Sunday 21 August 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 38)

AKU benar-benar tak puas hati. Sejak berjumpa dengan Doktor Hazim dua hari yang lalu, hatiku rasa tidak sedap. Hendak ke hospital, aku terpaksa meminta izin dari suamiku. Nanti apa pula kata Azhari, kerana baru dua hari lepas aku berjumpa dengan Doktor Hazim dan telah mengesahkan kandunganku stabil. Lantas tanpa berfikir panjang aku menelefon Doktor Hazim.
            “Assalamualaikum, doktor. Saya ni, Puan Azween,” ucapku.
            “Waalaikumussalam, Puan Azween. Ada apa-apa yang tak kena ke? Saya baru ingat nak call puan,” ujarnya serius.
            “Doktor nak call saya? Ni mesti ada apa-apa yang doktor nak beritahu kepada saya hari tu, kan? Saya tahu, doktor. Ada sesuatu yang doktor nak sampaikan hari tu, tapi tak boleh sebab suami saya ada sama.”
            “Ya, puan. Ini berkenaan dengan penyakit puan,” tuturnya perlahan. Dadaku berdegup kencang.
            “Kenapa dengan penyakit saya ni, doktor?” soalku gentar. Sebuah keluhan kedengaran di corong sana. Seketika Doktor Hazim terdiam. Aku terus sabar menanti dengan debar.

            “Begini. Semasa saya memeriksa kandungan puan hari tu, saya dapat rasakan yang tumor di pangkal rahim puan tu kian membesar. Saya takut ia akan merebak ke seluruh serviks puan,” ucapnya lembut. Aku terdiam.
            “Jadi, apa yang harus saya lakukan sekarang ni, doktor?” soalku agak cemas.
            “Puan kena kerap datang ke sini untuk membuat pemeriksaan. Di samping itu juga, kami akan berikan ubatan yang boleh mengecutkan tumor itu. Dengan berbuat demikian, kami akan cuba berusaha untuk mengawal pembesaran tumor tersebut,” terangnya. Aku mengeluh berat.
            “Ubat untuk mengawal tumor? Tak bahayakan kandungan saya ke kalau saya ambil ubat tu?” soalku agak cemas. Dia terdiam seketika.
            “Kalau diikutkan, kami tak mahu beri. Takut jugak nanti effect pada bayi. Tapi, kita tawakal ajalah. Mudah-mudahan takkan ada apa-apa kesan sampingan, InsyaALLAH,” ucap Doktor Hazim meyakinkanku. Aku mengangguk.
            “Bila agaknya saya boleh berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan?” soalku mulai serius.
            “Kalau boleh, secepat yang mungkin. Dan puan harus datang ke sini setiap dua minggu. Kita buat temujanji yang akan datang ni dulu, lepas tu saya akan aturkan temujanji yang seterusnya,” ujarnya.
            “Setiap dua minggu? Ya ALLAH! Doktor, macam mana saya nak terangkan kepada suami saya kalau dia tanya? Saya takut dia syak, doktor,” aduku berbaur risau. Doktor Hazim mengeluh berat.
            “Maaf, puan. Itu antara puan dengan suami puan. Saya tak dapat nak tolong. Sepatutnya, puan harus berterus-terang dengan suami puan. Bukankah itu lebih mudah? Kenapa mesti takut, Puan Azween? Bukankah penyakit ni datangnya dari ALLAH? Saya yakin suami puan boleh terima hakikat ni. Malah saya yakin, suami puan boleh beri sokongan kepada puan supaya puan lebih kuat dan tabah dalam melawan penyakit ni,” nasihatnya.

            Aku terdiam. Sesungguhnya kata-kata nasihat Doktor Hazim itu tadi memang ada kebenarannya. Aku tidak sepatutnya merahsiakan semua ini dari pengetahuan suamiku. Tapi, aku takut hendak memberitahunya. Aku risau dia akan murung sebaik mendapat tahu akan berita buruk ini.
            “Hmm… kalau macam tu, tak apalah doktor. Nanti saya fikirkan macam mana. Terima kasih, doktor. Assalamualaikum,” ucapku.
            “Waalaikumussalam.” Seketika talian termati. Aku mengeluh lalu mengusap dahiku berkali-kali. Ah, macam mana ni? Ya ALLAH, sesungguhnya aku perlukan seseorang untuk mengadu. Tetapi, kepada siapa? Siapa yang boleh menjadi tempat untuk aku mengadu masalahku ini? Dan di kala itu aku teringatkan seseorang. Farhana. Ya, aku yakin dia boleh membantu aku.

*****

“HEI, AWEEN. Kau dari mana ni?” soal Farhana sebaik aku tiba di kediamannya. Dia agak terkejut dengan kehadiranku secara tiba-tiba.
            “Dari rumahlah,” jawabku bersahaja.
            “Kau buat apa?” soalku pula.
            “Baru nak masak. Aku nak buat sup tulang hari ni,” ujarnya. Aku membeliakkan mata. “Alamak, bestnya! Dah lama tak hirup sup tulang,” ucapku sebaik terbayangkan sup tulang lembu berempah yang menyelerakan itu. Apatah lagi bila ditambah dengan beberapa batang cili padi yang telah dititik berserta air perahan asam limau. Kencur air liurku. Teringat aku ketika kami sama-sama masih menuntut dulu. Tiap-tiap hari sanggup makan nasi putih dengan sup tulang sahaja hanya kerana hendak berjimat duit belanja.

            Farhana ketawa melihat gelagatku. “Hmm… langkah kanan kau masuk rumah aku tadi, Aween,” ucapnya. Aku tersenyum. Kami sama-sama ke dapur. Aku sekadar menolong apa yang patut. Farhana tidak membenarkan aku menolongnya berlebihan. Takut sesuatu yang buruk akan belaku.
            “Anne, aku ada benda nak kongsi dengan kau ni,” ucapku bermukadimah. Farhana yang sedang menghiris bawang dan halia itu segera mengalihkan pandangannya ke arahku. “Kongsi apa pulak ni?” soalnya. Aku menarik nafas panjang.
            “Tapi, kau janji dengan aku tau. Ini rahsia kita berdua. Takkan ada orang lain yang tahu melainkan aku, kau, doktor aku dan ALLAH,” ucapku lagi.
            “Pasal apa pulak ni?” soalnya mengerutkan dahi. Aku merenung wajahnya. Seketika aku menegakkan jari kelingkingku kepadanya.
            “Janji dengan aku dulu,” tegasku. Dia memandangku dalam keadaan yang serba salah. Seketika dia memautkan jari kelingkingnya dengan jari kelingkingku. Erat.

Aku tersenyum, namun hambar. “Aku ada penyakit, Anne,” ucapku perlahan. Dia membeliakkan matanya. Terkebil-kebil memandangku.
            “Aku ada kanser pangkal rahim,” ucapku lagi. Semakin besar mulutnya melopong. “Hah, apa? Kau ada kanser?” soalnya dengan suara yang agak tenggelam. Aku mengangguk laju. Seketika dia beristighfar. Aku tersenyum hambar.
            “Tak sangka, Anne. Apa yang aku takutkan selama ni berlaku jugak. Aku mewarisi penyakit arwah mama aku,” tuturku sebak.
            “Kau biar betul, Ween! Kau serius ke ni?” soalnya seakan tidak percaya. Aku mengangguk lagi.
            “Aku serius, Anne. Tadi doktor kata penyakit aku ni semakin serius. Sel kanser tu makin membesar,” ujarku perlahan.
            “Habis tu, macam mana sekarang?” soal Farhana. Aku menjungkitkan bahu.
            “Entahlah, Anne. Masa mula-mula doktor sahkan dulu, dia ada suruh aku buat rawatan radiasi untuk membantutkan pembesaran tumor kat pangkal rahim aku ni. Tapi, aku ingat nak buat rawatan tu selepas aku bersalin nanti. Sebab kalau aku jalani rawatan tu sekarang, akan beri kesan kepada bayi aku ni. Aku tak sanggup, Anne. Aku sayangkan anak aku ni,” tuturku perlahan.
            “Astagfirullahal’azim…Aween!” ucapnya hampir menjerit. Aku memandangnya. Mata Farhana turut merenungku. Kulihat air mulai bertakung di tubir matanya.
            “Azhari tahu tak pasal ni?” soalnya mulai sebak. Aku tersedu seraya menggelengkan kepala.
“Kenapa kau tak beritahu dia?” soal Farhana kuat. Aku mulai teresak. Farhana turut sama tersedu. Kami sama-sama menangisi akan nasib malang yang menimpa diriku ini. Seketika aku menggelengkan kepala.
“Aku tak sampai hati nak beritahu dia, Anne. Kalau boleh aku tak mahu orang lain tahu. Tapi, aku tak boleh simpan rahsia ni seorang diri. Aku tak terdaya. Aku perlukan seseorang untuk mengadu.”
“Bila kau dah susah baru kau cari aku, Aween? Kalau tak, dengan aku pun kau nak berahsia, kan? Kenapa kau macam ni, Aween?” marah Farhana dalam esakan.
“Maafkan aku, Anne. Maafkan aku…” Hanya itu yang mampu kuucapkan.

Farhana meletakkan pisau yang dipegangnya di atas meja. Seketika dia terjelapuk di atas kerusi sambil menangis. Aku terus tertunduk. Hiba melihat reaksi sahabat karibku itu. Sedangkan Farhana boleh lembik apabila mendengar perkhabaran itu, macam mana pula dengan Azhari? Apakah reaksinya apabila aku memberitahunya tentang penyakitku ini? “Habis tu macam mana sekarang ni, Ween? Adakah jangka hayat kau takkan bertahan lama?” soalnya. Aku menggeleng lagi.
“Aku tak tahu, Anne. Malah doktor yang merawat aku pun tak berani nak ramal jangka hayat aku. Kata doktor lagi, aku harus kerap ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan rawatan sampingan untuk mengawal tumor tu dari terus membesar. Yang menjadi masalah sekarang ni, aku takut Ari akan syak. Tentu dia akan tertanya-tanya kenapa aku kerap bertemu dengan gynae. Aku takut rahsia yang aku simpan rapi selama ni akan terbongkar,” ucapku panjang. Sesekali aku mengesat airmata yang kian galak mengalir dengan tudung yang kupakai.
“Sampai bila kau nak simpan rahsia ni, Ween? Sampai bila? Aku percaya lambat-laung dia akan tahu jugak. Tentu dia lebih kecewa bila dapat tahu kau simpan rahsia ni seorang diri,” ujar Farhana.
“Itu aku tahu, Anne. Tapi aku tak bersedia nak beritahu dia. Aku takut dia akan murung bila dapat tahu yang aku tengah sakit sekarang ni. Aku tak mahu dia bersedih. Aku macam dapat rasa yang jangka hayat aku tak panjang, Anne. Kalau boleh aku nak habiskan sisa-sisa hidup aku ni dalam suasana yang gembira,” luahku lagi.

Farhana terdiam. Sendunya masih kedengaran. “Habis tu, apa yang boleh aku tolong, Aween?” soalnya dalam esakan halus.
“Aku perlukan advice kau. Macam mana aku nak yakinkan Ari supaya dia tak syak apa-apa,” jawabku. Farhana terdiam lagi.
Kan lebih baik kau berterus-terang aja? Taklah susah macam ni. Aku yakin dia tentu faham,” nasihatnya. Aku menggeleng laju tanda tidak setuju.
“Habis tu, takkan kau nak menipu? Berdosa besar menipu suami, Aween. Tak cium syurga. Kau tak takut dengan dosa?” tutur Farhana lagi.
“Aku tak bermaksud hendak menipu, Anne. Cuma aku nak meyakinkan dia yang tak ada apa-apa yang berlaku ke atas diriku. Itu sahaja,” ujarku.

Farhana mengeluh berat. Di kala itu timbul rasa bersalah di benakku kerana melibatkannya di dalam masalahku ini. Tak semena-mena dia turut kebingungan memikirkan cara penyelesaian masalah yang kuhadapi ini.
“Aku rasa, Ari takkan syak apa-apa, Ween. Biasalah, perempuan mengandung kena kerap buat pemeriksaan. Aku yakin dia tentu faham. Lagipun, inikan pengalaman pertama kau orang? Tentu takkan timbul hal punya,” ucap Farhana meyakinkanku. Aku tunduk terdiam. Memikirkan akan kebenaran kata-kata Farhana itu tadi.
“Kau cubalah dulu, Ween. Kau terangkan pada dia yang kau kena kerap bertemu doktor untuk buat pemeriksaan. Kalau dia tak kata apa-apa, tak adalah jadi masalahnya. Kalau dia tanya, pandai-pandai kaulah cipta apa-apa alasan. Tapi hati-hatilah, jangan sampai kau tipu suami kau tu,” tutur Farhana lagi. Aku terdiam lagi. Sepi sebentar. Seketika Farhana bangun menghampiriku. Lantas tubuhku dipeluknya erat. Aku membalas pelukannya itu.
“Aween, kau sahabat baik aku. Aku sayangkan kau, Aween. Aku tak mahu kehilangan kau,” ucap Farhana dalam tangisan. Dadaku sebak mendengar tutur kata rakanku itu. “Aku pun sayangkan kau, Anne. Aku sayangkan semua orang yang rapat dengan aku. Aku pun tak mahu tinggalkan kau orang semua yang masih memerlukan aku. Tapi kita manusia yang lemah, tak berdaya nak melawan takdir, Anne,” ucapku dalam sendu. Dan buat kesekian kalinya kami menangis di bahu masing-masing.

*****

JAM di dinding ruang tamu sudah menunjukkan ke angka tujuh malam. Sebentar lagi, azan Maghrib akan berkumandang. Namun masih belum menampakkan tanda-tanda kepulangan Azhari dari pejabatnya. Aku merengus. Kali ini sudah masuk kali kedua dia pulang lewat tanpa memberitahuku terlebih dahulu. Aku terus setia menanti di ruang tamu itu dengan perasaan gelisah.

Seketika kemudian, silauan cahaya dari lampu kereta menerangi anjung rumah. Aku terus bangun menuju ke pintu lalu membukanya. Kelihatan Azhari sedang menjinjit briefcasenya lalu menutup perlahan pintu kereta. Aku mengetap bibir menahan geram. Dia mengaturkan langkahnya ke muka pintu. Niatku untuk menyemburnya terbantut tatkala melihat wajahnya yang tampak lesu itu. Dari marah bertukar kepada rasa simpati.
“Lewat balik, bang?” soalku lembut. Briefcase di tangannya kucapai perlahan. Setelah kasut serta stokingnya ditanggalkan, terus dia melangkah masuk tanpa menghiraukan pertanyaanku itu. Aku kaget. Mengapa dia bersikap begitu? Kalau sebelum ini, walau sesibuk dan penat macam mana sekalipun, sedaya-upaya dia akan memaniskan mukanya dengan senyuman. Tetapi kali ini, agak berbeza. Besar sangatkah masalah yang dihadapinya di pejabat sehingga terbawa-bawa balik ke rumah?

Tubuhnya terjelapuk di sofa. Aku sekadar memerhatikannya dengan gelengan kecil. Sebaik briefcasenya kuletakkan di kerusi di ruang makan, terus aku ke dapur membancuhkan teh O panas untuknya.
“Air, bang.” Aku menghulurlan sekole teh O kepadanya. Dia menyambut mug tersebut dengan senyuman yang hambar. Aku mengambil tempat bersebelahan dengannya. Bahunya kupicit-picit lembut.
“Abang okey? Banyak sangat ke kerja kat office tu?” soalku lembut. Sebaik meneguk minumannya terus diletakkannya mug tersebut ke atas meja. Kepalanya digeleng kecil. Melihat dia seakan tidak berminat untuk bercakap denganku tentang hal kerjanya, aku terus diam tanpa menyoal akan hal itu lagi.
“Abang okey, sayang. Cuma abang rasa penat sebab banyak kerja tadi. Abang naik dulu, nak mandi,” ucapnya lantas bingkas bangun dari sofa. Dahiku dikucupnya lembut sebelum melangkah naik ke atas. Aku semakin pelik melihat perlakuan anehnya itu. Dan hatiku begitu kuat mengatakan yang ada sesuatu yang sedang mengganggu emosinya ketika itu.

Aku segera ke tingkat atas. Tiba di bilik, kelibatnya tiada di situ. Aku tercari-cari batang tubuh suamiku. Seketika aku dapat menangkap bunyi pancuran air dari bilik mandi. Ah, dia di dalam bilik air rupanya. Segera aku melangkah ke almari untuk mengeluarkan bajunya. Tidak lama kemudian, dia keluar dari bilik air tersebut. Bau harum sabun Dettol turut menyapa rongga hidungku. Dia mengirai-irai rambutnya yang basah. Aku terus memerhatikannya tanpa rasa jemu. Setelah terperasan yang dirinya diperhatikan, terus pandangannya dihala ke arahku. Aku termalu sendiri. Dia tersenyum simpul melihat aku tersipu-sipu begitu.
“Kenapa pandang abang macam tu? Rindu ya?” usiknya. Aku masih tersenyum malu. “Saja nak tenung abang lama-lama. Tak salah, kan?” soalku selamba. Dia ketawa kecil. “Memanglah tak salah. Hmm… tenunglah, tataplah muka handsome abang ni lama-lama, sampai puas,” ujarnya pula dalam nada senda. Aku ketawa.
“Eee… perasannya!” getusku lalu terus bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk.

Usai solat Isya’, aku melipat telekung dan menyangkutnya di penyidai. Aku memerhatikan Azhari yang sedang sibuk membelek-belek kertas kerja yang baru dikeluarkannya dari dalam beg.
“Abang,” panggilku perlahan. Segera dia menoleh.
“Minggu depan, hari Isnin Aween ada appointment lagi dengan Doktor Hazim,” ucapku perlahan.
Appointment lagi? Kan hari tu baru check?” soalnya lembut. Tiada sebarang tanda kemarahan dari tutur katanya itu.
“Memanglah. Tapi, itu check kandungan aja. Kesihatan Aween pun kena check jugak. Kalau ibu tak sihat, macam mana anak dalam kandungan nak sihat?” ujarku cuba berselindung. Dia ketawa kecil.

Aku menghampirinya lalu duduk di sebelahnya. Aku memerhatikan dia menyusun kertas-kertas kerjanya yang agak berselerak itu. Seketika lenganku melingkari bahunya.
“Nak abang temankan ke?” soalnya lembut.
“Hmm… tak apalah, bang. Selama ini pun, Aween buat medical check-up sorang. Tak ada masalah pun?” jawabku. Sedaya-upaya aku mengelak dari ditemaninya. Kalau Azhari ada sama, tentu sukar untuk aku dan Doktor Hazim berbincang.
“Selama ni, Aween ke klinik sorang-sorang. Abang rasa bersalah sangat sebab biarkan Aween jumpa doktor sorang-sorang. Sepatutnya, abang kena temankan Aween. Barulah dikatakan suami bertanggungjawab,” ujarnya. Aku ketawa kecil. Lantas rambutnya yang basah itu kuelus mesra.
“Alah, tak kisahlah. Apa, selama ni abang tak pernah jadi seorang suami yang bertanggungjawab ke? Setahu Aween, abang dah jalankan tanggungjawab abang dengan sempurna sekali. Two hundred percent perfect!” ucapku. Gilirannya pula ketawa.
“Yalah tu, pandai nak mengayat abang. Tapi, tak boleh jugak asyik biarkan Aween pergi seorang diri. Kalau ibu tahu ni, mahunya tak teruk abang kena bebel,” tuturnya. “Ibu abang jauh kat Utara sana, mana dia nak tahu? Kalau abang tak buka mulut, taklah dia bebel,” ujarku diiringi tawa.
“Tak sangka, ya. Anak manja ibu ni pun takut kena bebel?” ejekku seraya mencuit hidungnya. Dia ketawa.
            “Anak manja ibulah yang selalu kena bebel, sebab anak manja ibu yang paling degil dan banyak buat masalah,” ujarnya bersahaja. Kami ketawa serentak.

Sunday 14 August 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 37)

AKU duduk tersandar di kepala katil sambil memandang keadaan sekeliling yang agak asing. Kamar itu begitu sunyi dan sepi. Hanya dicat dengan warna serba putih. Begitu juga dengan kain cadar serta selimut yang juga berwarna putih. Malahan, baju yang kupakai juga serba putih. Aku membelek-belek lengan baju yang kupakai dengan rasa hairan. Seketika aku memandang lagi di segenap ruang kamar itu dengan perasaan aneh sekali. Di manakah aku? Kenapa aku berada di sini seorang diri? Di mana suamiku? Soalan itu berlegar-legar di kotak fikiranku.

Seketika kemudian, kedengaran bunyi pintu kamar itu terbuka. Terpacul seraut wajah yang tidak kukenali yang berpakaian serba putih seperti seorang doktor. Di kiri dan kanannya pula terdapat dua orang wanita yang juga berpakaian serba putih seperti jururawat. Aku di hospital? Bila aku dimasukkan ke sini? Malah apa yang lebih menghairankan aku, lelaki yang berpakaian seperti doktor itu sedang mengendong seorang bayi yang sudah dibedung dengan kain putih. Wajahnya bercahaya sambil tersenyum ke arahku. Segera pandanganku beralih ke perutku. Oh, tidak! Perutku sudah kempis. Aku sudah melahirkan anakku? Ah, tak mungkin! Kandunganku belum pun masuk tujuh bulan. Bayiku belum cukup bulan lagi, macam mana aku boleh melahirkannya? Aneh!

Mereka menghampiriku. Seketika kemudian doktor tersebut menghulurkan bayi itu kepadaku bersama segaris senyuman di bibir.
“Tahniah, Puan Azween. Puan telah selamat melahirkan anak perempuan,” ucap doktor itu. Aku mengerutkan dahiku. Bagaimana aku boleh melahirkan anak ini? Sedangkan sebelum ini aku langsung tidak merasakan kesakitan hendak bersalin. Malahan, aku langsung tidak merasa peritnya di saat aku sedang bergelut ketika hendak melahirkan anak ini. Adakah aku telah melahirkannya dengan cara pembedahan? Baru aku hendak merungkaikan kekusutanku ini dengan bertanyakan doktor itu, kulihat mereka bertiga sudahpun tiada. Sekelip mata mereka sudah hilang dari pandanganku.

Lantas pandanganku beralih ke arah bayi yang berada di dalam kendonganku itu. Aku tersenyum tatkala menatap wajah comel anak itu. Wajah bayi yang gebu dan mulus itu kucium bertalu-talu. Anak akukah ini? Ya, aku yakin ini anakku. Wajahnya ada mirip wajah ayahnya. Di kala itu aku teringatkan seseorang. Ya, suamiku Azhari. Ke manakah dia? Kenapa dia tidak berada di sini, menyambut kedatangan bayi ini? Bukankah di saat ini dia harus berada di sampingku, menyambut kegembiraan ini bersama denganku? Hatiku mulai terguris pilu, mengenangkan sikap lepas tangan suamiku itu.

Sedang mataku begitu asyik menatap wajah anakku, tiba-tiba aku terdengar bunyi derapan kaki menghampiri katilku. Dalam fikiranku tiada orang lain melainkan Azhari, suamiku. Tanpa menoleh walau seketika, aku bersuara.
“Abang, tengok anak kita ni, bang. Comelnya. Mukanya macam muka abang.” Namun tiada sebarang respon. Dia hanya menyepi berdiri di hujung kakiku.
“Bang, tengoklah ni bang. Anak kita ni…” dan sebaik aku mendongak, aku terperanjat. Orang yang sedang berdiri di hujung katilku itu bukanlah suamiku. Sebaliknya, seorang yang tidak kukenali. Wajahnya tampak bengis. Seluruh tubuhnya diselaputi kain hitam. Cukup menggerunkan. Aku menggigil ketakutan. Bayi yang berada di kendonganku kudakap erat. Mahluk itu menghampiriku. Aku ingin menjerit, tetapi bibirku terasa amat berat sekali. Lidahku pula kelu dan suaraku seakan tersekat di celah-celah kerongkongku.

Sepantas kilat anak itu berjaya dirampasnya dari peganganku. Aku yang ketika itu begitu lemah tidak mampu untuk melawan. Aku cuba mengejar mahluk itu dari membawa anakku lari, namun kakiku terasa kaku seakan lumpuh ketika itu.
“Tolong…! Bagi balik anak aku! Doktor, tolong doktor! Ada orang ambil anak saya, doktor! Tolong!!!” akhirnya aku berjaya menjerit. Malangnya tiada sesiapa yang datang membantu. Seketika kemudian, kelihatan suamiku masuk ke kamar itu dan terus meluru mendapatkanku.
“Aween, kenapa ni sayang?” soalnya cemas.
“Abang, tolong bang. Ada orang ambil anak kita, bang. Tolong kejar orang tu, bang! Dapatkan balik anak kita!” raungku kuat. Namun Azhari bagaikan tidak menghiraukan rayuanku itu. Sebaliknya pula dia berusaha menenangkanku.
“Abang, jangan pedulikan Aween, bang. Tolong kejar orang tu, bang! Dapatkan balik anak kita!” jeritku lagi. Dalam pada itu aku meronta-ronta dari pegangan suamiku.
“Aween, sabar sayang. Bertenang!” Azhari terus menenangkanku.

*****

DALAM sekelip mata, keadaan sekelilingku sudahpun berubah rupa. Aku tidak lagi berada di kamar yang asing itu, sebaliknya berada di bilik tidur kami di rumah. Aku masih meronta-ronta sambil menjerit meminta agar dikembalikan semula anakku, manakala suamiku pula masih cuba memegang kuat tanganku yang sedang meronta-ronta itu. “Ya ALLAH! Aween, kenapa ni? Sabar sayang, bawa mengucap,” ujar suamiku.
            “Lepaskan aku! Aku nak kejar orang tu. Dia bawak lari anak aku!” jeritku kuat.
            “Aween, abang ni!” suara Azhari mulai meninggi. Dan aku tergamam. Seketika mataku bertentangan dengan mata suamiku. Aku termengah-mengah keletihan. Nafasku berombak kencang.
            “Abang, anak kita…” Pantas Azhari mencapai tanganku lalu diramasnya. Seketika telapak tanganku dibawanya ke permukaan perutku yang masih membuncit itu. Aku terkejut. Ya ALLAH, aku bermimpi rupanya!
            Kan anak kita masih ada di sini?” soalnya lembut. Sebelah dari tanganku mengusap lembut dahiku. Di kala itu aku dapat rasakan ada satu pergerakan di perutku. Pergerakan seolah-olah cuba menenangkanku. Aku menjadi tenang kembali. Syukur alhamdulillah. Anakku masih bernyawa di dalam kandunganku ini.

            Seketika aku beristigfar. “Astagfirullahal’azim…” ucapku berkali-kali. Azhari segera memasang lampu tidur di sisi katil. Bilik yang tadinya begitu gelap-gelita kini diterangi dengan cahaya kuning yang samar-samar. Dia terus merenungku dengan pandangan yang cemas.
            “Aween mengigau. Kenapa ni, sayang?” soalnya lembut. Seketika dahiku diusap dan dikucup lembut. Aku masih seperti tadi, mengucap kalimah suci itu berkali-kali. Lantas aku menangis di dada suamiku. Ketika itu, dapat kurasakan usapan lembut di belakang kepalaku.
“Abang, Aween takut bang. Aween takut,” ucapku dalam tangisan.
            “Sayang takutkan apa?” soalnya lagi.
            “Aween mimpi buruk. Ada orang nak ambil anak kita, bang. Aween takut,” ucapku lagi. Dan tangisanku kian menjadi-jadi sebaik terkenangkan mimpi itu tadi.
            “Sayang, kan itu cuma mimpi? Jangan difikirkan sangat. Mimpi tu cuma mainan tidur. Dah, bawa bertenang. Jangan menangis lagi. InsyaALLAH, tak ada orang yang nak ambil anak kita,” tutur Azhari lembut. Dia masih cuba menenangkanku.

            Seketika pelukan kami terlerai. Azhari terus merenungku. Seketika dia menghampiri meja sisi katil lalu menuangkan sedikit air masak ke dalam gelas. Kemudian dia menghadapiku semula. Kulihat mulutnya berkumat-kamit membaca sesuatu. Seketika kemudian dia meniup air di dalam gelas itu lalu dituangkannya sedikit ke telapak tangannya dan merenjis-renjiskan ke mukaku. Mulutnya masih berkumat-kamit seolah membaca sesuatu. Dan seketika kemudian dia menghembuskannya lembut ke wajahku. Air di dalam gelas itu dituangkannya lagi sedikit di telapak tangan lalu menyapukannya ke seluruh wajah dan ubun-ubunku. Aku hanya membiarkan perbuatannya itu.

            “Dah okey?” soalnya sambil menggenggam tanganku. Aku terdiam. Dia tersenyum melihatku masih tergamam seperti itu.
            “Abang, Aween takut,” ucapku lembut berbaur cemas.
            It’s just a nightmare, sayang,” ujarnya lagi. Aku mengeluh berat.
            “Abang, Aween rasa tak sedap hati,” aduku. Dia mengerutkan dahi.
            “Kenapa?” soalnya. Seketika ubun-ubunku diusap lagi.
            “Abang, boleh tak esok abang ambil cuti? Kita ke klinik buat check-up?” pintaku. Semakin berkerut dahinya memandangku.
            “Nak ke klinik lagi? Setahu abang, baru minggu lepas Aween jumpa doktor buat check-up. Takkan cepat sangat appointment dengan doktor tu?” soalnya pelik. Aku menggeleng laju.
            “Aween tak ada appointment pun dengan Doktor Hazim esok, bang. Tapi, hati Aween ni rasa tak sedap. Macam ada something yang akan berlaku. Aween nak check sama ada anak kita ni okey ke tidak. Abang, Aween takut kehilangan anak kita, bang,” ujarku dalam nada gusar.

Azhari terdiam. Sebuah keluhan terbit di bibirnya. Lama dia memikirkannya. Dan akhirnya dia mengangguk setuju. Aku tersenyum puas.
“Terima kasih, bang,” ucapku sayu. Dia mengangguk lantas merangkul tubuhku lalu dibawa ke dalam dakapannya. Seketika aku menjadi tenang semula.
“Abang, Aween nak berikan yang terbaik untuk abang. Aween sayangkan abang. Aween sayang sangat kat abang,” ucapku bersungguh.
“Abang pun sayangkan Aween jugak. Sayangnya abang pada Aween, hanya ALLAH saja yang tahu,” ucapnya penuh syahdu. Aku terharu. Dan akhirnya, aku terlena jua di dalam dakapan suamiku. Tiada lagi mimpi ngeri yang bertandang mengganggu tidur malamku kali ini.

*****

“MACAM mana dengan isteri dan anak I, doktor?” Di sebalik tirai hijau itu, kedengaran suamiku bertanya pada Doktor Hazim sebaik doktor pakar sakit puan itu selesai memeriksaku.
            “Hmm… so far kandungannya sihat, tak ada apa-apa yang membimbangkan. You janganlah risau, Encik Khairul,” ujar Doktor Hazim kepada suamiku. Aku terduduk di katil rawatan sebaik tirai ditarik. Seorang jururawat membantu memimpin tanganku untuk turun dari katil itu dan melangkah menghampiri meja doktor. Aku mengambil tempat di sebelah suamiku menghadap Doktor Hazim.
            I bukannya apa, doktor. I risau tengok my wife sejak akhir-akhir ni. Sekejap-sekejap termenung, kekadang dia asyik fikir benda yang negatif aja. Selalu nampak risau macam orang sedang berhadapan dengan trauma. Malam tadi dia bermimpi buruk, katanya ada orang nak ambil anak kami. Tu yang dia beria sangat ajak I datang sini buat check-up pada kandungannya tu. She’s too worry if there’s something will happen to our baby,” adu suamiku kepada Doktor Hazim. Aku mulai cuak. Wajah Doktor Hazim kurenung lalu mengisyaratkan sesuatu. Doktor Hazim memandangku dengan riak wajah serba salah.
            “Adakah ini satu perkara yang normal bagi ibu-ibu yang mengandungkan anak sulung, doktor?” soal suamiku. Doktor Hazim terdiam. Seketika dia mengeluh berat.
            “Kes macam ni memang ada, Encik Khairul. Tapi tak banyak, dan ia jarang sekali berlaku. Biasalah tu, Encik Khairul. Bila mengandungkan anak sulung ni, macam-macam yang si ibu fikirkan. Yalah, baru pengalaman pertama. Jadi, you haruslah bersabar menghadapi kerenah isteri you ni,” terang Doktor Hazim panjang-lebar. Azhari mengangguk. Aku terdiam mendengar perbincangan mereka.

            Setengah jam kemudian, kami keluar dari bilik rawatan. Azhari memandangku lalu memaut tubuhku. Bahuku diramasnya.
“Sayang dengar tak tadi, doktor kata baby kita okey, tak ada apa-apa?” soalnya kepadaku. Aku terdiam. Seketika aku mengangguk lemah. Namun aku rasa cukup bersyukur kerana Doktor Hazim langsung tidak menyentuh hal penyakitku di hadapan Azhari. Sehingga kini, rahsia itu masih berjaya kusembunyikan dari pengetahuan suamiku. “So sekarang tak ada masalah lagi?” soalnya lagi. Aku mengangguk lemah.
“Hmm… baguslah tu. So lepas ni, abang tak mahu tengok lagi Aween murung, termenung sana-sini dan fikir yang bukan-bukan. Tak ada apa yang nak dibimbangkan lagi. Dan jangan diingatkan jugak pasal mimpi malam tadi tu lagi. Anak kita kat dalam tu sihat walafiat. Aween tu aja yang tak okey sebenarnya. Asyik fikir benda yang pelik-pelik aja,” bebelnya. Aku bungkam. Ya, memang Aween tak okey, bang. Aween sakit, bang. Aween ada kanser pangkal rahim. Namun kata-kata itu hanya terluah di lubuk hatiku ini.

            Tengahari itu, Azhari terpaksa juga ke pejabatnya memandangkan dia ada mesyuarat penting pada pukul tiga petang. Sesekali timbul rasa kesal dan simpatiku kepadanya. Aku telah banyak menyusahkannya. Ini semua adalah angkara kerenah pelikku sejak akhir-akhir ini. Kerana terlalu menurut permintaanku, dia menjadi agak kelam-kabut. Sesungguhnya aku menyesal kerana terlalu menyusahkan suamiku. Maafkan Aween, abang…