Friday 25 November 2011

Cerpen Paranormal - Gadis Di Stesen Keretapi

PERADUAN MENULIS CERPEN PARANORMAL
OLEH KOMUNITI E-NOVEL


TEPAT pukul tujuh pagi. Aku sudahpun bersiap untuk ke pejabat. Sebaik aku keluar dari bilik, kelihatan rakanku Suria sudah terkocoh-kocoh hendak keluar.
            “Dah nak pergi dah?” soalku.
            “Ya, nak pergi. Raziq dah tunggu aku kat bawah tu. Aku pergi dulu, ya. Kau tu hati-hati naik train,” pesannya ketika sedang menyarung sepatunya di muka pintu. Tidak sampai beberapa saat, kelibat Suria sudahpun hilang dari pandangan.
            Tanpa membuang masa, aku juga keluar meninggalkan flat yang baru kami diami dua hari yang lalu, khuatir aku akan lewat masuk ke pejabat nanti. Maklumlah, ini merupakan hari pertama aku dan Suria ke pejabat dari rumah sewa kami setelah sebulan menumpang di rumah ibu saudaraku di Kampung Kerinchi.       
            Selain bas, pengangkutan awam yang ada berdekatan dengan rumah sewa kami adalah KTM Komuter. Memandangkan aku masih baru tinggal di sini, keretapi komuter menjadi pilihan utamaku. Lebih mudah walaupun sering padat dengan penumpang. Aku akan berhenti di Stesen Sentral Kuala Lumpur untuk menaiki LRT Putra pula untuk sampai ke pejabat.
            Aku terpaksa melalui sebuah kawasan perumahan setinggan untuk ke stesen keretapi berdekatan. Di hujung kawasan setinggan tersebut, tidak jauh dari stesen keretapi terdapat sebuah rumah tinggal yang sangat usang. Ketika aku melalui rumah usang itu di awal pagi, memang tak terasa apa-apa yang pelik. Namun ketika aku pulang dari pejabat, lain pula rasanya apatah lagi setelah senja melabuhkan tirainya. Entah mengapa ketika aku melintasi rumah tersebut, tiba-tiba terasa bulu romaku berdiri tegak. Kakiku terasa berat hendak meneruskan langkah. Aku membaca sepotong ayat Qursi serta berdoa kepada Yang Maha Esa agar melindungi aku dari sebarang ancaman dan bahaya selain melenyapkan rasa takut yang kian mencengkam.

***
PADA MALAM ITU, aku dan Suria hanya duduk menonton televisyen di ruang tamu sambil berbual kosong.
            “Macam mana hari ni? Okey tak naik train? Pukul berapa sampai office?” soal Suria. “Okey. Alhamdulillah, aku sampai awal dua puluh minit sebelum waktu pejabat bermula,” jawabku. Suria tersenyum meleret.
            “Kesian kau, terpaksa naik train seorang diri. Bukan aku tak nak pergi sama dengan kau, tapi Raziq yang tak benarkan aku naik train, apa lagi KTM Komuter. Sebab tu dia sanggup jemput dan hantar aku.”
            “Untung kau dapat tunang macam Raziq tu. Sanggup jemput dan hantar kau pergi-balik pejabat,” ujarku. Suria ketawa kecil.
            “Alah, janganlah sedih. Tak apa, lagi setahun Raziq nak beli kereta, dah tak nak pakai motor lagi dah. Nanti boleh kau tumpang sekali. Lagipun, office kau dengan office aku taklah jauh mana. Sehala aja,” pujuknya. Aku pula tersenyum meleret.
            “Setahun? Lamanya! Jangan-jangan dalam masa setahun ni, aku dah ada ‘seseorang’ yang boleh jemput dan hantar aku macam kau!” aku berseloroh. Suria ketawa lagi. “Baguslah kalau macam tu. Cari ‘seseorang’ tu cepat! Nanti tak payah kau susah-susah naik train lagi.”
            Kami masuk tidur awal pada malam itu memandangkan masing-masing masih keletihan setelah membersih dan mengemas rumah selama dua hari sebaik kami masuk ke rumah sewa ini.
            “Tolong! Tolong!” Kelihatan kelibat seorang gadis sedang meronta-ronta sambil menjerit. “Diam! Diam!” Kedengaran pula suara lelaki bengis mengherdik gadis itu. Lelaki itu menerkam tubuh si gadis, namun si gadis itu tetap cuba berentap. Dengan sekuat tenaga yang ada dia cuba meloloskan dirinya dari cengkaman lelaki berbadan sasa itu. “Tolong jangan apa-apakan aku! Tolong jangannn!!!”
            “Diam aku kata!” Pang! Satu tamparan hinggap ke pipi gadis itu. Namun dia tetap tidak berputus asa, cuba bergelut demi mempertahankan dirinya dari terus menjadi mangsa kerakusan lelaki itu.
            “Aaaarrrrgghh!!!!” Gadis itu menjerit nyaring.
            Aku tersedar. Spontan aku terduduk di tempat pembaringanku. Dadaku berdegup kencang. Peluh memercik, membasahi dahi. Aku beristighfar panjang. Pelik. Kenapa pelik sungguh mimpi aku kali ini? Puas aku memikirkan apa maksud mimpiku tadi? Dan sekali lagi aku tersentak dengan suara azan subuh yang berkumandang di surau berdekatan.
            Aku menceritakan tentang mimpi ngeri yang kualami malam tadi kepada Suria pagi itu. “Suria, malam tadi kau ada mimpi pelik tak?” soalku. Suria menggeleng bersama dahi yang berkerut.
            “Tak ada pulak. Kenapa, Nadia? Kau ada mimpi yang bukan-bukan ke malam tadi?” soalnya kembali. Aku mengangguk kecil.
            “Aku mimpi seolah-olah aku sedang menyaksikan satu kejadian. Dalam mimpi tu, aku nampak seorang perempuan yang sedang dizalimi oleh seorang lelaki berbadan besar. Terjerit-jerit perempuan tu, merayu minta tolong supaya tak diapa-apakan. Namun lelaki tu tak endahkan langsung jeritan perempuan tu. Dia terus menerkam, memukul, menyepak dan terajang perempuan tu sampai…” ceritaku terhenti di situ.
            “Hisy, takut pulak aku dengar cerita kau ni. Jangan difikirkan sangatlah! Mimpi aja tu, bukannya ada apa pun. Dah, jom kita turun. Raziq dah sampai kat bawah tu. Kau tu pun, nanti nak naik train. Karang ramai pulak orang, tak fasal-fasal tak dapat naik.” Aku mengeluh, lalu mengekori Suria ke muka pintu. Setelah memastikan pintu serta pagar berkunci, barulah kami meninggalkan perkarangan rumah pangsa itu menuju ke destinasi masing-masing.
            Tiba di stesen keretapi, kelihatan ramai penumpang yang sudah tersedia menunggu. Bangku yang disediakan sudahpun penuh diduduki oleh para penumpang yang menunggu. Aku mengeluh kerana terpaksa berdiri lama. Naik lenguh kakiku yang tersarung dengan kasut tumit tinggi itu. Dan entah mengapa, bagaikan ada satu tarikan, aku menoleh ke belakang. Seorang gadis berbaju kurung begitu ayu tersenyum ke arahku. Aku membalas senyuman ikhlasnya. Tanpa kujangka, dia mengisyaratkan aku duduk di sebelahnya. Seboleh-boleh dia cuba memberi ruang untuk aku duduk walaupun ketika itu memang sudah tidak cukup ruang untuk diduduki. Melihat kesungguhannya, aku akhirnya menurut pelawaannya itu bersama ucapan terima kasih.
            Keretapi tiba beberapa minit selepas itu. Setelah berebut-rebut, akhirnya aku berjaya meloloskan diri masuk ke dalam koc wanita. Aku cuba mencari kelibat gadis itu tadi, namun gagal memandangkan koc tersebut sudah padat dengan penumpang.

***
MALAM ITU, sekali lagi aku mimpi perkara yang sama. Dan ia terus berlarutan dua-tiga malam kemudian. Sepanjang minggu itu, boleh dikatakan hampir setiap malam aku bermimpi perkara yang sama. Bila aku bertanyakan Suria, adakah dia juga mengalami mimpi yang sama sepertiku, namun jawapannya tetap tidak.
            Aku cuba mengubungi emakku di kampung untuk bertanyakan pendapatnya. Sungguh, aku benar-benar tertekan dengan mimpi ngeri yang sering menghantui tidur malamku itu. Emak bercadang agar aku dan Suria mengadakan bacaan Yassin setiap hari Khamis malam Jumaat selain mengharmonikan rumah itu dengan bacaan ayat suci Al-Quran. “Mimpi itu mainan tidur. Mimpi itu adalah gangguan syaitan laknat.” Itulah kata-kata emak di hujung perbualan kami.
            Alhamdulillah, setelah kami lakukan apa yang disarankan oleh emak, tidur malamku tidak lagi diganggu oleh mimpi yang menakutkan itu. Namun itu hanya untuk seketika. Tidak lama kemudian, sekali lagi aku diganggu oleh mimpi ngeri itu. Aku hanya tersedar apabila suara azan subuh berkumandang. Aku terduduk bersama keluhan berat. Naik buntu kepalaku memikirkan mimpi ngeri yang sering kualami itu. Di luar, kedengaran bunyi guruh berdentum menandakan hujan masih turun lebat pada pagi itu.
            Hujan mulai reda ketika aku dan Suria hendak meninggalkan rumah. Seperti selalu, aku terpaksa menempuhi kawasan setinggan untuk sampai ke stesen keretapi. Keadaan jalan tanah yang lembap dan berlopak-lopak membuatkan aku sukar hendak melangkah pantas, ditambah dengan kasut tumit tinggi yang aku pakai.
            Sebaik aku melintasi rumah tinggal di hujung kawasan setinggan itu, entah mengapa terasa ada kelainan dalam diriku. Pandanganku berpinar-pinar. Tanpa dipinta, fikiranku tiba-tiba terbayangkan mimpi ngeri yang sering kualami. Suara perempuan menjerit diselangi dengan suara bengis seorang lelaki bagaikan terngiang-ngiang di gegendang telingaku. Argh! Aku tak sanggup nak ingat semua itu ketika ini! Aku menelangkup kedua belah telingaku.
            Tiba-tiba terasa kedua belah bahuku dipaut seseorang. Aku tersedar. Suara-suara yang menghantuiku itu turut lenyap sama sekali. Aku menjadi bingung seketika.
            “Awak tak apa-apa?” soal gadis yang memaut bahuku. Aku merenungnya. Gadis di stesen keretapi tempoh hari, yang telah mempelawa aku duduk di sebelahnya.
            “Awak, hampir-hampir nak terjatuh tadi. Lain kali berhati-hati, ya. Jalan kat sini memang akan berlopak teruk setiap kali selepas hujan,” terangnya.
            “Oh, terima kasih,” ucapku bagaikan baru tersedar dari lena. Fikiranku bingung. Apa yang telah terjadi? Namun mengenangkan diriku yang sedang mengejar masa ketika itu, kukuburkan persoalan itu buat masa ini. Aku dan gadis itu jalan bersama menuju ke stesen. Kami saling berkenalan. Gadis itu hanya memperkenalkan dirinya sebagai Iman.
            Kami mulai rapat semenjak dari itu. Setiap pagi, Iman akan menungguku di luar kawasan rumah pangsaku dan kami akan ke stesen keretapi bersama. Kini, aku tidak perlu risau lagi untuk melalui kawasan setinggan itu kerana aku sudah ada rakan yang boleh menemaniku ke stesen keretapi. Kecuali ketika pulang dari kerja kerana waktu pejabat Iman tak sama denganku. Menurutnya, dia sering pulang malam akibat tuntutan kerja yang banyak.

***
SUATU PAGI, ketika kami sedang menunggu ketibaan keretapi, aku tergerak hati untuk menceritakan kepada Iman akan mimpi yang sering mengganggu tidurku dan juga perasaan tidak sedap hatiku setiap kali melalui rumah setinggan kosong itu seorang diri. Aku mengagak, Iman mungkin tahu jawapannya memandangkan dia tinggal di sini lebih lama dariku.
            “Tak ada apalah. Mainan tidur aja tu. Tentang rumah tu pulak, saya tak pasti. Cuma nasihat saya supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tu, lebih-lebih lagi ketika seorang diri. Bukannya apa, musibah akan berlaku di mana-mana saja tanpa kita ketahui.” Itulah kata-katanya yang mampu menyedapkan hatiku. Ketika itu, aku memandang sekeliling. Semua mata memandang ke arah kami. Namun aku tak mengendahkannya. Mungkin mereka memandang Iman. Yalah, gadis jelita seperti Iman, siapa yang tak tertarik? Tidak kira lelaki mahupun wanita. Sedangkan aku yang memandangnya buat pertama kali pun boleh terpesona, inikan pula orang lain?
            “Oh, ya! Nadia, hari ni hari terakhir saya di sini. Lepas ni, saya akan terus pulang ke kampung asal saya,” terang Iman. Aku terkejut mendengar kata-katanya itu.
            “Jadi lepas ni awak takkan ada lagi di sini?” soalku. Dia mengangguk lemah. Nampaknya selepas ini, aku terpaksa tempuhi perjalananku setiap pagi seorang diri tanpa ditemani sesiapa.
            “Jadi, saya nak minta tolong sesuatu dari awak, boleh?” Iman mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sekeping sampul surat merah jambu diserahkan kepadaku.
            “Boleh tak awak tolong pergi ke Bangunan Sri Angsana, tingkat sebelas. Carikan seorang lelaki bernama Nazril dan serahkan kad ni kepadanya?” pinta Iman. Aku semakin hairan. Bukannya kerana susah memandangkan tempat itu tidak jauh dari pejabatku, tetapi…
            “Kenapa Iman tak berikannya sendiri? Nanti pasti dia terpinga-pinga sebab saya tak kenal dia dan dia jugak tak kenali saya.” Iman menggeleng.
            “Saya tak boleh berjumpa dengan dia lagi, Nadia. Tolonglah saya,” rayu Iman bersungguh. Akhirnya aku bersetuju. Iman tersenyum puas dan mengucapkan terima kasih. Keretapi tiba tidak lama selepas itu.
            “Jaga diri baik-baik, tau. InsyaAllah, jika diizinkanNya nanti kita jumpa lagi.” Itulah ucapan terakhirnya sebelum kami berebut untuk masuk ke dalam koc.
            Tengahari itu, seperti yang disuruh oleh Iman aku ke tempat yang dimaksudkannya untuk bertemu dengan insan bernama Nazril itu.
            “Saya datang ni nak sampaikan hajat Iman kepada awak,” terangku sebaik dia bertanya akan hajatku untuk bertemunya. Dan ternyata dia amat terkejut apabila aku menyebut nama Iman. Wajahnya pucat lesi.
            “Awak siapa?” soalnya.
            “Saya Nadia, kawan Iman. Dia berpesan kepada saya supaya berjumpa dengan awak. Dia suruh saya beritahu awak yang dia minta maaf sebab terpaksa tinggalkan awak secara tiba-tiba macam ni. Bukan kehendak dia tetapi kehendak takdir,” terangku dalam keadaan berat. Dalam pada itu sempat aku merungut dalam hati kerana terpaksa melibatkan diri dalam hal peribadi mereka berdua.
            “Apa awak cakap ni? Bila awak jumpa dia?” soal lelaki itu.
            “Pagi tadi. Err… sebenarnya kami memang bertemu setiap pagi untuk ke stesen keretapi sama-sama. Cuma pagi tadi dia cakap hari ni hari terakhir dia di sini sebab lepas ni dia akan terus pulang ke kampungnya.” Lelaki di hadapanku ini menggeleng kecil mendengar peneranganku itu.
            “Tak mungkin! Tak mungkin Iman. Saya rasa awak dah silap orang,” sangkalnya.
            “Encik Nazril, saya tak silap. Pagi tadi dia ada berikan saya sesuatu untuk disampaikan kepada awak.” Lantas aku mencari kad bersampul merah jambu di dalam tas tanganku, namun kad itu sudah tiada di dalamnya. Ah, kemana pula perginya kad itu? Takkan tercicir?
            “Maaf, Cik Nadia. Awak telah membuang masa saya dengan cerita megarut awak tu!” ucap lelaki itu keras lalu melangkah untuk meninggalkanku.
            “Encik Nazril, dia berikan saya sekeping kad pagi tadi untuk diserahkan kepada awak!” aku bersuara lantang. Kenapa lelaki ini begitu angkuh? Kalau dia ada masalah bersama Iman sekalipun, tak sepatutnya dia melayani aku sebegini. Langkah Nazril terhenti lalu memusingkan semula tubuhnya memandangku.
            “Sekeping kad?” soalnya. Aku mengangguk. Kali ini, wajahnya tampak tidak keruan. “Kalau awak ada masalah dengan dia, itu awak punya fasal. Kalau awak tak mahu percaya cakap saya, itu jugak hak awak. Saya dah pun jalankan tanggungjawab saya!” marahku lantas mengatur langkah untuk meninggalkan tempat itu. Sakit hati aku dengan sikap lelaki ego ini!
            “Eh, nanti! Err… boleh awak tunggu sekejap? Saya nak ambil barang saya,” pintanya. Tanpa kuduga, Nazril mempelawaku untuk makan tengahari bersamanya kerana dia tidak gemar bercakap tentang hal peribadinya di pejabat.
            “Kad ini ke yang awak maksudkan tu?” soal Nazril lalu menunjukkan sekeping sampul surat berwarna merah jambu kepadaku. Sampul surat itu kelihatan sama seperti yang Iman berikan kepadaku pagi tadi. Bagaimana ia boleh berada di tangan lelaki ini? Aku memandang Nazril. Bingung.
            “Dan, gadis ini yang awak maksudkan?” soalnya lagi sambil menunjukkanku gambar seorang gadis di dalam beg duitnya. Ya, itu gambar Iman. Aku mengangguk lagi.
            Akhirnya dengan berat hati dia membuka segala cerita tentang Iman kepadaku. Serta-merta seluruh tubuhku menjadi seram-sejuk. Cemas dan takut bersilih ganti. Rupa-rupanya, Iman sudah tiada lagi di dunia ini. Dia telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di rumah kosong berhampiran dengan stesen keretapi tempat tinggalku itu. Hasil siasatan polis mendapati Iman telah dirogol dan dibunuh dengan kejam di suatu malam ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah. Malahan dulu, Iman juga pernah menyewa rumah pangsa yang sama aku dan Suria duduki kini. Kad yang berada di tangan Nazril itu juga telah dijumpai oleh pihak forensik di dalam beg Iman berhampiran tempat mayatnya ditemui.
            Tidak puas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Nazril, aku bertemu dan bertanyakan hal itu kepada tuan rumah berkenaan pada petang itu. Sekali lagi aku terkejut apabila tuan rumah itu sendiri mengiakan cerita itu dan menurutnya lagi, bilik yang aku duduki itu adalah bilik Iman. Sudah setahun rumah sewa itu tidak berpenghuni semenjak dari peristiwa hitam itu. Sehinggalah dia diberitahu yang kami berminat hendak menyewa rumah itu, lalu seminggu sebelum kami masuk segala kerja pembaik-pulih telah dilakukannya termasuklah menyediakan segala kemudahan dan kelengkapan untuk kami. Sengaja dia merahsiakan kisah tragis itu dari pengetahuan kami kerana khuatir ia akan mengganggu ketenangan kami.
            Kini, segala persoalan yang berlegar-legar di mindaku sudahpun terjawab. Mimpi ngeri yang kualami hampir setiap malam. Misteri rumah kosong yang sering mengundang rasa takut yang terlampau setiap kali aku melaluinya. Malah, pandangan orang sekeliling setiap kali aku dan ‘Iman’ duduk dan berbual berdua ketika sedang menunggu ketibaan keretapi. Semuanya telah kutemui jawapannya.
            Namun hanya satu saja yang masih menjadi tanda tanya. Jika benar Iman telah tiada di dunia ini, siapakah gadis yang telah mempelawa aku duduk di bangku stesen tempoh hari? Siapakah gadis yang telah menyelamatkan aku dari terus terjatuh di atas lopak berhampiran rumah kosong itu? Siapakah gadis yang sering bersama denganku setiap pagi ketika hendak ke stesen keretapi? Siapakah gadis yang sering duduk dan berbual denganku setiap pagi ketika sedang menunggu ketibaan keretapi di stesen itu? Siapakah dia? Hantu? Jin? Jelmaan? Ya, mungkin jelmaan Iman. Mungkin rohnya tak tenteram kerana tidak berpeluang untuk mengucapkan kata-kata terakhir buat Nazril sebelum dia ‘pergi’. Tetapi, logikkah teori itu? Jawapan yang masih belum kutemui sehingga kini. Malah aku juga yakin dan pasti, tiada sesiapa yang mampu memberikan aku jawapan tentang misteri gadis di stesen keretapi itu…

TAMAT