Monday 31 December 2012

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 41)

PAGI ITU, selepas bersiap dan menunaikan solat Subuh, aku terus turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk suamiku. Sedang aku menghidang air Nescafe di atas meja, kelihatan Azhari terkocoh-kocoh turun bersama briefcasenya. Dia terus mengambil tempat di kerusi tanpa menghiraukan aku yang terpacak di situ. Aku hanya memandangnya sepi. Seperti biasa aku akan menuangkan minuman ke dalam cawan lalu kuhulurkan kepadanya. Dia menyambut cawan yang penuh berisi air Nescafe yang masih panas itu tanpa memandang ke wajahku langsung. Rajuk benar dia kali ini.

            Segera aku menarik kerusi di hadapannya. Aku terus memerhatikannya yang sedang mengunyah sandwich sardinnya itu.
           “Tengahari ni abang balik makan tak?” soalku memberanikan diri. Semenjak dari peristiwa pertengkaran kami malam itu, kehidupan kami di rumah ini tak ubah seperti orang asing. Kami bagaikan tidak mengenali antara satu sama lain. Dia terus leka mengunyah rotinya tanpa memandang ke wajahku. Soalanku dibiarkannya sepi.
            “Tengoklah macam mana nanti,” ucapnya bersahaja setelah lama membiarkan aku menanti. Hambar sekali kedengarannya.

            Setelah meneguk sedikit minumannya, terus dia bangun menuju ke pintu. Aku hanya menghantar langkahnya dengan pandangan yang sayu. Dari jauh aku melihat dia terduduk di muka pintu sambil mengenakan kasutnya. Lantas aku bangkit dan melangkah ke muka pintu. Ketika itu, dia sudahpun siap bersepatu.
            “Abang,” panggilku lembut sebaik dia mahu melangkah ke kereta. Langkahnya terhenti. Dengan perlahan dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Kali ini, barulah mata kami bertaut. Dalam keadaan yang teragak-agak, aku menghulurkan tanganku untuk bersalaman dengannya. Dan aku bertambah terharu apabila dia menyambut huluran tanganku. Dengan penuh syahdu aku mencium tangan sasanya itu. Seketika dahiku turut dikucupnya lembut. Ah, semakin sayu aku dibuatnya. “Abang balik makan tengahari ni,” ucapnya lalu membuka pintu keretanya. Aku terus memerhatikan keretanya yang mengundur keluar dan akhirnya terus meluncur dan hilang dari pandangan.

            Sedang aku sibuk mengeluarkan bahan-bahan yang hendak dimasak dari dalam peti sejuk, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitku berbunyi berkali-kali. Pantas aku mencapainya. Aku merengus tatkala melihat nombor yang tidak dikenali tertera di skrin. Pantas aku menekan punat hijau untuk menjawab.
            “Helo, assalamualaikum,” ucapku.
            “Waalaikumussalam. Hai, Kak Azween. Apa khabar?” balas si pemanggil. Aku mengerutkan dahi. “Siapa ni?” soalku. Kedengaran suara tawa sinis di hujung talian. Cukup membuatkan aku jelik.
            “Masakan akak tak kenal dengan saya lagi?” soalnya lagi seakan mahu berteka-teki denganku. Aku merengus keras.
            “Helo, saudari. Tolonglah jangan nak main-main dengan saya. Saya tak ada masa nak berteka-teki dengan awak. Just beritahu siapa sebenarnya awak dan apa tujuan awak call saya ni?” keras suaraku. Sekali lagi dia ketawa. Kali ini dia mengilai membuatkan aku tergamam.
           “Saya Hardija. Kak Azween ingat lagi tak?” ujarnya bersama tawa. Sinis. Aku terkesima.
           “Macam mana kau boleh tahu nombor aku ni, hah?” soalku keras. Dia ketawa lagi.
           “Well, itu Kak Azween tak perlu tahu. Tak penting pun. Saya nak jumpa dengan akak hari ni, boleh?” soalnya. Aku terdiam.
            “Kenapa, kak? Abang Ari tak benarkan akak keluar ke?” soalnya lagi.
            “Ada apa hal nak jumpa dengan aku?” soalku sedikit tegas.
            “Adalah yang nak saya bincangkan dengan akak. Harap akak tak keberatan,” ujarnya.
            “Aku tak janji. Penting sangat ke hal kau tu? Pasal apa? Kalau pasal suami aku, lupakan aja. Aku tak mahu kau masuk campur dalam urusan rumahtangga aku,” ucapku kasar.
            “Tapi akak jangan lupa, saya jugak terlibat dalam masalah rumahtangga akak dan Abang Ari. Dan saya percaya yang sayalah puncanya hubungan akak dan Abang Ari menjadi dingin sekarang ni. Jadi, izinkan saya memperbetulkannya semula. Jangan lupa datang ya, kak. Pukul sebelas ni di rumah saya. Saya akan mesej address saya nanti. And one more thing, tolong jangan beritahu hal ni kepada Abang Ari. Ini antara kita berdua sahaja.”
 
            Klik! Belum sempat aku membalas, dia terlebih dahulu mematikan talian. Aku mengeluh berat. Nampaknya perempuan itu sudah melampau. Sesungguhnya aku sudah tidak terdaya lagi hendak melihat suamiku murung saban hari dan rumahtanggaku terus diganggu. Aku mulai sedar, tidak sepatutnya aku membiarkan suamiku berjuang seorang diri dan aku pula hanya mampu duduk bergoyang kaki sambil memerhatikannya bergelut demi mempertahankan rumahtangga kami. Adalah wajar kiranya aku turut sama turun padang, berjuang bersama suamiku supaya rumahtangga yang dibina atas dasar kasih sayang ini tidak terus goyah. Biarpun begitu sukar, namun aku harus lakukannya juga. Itu adalah tanggungjawab bagi setiap hamba ALLAH di muka bumi ini untuk mempertahankan masjid yang telah dibina agar terus kukuh berdiri.

*****

 
TIBA di pintu apartment mewah itu, aku terus menekan punat locengnya. Tiada respon. Namun aku tidak berputus asa, aku menekan lagi punat loceng tersebut buat kali kedua. Dan kali ini, barulah kedengaran satu suara dari dalam.
            “Kejap…” Aku terus menunggu sehinggalah pintu kayu berukir itu terbuka. Tidak lama kemudian, daun pintu itu terkuak. Terserlah seraut wajah bujur sireh yang cukup ayu bersama segaris senyuman di di muka pintu itu, namun mampu membuatkan api kemarahanku marak meluap-luap.
            “Assalamualaikum,” ucapku perlahan namun keras.
            “Waalaikumussalam,” jawabnya gugup.
            “Terima kasih, kak. Kerana sudi datang ke rumah saya ni,” ucapnya lembut. Aku tersenyum sinis.
 
            Seketika kemudian dia melangkah keluar lalu membuka grill untuk mempersilakan aku masuk. “Masuklah, kak,” pelawanya lembut. Aku mengangguk perlahan.
            “Terima kasih,” ucapku lalu melangkah masuk ke dalam apartment itu. Mataku terus memerhatikan suasana ruang yang diberi sentuhan moden itu. Cukup kemas.
            “Duduklah, kak,” pelawanya lagi. Aku segera mengambil tempat di atas sebuah sofa.
            “Akak nak minum apa? Panas atau sejuk?” soalnya ramah. Segera aku menggeleng.
           “Hmm… tak payah susah-susah, Hardija. Aku datang bukan nak minum,” jawabku perlahan. Dia mengangguk.
            “Duduk,” arahku tegas. Dia akur.
 
            Aku begitu sabar menanti bicara dari mulut wanita ini. Dia menarik nafas panjang. Aku terus merenung wanita di hadapanku ini. Nasib baik aku masih lagi mampu untuk bersabar. Kalau tidak, mahu saja aku mengganyang perempuan ini. Sebaik melihat dia melayaniku dengan baik, terpaksalah aku berlembut sedikit dengannya. Namun aku harus berhati-hati. Kelembutannya mungkin sekadar dibuat-buat supaya aku tidak mengasarinya. Hardija… Bukannya aku tak kenal, seorang wanita hipokrit! Pandai mengaburi mata orang lain dengan sikap kepura-puraannya itu.
            So, just go straight to the point. Tolong jangan buang masa aku. Banyak perkara yang nak aku uruskan di rumah,” ucapku serius. Sekali lagi dia menghelakan nafas panjang. Seketika dia mengangguk laju.
            “Okey,” ucapnya sebelum memulakan bicara.
           “Pertama sekali, saya ingin memohon maaf dari akak sebab mengganggu ketenteraman rumahtangga akak dengan Abang Ari selama ni. Tapi, saya tak mampu nak menahan dengan kehendak hati saya ni, kak,” ucapnya perlahan. Aku mengerutkan dahi.
            “Apa maksud kau?” soalku kebinngungan.
            “Dija… Dija masih cintakan Abang Ari, kak,” ucapnya. Aku terpampan. Wajahnya kurenung lagi. Lebih tajam.
            “Dija, kau sedar tak orang yang kau cintakan tu suami aku? Kenapa kau tak cuba berusaha untuk menghalang hati kau tu supaya tak terus mengharap sesuatu yang mustahil? Kenapa terus menyeksa jiwa kau sendiri!” Keras suaraku menghamburkan segala apa yang terpendam di lubuk hati ini.
 
            Hardija terus membisu. Wajahnya masih tertunduk memandang lantai. “Dulu, aku sanggup mengorbankan cinta aku demi melihat kau orang berdua bahagia. Aku sanggup meninggalkan Azhari. Kerana aku terlalu sayangkan dia, maka sebab itulah aku tak mahu halang perhubungan kau orang berdua. Sebab itulah aku bersedia mengundur diri walaupun keputusan itu benar-benar menyeksa jiwaku. Tapi sayang, Hardija. Kau tak hargai pengorbananku itu. Kau persiakan dia. Kau caci, kau hina dia. Sekarang, bila dia dah kembali semula ke pangkuanku, senang-senang kau nak rebut balik? Apa, kau ingat Azhari tu barang antik? Bila mahu rebut, bila tak mahu biarkan macam batu di tepi jalan!” luahku lagi. Seketika dia mendongak semula menentang mataku.
            “Tapi Dija benar-benar cintakan Abang Ari, kak. Dija terlalu sayangkan dia. Dija menyesal kerana persiakan dia dulu. Dija terlalu buta dengan pangkat dan kedudukan keluarga Dija. Kak, maafkan Dija. Dija janji yang Dija takkan persiakan Abang Ari lagi, kak. Percayalah kak,” ucapnya lirih. Aku ketawa sinis.
            “Dah terlambat, Dija. Kalau kau menyesal sebanyak mana sekalipun dah tak ada gunanya lagi. Macam mana kau nak buktikan kasih sayang kau kepada dia sedangkan dia sekarang dah beristeri dan bakal mempunyai anak? Dia dah ada keluarga sendiri,” ujarku sinis.
            “Senang aja, kak. Kami cuma perlukan persetujuan dari akak,” ucapnya lagi. Jantungku mulai berdegup kencang. Apakah maksudnya itu?
            “Persetujuan? Persetujuan apa?” soalku sedikit meninggi.
 
            Kulihat dia menelan air liurnya sebelum memberi penjelasannya. “Izinkan Dija bernikah dengan Abang Ari,” ucapnya perlahan. Aku tersentak. Sesungghnya permintaannya itu bagaikan petir yang menyambar seluruh tubuhku. Aku memandang wanita di hadapanku dengan perasaan yang gentar. Tanpa sedar kepalaku menggeleng perlahan.
           “Hei, kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni, hah!” bentakku geram. Dengan selamba dia mengengguk laju.
           “Ya, kak. Saya sedar. Saya benar-benar memaksudkannya. Saya masih waras, kak,” ucapnya bersahaja. Aku merengus keras.
            “Tidak, Dija! Tidak! Aku takkan setuju! Tidak sekali-kali!” jeritku.
            “Dija rela bermadu dengan kakak. Dija rela berkongsi kasih dengan kakak,” ucapnya lagi bersungguh. Aku menggeleng laju.
            “Tak, aku takkan benarkan laki aku bernikah lagi!” bentakku penuh emosi.
            “Apa, kakak tak mahu dikurniakan payung emas di syurga nanti?” soalnya agak sinis. Aku membuntangkan mata memandangnya.
           “Amboi, amboi… senangnya kau nak mengayat aku? Payung emas di syurga konon! Kau ingat dengan berkata begitu aku boleh cair dan izinkan laki aku bernikah dengan kau? Kau ingat laki aku tu apa, hah? Hei, dia tu manusia yang berperasaan jugak, tau! Huh! Tidak, Hardija. Aku takkan izinkan laki aku bernikah lagi. Dia tak perlukan isteri lebih dari satu. Aku sendiri mampu memberikan segala-gala keperluannya tanpa kekurangan apa-apa,” ucapku agak bongkak.
           “Mana akak tahu dia rasa cukup selama ni? Selama akak menjadi isteri Abang Ari, ada tak akak tanya sama ada hidup dia dah lengkap ke belum?” cabarnya. Ah, semakin membara aku dibuatnya. “Memanglah aku tak pernah tanya. Tapi dia sendiri beritahu aku yang hidupnya sekarang dah lebih dari cukup. Tambahan lagi dengan anak yang berada dalam kandungan ni,” jawabku keras sambil memegang perutku yang agak sarat itu.
 
            Dia ketawa sinis. “Itu apa yang dia cakap kat akak. Tapi, kat Dija dia kata lain,” ucapnya menyindir. Aku merenungnya dengan tajam, bagaikan singa kelaparan.
            “Apa yang dia dah cakap kat kau pasal aku?” soalku berang.
           “Dia cakap kat Dija yang dia dah bosan dengan akak. Sebab akak ni kuat merajuk, terlalu manja, sentiasa nak dibelai, tapi akak sendiri tak pandai nak jaga hati dia dan akak tak tahu nak belai dia,” ucapnya penuh emosi. Aku ketawa sinis. Entah betul entahkan tidak! Namun hatiku cukup hancur juga mendengar kata-katanya itu. Apa, benarkah suamiku berkata begitu kepadanya?
            “Aku tak percaya! Dia suami aku. Aku dah cukup kenal dengan hati budi dia. Kau jangan nak pandai-pandai mereka cerita, Dija. Aku ramas mulut kau tu karang!”
 
            Sesungguhnya aku tak boleh nak berlembut lagi dengan wanita ini. Aku harus menunjukkan ketegasanku supaya dia tidak boleh memijak aku lagi seperti dulu. Aku harus pastikan kemenangan akan berpihak kepadaku kali ini. Aku takkan biarkan dia terus memburu suamiku.
            “Maafkan aku, Dija. Aku tak boleh nak penuhi permintaan kau itu. Dan aku percaya yang Azhari jugak takkan bersetuju untuk bernikah dengan kau hatta dengan persetujuan aku sekalipun. Malah aku yakin yang dakwaan kau tentang suamiku itu tadi tak benar. Dusta! Aku takkan biarkan suami aku jatuh ke tangan perempuan lain lebih-lebih lagi ke tangan kau!” tegasku lalu bingkas bangun. “Aku nak balik. Suami aku dah janji nak balik makan tengahari di rumah,” ucapku dan terus mengatur langkah ke pintu.
            Not so fast, Kak Azween. Abang Ari takkan pulang makan tengahari di rumah,” ucapnya keras berbaur sinis. Serta-merta langkahku terhenti. Segera kutoleh memandangnya. Dia tersenyum sinis. Seketika kemudian, kedengaran loceng pintu berbunyi.

 
*****

 NAFASKU berombak. Aku bagaikan tak percaya melihat seraut wajah yang sedang berdiri di muka pintu. Terasa lututku begitu lemah.
            “Hai, abang. Masuklah. Sorry, Dija tak siap lagi. Ada tetamu,” ucapnya manja. Dadaku berdetak hebat sebaik lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah. Malah dia juga kelihatan terkejut melihat aku terpacak di ruang tamu itu. Langkahnya mati serta-merta.
            “Aween?” soalnya gugup. Bundar mataku memandangnya bersama gelengan perlahan.
            “Apa Aween buat kat sini?” soalnya lagi, tergagap-gagap.
           “Yang abang tu pulak, buat apa kat sini?” soalku meninggi. Namun pantas Hardija menyampuk. Well, Kak Azween. Kami dah janji nak lunch sama kat luar hari ni,” ucap Hardija sambil tersenyum. Senyuman yang cukup menyakitkan hatiku ini. Dia memaut lengan lelaki itu, namun pantas ditempisnya. Hardija sedikit tersentak.
 
             “Hardija!” kedengaran suara Azhari menjerit memanggil namanya.
             What?” soalnya lembut.
             How dare you do this to me? Apa pulak muslihat kau kali ni, hah?” lantang sekali suara suamiku mengherdiknya.
            “Muslihat apa, bang. Bukan ke kita dah janji nak keluar lunch sama hari ni?” gilirannya pula meninggikan suaranya kepada suamiku.
            “Bila masa pulak aku janji dengan kau? Setahu aku hari ni aku janji nak lunch di rumah bersama isteri aku!”
 
            Suasana menjadi sepi seketika. Aku terus berdiri kaku di situ. Azhari pula bagaikan dalam keadaan yang kebingungan manakala wajah Hardija pula kelihatan begitu bercahaya.
            “Kenapa kau sanggup buat kami macam ni, Hardija? Sampai hati kau, Dija,” ucap Azhari lirih. Aku pula hanya tertunduk membisu.
           “Dija buat semua ni sebab Dija sayangkan abang. I love you so much, Abang Ari. I really do. Dija menyesal dengan perbuatan Dija yang tak pernah nak hargai cinta abang dulu,” ucapnya sayu sambil memaut lengan Azhari.  Dengan perlahan Azhari melepaskan rangkulan itu.
            “Berilah Dija peluang, bang. Apa, takkan tak ada secebis pun rasa sayang abang buat Dija? Cubalah ingat kembali saat-saat manis kita berdua lima tahun yang lalu, bang,” rayunya lagi. Ah, panasnya telingaku mendengarnya.
           “Tapi aku tak cintakan kau, Dija. Sejak dulu lagi aku memang tak ada perasaan langsung pada kau. Aku terima kau dulu pun sebab aku ingin merawat lukaku setelah kehilangan Azween. Aku perlukan kekuatan untuk meneruskan kehidupanku sebagai seorang pelajar waktu tu. Aku cuba memberi peluang kepada kau, Dija. Dan aku jugak cuba menyintai kau sepenuh hatiku. Tapi kau tak pernah nak hargai peluang yang aku beri. Kau terlalu taksub dengan gelaran ‘anak Tan Sri’ kau tu. Maafkan aku, Dija. Aku tak cintakan orang lain melainkan isteri aku seorang,” ucap suamiku panjang. “Tapi abang tak ingat ke, dulu pun dia yang tinggalkan abang. Dia yang minta putus dan lepas tu dia berhenti belajar dari kolej tu. Abang jugak yang merana waktu tu. Abang tak ingat ke, waktu tu Dija yang menemani abang sepanjang abang hendak merawat luka abang tu? Kenapa mesti beri peluang kepada perempuan yang pernah kecewakan abang? Abang tak takut ditinggalkan lagi ke?” ujarnya lantang. Bagai tersentap tangkai jantungku mendengarnya.
            Stop it!” jeritku sambil menelangkupkan kedua belah telingaku. Berombak dadaku menahan amarah. Mereka tergamam seketika.
            “Kenapa, Kak Azween? Bukankah itu yang sebanarnya berlaku? Kak Azween yang minta putus dari Abang Ari dulu, kan?” sindirnya.
            “Kami putus dulu pun disebabkan kau. Kalau tak angkara muslihat jahat kau dulu, kami takkan putus. Ini semua rancangan kau supaya aku dan Azween berpisah dulu. Bila kami dah break, bolehlah kau ambil peluang, kan? Dan sekarang ini pun kau cuba nak ulangi lagi perbuatan lama kau tu supaya aku berpisah dengan isteriku pulak, kan!” tempelak Azhari pula.
 
            Sedih dan terharu mendengar bicara suamiku itu. Namun adakah setiap butir bicara yang terkeluar dari mulutnya itu memang benar-benar ikhlas dari hatinya yang luhur? Wajahku yang tertunduk kuangkat. Kulihat Hardija sudah terjelapuk di lantai, bersujud di kaki suamiku.
            “Abang, maafkan Dija, bang. Dija merayu pada abang. Terimalah Dija semula. Dija janji takkan lukakan hati abang lagi. Dija janji takkan seksa Kak Azween. Tolonglah, bang. Berilah Dija peluang, bang,” rayunya bersungguh. Aku tergamam. Sampai begitu sekali tindakannya? Seketika aku mengalihkan pandanganku memandang suamiku. Begitu juga dengan Azhari. Mata kami saling bertaut lama. Wajahnya tampak kebingungan. Seketika pandangannya beralih ke tubuh wanita yang masih terduduk di hujung kakinya itu. Dan aku sama sekali tidak menyangka yang suamiku sanggup memapah wanita itu bangun.
            “Dija, bangun Dija. Apa yang Dija buat ni?” soalnya lembut, seakan mahu memujuk wanita itu. Namun sebaik kedua belah lengannya disentuh, pantas Hardija menerpa dan memeluk batang tubuh suamiku. Azhari tergamam. Aku juga terkejut melihat tindakan berani wanita itu. Malah hatiku bertambah sakit apabila wanita itu mengongoi di dada suamiku dan terus merayu agar dirinya diberi peluang sekali lagi.  Di kala itu juga, sekali lagi mataku dan Azhari saling bertentangan. Masing-masing dalam keadaan bingung dengan apa yang terjadi.
 
            Aku menggeleng kecil. Tak sanggup rasanya hendak melihat sandiwara yang terlayar di hadapan mata. Dalam keadaan tubuhku yang memberat itu, aku cuba melangkah sepanjang yang mungkin, meninggalkan apartment mewah itu. Di kala itu juga kedengaran sayup-sayup suara Azhari memanggil-manggil namaku. Namun aku tidak mengendahkannya. Aku teruskan langkahku menuju ke lif bersama linangan airmata. Sebaik pintu lif terbuka, pantas aku masuk dan terus menekan butang ‘Door Close’. Dan sebaik pintu lif tertutup, aku dapat menangkap suara suamiku melaungkan namaku.
 
            Di dalam lif, aku tersandar lemah. Sesekali aku mengurut dadaku yang sesak menahan sendu. Tanganku terus menjalar sehingga mengenai perutku yang sedang membuncit itu. Seketika kuusapnya perlahan. Rasa mahu menjerit sekuat hatiku. Biar semua orang tahu betapa tertekan dan sakitnya jiwaku di kala ini. Ya ALLAH, adakah ini satu lagi dugaan daripadaMu? Sesungguhnya kau berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini, Ya ALLAH.

Saturday 24 November 2012

Cerpen - Jangan Pergi Dariku

 

Ilustrasi : Slot Zehra TV3 (Hanya Padamu)
“Sampai di sini aja hubungan kita. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan awak hatta sebagai kawan sekalipun!” Kata-kata yang terlontar dari mulut gadis di hadapanku ini benar-benar membuatkan hatiku berderai.
           “Tapi kenapa, Hanim? Apa salah saya?” soalku sayu. Hanim menarik nafas dalam. Aku tahu, dia sedang menahan sebak.
          “Awak tak salah, Johan. Saya yang salah. Saya yang tak sedar diri. Sepatutnya dari mula lagi kita tak seharusnya berkawan. Saya tak tahu macam manalah saya boleh tak ingat masa mula-mula kita berjumpa dulu, waktu tu awak bersama teman wanita awak. Saya yang silap!” luahnya sebak.
           “Teman wanita? Maksud awak, Zarith Sofea?” soalku. Dia terdiam tanpa reaksi.
           “Hanim, dengar sini. Saya dengan Sofea tak ada apa-apa. Kami sekadar kawan biasa. Saya tak ada perasaan langsung pada dia!”
           “Sudahlah, Johan! Awak ingat saya tak tahu? Awak ‘ayat’ Sofea dengan kata-kata manis awak tu sampai dia menaruh hati pada awak, lepas tu senang-senang awak nak tinggalkan dia macam tu aja? Dan sekarang ni perkara yang sama jugak awak nak buat pada saya, kan? Bila awak dah jemu, awak akan tinggalkan saya seperti mana awak buat pada Sofea dan gadis-gadis lain sebelum ni! Maaf, Johan. Saya bukan gadis yang senang dipermain-mainkan seperti yang awak sangka. Sebelum hubungan kita semakin jauh, dan sebelum awak lukakan hati saya, lebih baik kita hentikan aja semuanya di sini. Selamat tinggal, Johan. Lepas ni saya tak nak jumpa awak lagi. Lupakan saya!” Belum sempat aku berkata apa-apa, Hanim telah berlalu.
            “Hanim! Asiah Hanim!” jeritku, memanggilnya. Namun dia tetap meneruskan langkahnya meninggalkan aku yang masih terpacak kaku di situ.
 
            Tengahari itu, aku pulang dengan perasaan hiba dan kecewa. Sungguh, aku benar-benar tak dapat menerima keputusan Hanim untuk mengakhiri hubungan kami. Aku terbaring lemah sambil merenung siling kamarku yang berukiran indah. Benarkah Hanim mahu mengakhiri hubungan kami yang belum pun mencecah ke usia setahun jagung ini? Adakah keputusan ini lahir dari hatinya yang tulus? Ah, tak mungkin. Tak mungkin semudah ini Hanim mahu melupakanku. Sedangkan gadis-gadis yang pernah aku kecewakan sebelum ini begitu sukar untuk menerima kata-kata perpisahan dariku. Malah, ada juga yang masih menaruh harapan terhadapku walaupun sudah bertahun aku meninggalkan mereka. Mungkin Hanim masih marah. Sebab itu dia telah bertindak mengikut perasaan tanpa berfikir secara rasional.
 
            Aku sedar, aku bukanlah seorang lelaki yang baik. Kehidupanku selama ini hanya dikelilingi oleh gadis-gadis cantik dan seksi. Dengan kepakaranku dalam berkata-kata manis telah membuatkan mereka semua terkulai dalam dakapan cinta palsuku. Sebenarnya, aku bukanlah cintakan mereka semua. Aku sekadar menjadikan mereka sebagai bahan permainan atau hiburan semata-mata. Aku terlalu bangga apabila didampingi gadis-gadis cantik. Sehinggalah aku bertemu dengan Hanim. Pada mulanya, aku hanya berniat untuk mepermain-mainkannya seperti yang telah aku lakukan terhadap gadis-gadis lain. Namun kuasa Ilahi tak ada siapa yang tahu. Aku pula yang tewas. Aku benar-benar merasakan yang aku telah jatuh cinta. Ya, aku telah jatuh cinta. Bukan dengan seorang gadis seksi dan urban, tetapi dengan seorang gadis sopan lagi muslimah! Buat kesekian kalinya aku mengeluh berat. Nur Asiah Hanim… Jiwaku menyeru namanya.
 
***
7 BULAN YANG LALU…
            Selesai makan tengahari, aku dan Zarith Sofea jalan berpimpinan tangan menuju ke tempat letak kereta sambil berbual mesra. Tiba-tiba kami disapa oleh seorang gadis yang sopan, berbaju kurung dan bertudung litup.
            “Assalamualaikum,” ucapnya lembut. Kami hanya menjawab tanpa rasa ikhlas. Dalam hatiku bukan main marah lagi waktu itu. Apa, dia tak nampakkah yang kami sedang bermanja-manja waktu itu? Kenapa masih nak mengganggu? Potong stim betul! Aku menyeranah gadis itu dalam hati. Dan aku juga yakin Sofea turut merasai perkara yang sama. Bengang! Gadis itu menyerahkan sesuatu kepada kami.
            “Oh, maaf ya. Kami tak berminat nak beli,” ucap Sofea dalam nada kurang senang.
            “Oh, tidak. Jangan salah faham. Saya bukan nak jual barang. Saya cuma nak berikan risalah ni, untuk tabung bantuan Palestine. Kalau cik dengan encik ni rasa nak beri sumbangan ikhlas, boleh bank inkan aja ke dalam akaun yang tertera di flyers ni,” ucapnya lembut. Sebaik kami mengambil risalah yang dihulurkannya, dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.
 
            Di kala itu, bagaikan ada kuasa magnet yang telah menarik pandangan mataku dari terus memerhatikan gadis itu yang kian menjauh. Seketika aku terleka, tanpa kusedari Sofea turut memerhatikan gelagatku.
            “Sayang! You tengok apa tu?” sergah Sofea. Aku tersentak, tak tentu hala.
            “Ah, err… tak ada apalah. Dah, jom!” Cepat-cepat aku sedar yang aku sudah terlebih-lebih. Ah, tak mungkin. Gila!
            You ni kenapa? Jangan beritahu I yang you dah jatuh hati pada perempuan tadi tu!” ucap Sofea kurang senang.
            “Apa yang you cakap ni? Jangan merepeklah! Ada pulak I dah jatuh hati kat perempuan tadi tu? Pleaselah, bukan taste I!” ucapku.

            Dan tidak lama selepas itu, aku bertemu lagi dengannya. Ketika itu dia hanya keseorangan di restoran Secret Recipe dan sedang sibuk menaip sesuatu pada komputer ribanya. Di kala itu hatiku bagaikan meronta-ronta untuk mendekatinya. Aku menarik nafas dalam dan terus melangkah ke arah meja di mana tempat gadis itu duduk.
           “Assalamualaikum,” ucapku gugup. Dia mengangkat wajahnya.
           “Waalaikumsalam. Ya, ada apa?” soalnya.
           “Err… cik tak ingat saya?” soalku. Dia mengerutkan dahi dan menggeleng kecil.
           “Hari tu, cik ada serahkan saya sekeping flyers untuk batuan tabung Palestine. Ingat lagi tak?” soalku lagi. “Oh, maafkan saya Encik…”
            “Johan!”
           “Ya, Encik Johan. Err… saya tak perasan. Maklumlah, terlalu ramai orang yang telah saya berikan risalah tu. Manalah saya nak ingat.”
           “Tak apa, saya faham. Err… boleh saya duduk?”
           “Ya, silakan.”
            Dari situlah bermulanya perkenalan kami. Nur Asiah Hanim, indah nama itu. Namun dia lebih senang dengan panggilan Hanim. Kami berbual panjang sambil menikmati minum petang kami. Dari situlah aku mengetahui yang Hanim merupakan seorang penulis bebas dan dalam waktu yang sama dia juga merupakan salah seorang ahli sukarela pertubuhan Aman Palestine.
            “Saya teringin sangat nak ke Palestine dan melihat sendiri penderitaan saudara-mara Islam kita di sana selain ingin memberi bantuan kepada mereka semampu yang boleh. Kemudian, saya mahu menulis sebuah jurnal tentang pengalaman saya ketika berada di kem pelarian sana,” ucapnya. Sungguh, aku benar-benar kagum dengan keluhuran hati gadis ini.
 ***
 
SEMENJAK dari itu, kami mulai rapat. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku menghubungi Hanim. Namun, dalam waktu yang sama hubunganku dengan Zarith Sofea kian renggang. Aku bukan sahaja semakin jarang bertemu dengan Sofea, malah jarang juga menghubunginya. Seringkali Sofea menghubungiku, namun seringkali juga aku tidak menjawab panggilan dan juga khidmat pesanan ringkasnya. Aku sendiri tak faham mengapa aku harus menyeksa jiwa Sofea seperti itu. Apa yang pasti kini, aku lebih menyenangi Hanim berbanding Sofea.

           Hubunganku dengan Hanim makin hari makin mesra. Malah perasaanku terhadapnya juga kian mekar. Sejujurnya, aku tak pernah bertahan dengan seorang gadis lebih dari dua bulan! Hanim adalah gadis yang paling lama aku jalinkan hubungan dengannya.
 
           Sehinggalah hubungan kami dihidu oleh Sofea. Suatu hari, pejabatku telah diterjah secara tiba-tiba oleh Sofea.
           “How dare you do this to me!” marahnya sambil menumbuk mejaku kuat. Di kala itu, ramai pekerja-pekerjaku menjeling di sebalik cermin kaca yang memisahkan bilikku dengan ruang pejabat.
          “What’s wrong with you, Sofea? Yang you tiba-tiba datang sini nak mengamuk tak tentu fasal tu apa hal?”
          “You owe me an explanation, Joe! Kenapa dah lama tak contact I? Bila I call, you tak jawab. Bila I SMS pun you tak pernah reply. Can you explain to me why?” soalnya. Aku menghelakan nafas berat sambil bermain-main sebatang pen di hujung jari.
           “Why, Joe? Why? Betul ke you ada hubungan dengan perempuan lain di belakang I?” soalnya lagi. Come on, Sofea. Ini pejabat. Tolong jangan buat kecoh di sini, please!”
            “I takkan pergi selagi you tak berterus-terang dengan I!”
            “Okay, fine! You nak tahu sangat kan? Yes, memang I ada hubungan dengan perempuan lain. Dan I jugak dah rancang nak lamar dia sebagai isteri I. Puas hati you?” ucapku geram. Kulihat dada Sofea berombak kencang.
            “And what about me? Mana janji-janji you yang you nak kahwin dengan I dulu?” ujar Sofea sebak. Excuse me? Bila masa I janji nak kahwin dengan you? I cuma cakap sekiranya ditakdirkan, I akan kahwin dengan you. Tapi sekarang ni I dah jumpa orang lain. So what’s now?” cabarku.

            Sofea terdiam. Kulihat matanya mulai berkaca dan melimpah manik-manik jernih menuruni pipinya. “Sampai hati you buat I macam ni! Tak apa, Joe. You akan terima akibatnya nanti. Hei, ini Sofealah! You jangan ingat senang-senang you nak permainkan I macam betina-betina lain. Kalau you ingat I macam mereka semua, silap besarlah you! You tunggulah!” ugut Sofea dan terus berlalu keluar dari bilik pejabatku.
***
 SEMINGGU kemudian, sepucuk surat berdaftar telah sampai ke pejabatku. Sofea telah menfailkan saman ke atasku kerana telah memungkiri janji. Aku sama sekali tidak menyangka Sofea begitu berani dan sanggup bertindak sejauh ini. Malahan dia juga telah membuat laporan polis terhadapku atas tuduhan menipu dan memungkiri janji.
 
            Aku mengeluh berat. Tak tahu apa yang harus aku katakan lagi. Ya, kini aku benar-benar menyesal. Aku menyesal dengan setiap perbuatan yang telah aku lakukan dulu. Aku telah melukakan ramai wanita. Aku berdosa. Ya Allah… hatiku merintih pilu.

          ‘Hanim, saya benar-benar perlukan awak sekarang ni. Tolonglah… Berilah saya peluang untuk saya perbaiki diri saya, tolonglah….’

            Masuk kali ini sudah berpuluh kali aku menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Hanim. Namun, satu pun tidak dijawabnya. Hanim terus menyepi. Benci sungguh dia terhadapku. Aku tahu, perubahan sikap Hanim ini turut berpunca dari Sofea. Aku juga tahu apa yang telah Sofea lakukan sehingga mengundang kemarahan Hanim. Sofea telah bertemu dengan Hanim secara rahsia. Dari situ, Sofea telah membongkar segala-gala tentang diriku kepada Hanim. Malahan, Sofea juga telah mengingatkan Hanim tentang pertemuan pertama antara kami bertiga ketika Hanim menyerahkan risalah ‘Bantuan Palestine’ kepada kami beberapa bulan yang lalu.
 
           Argh! Selama ini, aku tak pernah merayu dan meraih apa-apa dari seorang wanita. Entah bagaimana lain pula yang terjadi ketika ini. Hanya kerana seorang gadis bernama ‘Hanim’, aku sanggup membuang pendirianku yang tertanam kukuh di dada ini jauh-jauh. Aku bagaikan seorang hamba yang sanggup sujud di kaki tuannya demi meminta belas ehsan. Dasyat sungguh penangan gadis bernama ‘Hanim’ ini.
 ***
TANPA KUDUGA, suatu hari aku telah menerima satu pesanan ringkas dari Hanim. Betapa gembiranya aku, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia ingin bertemu denganku di Secret Recipe di mana tempat kami minum petang bersama buat kali pertama beberapa bulan yang lalu.
 
            Dari jauh, aku dapat melihat dia sedang menunggguku di meja yang sama. Aku tersenyum dan terus melangkah laju menghampirinya.
            “Assalamualaikum,” ucapku. Dia mendongak lalu menjawab salamku.
            “Terima kasih, Hanim. Akhirnya awak sudi jugak untuk berjumpa dengan saya. Saya ingat awak benar-benar tak mahu jumpa dengan saya lagi, macam yang awak cakapkan hari tu,” ujarku. Dia terdiam.
            “Saya nak jumpa dengan awak ni bersebab, Johan,” ujarnya pula setelah menyepi seketika.
            “Saya pun ada perkara yang nak disampaikan kepada awak. Tapi tak apa, saya beri peluang untuk awak cakap dulu,” ucapku teruja.
 
            Dia menarik nafas dalam sebelum menghembuskannya pelahan. “Johan, pertama sekali saya ingin meminta maaf dari awak di atas setiap kesilapan yang telah saya lakukan terhadap awak sejak mula kita kenal sehinggalah sekarang. Saya tahu awak terluka dengan saya. Tapi saya jugak nak awak tahu yang saya jugak terluka dan kecewa setelah mengetahui siapa awak sebenarnya,” ucapnya perlahan. “Jadi awak lebih mempercayai Sofea berbanding saya? Macam tu? Sekarang saya nak tahu, awak lebih mengenali saya ataupun Sofea?” soalku tak puas hati.
            “Awak jangan salahkan Sofea. Dia tu mangsa yang teraniaya oleh kita berdua. Kalau saya berada di tempat Sofea, kemungkinan saya jugak akan melakukan perkara yang sama. Bukan kerana dendam, tetapi demi maruah.” Aku mengeluh berat.
            “Entahlah, Hanim. Saya dah penat nak bertelagah untuk mempertahankan diri saya. Sekarang ni, semua orang salahkan saya. Semua meletakkan kesilapan di bahu saya sampaikan saya terasa amat beban. Tak apalah, Hanim. Saya maafkan awak, walaupun awak tak pernah buat silap dengan saya. Dan saya jugak nak mohon maaf andainya perbuatan saya selama ni telah membuatkan awak terluka dan kecewa.”
 
            Sepi seketika sebelum dia menyambung kata-katanya. “Johan, esok Aman Palestine Malaysia akan menghantar pasukan sukarela ke Gaza. Dan saya merupakan salah seorang ahli sukarela yang akan menyertai misi ni. Saya pernah ceritakan kepada awak kan, yang saya teringin nak ke sana dan memberi bantuan di kem pelarian? Alhamdulillah, akhirnya apa yang saya hajati telah termakbul,” ucapnya tenang. Namun sebaliknya, aku pula yang tercengang mendengar apa yang dikatakan oleh Hanim itu. 
            What?” hampir tak terkeluar suara itu.
            “Esok awak nak ke Gaza, dan baru hari ni awak nak beritahu saya? Kenapa, Hanim? Kenapa? Kenapa awak benci sangat pada saya? Apa salah saya sampai awak hukum saya macam ni sekali?”
            “Johan, saya tak pernah bencikan awak. Malah awak tak pernah buat salah pada saya. Saya yang silap. Sebab kehadiran saya telah mengganggu hubungan awak dengan Sofea. Saya beritahu awak ni pun, sebab saya nak minta maaf dari awak. Saya takut kalau terjadi apa-apa pada saya di sana nanti, sekurang-kurangnya saya dah dapat pengampunan dari awak.” Aku mengeluh lagi. Balik-balik Sofea! Sudah berapa kali aku katakan yang aku dah tak ada apa-apa dengan gadis itu?
             “Awak dah nekad, Hanim?” Dia mengangguk.
             “Saya nekad, Johan.”
            “Awak pasti? Dah fikir habis?” Lama dia terdiam dengan pertanyaanku itu sebelum mengangguk kecil.
             “Saya dah fikir masak-masak. Takkan ada sesiapa pun yang dapat mengubah keputusan saya ni. Lagipun, inilah impian saya sejak saya menyertai Pertubuhan Aman Palestine setahun yang lalu. Saya nak bantu saudara-mara kita yang sedang mengalami kesusahan.”
             “Habis tu, saya macam mana?” soalku sebak.
             “Awak boleh teruskan kehidupan awak macam biasa, Johan.”
             “Hanim, kehidupan saya takkan sama sepertimana adanya awak di sisi saya…”
            “Awak tak payah nak mereka-reka ayat manis awak tu supaya saya boleh tarik balik keputusan saya ni. Walau apa sekalipun, saya tetap akan pergi.”
            “Hanim, saya tahu awak marahkan saya. Saya sedar yang awak mulai tak sukakan saya selepas awak tahu tentang sikap buruk saya. Ya, saya mengaku saya ni jahat. Saya kaki perempuan, saya romeo, playboy, kasanova… tapi itu dulu, sebelum saya kenal dengan awak. Sejak awak hadir dalam hidup saya, saya dapat rasakan kehidupan saya semakin bermakna. Awak telah membawa saya keluar dari dunia saya sebelum ni yang penuh dengan kepura-puraan. Sekarang saya mulai menyesal dan saya mahu bertaubat. Saya nak berubah.”
            “Alhamdulillah, syukurlah awak dah mulai sedar dan mahu berubah. Saya doakan supaya Allah terus memberi hidayah kepada awak dan sentiasa memberkati penghijrahan awak kali ni,” ucapnya. “Awak tak mahu beri saya peluang? Saya amat sayangkan awak, Hanim. Saya tak sanggup nak berpisah dengan awak, apatah lagi berjauhan dengan awak.” aku terus merayu.
 
            Dia terdiam lagi sebelum menyambung bicaranya. “Habis tu, bagaimana pulak dengan Sofea?” soalnya. Ah, Sofea lagi!
           “Hanim, tentang saya dan Sofea, itu adalah kisah lebih tujuh bulan yang lalu. Saya dah terangkan kepadanya supaya dia faham. Saya tak tahu kenapa dia sanggup buat semua ni pada saya.”
            “Sebab awak pernah beri harapan kepadanya dulu. Dan sekarang ni, awak pula yang punahkan segala-galanya. Awak kena ingat, baik Sofea mahupun gadis-gadis yang pernah jadi mangsa awak selama ni, mereka jugak manusia yang ada maruah dan harga diri.” Aku terdiam. Mulutku bagaikan terkunci rapat.
            “Hanya satu saja jalan untuk awak bebas dari pertuduhan yang dibuat oleh Sofea. Awak kena kahwini dia,” sambungnya.
            “Tak boleh. Saya tak pernah cintakan dia.”
           “Terpulanglah kepada awak, Johan. Pilihan berada di tangan awak. Buatlah keputusan dengan bijak. Okey, saya tamat sampai di sini. Giliran awak pulak.”
 
            Aku menghelakan nafas berat. Sejak semalam lagi, fikiranku begitu asyik merangka ucapan yang hendak kuluahkan kepada gadis ini. Namun segala-galanya bagaikan lenyap setelah mendengar kata-kata yang diucapkan Hanim sebentar tadi. Seketika, aku menggeleng laju.
           “Tak ada apa lagi untuk saya katakan, Hanim. Semuanya telah saya luahkan dalam perbincangan kita tadi. Tak ada, Hanim…”
            “Kalau macam tu, saya pergi dulu. Banyak lagi urusan yang perlu saya buat sebelum bertolak esok. Jumpa lagi.” Hanim terus bangun dan berlalu dari situ, manakala aku pula masih tertunduk memandang meja. Tak sanggup untuk aku memandang wajahnya yang hanya mengundang rasa kecewa biarpun jiwaku meronta-ronta untuk melihat wajahnya buat kesekian kali.
 
            Pulang dari bertemu dengan Hanim, aku terus memandu keretaku tanpa arah tuju. Sama seperti jiwaku yang tak tentu arah ketika ini. Lagu ‘Surgamu’ nyanyian Kumpulan Ungu berkumandang di radio. Liriknya yang lebih kepada memuji kebesaran Ilahi, benar-benar mendamaikan jiwaku yang gundah. Kuhayati bait-bait lagu itu dengan perasaan sayu. Kenangan bersama Hanim menggamit lagi. Hanim cukup gemarkan lagu-lagu yang memiliki unsur-unsur zikir dan munajat kepada Allah. Katanya, lagu-lagu yang banyak memuji kebesaran Yang Maha Esa seperti ini jauh lebih menenangkan kalau hendak dibandingkan dengan muzik-muzik yang lain.
 
            Spontan aku memandu menuju ke Taman Tasik Titiwangsa, di mana tempat kami sering bersama di hujung minggu untuk beriadah. Kalau dulu, setiap kali di hujung minggu, tempatku hanyalah di kelab-kelab malam, menghabiskan masaku bersama rakan-rakan liburku. Turut serta gadis-gadis kelab yang cantik dan seksi. Namun semenjak mengenali Hanim, aku tidak lagi ke tempat-tempat seperti itu. Sebaliknya, aku lebih gemar menghabiskan masaku bersama Hanim dengan beriadah di taman ini.
 
            Mataku tak lepas dari terus merenung permukaan tasik yang tenang. Tapi sayang, jiwaku tak setenang air tasik yang terbentang luas di hadapanku ini. Tak dapat aku gambarkan bagaimana kehidupanku selepas ini setelah ketiadaan Hanim. Pastinya kosong tak bermakna. Ah, Hanim. Beginilah keadaan diriku apabila Hanim tiada di sisi. Jiwa tak keruan. Hidup bagaikan hilang arah. Aku tak mampu lagi untuk mendekati Hanim seterusnya menghalang gadis itu dari terus berlalu. Gadis itu ibarat pelangi senja, yang indah untuk dilihat namun mustahil untuk didekati. Makin dikejar, makin ia menjauh dan seterusnya hilang dari pandangan mata.
 
           Tanpa kusedari, aku mencapai sebiji anak batu di hujung kasutku lalu kubaling sekuat hati ke permukaan tasik. Air tasik yang tadinya begitu tenang kini bekocak kecil dengan balingan itu, seterusnya membentuk sebuah bulatan yang kian membesar di permukaannya.
 
           Setelah keadaanku menjadi sedikit tenang, aku melangkah perlahan ke kereta. Namun ketenangan itu hanya hadir untuk seketika. Bayangan Hanim kembali menghantui fikiranku. Agak lama aku membatu di dalam kereta melayani jiwaku yang berkecamuk. Pantas aku mencapai telefon bimbitku dan seterusnya mendail nombor gadis itu. Biarlah kami berbicara tanpa bertentangan mata. Mungkin itu adalah lebih baik. Namun sekali lagi aku hampa. Gadis itu tidak menjawab panggilanku. Aku tetap takkan berputus asa. Lantas kuhantar khidmat pesanan ringkas kepadanya.
 
         'Hanim, I’m so sorry. Tolonglah, beri saya peluang sekali lagi. Please… Saya benar-benar cintakan awak. Tolonglah… Saya janji yang saya takkan sia-siakan awak…’
 
            Dan seperti biasa, khidmat pesanan ringkasku itu hanya dibiarkan sepi…
 
***
AKU NEKAD! Aku tak peduli. Aku harus bertemu dengan Hanim buat kali terakhir. Selagi masih ada peluang, aku akan terus berharap! Johan takkan pernah mudah mengalah! Kucuba tiupkan semangat ke dalam diriku agar terus kuat berhadapan dengan hari-hari mendatang. Kupecut laju keretaku menuju ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan perasaan berbaur.

            Di KLIA, aku cuba mencari kelibatnya. Alhamdulillah, setelah puas mencari akhirnya mataku terpandang akan gadis yang kupuja siang dan malam. Tidak jauh dari situ kelihatan sekumpulan ahli sukarela Aman Palestine yang lain sedang berkumpul bersama kain rentang. Dari jauh kulihat wajah sayunya menyalami kedua orang tuanya dengan penuh hormat. Dan mata kami saling bertentang sebaik dia memeluk seorang wanita berumur yang pada fikiranku merupakan ibunya. Ada reaksi terkejut yang terlukis di wajah lembut itu. Dalam keadaan kalut, aku cuba memaniskan mukaku dengan senyuman.

            Aku memberanikan diri mendekati mereka. Kedua orang tuanya hanya memandangku dengan pandangan terpinga-pinga, manakala dia pula tampak lebih tenang. “Johan! Awak…” kata-katanya terhenti di situ sebaik menyedari ada dua pasang mata memandang ke arah kami.
            “Err… Johan, ini emak dan abah saya. Mak, abah, ini Johan. Kawan Hanim,” dia memperkenalkan kami. Aku mengangguk bersama senyuman lalu menyalami lelaki tua yang dipanggil ‘abah’ itu.
            “Err… maafkan saya, pakcik, makcik. Saya nak berjumpa dengan Hanim sebentar,” ucapku lembut. “Ya, silakan. Hanim, cepat ya. Nanti terlepas pulak,” abahnya memberi keizinan.
 
            Kami mengambil tempat agak jauh sedikit dari kedua orang tua Hanim. “Johan, apa awak buat kat sini?” keluhnya.
            “Hanim, saya datang nak berjumpa awak buat kali terakhir sebelum awak berangkat. Selagi hal kita belum selesai, selagi tu hati saya takkan tenang,” luahku perlahan. Dia mendengus kecil. Sesekali dia meperbetulkan muffler hitam-putih Aman Palestine yang melitupi bahunya.
            “Apa lagi, Johan? Bukankah hal kita ni dah selesai?”
            “Mungkin pada awak dah selesai, tapi bukan pada saya!” tegasku.
            “Johan, saya dah nak berangkat ni,” rayunya.
            “Baiklah, saya akan tunggu awak pulang. Sampai bila-bila pun saya tetap akan tunggu. Hanim, saya datang cuma nak meluahkan hasrat hati saya. Saya nak lamar awak sebagai isteri saya, depan kedua orang tua awak!” tegasku berani. Bundar matanya memandangku.
            “Awak, tolonglah jangan!”
            “Kenapa tidak?”
            “Awak, janganlah terlalu berharap. Nanti awak akan terluka. Johan, saya pergi ni dengan membawa dua kemungkinan. Yang pertama, saya pergi dan mungkin akan kembali. Yang kedua, saya pergi dan mungkin takkan kembali. Kalaulah terjadi kemungkinan yang kedua? Takdir Allah tiada siapa yang tahu, Johan. Saya tak nak nanti harapan hanya tinggal harapan semata-mata…”
            “Tapi Hanim…”
           “Johan!” pintasnya.
           “Dengarlah cakap saya ni. Kalau awak benar-benar sayangkan saya, lepaskan saya. Percayalah pada takdir. Andainya sudah tersurat yang awak adalah jodoh saya, kita tetap akan bersatu juga suatu hari nanti. Kalau tidak, pastinya ada hikmah yang lebih baik yang kita sendiri tak jangka,” pujuknya. Aku terdiam.
            “Maaf, saya terpaksa pergi. Jaga diri awak baik-baik. Jangan lupa, dekatkan diri kepada Allah, rajinkan diri untuk bersolat dan perbanyakkan berdoa supaya hati awak menjadi tenang. Saya doakan semoga awak menemui kebahagiaan yang awak cari selama ni. Saya pergi dulu. Assalamualaikum!” Selesai dia meluahkan kata-katanya, gadis itu terus melangkah laju sambil menarik bagasinya, meninggalkan aku yang masih terpacak di situ.
 
           Kuhantar langkah Hanim menuju ke balai perlepasan dengan perasaan sayu. Adakah peluangku untuk sehidup-semati bersama Hanim juga akan berlalu pergi bersama langkah gadis itu? Sedikit demi sedikit rasa sayu itu bertukar menjadi sebak.
 
           Hanim, aku relakan kau pergi. Selamat jalan, sayang. Aku doakan agar kau selamat di bawah lindunganNya. Malahan, aku juga akan bermohon kepadaNya agar pintu hatimu akan terbuka semula untukku. Kasih, usahlah kau pergi dari hidupku…
 
TAMAT