Sunday 22 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 30)

MAJLIS pernikahan kami berlangsung seminggu lebih awal dari tarikh yang telah dirancang. Ini semua atas permintaan Azhari sendiri agar pernikahan kami disegarakan. Dia bagaikan tidak dapat bersabar lagi untuk menunggu waktu yang telah ditetapkan. Seboleh-boleh dia mahu aku agar cepat menjadi hak mutlaknya. Dan aku pula tak dapat nak membantah. Sebaik kami pulang dari kampung tempoh hari, cepat-cepat dia menghubungi keluarganya dari Kedah supaya turun ke Kuala Lumpur secepat mungkin. Sementara kami pula di sini begitu sibuk membuat persiapan. Sebaik keluarga Azhari tiba di Kuala Lumpur, terus kami melangsungkan upacara akad nikah kami.

            “Kenapa ni, Ari? Tak sabar nampaknya kamu nak nikah? Kan majlis ni lagi seminggu?” soal ibu bertubi-tubi kepada anak terunanya itu sebaik tiba di masjid berdekatan rumahku. Aku yang berada di sebelah Azhari ketika itu hanya mampu tersenyum malu. Seketika pandanganku beralih ke arah Azhari yang sebentar lagi akan bergelar suamiku. Dia kelihatan segak dengan baju Melayu putih susu berserta sampin hitam bersulam benang emas. Di kepalanya turut dihiasi dengan songkok hitam baldu. Manakala aku pula ketika itu hanya mengenakan sepasang baju kurung moden berwarna putih diperbuat daripada kain satin dan sifon lembut yang telah kutempah sebulan yang lalu berserta sehelai selendang dari kain renda di kepala.
            “Apa salahnya, bu? Benda yang baik, kan elok dipercepatkan?” jawabnya bersahaja. Ibu serta kaum keluarga Azhari hanya mampu tersenyum seraya menggeleng mendengar kata-kata yang lahir di bibir Azhari itu.
            “Kesian ibu sekeluarga. Baru aja sampai. Penat pun belum reda lagi, dah kena hadiri majlis akad nikah kita ni,” ujarku pula diiringi ketawa kecil.
            “Tak apa. Kami tak rasa penat pun. Malah kami suka sebab Ari akan nikah sekejap lagi,” sampuk ibu pula.
            “Kenapa tok tak datang sekali, ibu?” soal Azhari setelah menyedari orang tua itu tiada. “Tok kamu tu tak larat nak jalan jauh. Dia kirim salam kat kamu berdua,” jawab ibu. Kami menyahut salamnya serentak. Entah mengapa di saat ini terasa kekok pula berada di dalam kelompok keluarga Azhari.

            Dalam pada itu aku cuba mencari kelibat seseorang. “Syam tak datang ke, Ari?” soalku tatkala menyedari jejaka yang begitu rapat dengan Azhari tiada di situ. Azhari menggeleng. “Dia tak dapat datang sebab ada urusan di Penang,” ujar Azhari. Aku mengangguk laju tanda mengerti.

            Sementara menunggu kedatangan tuk kadi, Azhari telah menunaikan solat sunat hajat terlebih dahulu. Manakala aku serta kaum wanita yang lain duduk di satu sudut di belakang masjid sambil berbual panjang. Farhana dan Tasya begitu setia duduk di sebelahku. Dari belakang, aku hanya memerhatikan Azhari yang begitu kusyuk menadahkan kedua belah tangannya sambil berdoa.
            “Kak,” sergah Tasya. Aku sedikit tersentak lalu memandangnya.
            “Apa?” soalku perlahan. Dia tersenyum meleret.
            “Kenapa diam aja? Nervous ke?” soalnya menyakatku. Aku tersenyum seraya mencuit pehanya. Dia ketawa kegelian. Farhana hanya tersenyum melihat kami.

            Tak lama kemudian, ayah tiba di dalam masjid bersama seorang lelaki berusia separuh abad. Di kepalanya terlilit sehelai serban putih. Di kala itu, dadaku berdebar-debar. Aku menjadi gementar tiba-tiba. Farhana memegang erat tanganku.
            “Fuh, sejuknya tangan kau,” ucap Farhana. Aku hanya membatu.
            Relaxlah, Aween. InsyaALLAH, akan selamat semuanya,” sambungnya lagi.
            “Anne, aku macam tak percaya aja yang aku akan nikah hari ni,” ucapku berbisik. Farhana ketawa kecil.
            “Alah, biasalah tu. Semua bakal pengantin akan merasa apa yang kau rasa. Esok aku pun akan rasa macam ni jugak bila tiba waktu aku dengan Kimi nanti,” ujar Farhana menenagkanku. Berseri wajahnya tatkala menyebut nama Hakimi. Aku menarik nafas sedalam-dalamnya bagi meredakan perasaanku yang sedang gundah kini. Seketika aku memperbetulkan selendang di kepala yang hampir lucut di bahu. Di hadapan sana kelihatan sekelompok kaum Adam sedang kusyuk mendengar kata-kata yang terucap di bibir jurunikah.

*****

SYUKUR ALHAMDULILLAH, kalimah itu hanya mampu kuucap dalam hati kecilku ini. Serasakan lidahku begitu kelu ketika itu. Sukar untuk kulafazkan rasa gembira dan syukurku dengan kata-kata. Airmataku menitis setitik demi setitik sebaik Azhari berjaya menyempurnakan lafaz akad nikah kami. Hanya dengan sekali lafaz, Azhari telahpun sah menjadi suamiku. Saudara-mara serta rakan-rakan yang hadir bagi meraikan majlis kami ini turut merasa gembira. Senyuman lebar terukir di bibir masing-masing sambil kedua belah tangan ditadah ketika doa dibacakan. Farhana menggenggam tanganku erat.
            “Tahniah, Aween. Kau dah bergelar isteri sekarang ni,” ucap Farhana berbisik. Aku mengangguk lesu.
            “Kak, semoga berbahagia bersama Abang Ari sampai ke anak-cucu,” ucap Tasya pula. Aku mengangguk lagi.

Segala-galanya berlaku begitu pantas. Aku bagaikan sukar hendak percayai yang kini aku telahpun sah menjadi isteri kepada Azhari, jejaka yang pertama meraih cintaku dulu. Kini, berakhirlah sudah zaman remaja seorang gadis bernama Khairul Azween Kamaruddin. Dan bermulalah kehidupan baruku sebagai isteri buat seorang lelaki bernama Khairul Azhari Ramli. Ari, semoga bahagia menjadi milik kita selamanya. Kata-kata itu hanya bergema di dalam hatiku ini.

Sebaik tamatnya bacaan doa, kulihat Azhari mulai bangun dari tempat duduknya. Dia bersalaman dengan mereka yang berada berhampiran di situ termasuklah ayah. Pilu hatiku tatkala melihat ayah memeluk erat batang tubuh jejaka yang baru sahaja bergelar menantunya itu. Seketika kelihatan ayah sedang berbisik, mengatakan sesuatu di telinganya. Azhari mengangguk laju. Entah apa yang telah dibisikkannya. Namun yang pasti, tentu sahaja perihal diriku, dia dan juga rumahtangga kami.

            Seketika kemudian, ibu mengesot menghampiri diriku. Tubuhku dipeluknya erat. Seperti tak mahu dilepaskan. Di kala itu dapat kurasakan kehangatan kasih seorang insan bergelar ibu ini meresap jauh ke seluruh urat sarafku. Diriku tenggelam seketika, menikmati belaian kasih sayang dari ibu mentuaku itu. Aku memejamkan mata rapat. Airmata yang bertakung merembes keluar, mengalir ke pipi. Dalam pada itu, wajah arwah mama terlayar di ruang mataku. Wajahnya cukup berseri dengan segaris senyuman yang cukup menawan. Tentu dia turut merasai kegembiraan ini di ‘alam sana’.

            Sebaik pelukan terlerai, kulihat anak mata ibu menghala ke satu arah sambil tersenyum. Ibu mengangguk kecil. Aku kaget. Segera kupaling ke belakang. Di kala itu, pandangan aku dan Azhari bertemu. Bibirnya turut mengukirkan segaris senyuman. Dia menghampiri ibu. Tangan ibu disalamnya dan dicium lama. Dan pantas ibu memeluk tubuh anak lelakinya itu yang kini sudah bergelar suami. Kedua belah pipi Azhari diciumnya dengan penuh kasih sayang. Kulihat ibu menangis. Suasana menjadi hiba melihat kedua beranak itu. Setelah ibu berkata-kata sesuatu kepada anaknya itu, sebuah bingkai gambar dikeluarkan lalu diserahkan kepada anak lelakinya itu. Azhari menyambut bingkai gambar yang menempatkan mas kahwin kami.

            Seketika dia berganjak menghadapku. Sesungguhnya, inilah saat yang cukup mendebarkanku sejak dari tadi. Bila mana upacara pembatalan air sembahyang akan dijalankan. Dengan perlahan Azhari menghulurkan bingkai gambar tersebut kepadaku. Dan dalam keadaan yang teragak-agak aku menyambutnya. Buat pertama kalinya tangan sasa itu kusalam dan kucium dengan penuh syahdu. Sebuah kucupan hangat singgah ke dahiku. Seketika sebentuk cincin emas bertatahkan berlian putih disarungkan ke jari manisku. Aku merenung cincin yang tersarung itu dengan rasa terharu. Cukup indah. Dan buat kesekian kalinya airmataku yang hangat mengalir membasahi pipi gebuku.

            “Ayah, izinkan Aween ikuti suami Aween?” ucapku sayu kepada ayah. Ayah terdiam, memandangku sayu. Matanya membening. Kepalaku diusapnya dengan penuh rasa kasih. Seketika dia mengangguk perlahan.
“Ayah izinkan, sayang. Pergilah ikut suami Aween. Ayah restukan hubungan Aween dengan Azhari,” ucap ayah penuh hiba. Aku terharu. Wajah ayah kurenung buat kesekian kalinya. Setelah usiaku hampir mencecah ke angka dua puluh lima, akhirnya tamatlah sudah tanggungjawab ayah terhadap anak gadis tunggalnya ini. Dan kini, tanggungjawab itu akan dipikul pula oleh suamiku, Azhari. Pandanganku beralih pula ke arah Azhari yang berada di sebelahku. Seketika dia menghulurkan tangannya. Aku memandang kembali wajah ayah. Ayah mengangguk perlahan. Dengan perasaan hiba aku menyalami tangan ayah dan kucium lama. Aku tersenyum sebaik mengangkat wajahku. Lantas kusambut huluran tangan suamiku itu.

Kami melangkah seiring keluar dari masjid itu. Tanganku begitu kejap memaut lengannya, seakan tidak mahu dilepaskan. Sesungguhnya, aku rasa cukup selamat berada di sisi insan bergelar suami ini. Sesekali aku mengerling memandangnya. Dan setiap kali itu juga pandangan kami bersatu. Segaris senyuman bahagia terbit di bibir masing-masing. Suara usik-mengusik antara rakan-rakan serta saudara-mara terdekat kami masih kedengaran. “Mereka berdua ni dah selamat. Yang kau orang berdua ni bila lagi?” Abang Dino yang turut menghadiri majlis pernikahan kami mengusik Farhana dan Hakimi. Mereka berdua tersipu-sipu malu.
            “Eleh, malu-malu kucing pulak,” sakat Abang Dino lagi. Apalagi, merah padamlah muka mereka berdua apabila diusik sebegitu rupa. Seketika Abang Dino memaut kemas bahu Azhari.
“Jaga Aween baik-baik tau! Dia tu kuat merajuk. Pandai-pandailah kau jaga hati dia,” ujar Abang Dino lagi. Azhari ketawa kecil seraya mengangguk. Aku turut tersenyum mendengar usikannya itu.
            “Kenapa yang lain tak datang, Abang Dino?” soalku mengubah topik.
            “Dia orang dah ada plan lain. Yang kau orang ni pun satu. Kata langsung minggu depan. Alih-alih buat hari ni. Tak dapatlah dia orang datang,” katanya.
            “Nikah aja hari ni, Abang Dino. Langsungnya tetap minggu depan,” jawabku. Kami ketawa serentak.

            Langkahku terhenti sebaik melihat kelibat seseorang di luar masjid, sedang bersandar di kereta Proton Gen-2nya. Aku terkaku. Begitu juga dengan Azhari. Seketika aku menoleh ke sebelah, memandang suamiku. Wajahnya cukup bersahaja.
            “Aween ada beritahu dia ke?” soal Azhari. Aku menggeleng. Hatiku cukup kalut. Apa yang dibuatnya di sini? Macam mana pula dia tahu yang aku melangsungkan pernikahanku hari ini?
“Abang yang beritahu dia,” ucap Abang Dino. Aku memandang Abang Dino.
            “Maafkan abang, Aween,” ucapnya dalam keadaan serba salah. Namun seketika aku menggeleng laju.
            “Hmm… tak apa, Abang Dino,” ucapku. Aku mengalihkan semula pandanganku ke arah Azhari. Dia turut memandangku. Pautan tanganku di lengannya semakin kejap. Dia mengetapkan bibir. Seketika dia mengangguk seraya mengusap tanganku yang sedang memaut erat lengan kirinya.
            “Jomlah, kita jumpa dia. Lagipun, tak elok kita biarkan tetamu tanpa dilayan,” ucapnya lembut.

            Aku hanya mengikuti jejak langkahnya menuju ke arah jejaka itu. Namun kurasakan langkahku begitu berat sekali.
            “Abang,” spontan aku memanggil Azhari dengan panggilan itu. Langkahnya mati. Seketika dia mengerling ke wajahku. Terbias seri wajahnya yang bercahaya. Tentu dia senang hati apabila aku memanggilnya dengan panggilan ‘abang’ itu tadi. Aku menggelengkan kepala dengan kerutan di wajah, seolah meraih simpati.
            “Tak apa, sayang. Kita jumpa sekejap aja. Jangan takut, abang ada,” pujuknya. Kami meneruskan langkah kami menuju ke arah jejaka itu.
            “Assalamualaikum,” ucap Azhari ramah sebaik kami menghampiri tetamu yang sama sekali tidak diundang itu. Dia menyahut salam suamiku perlahan.
            “Waalaikumussalam.” Mereka saling berjabat tangan. Seketika Shazzy mengalihkan anak matanya memandangku. Aku menjadi tak tentu arah apabila direnung tajam sebegitu. Apatah lagi lelaki ini pernah kucintai sepenuh hatiku suatu ketika dahulu. Air liur kutelan dengan rasa kelat.
            “Aween,” ucapnya lembut. Aku melarikan pandanganku. Wajah tenang suamiku kutatap. Dan diriku kembali bertenaga sebaik cahaya di wajahnya menyinari anak mataku, seolah menyunting semangat buatku tatkala berhadapan dengan bekas teman lelakiku ini. “Congratulations,” ucapnya penuh sayu. Aku mengetap bibirku seraya mengangguk. “Thanks,” ucapku pula perlahan. Aku merenung wajahnya lama. Sudah sekian lama aku tidak menatap wajahnya. Dia tidak lagi kelihatan seperti dulu. Keadaannya bagaikan tidak terurus. Rambutnya yang dulu sering disikat rapi, kini kelihatan berserabai. Dan wajahnya turut ditumbuhi bulu-bulu halus. Selekeh!
            You datang sorang? Where’s your wife?” soalku sambil mataku melilau mencari kelibat wanita itu di dalam kereta. Dia menggeleng lemah.
            “Dia tak ikut. I tak cakap pun pada dia yang I nak ke sini,” ujarnya perlahan.
           
            Seketika aku memandang Azhari semula tatkala menyedari yang aku telah mengabaikannya buat seketika. Ya ALLAH, apa yang dah aku lakukan ni? Sekali lagi tanganku memaut lengannya seperti tadi. Namun kali ini lebih erat.
            “Ah, err… Shaz, kenalkan my husband, Azhari. Abang, ni Shazzy,” aku memperkenalkan mereka. Walhal aku tahu yang mereka telah mengenali antara satu sama yang lain. Namun kali ini, biarlah aku memperkenalkan Azhari sebagai suamiku pula kepada Shazzy. Azhari mengangguk lemah.
            “Abang kenal, sayang,” ujar Azhari.     
            So, okaylah. I pergi dulu,” ucap Shazzy seraya menghulurkan tangan ke arah Azhari untuk bersalaman. Azhari menyambutnya mesra.
            Take care of her,” pesan Shazzy kepada Azhari. Suamiku itu mengangguk.
            Yeah, I will.” Azhari memaut pinggangku kejap sebaik Shazzy menghidupkan enjin keretanya. Seketika Proton Gen-2 itu meluncur pergi meninggalkan perkarangan masjid. Aku hanya mampu memandang kereta itu hilang dari pandangan dengan perasaan yang hiba. Seketika aku menyandarkan kepalaku ke dada bidang suamiku.
“Sudahlah tu, sayang. Abang yakin suatu hari nanti sayang dapat melupakan dia,” ucap Azhari lembut.
            “Aween dah lama lupakan dia, bang,” ucapku lemah. Di kala itu kurasakan pautan yang melingkari pinggangku semakin kejap

*****

MALAM ITU, kami sekeluarga mengadakan kenduri doa selamat serta tahlil buat arwah mama di rumah keluargaku di Bandar Menjalara. Ramai saudara-mara terdekat, rakan-rakan serta jiran tetangga yang turut hadir memeriahkan majlis kesyukuran ini. Aku turut duduk tersimpuh di satu sudut sambil mengikuti bacaan Yassin dan tahlil. Sesekali aku mengesat airmataku yang merembes keluar dengan tudung yang kupakai. Hatiku benar-benar hiba mengenangkan arwah mama. Dan apa yang lebih memilukanku, tatkala melihat Ijie yang sedang duduk bersila di sebelah kanan ayah di dalam kelompok mereka yang sedang menjalankan upacara bacaan ayat-ayat suci itu di ruang tamu. Manakala suamiku pula menduduki di sebelah kiri ayah. Aku tersenyum sendiri melihat ketiga-tiga lelaki yang begitu bermakna di dalam hidupku itu.

            Setelah para hadirin beransur pulang, kami memulakan operasi mengemas. Aku, Farhana dan Kak Min begitu sibuk membasuh pinggan-mangkuk yang kotor di belakang rumah. Sambil itu, mulut kami begitu becok bercerita. Sesekali kami akan ketawa apabila timbul cerita lucu.
            “Aik! Pengantin baru basuh pinggan?” sindir Tasya yang tiba di belakang rumah sambil menatang dulang yang berisi pinggan-mangkuk kotor.
            “Kenapa, tak boleh ke?” balasku mengejeknya.
            “Taklah. Siapa kata tak boleh? Tak takut ke, karang tangan tu kasar menggelupas kena sabun. Hilang seri,” omelnya macam mak nenek
            “Tak, buat apa nak takut? Kalau tangan ni dah kasar macam kulit biawak sekalipun, Abang Ari memang dah sah jadi suami kakak. Dah tak boleh nak lari dah,” balasku. Dia mencebik.
            “Oi, Tasya! Kau ni tak ada kerja lain ke, asyik mengusik orang aja. Tadi kau usik abang aku. Ni kau nak kacau kakak ipar aku pulak?” bebel Alia pula, adik bongsu Azhari. Tasya menjeling tajam.
            “Yang kau tu sibuk, kenapa? Suka hati akulah,” gerutu Tasya.
            “Hei, kau tu yang sibuk kacau abang dengan kakak ipar aku. Apa, kau pun dah tak sabar nak nikah jugak ke? Kalau macam tu, nanti aku suruh Abang Awie aku pinang kau, mahu?” senda Alia. Tasya menjuihkan bibirnya.
            “Ah, tak ingin aku nak nikah dengan Abang Awie kau tu. Karang bila aku dah jadi kakak ipar kau, hari-hari asyik menghadap muka kau aja. Boring!

            Seketika Tasya berlalu pergi. Kami ketawa mengekek melihat keletah dua orang gadis itu bertelagah. Alia sekadar menggelengkan kepala.
            “Dia tu memang macam tu, kak. Tak usahlah kakak nak ambir hati dengan dia,” ujar Alia. Aku tersenyum.
            “Tak apa. Kakak tak kisah. Kakak pun dah faham dengan perangai si Tasya tu. Kuat mengusik,” ujarku pula.
            “Hmm… kuat mengusik? Samalah dengan Abang Dino. Kalau dia orang ni disatukan, sesuai sungguh,” sampuk Farhana bergurau. Kami ketawa.
            “Siapa? Abang Dino? Yang mana satu, kak? Handsome tak?” sampuk Alia pula.
            “Kenapa, Alia pun nak berkenalan dengan Abang Dino tu, ke?” soalku mengusik Alia. Gadis itu menggeleng laju.
            “Taklah. Saja nak tau, sesuai ke tak dengan si Tasya tu,” sangkalnya. Aku ketawa.        “Oh, nak kenakan Tasya, ya? Hmm… nakal jugak adik kakak ni, ya?” kataku.
            “Haa… kalau Alia nak tahu, Kak Aween ni ada sorang adik teruna, tau. Handsome. Rasanya sesuailah dengan Alia. Yalah, Alia masih sekolah, dia pun masih sekolah, tingkatan lima,” sampuk Farhana lagi. Hmm… dah dia nak lagakan si Alia ni dengan Ijie pulak dah… Hatiku mendengus. Alia menggeleng.
            “Tak apalah, kak. Lagipun kami ni masih sekolah. Tak elok bercinta. Lagipun adik Kak Aween tu dalam tingkatan lima, tak lama lagi nak periksa. Biarlah dia concentrate kat study dia dulu,” Alia mulai bersyarah.
            “Hmm… pandai pun. Kau tengok, Anne. Budak tingkatan empat pun boleh fikir,” aku menyindir Farhana. Gadis itu mencebik sambil menjeling tajam. Aku dan Kak Min ketawa melihat muncungnya yang mulai panjang seperti cencorot itu.

Malam kian larut. Setelah selesai urusan membasuh, aku terus naik ke tingkat atas, di kamar tidurku. Rasa penat begitu menggamit. Aku ingin berehat. Sebaik kakiku melangkah ke muka pintu bilik, hatiku mengeluh sayu. Mataku terus merenung di segenap ruang kamar beraduku itu. Malam ini, aku takkan keseorangan lagi tidur di kamar ini. Aku akan ditemani Azhari, suamiku. Kamar ini bakal menjadi saksi akan detik bersejarah ini, di mana buat pertama kalinya malamku ditemani seorang lelaki bergelar suami. Ah, segala-galanya bagaikan mimpi!

            Aku melangkah perlahan menuju ke jendela. Dari atas dapat kulihat sanak-saudara terdekat masih berkerumun di laman kediaman keluargaku ini. Farhana, Hakimi, Kak Min, Abang Que, Abang Reza, Abang Dino serta rakan-rakanku yang lain semuanya sudah beransur pulang.

            Seketika aku mendongak ke atas, menikmati kilauan bintang yang gemerlapan begitu indah bertaburan di atas langit yang hitam pekat. Begitu mendamaikan. Aku tersenyum sendirian, menikmati keindahan malam yang sememangnya tiada tolok bandingnya. Mataku terpejam rapat, membiarkan sang bayu menjamah seluruh wajahku. Terasa dingin dan nyaman. Oh, aduhai…alangkah besarnya ciptaan Yang Maha Esa.

            “Assalamualaikum,” kedengaran satu suara begitu lembut memberi salam. Aku terpaku. Mata yang tadinya begitu rapat terpejam sambil menikmati keindahan malam terbuka dengan serta-merta. Dengan perasaan yang teragak-agak, aku berpaling menghadap muka pintu. Aku terkaku melihat dia berdiri di situ. Dengan hanya berbaju Melayu serta kain pelikat yang dipakainya, benar-benar membuatkannya kelihatan menawan malam ini.
“Waalaikumussalam,” jawabku gugup.
            “Boleh abang masuk?” soalnya perlahan. Lambat-lambat aku mengangguk.
            “Hmm… masuklah, bang,” pelawaku sedikit gugup. Dia tersenyum lalu mengatur langkah memasuki bilik tidurku yang sederhana besar itu. Dia menghampiriku. Semakin dekat dia padaku, semakin hebat detakan jantungku ini. Adakah kami akan memulakan malam pertama kami pada malam ini juga?

            Kini, dia benar-benar berada di hadapanku. Cukup dekat sehingga aku dapat merasai hembusan nafasnya. Aku menelan air liur kelat. Senyuman di bibirnya masih terukir. Aku membalasnya. Seketika, kedua belah tangannya memaut bahuku. Begitu kejap sekali. “Kenapa ni? Sayang takut ya?” soalnya romantis. Lantas aku dibawa ke dalam dakapan hangatnya.
            “Janganlah takut. Kan ini suami Aween sendiri?” tuturnya. Aku ketawa manja. Dan tanganku turut melingkari tubuhnya.
            “Abang,” panggilku. Aku tenggelam di dalam pelukan yang begitu mengasyikkan itu. “Ya,” sahutnya perlahan.
            “Abang janji akan sentiasa bersama dengan Aween dan akan sentiasa melindungi Aween?” soalku perlahan.
            “Ya, abang janji. Kenapa sayang tanya lagi? Kan sebelum ni abang dah janji?” soalnya pula. Pelukan semakin kejap.
            “Aween takut, bang. Aween takut akan kehilangan abang. Aween tak boleh nak bayangkan betapa sepinya hidup Aween bila abang tiada di sisi…” pantas dia menutup mulutku perlahan dengan jemarinya.
            “Syyhh… jangan cakap macam tu, sayang. Abang benar-benar janji yang abang takkan persiakan Aween. Percayalah, kita akan terus bersama. Tiada apa yang dapat memisahkan kita kecuali maut,” ucapnya penuh syahdu. Airmataku berjuraian keluar dari kelopak mata. Sayu hatiku mendengar pengakuan ikhlas dari bibir suamiku itu.

            Pelukan terlerai. Mata kami saling bertaut. Kedua belah bahuku masih kejap dipautnya. Seketika dia mengusap lembut anak-anak rambut yang terjuntai menutupi dahiku. Dahiku dikucupnya lama.
            “Macam mana kalau suatu hari nanti kita terpaksa berpisah?” soalku menduganya. Dia merenungku tajam. Dahinya dikerutkan.
            “Aween, macam yang abang katakan tadi, hanya maut yang boleh memisahkan kita. InsyaALLAH, kita takkan berpisah. Kita tetap akan bersama sampai bila-bila,” ucapnya bersungguh. Aku terus merenung anak matanya yang bening itu. Cukup mendamaikan hati ini. Ditambah dengan sinaran cahaya keikhlasan yang memancar. Aku tersenyum seraya mengangguk perlahan. Wajahku ditunduk ke bawah, menahan malu apabila direnung sebegitu lama.
“Cantik isteri abang malam ni,” pujinya lembut. Semakin tersipu-sipu aku dibuatnya. “Cantik? Tang mana tu?” soalku bersenda. Dia ketawa.
            “Semuanya. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki,” ucapnya bersungguh. Aku ketawa manja.
            Really, abang?” soalku. Dia mengangguk.
            Thanks abang. I love you,” ucapku penuh syahdu, ikhlas dari hatiku yang tulus. Dia tersenyum mendengar ucapan romantis yang terpacul di bibirku itu.
I love you too,” balasnya dalam nada berbisik.
But, Aween akan pastikan bukan setakat malam ini aja Aween kelihatan cantik di mata abang tapi hari yang seterusnya juga, sampailah ke hari tua kita nanti,” ucapku lagi. Kami ketawa serentak. Seketika kami berpelukan kembali. Tanpa disedari kami mulai tenggelam ke dunia keasyikan ciptaan kami sendiri.

No comments:

Post a Comment