Monday 31 December 2012

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 41)

PAGI ITU, selepas bersiap dan menunaikan solat Subuh, aku terus turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi untuk suamiku. Sedang aku menghidang air Nescafe di atas meja, kelihatan Azhari terkocoh-kocoh turun bersama briefcasenya. Dia terus mengambil tempat di kerusi tanpa menghiraukan aku yang terpacak di situ. Aku hanya memandangnya sepi. Seperti biasa aku akan menuangkan minuman ke dalam cawan lalu kuhulurkan kepadanya. Dia menyambut cawan yang penuh berisi air Nescafe yang masih panas itu tanpa memandang ke wajahku langsung. Rajuk benar dia kali ini.

            Segera aku menarik kerusi di hadapannya. Aku terus memerhatikannya yang sedang mengunyah sandwich sardinnya itu.
           “Tengahari ni abang balik makan tak?” soalku memberanikan diri. Semenjak dari peristiwa pertengkaran kami malam itu, kehidupan kami di rumah ini tak ubah seperti orang asing. Kami bagaikan tidak mengenali antara satu sama lain. Dia terus leka mengunyah rotinya tanpa memandang ke wajahku. Soalanku dibiarkannya sepi.
            “Tengoklah macam mana nanti,” ucapnya bersahaja setelah lama membiarkan aku menanti. Hambar sekali kedengarannya.

            Setelah meneguk sedikit minumannya, terus dia bangun menuju ke pintu. Aku hanya menghantar langkahnya dengan pandangan yang sayu. Dari jauh aku melihat dia terduduk di muka pintu sambil mengenakan kasutnya. Lantas aku bangkit dan melangkah ke muka pintu. Ketika itu, dia sudahpun siap bersepatu.
            “Abang,” panggilku lembut sebaik dia mahu melangkah ke kereta. Langkahnya terhenti. Dengan perlahan dia memusingkan tubuhnya ke belakang. Kali ini, barulah mata kami bertaut. Dalam keadaan yang teragak-agak, aku menghulurkan tanganku untuk bersalaman dengannya. Dan aku bertambah terharu apabila dia menyambut huluran tanganku. Dengan penuh syahdu aku mencium tangan sasanya itu. Seketika dahiku turut dikucupnya lembut. Ah, semakin sayu aku dibuatnya. “Abang balik makan tengahari ni,” ucapnya lalu membuka pintu keretanya. Aku terus memerhatikan keretanya yang mengundur keluar dan akhirnya terus meluncur dan hilang dari pandangan.

            Sedang aku sibuk mengeluarkan bahan-bahan yang hendak dimasak dari dalam peti sejuk, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitku berbunyi berkali-kali. Pantas aku mencapainya. Aku merengus tatkala melihat nombor yang tidak dikenali tertera di skrin. Pantas aku menekan punat hijau untuk menjawab.
            “Helo, assalamualaikum,” ucapku.
            “Waalaikumussalam. Hai, Kak Azween. Apa khabar?” balas si pemanggil. Aku mengerutkan dahi. “Siapa ni?” soalku. Kedengaran suara tawa sinis di hujung talian. Cukup membuatkan aku jelik.
            “Masakan akak tak kenal dengan saya lagi?” soalnya lagi seakan mahu berteka-teki denganku. Aku merengus keras.
            “Helo, saudari. Tolonglah jangan nak main-main dengan saya. Saya tak ada masa nak berteka-teki dengan awak. Just beritahu siapa sebenarnya awak dan apa tujuan awak call saya ni?” keras suaraku. Sekali lagi dia ketawa. Kali ini dia mengilai membuatkan aku tergamam.
           “Saya Hardija. Kak Azween ingat lagi tak?” ujarnya bersama tawa. Sinis. Aku terkesima.
           “Macam mana kau boleh tahu nombor aku ni, hah?” soalku keras. Dia ketawa lagi.
           “Well, itu Kak Azween tak perlu tahu. Tak penting pun. Saya nak jumpa dengan akak hari ni, boleh?” soalnya. Aku terdiam.
            “Kenapa, kak? Abang Ari tak benarkan akak keluar ke?” soalnya lagi.
            “Ada apa hal nak jumpa dengan aku?” soalku sedikit tegas.
            “Adalah yang nak saya bincangkan dengan akak. Harap akak tak keberatan,” ujarnya.
            “Aku tak janji. Penting sangat ke hal kau tu? Pasal apa? Kalau pasal suami aku, lupakan aja. Aku tak mahu kau masuk campur dalam urusan rumahtangga aku,” ucapku kasar.
            “Tapi akak jangan lupa, saya jugak terlibat dalam masalah rumahtangga akak dan Abang Ari. Dan saya percaya yang sayalah puncanya hubungan akak dan Abang Ari menjadi dingin sekarang ni. Jadi, izinkan saya memperbetulkannya semula. Jangan lupa datang ya, kak. Pukul sebelas ni di rumah saya. Saya akan mesej address saya nanti. And one more thing, tolong jangan beritahu hal ni kepada Abang Ari. Ini antara kita berdua sahaja.”
 
            Klik! Belum sempat aku membalas, dia terlebih dahulu mematikan talian. Aku mengeluh berat. Nampaknya perempuan itu sudah melampau. Sesungguhnya aku sudah tidak terdaya lagi hendak melihat suamiku murung saban hari dan rumahtanggaku terus diganggu. Aku mulai sedar, tidak sepatutnya aku membiarkan suamiku berjuang seorang diri dan aku pula hanya mampu duduk bergoyang kaki sambil memerhatikannya bergelut demi mempertahankan rumahtangga kami. Adalah wajar kiranya aku turut sama turun padang, berjuang bersama suamiku supaya rumahtangga yang dibina atas dasar kasih sayang ini tidak terus goyah. Biarpun begitu sukar, namun aku harus lakukannya juga. Itu adalah tanggungjawab bagi setiap hamba ALLAH di muka bumi ini untuk mempertahankan masjid yang telah dibina agar terus kukuh berdiri.

*****

 
TIBA di pintu apartment mewah itu, aku terus menekan punat locengnya. Tiada respon. Namun aku tidak berputus asa, aku menekan lagi punat loceng tersebut buat kali kedua. Dan kali ini, barulah kedengaran satu suara dari dalam.
            “Kejap…” Aku terus menunggu sehinggalah pintu kayu berukir itu terbuka. Tidak lama kemudian, daun pintu itu terkuak. Terserlah seraut wajah bujur sireh yang cukup ayu bersama segaris senyuman di di muka pintu itu, namun mampu membuatkan api kemarahanku marak meluap-luap.
            “Assalamualaikum,” ucapku perlahan namun keras.
            “Waalaikumussalam,” jawabnya gugup.
            “Terima kasih, kak. Kerana sudi datang ke rumah saya ni,” ucapnya lembut. Aku tersenyum sinis.
 
            Seketika kemudian dia melangkah keluar lalu membuka grill untuk mempersilakan aku masuk. “Masuklah, kak,” pelawanya lembut. Aku mengangguk perlahan.
            “Terima kasih,” ucapku lalu melangkah masuk ke dalam apartment itu. Mataku terus memerhatikan suasana ruang yang diberi sentuhan moden itu. Cukup kemas.
            “Duduklah, kak,” pelawanya lagi. Aku segera mengambil tempat di atas sebuah sofa.
            “Akak nak minum apa? Panas atau sejuk?” soalnya ramah. Segera aku menggeleng.
           “Hmm… tak payah susah-susah, Hardija. Aku datang bukan nak minum,” jawabku perlahan. Dia mengangguk.
            “Duduk,” arahku tegas. Dia akur.
 
            Aku begitu sabar menanti bicara dari mulut wanita ini. Dia menarik nafas panjang. Aku terus merenung wanita di hadapanku ini. Nasib baik aku masih lagi mampu untuk bersabar. Kalau tidak, mahu saja aku mengganyang perempuan ini. Sebaik melihat dia melayaniku dengan baik, terpaksalah aku berlembut sedikit dengannya. Namun aku harus berhati-hati. Kelembutannya mungkin sekadar dibuat-buat supaya aku tidak mengasarinya. Hardija… Bukannya aku tak kenal, seorang wanita hipokrit! Pandai mengaburi mata orang lain dengan sikap kepura-puraannya itu.
            So, just go straight to the point. Tolong jangan buang masa aku. Banyak perkara yang nak aku uruskan di rumah,” ucapku serius. Sekali lagi dia menghelakan nafas panjang. Seketika dia mengangguk laju.
            “Okey,” ucapnya sebelum memulakan bicara.
           “Pertama sekali, saya ingin memohon maaf dari akak sebab mengganggu ketenteraman rumahtangga akak dengan Abang Ari selama ni. Tapi, saya tak mampu nak menahan dengan kehendak hati saya ni, kak,” ucapnya perlahan. Aku mengerutkan dahi.
            “Apa maksud kau?” soalku kebinngungan.
            “Dija… Dija masih cintakan Abang Ari, kak,” ucapnya. Aku terpampan. Wajahnya kurenung lagi. Lebih tajam.
            “Dija, kau sedar tak orang yang kau cintakan tu suami aku? Kenapa kau tak cuba berusaha untuk menghalang hati kau tu supaya tak terus mengharap sesuatu yang mustahil? Kenapa terus menyeksa jiwa kau sendiri!” Keras suaraku menghamburkan segala apa yang terpendam di lubuk hati ini.
 
            Hardija terus membisu. Wajahnya masih tertunduk memandang lantai. “Dulu, aku sanggup mengorbankan cinta aku demi melihat kau orang berdua bahagia. Aku sanggup meninggalkan Azhari. Kerana aku terlalu sayangkan dia, maka sebab itulah aku tak mahu halang perhubungan kau orang berdua. Sebab itulah aku bersedia mengundur diri walaupun keputusan itu benar-benar menyeksa jiwaku. Tapi sayang, Hardija. Kau tak hargai pengorbananku itu. Kau persiakan dia. Kau caci, kau hina dia. Sekarang, bila dia dah kembali semula ke pangkuanku, senang-senang kau nak rebut balik? Apa, kau ingat Azhari tu barang antik? Bila mahu rebut, bila tak mahu biarkan macam batu di tepi jalan!” luahku lagi. Seketika dia mendongak semula menentang mataku.
            “Tapi Dija benar-benar cintakan Abang Ari, kak. Dija terlalu sayangkan dia. Dija menyesal kerana persiakan dia dulu. Dija terlalu buta dengan pangkat dan kedudukan keluarga Dija. Kak, maafkan Dija. Dija janji yang Dija takkan persiakan Abang Ari lagi, kak. Percayalah kak,” ucapnya lirih. Aku ketawa sinis.
            “Dah terlambat, Dija. Kalau kau menyesal sebanyak mana sekalipun dah tak ada gunanya lagi. Macam mana kau nak buktikan kasih sayang kau kepada dia sedangkan dia sekarang dah beristeri dan bakal mempunyai anak? Dia dah ada keluarga sendiri,” ujarku sinis.
            “Senang aja, kak. Kami cuma perlukan persetujuan dari akak,” ucapnya lagi. Jantungku mulai berdegup kencang. Apakah maksudnya itu?
            “Persetujuan? Persetujuan apa?” soalku sedikit meninggi.
 
            Kulihat dia menelan air liurnya sebelum memberi penjelasannya. “Izinkan Dija bernikah dengan Abang Ari,” ucapnya perlahan. Aku tersentak. Sesungghnya permintaannya itu bagaikan petir yang menyambar seluruh tubuhku. Aku memandang wanita di hadapanku dengan perasaan yang gentar. Tanpa sedar kepalaku menggeleng perlahan.
           “Hei, kau sedar tak apa yang kau cakapkan ni, hah!” bentakku geram. Dengan selamba dia mengengguk laju.
           “Ya, kak. Saya sedar. Saya benar-benar memaksudkannya. Saya masih waras, kak,” ucapnya bersahaja. Aku merengus keras.
            “Tidak, Dija! Tidak! Aku takkan setuju! Tidak sekali-kali!” jeritku.
            “Dija rela bermadu dengan kakak. Dija rela berkongsi kasih dengan kakak,” ucapnya lagi bersungguh. Aku menggeleng laju.
            “Tak, aku takkan benarkan laki aku bernikah lagi!” bentakku penuh emosi.
            “Apa, kakak tak mahu dikurniakan payung emas di syurga nanti?” soalnya agak sinis. Aku membuntangkan mata memandangnya.
           “Amboi, amboi… senangnya kau nak mengayat aku? Payung emas di syurga konon! Kau ingat dengan berkata begitu aku boleh cair dan izinkan laki aku bernikah dengan kau? Kau ingat laki aku tu apa, hah? Hei, dia tu manusia yang berperasaan jugak, tau! Huh! Tidak, Hardija. Aku takkan izinkan laki aku bernikah lagi. Dia tak perlukan isteri lebih dari satu. Aku sendiri mampu memberikan segala-gala keperluannya tanpa kekurangan apa-apa,” ucapku agak bongkak.
           “Mana akak tahu dia rasa cukup selama ni? Selama akak menjadi isteri Abang Ari, ada tak akak tanya sama ada hidup dia dah lengkap ke belum?” cabarnya. Ah, semakin membara aku dibuatnya. “Memanglah aku tak pernah tanya. Tapi dia sendiri beritahu aku yang hidupnya sekarang dah lebih dari cukup. Tambahan lagi dengan anak yang berada dalam kandungan ni,” jawabku keras sambil memegang perutku yang agak sarat itu.
 
            Dia ketawa sinis. “Itu apa yang dia cakap kat akak. Tapi, kat Dija dia kata lain,” ucapnya menyindir. Aku merenungnya dengan tajam, bagaikan singa kelaparan.
            “Apa yang dia dah cakap kat kau pasal aku?” soalku berang.
           “Dia cakap kat Dija yang dia dah bosan dengan akak. Sebab akak ni kuat merajuk, terlalu manja, sentiasa nak dibelai, tapi akak sendiri tak pandai nak jaga hati dia dan akak tak tahu nak belai dia,” ucapnya penuh emosi. Aku ketawa sinis. Entah betul entahkan tidak! Namun hatiku cukup hancur juga mendengar kata-katanya itu. Apa, benarkah suamiku berkata begitu kepadanya?
            “Aku tak percaya! Dia suami aku. Aku dah cukup kenal dengan hati budi dia. Kau jangan nak pandai-pandai mereka cerita, Dija. Aku ramas mulut kau tu karang!”
 
            Sesungguhnya aku tak boleh nak berlembut lagi dengan wanita ini. Aku harus menunjukkan ketegasanku supaya dia tidak boleh memijak aku lagi seperti dulu. Aku harus pastikan kemenangan akan berpihak kepadaku kali ini. Aku takkan biarkan dia terus memburu suamiku.
            “Maafkan aku, Dija. Aku tak boleh nak penuhi permintaan kau itu. Dan aku percaya yang Azhari jugak takkan bersetuju untuk bernikah dengan kau hatta dengan persetujuan aku sekalipun. Malah aku yakin yang dakwaan kau tentang suamiku itu tadi tak benar. Dusta! Aku takkan biarkan suami aku jatuh ke tangan perempuan lain lebih-lebih lagi ke tangan kau!” tegasku lalu bingkas bangun. “Aku nak balik. Suami aku dah janji nak balik makan tengahari di rumah,” ucapku dan terus mengatur langkah ke pintu.
            Not so fast, Kak Azween. Abang Ari takkan pulang makan tengahari di rumah,” ucapnya keras berbaur sinis. Serta-merta langkahku terhenti. Segera kutoleh memandangnya. Dia tersenyum sinis. Seketika kemudian, kedengaran loceng pintu berbunyi.

 
*****

 NAFASKU berombak. Aku bagaikan tak percaya melihat seraut wajah yang sedang berdiri di muka pintu. Terasa lututku begitu lemah.
            “Hai, abang. Masuklah. Sorry, Dija tak siap lagi. Ada tetamu,” ucapnya manja. Dadaku berdetak hebat sebaik lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah. Malah dia juga kelihatan terkejut melihat aku terpacak di ruang tamu itu. Langkahnya mati serta-merta.
            “Aween?” soalnya gugup. Bundar mataku memandangnya bersama gelengan perlahan.
            “Apa Aween buat kat sini?” soalnya lagi, tergagap-gagap.
           “Yang abang tu pulak, buat apa kat sini?” soalku meninggi. Namun pantas Hardija menyampuk. Well, Kak Azween. Kami dah janji nak lunch sama kat luar hari ni,” ucap Hardija sambil tersenyum. Senyuman yang cukup menyakitkan hatiku ini. Dia memaut lengan lelaki itu, namun pantas ditempisnya. Hardija sedikit tersentak.
 
             “Hardija!” kedengaran suara Azhari menjerit memanggil namanya.
             What?” soalnya lembut.
             How dare you do this to me? Apa pulak muslihat kau kali ni, hah?” lantang sekali suara suamiku mengherdiknya.
            “Muslihat apa, bang. Bukan ke kita dah janji nak keluar lunch sama hari ni?” gilirannya pula meninggikan suaranya kepada suamiku.
            “Bila masa pulak aku janji dengan kau? Setahu aku hari ni aku janji nak lunch di rumah bersama isteri aku!”
 
            Suasana menjadi sepi seketika. Aku terus berdiri kaku di situ. Azhari pula bagaikan dalam keadaan yang kebingungan manakala wajah Hardija pula kelihatan begitu bercahaya.
            “Kenapa kau sanggup buat kami macam ni, Hardija? Sampai hati kau, Dija,” ucap Azhari lirih. Aku pula hanya tertunduk membisu.
           “Dija buat semua ni sebab Dija sayangkan abang. I love you so much, Abang Ari. I really do. Dija menyesal dengan perbuatan Dija yang tak pernah nak hargai cinta abang dulu,” ucapnya sayu sambil memaut lengan Azhari.  Dengan perlahan Azhari melepaskan rangkulan itu.
            “Berilah Dija peluang, bang. Apa, takkan tak ada secebis pun rasa sayang abang buat Dija? Cubalah ingat kembali saat-saat manis kita berdua lima tahun yang lalu, bang,” rayunya lagi. Ah, panasnya telingaku mendengarnya.
           “Tapi aku tak cintakan kau, Dija. Sejak dulu lagi aku memang tak ada perasaan langsung pada kau. Aku terima kau dulu pun sebab aku ingin merawat lukaku setelah kehilangan Azween. Aku perlukan kekuatan untuk meneruskan kehidupanku sebagai seorang pelajar waktu tu. Aku cuba memberi peluang kepada kau, Dija. Dan aku jugak cuba menyintai kau sepenuh hatiku. Tapi kau tak pernah nak hargai peluang yang aku beri. Kau terlalu taksub dengan gelaran ‘anak Tan Sri’ kau tu. Maafkan aku, Dija. Aku tak cintakan orang lain melainkan isteri aku seorang,” ucap suamiku panjang. “Tapi abang tak ingat ke, dulu pun dia yang tinggalkan abang. Dia yang minta putus dan lepas tu dia berhenti belajar dari kolej tu. Abang jugak yang merana waktu tu. Abang tak ingat ke, waktu tu Dija yang menemani abang sepanjang abang hendak merawat luka abang tu? Kenapa mesti beri peluang kepada perempuan yang pernah kecewakan abang? Abang tak takut ditinggalkan lagi ke?” ujarnya lantang. Bagai tersentap tangkai jantungku mendengarnya.
            Stop it!” jeritku sambil menelangkupkan kedua belah telingaku. Berombak dadaku menahan amarah. Mereka tergamam seketika.
            “Kenapa, Kak Azween? Bukankah itu yang sebanarnya berlaku? Kak Azween yang minta putus dari Abang Ari dulu, kan?” sindirnya.
            “Kami putus dulu pun disebabkan kau. Kalau tak angkara muslihat jahat kau dulu, kami takkan putus. Ini semua rancangan kau supaya aku dan Azween berpisah dulu. Bila kami dah break, bolehlah kau ambil peluang, kan? Dan sekarang ini pun kau cuba nak ulangi lagi perbuatan lama kau tu supaya aku berpisah dengan isteriku pulak, kan!” tempelak Azhari pula.
 
            Sedih dan terharu mendengar bicara suamiku itu. Namun adakah setiap butir bicara yang terkeluar dari mulutnya itu memang benar-benar ikhlas dari hatinya yang luhur? Wajahku yang tertunduk kuangkat. Kulihat Hardija sudah terjelapuk di lantai, bersujud di kaki suamiku.
            “Abang, maafkan Dija, bang. Dija merayu pada abang. Terimalah Dija semula. Dija janji takkan lukakan hati abang lagi. Dija janji takkan seksa Kak Azween. Tolonglah, bang. Berilah Dija peluang, bang,” rayunya bersungguh. Aku tergamam. Sampai begitu sekali tindakannya? Seketika aku mengalihkan pandanganku memandang suamiku. Begitu juga dengan Azhari. Mata kami saling bertaut lama. Wajahnya tampak kebingungan. Seketika pandangannya beralih ke tubuh wanita yang masih terduduk di hujung kakinya itu. Dan aku sama sekali tidak menyangka yang suamiku sanggup memapah wanita itu bangun.
            “Dija, bangun Dija. Apa yang Dija buat ni?” soalnya lembut, seakan mahu memujuk wanita itu. Namun sebaik kedua belah lengannya disentuh, pantas Hardija menerpa dan memeluk batang tubuh suamiku. Azhari tergamam. Aku juga terkejut melihat tindakan berani wanita itu. Malah hatiku bertambah sakit apabila wanita itu mengongoi di dada suamiku dan terus merayu agar dirinya diberi peluang sekali lagi.  Di kala itu juga, sekali lagi mataku dan Azhari saling bertentangan. Masing-masing dalam keadaan bingung dengan apa yang terjadi.
 
            Aku menggeleng kecil. Tak sanggup rasanya hendak melihat sandiwara yang terlayar di hadapan mata. Dalam keadaan tubuhku yang memberat itu, aku cuba melangkah sepanjang yang mungkin, meninggalkan apartment mewah itu. Di kala itu juga kedengaran sayup-sayup suara Azhari memanggil-manggil namaku. Namun aku tidak mengendahkannya. Aku teruskan langkahku menuju ke lif bersama linangan airmata. Sebaik pintu lif terbuka, pantas aku masuk dan terus menekan butang ‘Door Close’. Dan sebaik pintu lif tertutup, aku dapat menangkap suara suamiku melaungkan namaku.
 
            Di dalam lif, aku tersandar lemah. Sesekali aku mengurut dadaku yang sesak menahan sendu. Tanganku terus menjalar sehingga mengenai perutku yang sedang membuncit itu. Seketika kuusapnya perlahan. Rasa mahu menjerit sekuat hatiku. Biar semua orang tahu betapa tertekan dan sakitnya jiwaku di kala ini. Ya ALLAH, adakah ini satu lagi dugaan daripadaMu? Sesungguhnya kau berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini, Ya ALLAH.