal ibu. Azhari tersenyum meleret. Aku pula hanya tersengih.

            “Assalamualaikum,” kedengaran seseorang memberi salam ketika kami sedang menikmati sarapan pagi. Kami menjawab serentak. Ibu bangun dari kerusinya. Kedengaran suara riuh ibu dan tetamu yang tak kukenali itu sedang berbual-bual di hadapan. Seketika, kelihatan ibu ke meja makan semula bersama sebiji mangkuk plastik di tangannya. Di belakangnya kelihatan seorang wanita tua.
            “Tok, makan?” Azhari mempelawanya. Oh, jadi inilah neneknya yang dipanggil ‘tok’ itu. “Ah, makanlah. Ari pun ada rupanya. Eh, yang ni siapa pulak?” soalnya.
            “Ini kawan Ari. Dari ‘Kolumpok’. Aween, ini tok,” Azhari memperkenalkan kami. Aku tersenyum lalu bangun dan bersalaman dengannya. Dia tersenyum mesra.
            “Awat Ari tak habak pun kat tok nak balik? Dah tu tak singgah pun kat ghumah tok, kenaikan kawan ni,” tok bersuara bersama pelat Utaranya. Kami ketawa serentak. Ibu pula sudah menghilangkan diri di dapur.
            “Dak aih, bukan macam tu, tok. Ari penat sangat semalam, tak larat. Tak apalah, lepas ni, Ari pi sana dengan Aween. Aween, lepas ni kita ke rumah tok, ya,” ujar Ari kepadaku. Aku mengangguk setuju.
            “Rumah tok kat mana?” soalku.
            “Tu ha… kat depan sana tu aja,” ujarnya. Aku mengangguk.

            Tidak lama kemudian, muncul ibu dari dapur bersama sebiji piring dan sebiji cawan. “Mai minum sekali, mak,” pelawa ibu. Tok mengambil tempat bersebelahan dengan Azhari manakala, ibu pula ke tempat asalnya tadi di sebelahku.
            “Ni kawan hak yang mana satu?” soal tok. Aku terkedu. Azhari ada ramai kawan perempuan ke? Hatiku bertanya.
            “Hak yang Ari selalu dok habak kat ibu tulah. Mana ada kawan perempuan yang lain lagi,” jawabnya. Aku menghelakan nafas panjang. Kuss…semangat! Buat terperanjat aku aja. “Uih, hak yang itu ka? Ni kawan biasa ke ‘gelpren’?” Aku ketawa perlahan. Lucu mendengar celoteh tok. Girlfriendlah tok, bukan ‘gelpren’. Aku hanya mampu memperbetulkan kata-kata orang tua itu di dalam hati. Azhari juga ketawa.
            “Kawan biasa aja. Dia sendiri pun dah ada ‘boypren’,” ujar Azhari diiringi tawa. Aku menjengkilkan mata. Amboi, sedapnya mulut dia cakap. Siap ajuk lagi pelat orang tua tu! Ibu hanya tersenyum melihat anak terunanya melayan orang tua itu.
            “Laa, bunga dah dipetik orang rupanya. Tulah hang, lambat sangat,” omel tok lagi. “Nak buat macam mana lagi, tok. Orang tu dah tak nak kat kita,” kata Azhari seakan memerliku. Ah, bukannya aku tak mahu kat dia. Dulu dia jugak yang…. Ah, tak mahu ingatlah semua tu. Hatiku berbicara sendiri.
            “Bukan orang yang tak mau kat hang, tapi hang tu yang memilih sangat. Dah tu bila dah dapat bukannya nak jaga hatinya,” sampuk ibu.
            “Betul tak, Ween?” Ibu menyoalku tiba-tiba. Tak tahu apa yang harus aku lakukan selain dari menganggukkan kepala. Azhari mencebirkan bibir ke arahku. Aku bungkam. Nampaknya, ibu seperti sudah mengetahui akan apa yang telah berlaku antara kami dulu. Kalau tidak, masakan dia boleh sindir Azhari tadi.

            Setelah selesai makan, tok meminta diri. Sebelum pulang, dia mengingatkan kami sekali lagi agar kami bertandang ke rumahnya. Aku pula terus menyambung kerjaku membasuh pinggan mangkuk di sinki. Sambil itu mataku terus menikmati kehijauan bendang di luar tingkap. Ah, damainya jiwa ketika ini. Buat seketika aku rasakan diriku ini begitu bebas, sebebas-bebasnya dari masalah yang membelenggu.

*****

“MEMANG dari dulu ke si Tasya tu tinggal dengan tok?” soalku kepada Azhari. Ketika itu, kami sedang duduk bersantai di sebuah bangsal yang terletak di tengah-tengah bendang. Hatiku cukup tenang apabila dikelilingi dengan suasana hijau begini. Tambahan pula dengan adanya Azhari yang sentiasa bersama denganku setiap masa di sini.

            Tasya adalah sepupu Azhari. Aku berjumpa dan berkenalan dengannya ketika kami sama-sama bertandang ke rumah tok sebentar tadi.
            “Sejak kecil lagi tok dengan arwah Tok Wan jaga dia. Mak bapak dia tinggal kat bandar sana,” ujarnya. Aku mengangguk.
            “Tentu Ari rapat dengan dia, kan? Yalah, membesar sama-sama,” kataku. Dia ketawa kecil.
            “Rapat jugalah. Tapi, jangan salah faham. Antara Ari dengan Tasya, tak ada apa-apa tau. Ari cuma anggap Tasya tu sebagai adik Ari,” katanya lagi. Aku terdiam sejenak. Macam pernah dengar aja dia berkata begitu. Tapi bila ya? Hmm… baru aku teringat. Sewaktu awal-awal perhubungan kami dilanda badai dengan kehadiran Hardija, seorang freshies yang pernah tergila-gilakan Azhari dulu sehingga mengundang rasa cemburu di hatiku. Dan kerana gadis itu jugalah, aku dan Azhari berpisah. Tak mustahil juga suatu hari nanti Azhari bertemu jodohnya dengan Tasya. Tambahan pula, Tasya itu sepupunya. Memang sah hukumnya kalau nak dijadikan isteri.

            Tiba-tiba aku teringatkan seseorang. Sebaik aku terkenangkan peristiwa lama itu, nama itu seakan bertandang lagi menghantui fikiranku.
            “Hardija pernah ke sini?” soalku tanpa dipinta. Spontan ia terluah dari bibir ini. Azhari memandangku lama. Mata kami bertaut. Aku menjadi tak tentu arah. Marahkah dia apabila aku menyebut nama itu? Seketika kemudian, dia melarikan pandangannya ke arah bendang yang terbentang luas di hadapan. Dia menghelakan nafas berat seraya menggelengkan kepala.
            “Tak,” jawabnya ringkas. Hatiku terus diserbu rasa bersalah. Seolah-olah aku telah memungkiri janji. Bukankah aku sudah nekad untuk tidak mengingati kisah itu? Tetapi kenapa pula kini aku bangkitkan soal Hardija? Gadis sombong dan bongkak, yang pernah menjadi ‘parasit’ dalam hubunganku dengan Azhari dulu.
           
            Kedengaran Azhari ketawa sinis. Untuk apa dia ketawa begitu, aku sendiri tidak tahu. “Kenapa, Ri?” soalku lembut. Dia menggeleng.
            “Untuk apa dia ke sini? Tak ada sebab untuk Ari bawak dia ke sini. Kami bukannya pernah ada apa-apa hubungan pun,” katanya bersahaja. Semakin berkerut dahiku dibuatnya. Apa maksudnya, yang dia tak pernah ada apa-apa hubungan dengan Hardija? Aku menjadi keliru.

            Azhari memandangku. Dia tersenyum. Mungkin dia dapat baca akan apa yang terlintas di fikiranku kini.
            “Kenapa, pelik bila Ari kata yang Ari tak pernah ada apa-apa hubungan dengan Hardija?” soalnya. Aku bungkam tanpa reaksi. Dia ketawa lagi. Sinis kedengarannya.
            “Kenapa pulak Ari cakap macam tu?” soalku perlahan. Dia mengangkat sebelah tangannya, mengisyaratkan agar aku tidak membangkitkan soal itu.
            “Tak payahlah Aween tanya. Tak perlu tahu kenapa. Cukuplah sekadar Aween tahu yang Ari tak pernah menerima Hardija sebagai teman hidup Ari. Pasal apa yang Aween terdengar dan nampak tu, sebenarnya memang salah Ari. Ari sama sekali tidak menyangka yang Ari boleh terperangkap,” terangnya. Namun, aku masih tak mengerti akan ceritanya yang seakan ada putar-belitnya itu. Terperangkap?
            “Sudahlah, Aween. Tak usah ditanya lagi pasal tu. Ari tak mahu kita sama-sama terluka apabila hal itu dibangkitkan semula. Lagipun, kita sama-sama dah janji yang kita tak mahu ingatkan lagi memori luka tu, kan?” tuturnya perlahan. Aku mengangguk lemah. Sedangkan hatiku meronta-ronta untuk mengetahui akan cerita di sebalik kejadian yang selama ini tidak kuketahui.
            “Ya, Ari. Usahlah kita bangkitkan lagi hal itu. Yang berlalu tu, biarlah berlalu. Lagipun, Ari bawa Aween ke sini supaya Aween dapat lupakan masalah yang melanda, bukan? Takkan kita nak ungkit cerita lama yang banyak meninggalkan kesan duka itu di sini,” ucapku perlahan. Azhari tersenyum seraya mengangguk. Namun begitu, aku pasti yang suatu hari nanti aku akan tahu juga. Bersabar ajalah.

            Tiada bicara antara kami selepas itu. Masing-masing begitu asyik melayan perasaan sambil menikmati kehijauan bendang yang terbentang luas. Seketika aku mulai menatap novel yang kubawa, manakala dia pula mulai memasang earphone iPodnya ke telinga lalu menyanyi-nyanyi kecil.

Dari kejauhan, aku dapat melihat beberapa ekor unggas putih yang berterbangan lalu hinggap pada petak bendang.
            “Burung apa tu, Ari?” soalku memecah kesunyian antara kami.
            “Hmm?” Dia mencabut earphone yang tersangkut di telinganya. Aku memuncungkan mulut ke arah sekumpulan unggas yang berterbangan di tengah-tengah bendang itu. “Oh! Itu burung bangau,” jawabnya. Oh, bangau rupanya. Cantik. Bulunya putih berseri. “Bangau oh bangau, kenapa engkau kurus.” Spontan aku menyanyikan lagu yang pernah kupelajari di alam persekolahan peringkat rendah dahulu. Sambil itu, mataku tak putus-putus memandang unggas-unggas putih yang saling berterbangan itu.
            “Macam mana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul,” Azhari menyambung nyanyianku.
            “Bukan ikan yang tak mahu timbullah! Manusia yang banyak makan ikan, sebab tu bangau tak dapat ikan…” sangkalku gurau. Kami ketawa serentak. Lucu. Aku menyambung semula bacaanku.

*****
TENGAHARI itu, aku berteleku di dapur menolong ibu menyediakan hidangan tengahari. Azhari pula begitu sibuk dengan pancing buluhnya di tengah-tengah bendang sana. Kata ibu, dia memang suka memancing ikan air tawar di bendang.
            “Selalu ke Ari memancing ikan, ibu?” soalku sambil tanganku mematah-matahkan kacang panjang yang akan digoreng sebentar lagi.
            “Selalu, Aween” jawabnya sambil cuba menghidupkan api dapurnya.
            “Tengah-tengah hari buta macam ni? Kan panas terik kat luar tu, bu?” Ibu ketawa kecil. “Ah, dia tu kalau memancing tak kira masa. Tengah-tengah panas pun sanggup. Aween makan tak, ikan air tawar?” soal ibu. Aku tersenyum.
            “Makan, tapi hak yang banyak tulang tu tak berapa sangat. Bukannya apa, jenuh nak memilih tulangnya,” ujarku bersama tawa kecil. Ibu turut ketawa.

            Aku meneruskan kerjaku menghiris-hiris bawang dan cili merah. Sesekali aku mengerlingkan mata ke luar pintu. Dari jauh kelihatan sesusuk tubuh yang sedang duduk menyangkung di tengah-tengah bendang sana. Aku tersenyum seraya menggeleng.
            “Ari kat sana macam mana, Aween?” soal ibu tiba-tiba. Pantas kualihkan pandanganku ke arah ibu. Aku ketawa kecil.
            “Tak tahu nak cakap macam mana, bu. Biasa aja dia. Macam mana dia kat sini, macam tu jugaklah dia kat KL sana,” ujarku.
            “Dia tak dak teman istimewa ka?” soal ibu lagi. Aku ketawa lagi seraya menjungkitkan bahu.
            “Entahlah, bu. Dia sendiri pun tak pernah cakap kat Aween yang dia dah ada teman istimewa ke tak.”
            “Kenapa, bu? Ari tak pernah cerita apa-apa pasal tu kat ibu ke?” soalku pula. Ibu terenyum seraya menggeleng.
            “Tak pernah. Tapi dulu adalah. Masa tu dia masih berkawan lagi dengan Aween. Lepas dia habak yang dia dah putus dengan Aween, terus dia senyap. Tak ada pulak ibu dengar yang dia dah dapat pengganti,” tutur ibu panjang. Aku terdiam, tak terkata apa. Kenapa tiba-tiba ibu menyentuhkan hal itu?
            “Ari rapat betul dengan ibu, ya? Sampaikan hal kami pun dia boleh kongsi dengan ibu,” ucapku. Ibu ketawa kecil.
            “Ibu tak kisah semua tu. Ibu faham, anak-anak ibu dah besar. Tapi, dia cuma habak kat ibu ajalah. Dengan adik-beradik yang lain dia dak berani. Naknya dengan Abang Amal. Abang Amal tu tegas. Dia kalau boleh nak adik-adik dia berjaya dulu, baru boleh bercinta.” Baru aku teringat akan kata-kata Azhari dulu, yang mengatakan bahawa abangnya seorang yang tegas. Maka sebab itu dia melarang aku menghubunginya setiap kali kami pulang bercuti.

            Namun, ada sesuatu yang tiba-tiba terbit di benakku ini. “Err… ibu, kalau dia takut kat Abang Amal, kenapa dia berani gantung gambar Aween kat biliknya tu?” soalku. “Mulanya, memang Abang Amal marah. Katanya, tak habis menuntut dah nak bercinta. Tapi, Ari tu cerdik. Setiap semester dapat keputusan cemerlang. Tu yang Abang Amal tak terkata apa tu,” ujar ibu. Aku mengangguk.

            “Assalamualaikun, Mak Teh,” kedengaran seseorang memberi salam dari pintu dapur yang terbuka luas itu. Aku dan ibu memandang serentak. Oh, Tasya rupanya.
            “Waalaikumussalam. Masuklah, Sya,” ujar ibu.
            “Ni ha, Mak Teh. Limau nipis yang Mak Teh mintak tadi tu,” ujar Tasya sambil menghulurkan bungkusan plastik kecil yang berisi beberapa biji limau nipis untuk dilumur pada ikan air tawar yang hendak digoreng nanti.
            “Kak Aween,” tegurnya sebaik pandangan matanya disorot ke arahku. Aku tersenyum mengangguk.
            “Mana abang, Mak Teh?” soalnya kepada ibu. Tahulah aku ‘abang’ yang dimaksudkan itu adalah Azhari.
            “Tu ha, kat luar sana tu. Tengah pancing ikan,” kata ibu sambil menundingkan jari ke luar tingkap. Tasya meluru ke luar pintu. Lantas dia menyarung seliparnya dan terus berlari melewati batas bendang.
            “Hang nak pi mana pulak tu, Tasya? Kan panas kat luar tu!” laung ibu di muka pintu.

            Lantas aku turut sama ke muka pintu, mendekati ibu. Kelihatan Tasya berlari terkedek-kedek di atas batas, mendapatkan Azhari. Mereka saling bergurau-senda sambil kejar-mengejar di tengah-tengah bendang. Kelihatan mesra sekali. Ibu sekadar tersenyum bersama gelengan kecil melihat mereka. Aku hanya memerhatikan kemesraan mereka itu dari jauh, tanpa sebarang reaksi.
            “Depa tu memang macam tu, Aween. Si Tasya tu memang rapat dengan semua anak-anak ibu. Mana tidaknya, dari kecik tok dengan arwah Tok Wan yang jaga depa,” terang ibu. Aku sekadar mengangguk bersama ketapan di bibir. Aku sendiri tidak pasti akan perasaanku tatkala melihat kemesraan mereka. Cemburukah aku? Ya, memang aku cemburu. Tapi, untuk apa aku cemburu? Bukankah mereka itu sepupu? Lagipun, antara aku dan Azhari cuma kawan biasa. Tak ada yang istimewanya. Jadi, untuk apa rasa cemburu itu bertandang di hati ini?

            Ah, malas untuk kufikirkan hal mereka. Biarkanlah mereka. Lagipun, aku tak ada hak untuk merasa cemburu terhadap Tasya. Dah mereka memang rapat sejak kecil lagi. Malah Tasya mengenali Azhari lebih lama dari aku. Jadi, buat apa aku nak cemburu? Ah, lantas aku berlalu dari situ dan menyambung kerjaku semula, membantu ibu masak.

            “Assalamualaikum. Ibu, mai sini tengok. Ari dapat lima ekor ikan puyu.” Kedengaran dia bersuara ceria. Aku dan ibu meluru semula ke muka pintu.
            “Amboi, banyaknya,” ujar ibu. Aku hanya memerhatikan balang jernih yang berisi lima ekor ikan puyu itu.
            “Ni kalau goreng garing-garing, sedap!” sampuk Tasya pula. Seketika Azhari mendongak memandangku.
            “Aween, tengok apa yang Ari bawa balik ni,” ucapnya riang. Bibirnya jelas terukir senyuman melebar. Aku turut tersenyum seraya mengangguk.
            “Hmm… sat lagi bolehlah hantar sikit kat rumah tok,” ujar ibu lagi lalu membawa balang tersebut masuk ke dalam.
            “Sat lagi jangan lupa hantar, naa…” ucap Tasya, ingin berlalu pergi.
            “Tu nak pi mana pulak tu? Amboi, tau nak makan aja. Tapi goreng tak mau, apa punya anak dara ni?” senda Azhari.
            “Ah, kalau macam tu, bak mai sini dua ekor. Biar Tasya bawak balik goreng sendiri kat rumah.” Azhari ketawa mendengar kata-kata sepupunya itu.
            “Alahai, takkan merajuk kot?” usik Azhari lagi.
            “Abang tu memang. Kalau tak usik orang, memang tak sah!” marah Tasya dan terus berlalu pergi.

            Azhari melangklah masuk ke dalam sambil mengesat-ngesat peluh di dahinya dengan tuala. Seketika dia mengambil gelas di tepi sinki sambil berkata-kata sesuatu dengan ibu. Aku masih memerhatikannya. Seketika pandangan mata kami bersatu tatkala dia sedang meneguk air. Aku agak tersipu lantas terus melarikan pandangan ke arah lain.

*****
PETANG ITU, Azhari telah membawa aku ke Hutan Simpan Bukit Wang yang jaraknya lebih kurang 40 kilometer dari Bandar Alor Setar. Kami berjalan seiring melewati hutan simpan tersebut sambil menikmati air sungai yang mengalir deras. Dalam pada itu, kedengaran bunyi deruan air terjun yang begitu mengasyikkan. Sesekali, bunyi kicauan sang unggas yang berkejaran lebih mendamaikan lagi suasana yang tenang itu.
Mataku terus memerhatikan suasana di sekeliling. Sesungguhnya, tempat ini agak sesuai untuk dijadikan sebagai sebuah tempat rekreasi. Di samping terdapat juga pelbagai kemudahan untuk para pengunjung seperti chalet, tandas awam, surau, jambatan-jambatan konkrit berupa kayu, yang dibina untuk kemudahan pengunjung melintasi anak sungai, dewan serbaguna dan banyak lagi.
“Hutan simpan ni merangkumi 867 hektar luasnya,” ujar Azhari. Aku mengangguk.
“Agaknya, kalau kita cadangkan kelab kita tu buat perkhemahan kat sini pun boleh, kan?” Azhari bersuara.
“Boleh, tak ada masalah. Kalau Ari ada apa-apa cadangan, boleh usulkan kat Abang Que,” kataku pula.
“Tak nak mandi?” soalnya. Aku mengerutkan dahi.
“Hisy, tak naklah. Tak bawa baju,” ujarku. Dia ketawa kecil.
“Jom, kita duduk sekejap. Sambil tu, boleh main air kat kaki,” ajaknya. Aku hanya menurut.

Aku melipat hujung seluar jeans sehingga ke paras betis. Kemudian, barulah aku mencelupkan kakiku ke dalam air yang sejuk itu. Aku mengambil tempat pada sebuah bongkah batu. Kubiarkan air yang mengalir mengenai kakiku dengan penuh nikmat. Serasakan, baru hari itu aku bermain dengan air sejuk seperti ini di Air Terjun Jerangkang. Azhari pula melabuhkan punggungnya di sisiku. Tiada apa yang kami bualkan ketika ini. Masing-masing melayani perasaan sendiri.

Lantas aku mengeluarkan novel yang kubawa dari dalam beg silangku. Novel itu masih belum habis kubaca lagi.
“Tebalnya novel tu. Larat ke baca novel tebal macam tu?” soalnya. Sengaja dia mencari topik untuk berbual denganku. Aku faham, tentu dia kebosanan.
“Larat. Alah, kalau sekali kita baca dan hayati sesuatu cerita tu, kita akan rasa macam nak teruskan bacaan kita. Sebab nak tahu apa yang akan terjadi seterusnya. Samalah macam kita tengok televisyen. Contohnya drama bersiri, kalau kita dah ikut cerita tu dari episod pertama, tentu kita nak tahu cerita seterusnya pada episode-episod yang akan datang. Begitu jugalah pada novel. Bila kita dah mula baca bab yang pertama, kita akan terus gian pada bab-bab yang seterusnya sebab nak tahu apa kesudahan cerita tersebut,” terangku satu-persatu. Dia tersenyum.
“Agaknya, berapa lama Aween boleh habis baca novel setebal ni?” soalnya lagi. Aku ketawa kecil.
“Alah, tak sampai seminggu pun. Kekadang tu, dua hingga tiga hari dah habis dah,” jawabku. Dia mencebik.
“Buku tebal macam ni ambil masa sampai dua ke tiga hari untuk dihabiskan? Macam mustahil aja?” Nampaknya dia mulai memperlekehkan kebolehanku. Ah, ini yang aku pantang ni. Sekali aku dicabar, takkan aku lepaskan peluang untuk sahut cabarannya itu.
“Okey, berapa Ari nak bet? Sepuluh ringgit? Dua puluh ringgit? Aween baru aja start baca buku ni pagi tadi. Aween akan buktikan yang Aween boleh habis baca malam ni,” cabarku. Dia membeliakkan mata.
“Malam ni? Biar betul Aween ni,” katanya seakan tidak percaya.
            “Ari ingat Aween main-main? Aween serius ni,” tekanku. Dia memuncungkan mulutnya. Lama dia termenung. Aku terus memandangnya dengan pandangan yang sinis.
            “Okey, Ari surrender. Ari percaya dengan kebolehan Aween tu. Lagipun, tak hairanlah, orang perempuan boleh habiskan bacaan novel dalam masa satu hari. Lebih-lebih lagi novel cinta sebab orang perempuan ni suka berfantasi dan suka dengan dunia khayalan, betul tak?” Ah, dia tak mahu mengalah!
            “Mana Ari tahu orang perempuan ni suka berfantasi dan suka dengan dalam dunia khayalan?” soalku.
            “Ari tahulah. Orang perempuan memang macam tu. Kalau masa kecil, asyik dengan cerita fairy talesnya. Bila dah besar, dengan love storynya pulak. Ari pun ada adik-beradik perempuan, jadi Ari tahulah. Kak Long dengan Alia pun macam tu jugak. Sekali dah pegang novel, terus layan tak ingat dunia,” ujarnya panjang. Aku ketawa kecil.
“Hmm… tahupun. So sekarang ni, percaya ke tak?” soalku mencabarnya. Dia mengangguk.
“Percaya,” katanya. Aku tersengih.
“Tapi, Aween janganlah baca sekarang buku tu. Jomlah kita berborak. Nanti Ari boring,” pintanya seakan merayu. Aku tergelak melihat gimiknya yang seakan budak kecil itu. Lantas aku menyimpan semula novel tersebut. Dia tersenyum senang tatkala melihat aku menyimpan novel tersebut ke dalam beg.

“Selalu ke Ari ke sini?” soalku memulakan topik perbualan kami. Dia menggeleng. “Taklah selalu. Kadang-kadang bila ada waktu terluang,” jawabnya.
            “Dengan siapa?” soalku lagi.
            “Sesiapa punlah. Dengan kawan sekolah, dengan adik-beradik. Kadang-kadang tu, seorang diri,” katanya.
            “Tasya?” Dia memandangku bersama dahi yang berkerut sebaik aku bertanyakan nama itu. “Tasya pun. Tapi, bukan kami berdua aja. Dengan adik-beradik yang lain sama,” terangnya.
            “Kenapa tiba-tiba tanya fasal Tasya? Cemburu, ya?” soalnya mengusik. Aku mencebirkan bibir.
            “Ah, tak kuasa aku nak cemburu. Kita bukannya ada apa-apa pun,” terpacul kata-kata itu dari bibirku tanpa disengajakan. Agak keterlaluan kedengarannya. Dia memandangku dengan riak wajah yang bersahaja. Tanpa sebarang reaksi. Namun, di hatinya siapa yang tahu?
            Ops, sorry,” ucapku. Lantas dia memalingkan semula wajahnya ke hadapan bersama gelengan kecil. Ah, aku telah membuatkan dia terasa. Maafkan aku, Ari. maafkan aku…