Saturday 4 June 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 32)

KAMI sama-sama keluar dari sebuah klinik sakit puan itu. Kini, aku dapat menarik nafas lega. Aku tidak perlu gusar lagi. Malah aku sudah dapat tidur dengan lena tanpa dihantui akan penyakit yang pernah dideritai oleh arwah mama dulu. Semenjak aku bersama dengan Azhari, fikiranku sering terganggu dengan perihal penyakit kanser yang bisa menggerunkan setiap wanita di muka bumi ini.
“Alhamdulillah, sekarang ni Aween tak perlu nak risau lagi. Tadi doktor dah cakap yang Aween bebas dari penyakit tu. Tak ada tanda-tanda sel kanser yang aktif dalam tubuh Aween,” ucap Azhari. Aku tersenyum seraya mengangguk.
“Betul tu, bang. Sekarang ni Aween betul-betul rasa selesa sangat bila doktor kata yang Aween tak menghidapi apa-apa penyakit. So, lepas ni bolehlah kita hidup aman damai tanpa sebarang gangguan,” ucapku pula. Azhari ketawa kecil.
“Tapi, jangan terlalu suka sangat. Dengar tak, apa yang doktor cakap tadi, tak ada tak semestinya takkan dapat. Aween kena rajinkan diri jumpa pakar sakit puan dari masa ke semasa untuk memastikan yang Aween sentiasa bebas dari penyakit tu,” pesannya bagaikan seorang doktor. Aku ketawa.
“Yalah, bang. Aween ingat,” kataku.
“Dah, jom kita balik.” Kami memboloskan diri ke dalam perut kereta.

Hari ini, Azhari telah mengambil cuti sehari semata-mata hendak menemaniku berjumpa dengan doktor sakit puan ini. Sesungguhnya, aku benar-benar terharu dengan keperihatinan suamiku ini. Dan sikapnya inilah yang pernah ditunjukkannya sewaktu kami masih di kampus dulu. Aku masih ingat, sewaktu aku diserang demam panas, dialah yang bersusah-payah menemaniku untuk mendapatkan rawatan di klinik. Dan kini, segala kenangan indah yang pernah kami lalui bersama dahulu kembali menggamit.

            “Abang, kalau Aween cakap ni, abang marah tak?” soalku perlahan. Dia mengerling ke sebelah, ke arahku. seketika dia menggeleng.
            “Taklah. Nak marah apa, kalau Aween nak cakap benda yang baik,” ucapnya.
            “Aween rasa, Aween nak kerjalah bang. Bosanlah, asyik duduk rumah aja. Macam bibik pulak!” ucapku. Dia ketawa kecil.
            “Apa salahnya jadi bibik? Kan itu kerja mulia?”
            “Alah, bang. Kalau macam tu, apa guna Aween belajar tinggi-tinggi tapi akhirnya duduk rumah aja…” rungutku.
            “Jadi suri rumah terpelajar,” usiknya.
            “Abang…” Dia terus ketawa sebaik aku menarik muncung.
            “Okey, okey… terpulang kepada Aween nak kerja atau tak. Abang tak halang. Janji, Aween takkan abaikan tanggungjawab Aween sebagai isteri.”
            “Itu sudah mesti, bang…” Aku menarik nafas lega. Dia begitu memahamiku.

*****

AKU agak hairan apabila suatu hari Azhari menyuruhku bersiap. Ke manalah dia hendak membawaku pada hari minggu ini.
            “Abang nak bawak Aween ke mana ni, bang?” soalku kepadanya. Dia terus menumpukan perhatiannya di jalanraya tanpa mengendahkan soalanku itu.
            “Abang,” ujarku lagi. Dia masih seperti tadi, membatukan diri sambil matanya memandang ke hadapan tanpa sedikitpun menoleh ke sebelah. Aku merengus geram. Mukaku mulai masam mencuka.
            “Adalah satu tempat ni. Aween ikut aja. Jangan banyak tanya,” ucapnya seolah memberi amaran. Sebaik dia berkata begitu, mulutku terus terkunci rapat. Malas hendak kutanya lagi. Biarlah aku tahu sebaik kami tiba ke destinasi yang dituju itu nanti.

            Semakin hairan aku dibuatnya apabila kereta yang dipandunya dibelokkan ke sebuah kawasan perumahan yang terletak di Kelana Jaya. Enjin di matikan sebaik keretanya berhenti betul-betul di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat lot tepi.
            “Okey, sayang. Kita dah sampai,” dia bersuara, menyentakkanku.
            “Rumah siapa ni, bang?” soalku kehairanan. Dari luar kulihat rumah itu kosong, seperti tidak berpenghuni. Di luar lamannya pula bersemak, ditumbuhi lalang-lalang yang meliar. Rumah itu seperti sudah lama ditinggalkan.
            “Inilah surprise yang abang nak buat untuk Aween,” ucapnya ceria. Aku menggaru-garukan kepala yang tak gatal. Surprise? Adakah dia telah membeli rumah ini untuk kami tinggal?

            Kami memboloskan diri turun dari perut kereta. Aku hanya menurutinya dari belakang. Dengan selamba dia membuka pintu pagar yang terkunci dengan rantai dan mangga itu. Semakin hairan aku. Dia ada kunci rumah ini? Sebaik pintu pagar dibuka, dia mengisyaratkan aku masuk ke dalam. Aku melangkah perlahan memasuki kawasan rumah itu. Aku menoleh ke belakang, memandangnya dengan pandangan berkerut.
            “Rumah siapa ni, bang?” sekali lagi aku menyoal. Azhari tersenyum. Lantas dia melangkah menghampiriku. Bahuku dipautnya mesra.
            “Rumah yang bakal dihuni oleh kita berdua,” jawabnya bersahaja.
            “Sewa atau beli?” soalku lagi.
            “Buat masa ni, sewa. Tak lama lagi, bila dah rasa selesa, abang ingat abang nak beli,” jawabnya. Aku merenungnya lama. Dia tersenyum melihat reaksiku.
            “Aween tak perlu gusar. Rumah ni sebenarnya kepunyaan Hafsyam. Mulanya dia offer abang untuk duduk menyewa di sini. Tapi abang ingat abang nak beli rumah sendiri. Tapi tengoklah, kalau kita dah rasa selesa tinggal di sini, abang ingat nak terus beli aja setelah cukup duit nanti,” terangnya panjang-lebar.
            “Habis tu, apa kata Hafsyam bila abang cakap kat dia yang abang nak beli rumah ni?” aku menyoal lagi.
            “Dia suruh kita duduk dulu. Bila dia rasa yang dia nak jual, dan kita pulak dah sedap duduk kat sini, dia akan menjualnya kepada kita,” jawabnya.

            Mukaku yang tadinya berkerut kehairanan kini bertukar warna. Spontan bibirku mengukirkan senyuman. Seketika aku mencubit lengannya lembut.
            “Hisy, abang ni! Buat semua ni diam-diam. Tak nak beritahu Aween pun,” rengekku. Dia ketawa.
            Kan abang kata tadi, surprise?” ujarnya lembut. Aku mengetapkan bibir. Seketika kami ketawa serentak.

            Kami terus memasuki rumah tersebut. Kalau dilihatkan, keadaan rumah tersebut sememangnya luas. Lengkap dengan sebuah ruang tamu, ruang makan, dapur serta sebuah tandas dan bilik di tingkat bawah. Manakala di tingkat atas pula terdapat tiga lagi bilik. Kalau sekarang ini, memanglah nampak luas. Belum lagi dibawa masuk perabot-perabot serta barangan kelengkapan rumah. Bila dah dibawa masuk semua itu, tentu ruang yang luas ini akan menjadi sedikit sempit. Hmm… tak apalah. Kata Azhari duduk dulu dan rasa macam mana. Kalau selesa, boleh terus tinggal di sini.
            “Kita akan mula masuk ke sini bulan depan. Jadi, sebulan dari sekarang kita kena bersihkan dululah. Abang ingat, lepas ni setiap kali cuti hujung minggu kita mesti ke sini untuk bersihkan rumah ni,” ujarnya. Aku hanya terdiam tanpa kata. Nampaknya dia telah merancang segala-galanya.
            “Sayang suka tak?” soalnya. Aku masih membatu sambil mataku terus merenung di segenap ruang dapur itu. Seketika aku mengangguk. Dia tersenyum senang.
            “Tapi bang, kalau kita tak pindah dalam masa terdekat ni, boleh tak?” soalku. Wajahnya serta-merta berkerut memandangku.
            “Kenapa pulak, sayang?” soalnya lembut.
            “Bukan apa, bang. Aween tak nak tinggalkan ayah buat masa ni. Kalau boleh, kita pindah lepas Ijie tamat SPM sebab Ijie mungkin akan pindah ke rumah ayah selepas dia habis periksa nanti,” jawabku. Aku berharap dia setuju.
            “Abang tak kisah, bila-bila masa pun boleh. Kalau Aween tak setuju untuk tinggal berasingan dengan ayah pun, abang tak kisah. Abang faham keadaan ayah. Kalau kita berdua pindah, dia akan tinggal keseorangan. Tentu Aween rasa berat hendak meninggalkannya seorang diri di rumah tu, kan? Yalah, setelah sekian lama Aween menemani ayah. Abang faham, Aween,” tutur suamiku lembut.

            Aku tersenyum. Hatiku benar-benar hiba. Terharu dengan sikap suamiku yang begitu prihatin dan memahami akan situasiku dan ayah. Aku menerpa ke arahnya. Tubuh tegapnya itu kupeluk dengan penuh kasih.
            “Terima kasih, bang. Terima kasih sebab memahami,” ucapku syahdu. Di kala itu kurasakan jari-jemari kasarnya melurut-lurut rambutku.
            “Mestilah. Kan abang dah jadi sebahagian dari keluarga Aween? Ayah jugak diibaratkan seperti ayah kandung abang walaupun dia hanya ayah mentua pada abang. Sebagai suami dan menantu yang taat, abang harus mengambil kisah akan hati dan perasaan isteri dan ayah mentua abang,” ucapnya panjang. Ah, semakin sayu hatiku mendengarnya. Oh, Azhari. Sesungguhnya hatimu begitu mulia. Kata-kata pujian itu hanya mampu kuucapkan di dalam hati kecilku ini.

*****

MEMANG sudah menjadi lumrah alam. Masa yang berdetik begitu pantas sekali. Tanpa kusedari, sudah hampir setahun aku mendirikan rumahtangga bersama Azhari. Aku kini sudahpun tinggal berasingan dengan ayah. Ijie pula yang kini mengambil tempatku menemani ayah di rumah itu. Sesungguhnya, aku merasa begitu lega melihat kemesraan ayah dan Ijie. Namun setiap hujung minggu, mereka akan pulang ke Batu Pahat untuk melawat atuk dan nenek di sana.

            Suamiku Azhari sudahpun berjaya menubuhkan sebuah perniagaan bersama sahabat karibnya, Hafsyam. Manakala aku pula bekerja sebagai pengurus kewangan di syarikatnya itu. Aku benar-benar bangga apabila impian mereka untuk menubuhkan sebuah syarikat pengiklanan secara perkongsian akhirnya terlaksana walaupun ia dimulakan secara kecil-kecilan. Malahan juga, aku bersyukur kerana diberi peluang untuk bertugas di bawah satu bumbung dengan suamiku.

            Kehidupanku dengan suamiku, Azhari makin hari makin indah. Walaupun hampir setahun kami berkahwin, aku masih setia menanti dengan kehadiran seorang bayi yang bakal menyerikan kehidupan kami. Aku masih menanti dengan penuh sabar akan saat itu. Sehingga kini, masih tidak kelihatan tanda-tanda yang aku hamil. Kadang-kala, risau juga hatiku andainya Azhari merasa bosan menanti dan akan berpaling arah. Namun, aku tersilap anggap. Suamiku bukanlah jenis yang begitu. Walaupun masih belum memiliki zuriat, dia tetap setia bersama denganku. Malahan, aku dapat merasakan kasihnya yang kian mendalam hari demi hari.
            “Sabarlah. Mungkin masih belum ada rezeki lagi.” Itulah kata-kata yang akan diucapkannya sebaik aku meluahkan kegusaran hatiku kerana tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kehamilan. Ah, betapa tabahnya hati seorang lelaki bergelar suami ini? Kalau dia boleh setabah itu, kenapa tidak aku?

            Namun tidak lama selepas itu, aku mulai dapat merasakan kelainan pada diriku. Aku menjadi cepat letih. Sesekali kepalaku akan merasa sakit. Dan sakitnya agak luar biasa. Malahan juga, sudah lebih dari sebulan aku tidak ‘cuti’. Suatu pagi, aku mengalami pedih di ulu hati. Badanku turut merasa seram sejuk, seperti mahu demam. Azhari sudahpun bersiap hendak ke pejabatnya. Kepalaku terasa begitu berat sekali. Bagaikan tak larat rasanya hendak bangun dan menyiapkan sarapan untuk Azhari. Rasa sejuk kian menggamit. Aku menggeletar. Lantas aku menarik selimut tebal menyelubungi seluruh tubuhku. Sedang aku terlelap, dapat kurasakan dahiku disentuh lembut.
            “Aween, kenapa ni? Panasnya badan,” bisiknya lembut. Mataku masih terpejam, menahan rasa pening yang kian berdenyut.
            “Abang, hari ni Aween tak ke pejabat. Sorrylah, bang. Aween tak laratlah nak sediakan breakfast untuk abang,” ujarku dalam suara yang agak serak.
            “Hmm… tak apalah. Aween tak sihat ni. Tak payahlah ke pejabat hari ni. Aween tidur ajalah, ya. Abang boleh minum di luar dengan Hafsyam nanti. Petang karang lepas abang balik dari pejabat, kita pergi klinik, ya sayang,” pujuknya.
            “Hmm…” kataku lemah. Dalam keadaan yang kabur, aku masih mampu menghulurkan salaman buat suamiku. Sebaik tangan kami bertaut, segera kubawanya ke bibirku. Seketika dahiku yang hangat dikucupnya.
            “Abang pergi dulu. Kalau ada apa-apa, call abang tau,” pesannya. Pintu bilik ditutupnya. Kini, tinggallah aku keseorangan. Aku meneruskan lenaku sehinggalah matahari menegak ke dada langit.

            Selepas solat Zuhur, aku kepalaku berdenyut lagi. Kali ini, lebih perit denyutannya. Sungguh aku sudah tidak dapat menahannya. Hendak ke klinik, siapa yang boleh membantu? Kalau nak diikutkan hati, mahu sahaja aku menghubungi Azhari di pejabat. Namun tak sampai pula hatiku hendak mengganggunya. Dan di kala itu juga aku teringatkan Farhana. Lantas kucapai telefon bimbitku lalu mendail nombor sahabat karibku itu.
           
            Farhana tiba tidak lama selepas itu. Tubuhku dipapahnya masuk ke dalam kereta. Dia terus memandu menuju ke klinik berhampiran. Dan aku sama sekali tidak menyangka yang penantianku selama ini berakhir apabila doktor mengesahkan aku hamil lima minggu. Aku dan Farhana menyambut berita ini dengan perasaan riang.
            “Pergh! Tak sangka tak lama lagi kau akan jadi mak dan aku bakal bergelar aunty,” ucapnya ceria. Aku pula begitu gembira tak terkata. Bibirku terus mengukirkan senyuman lebar sebaik keluar dari bilik doktor tadi sehinggalah sekarang.
            “Kau tu pulak, bila lagi?” soalku kepada Farhana. Dia ketawa.
            “Hei, sabarlah dulu. Aku kan baru aja lagi? Belum puas nak honeymoon berdua,” ucapnya. “Eleh, honeymoon konon. Blah lah kau!” aku mencebik. Ceh! Honeymoon konon. Sampai bilalah nak honeymoon agaknya?
            “Hmm… tengok tu, dah nak jadi mak pun masih nak berperangai brutal lagi?” gerutunya. Aku tersenyum kambing.

            Aku hanya tersedar dari lena sebaik Azhari pulang dari pejabat petang itu. Ketika itu terasa tubuhku dicuitnya perlahan.
            “Aween, macam mana sekarang? Tak larat lagi?” soalnya sambil mereba dahi dan leherku. Dia menghelakan nafas berat.
            “Panas lagi ni. Siaplah, kita pergi klinik,” arahnya. Aku menggeleng. Sesekali dahiku berkerut menahan rasa perit di tekak yang cukup pedih seperti ada ketumbuhan ulser. “Tak payahlah, bang. Aween dah pergi klinik dengan Anne tengahari tadi,” ujarku.
            “Aween pergi dengan Anne?” soalnya. Aku mengangguk.
            “Kenapa mesti menyusahkan dia? Kenapa tak call abang? Kan abang dah pesan, kalau ada apa-apa call aja abang kat office?” bebelnya.
            “Aween tak nak kacau abang,” jawabku.

            Tak sabar rasanya hendak memberitahu Azhari tentang berita gembira ini. Namun, aku sudah membuat perancangan. Aku takkan memberitahunya secara langsung. Akan aku buat sesuatu supaya dia terkejut.
            “Abang, tolong ambilkan ubat kat dalam beg Aween tu,” pintaku sambil menunding ke arah beg tangan yang terletak di atas meja solek. Dia akur. Pantas dia melangkah menghampiri meja solek. Beg tanganku diselongkahnya.
            “Eh, surat apa ni, Aween?” soalnya sebaik mengeluarkan paket-paket berisi vitamin serta sekeping sampul surat berwarna putih. Aku tidak segera menjawab. Hanya membiarkan dia membuka sampul surat tersebut dan mengeluarkan isi di dalamnya. Ternyata dia kelihatan terkejut. Matanya terbeliak melihat objek hitam putih yang terdapat pada gambar tersebut.
            “Sayang, what’s this?” soalnya. Aku tersenyum nakal.
            Surprise,” ucapku ringkas.
            “Aween punya ke?” soalnya bersama kerutan di dahi.
            “Bukan Aween punya, tapi kita berdua yang punya,” jawabku. Segaris senyuman terukir di bibirnya. Segera dia menerpa ke arahku. Dia terduduk di birai katil di sisiku.
            “Aween pregnant ke, sayang?” soalnya lagi. Aku mengangguk lemah. Dia bagaikan kehilangan kata-kata. Pantas tubuhku dibawa ke dalam dakapannya. Dikucupnya setiap inci pada wajahku bertalu-talu.
            “Syukur alhamdulillah. Tak sia-sia penantian kita selama ni,” ucapnya penuh syukur. Aku ketawa kecil.
            “Abang gembira?” soalku menduganya.
            Of course I do sayang. Abang dah lama menanti tau,” ucapnya. Aku tersenyum.
            “Aween pun dah lama menanti. Malah penantian Aween lebih lama dari abang,” ujarku. Dia ketawa.
            Really?” soalnya. Aku mengangguk.
            “Mudah-mudahan, lebih bermaknalah kehidupan kita nanti dengan kehadiran baby kita ni,” ucapnya syahdu.
            “InsyaALLAH, abang,” ucapku pula.

No comments:

Post a Comment