Sunday 15 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 28)

SETELAH empat jam memandu, akhirnya aku sampai juga ke kampung kelahiran ayahku. Sebaik Perodua Myvi kubelok memasuki kawasan laman rumah papan itu, kelihatan Ijie sedang sibuk membaiki motorsikalnya di hadapan rumah. Dia agak tergamam tatkala melihat keretaku menyusur masuk ke kawasan lapang di hadapan rumah itu. Seketika dia tersenyum. Aku turut tersenyum melihatnya.

            Oh adikku. Hatiku berkata sendiri. Sesungguhnya, dia kelihatan cukup matang sekarang, walaupun usianya baru mencecah 17 tahun. Berkulit putih kekuningan dan memiliki sepasang mata yang agak sepet, tak ubah seperti anak Cina. Dia terus menerpa ke arahku sebaik aku memboloskan diri keluar dari kereta. Namun dia agak keberatan hendak menyalami aku, kerana tangannya yang kelihatan kotor dengan minyak hitam. Aku hanya tersengih seraya mengangguk, tanda faham.           
            “Sihat?” soalku. Dia mengangguk laju.
            “Sihat, kak.”
            “Atuk dengan nenek mana?” soalku.
            Ada kat atas tu. Kakak ni balik tak beritahu,” rungutnya. Aku ketawa seraya mencuit dagunya yang sedikit tajam itu.
            “Saja nak buat surprise,” ujarku. Dia turut ketawa.
            “Macam mana study? Periksa tak lama lagi, kan?” Dia mengangguk.
            “Dah prepare?” soalku lagi, agak tegas. Dia hanya tersenyum kambing sambil menggeleng. Aku membeliakkan mata.
            “Tak well prepare lagilah, kak. Alah, SPM lagi sebulan lebih. Banyak masa lagilah, kak,” ujarnya. Aku mengetap bibir sambil menggeleng.

            “Kak,” panggilnya mengejut. Aku memandangnya dengan pandangan yang membundar. “Hah, apa dia?” soalku. Dia tersengih-sengih macam kerang busuk.
            “Kenapa bertunang tak beritahu?” soalnya lancar. Aku termangu. Perlukah aku memberitahunya yang aku telah memutuskan tali pertunangan tersebut?
            “Kenapa, kak?” soalnya. Riak wajahnya tampak berubah sama sekali. Segera aku menggeleng. “Hmm… tak ada apa, dik. Alah, bukan kakak tak mahu bagitahu. Pihak lelaki datang rumah pun secara mengejut. Kakak pun tak sangka dia orang nak datang dan terus bertunang,” jawabku. Dia tersengih lagi.
            “Kakak naik dululah, ya. Eh, atuk macam mana? Masih macam tu jugak?” soalku sebelum melangkah menaiki tangga.
            “Hmm… macam tu jugaklah, kak. Pendengaran dah kurang jelas. Jalan pun makin slow, nak kena pimpin,” jawab Ijie. Aku mengangguk. Sesungguhnya, aku sudah tersedia maklum akan keadaan datukku yang kian uzur itu.

            Aku terus menaiki anak tangga di beranda. Suasana rumah papan itu agak sunyi dan sepi. Aku melaung memberi salam. Seketika kedengaran salamku dijawabnya. Nenek meluru ke ruang tamu. Wajahnya begitu ceria menyambut kedatanganku.
            “Aween,” sapanya mesra. Aku memanjangkan langkah mendapatkannya. Sebaik tangannya kusalam dan kucium, pantas kupeluk tubuh kecil yang kian membongkok itu.
            “Lama Aween tak balik. Kami di sini semua rindukan Aween. Selalu ayah seorang aja balik. Kenapa tak ikut sekali?” dia bersuara lirih. Sayu aku mendengarnya.
            “Aween sibuk, nek. Masa tu Aween baru mulakan kerja sambilan. Sekarang Aween dah berhenti,” terangku. Nenek tersenyum seraya mengusap pipiku lembut.
            “Sampaikan kamu bertunang pun kami di sini tak tahu. Alih-alih aja sampai jemputan ke rumah ni. Kenapa dengan kami pun nak bersenyap-senyap? Ijie tu, dia adik kamu. Dia pun terkilan bila tak dimaklumkan. Terkejut dia bila kad kahwin kamu sampai,” kata nenek sayu. Sebak aku mendengarnya.
            “Nenek, bukan Aween tak nak beritahu. Aween bertunang pun mengejut, nek. Pihak lelaki datang ke rumah secara tiba-tiba. Aween tak tahu apa-apa. Dah tu, tempoh pertunangan pun cuma dua bulan aja,” ujarku memujuk hati tua itu. Nenek tersenyum hambar. Aku tahu, dia terkilan dengan sikapku yang seakan tidak mengendahkan mereka di sini sejak akhir-akhir ini.

            “Siapa?” Tiba-tiba kedengaran satu suara yang agak kuat. Kami tersentak. Aku memandang nenek.
            “Atuk?” soalku seakan berbisik. Nenek mengangguk lesu. Segera aku melangkah ke dalam, di mana datukku ditempatkan.
            “Aween datang, tuk,” ujarku. Segera aku mendapatkannya. Punggungku dilabuhkan ke sisi katilnya. Tangan tua itu kusalam. Lama bibirku melekap ke tangannya itu. Seketika mataku terus merenung sayu tubuh yang amat kurus sehingga menampakkan tulang-belulangnya itu. Airmataku menitis tanpa dipinta. Sudah agak lama aku tidak pulang melawat mereka di sini.
            “Aween sihat?” soalnya lemah. Aku mengangguk laju.
            “Sihat, alhamdulillah,” jawabku.
            “Ayah tak ikut balik sekali?” soalnya lagi. Aku menggeleng.
            “Sibuk menguruskan majlis Aween barangkali?” dia bersuara lagi. Aku mengangguk lemah. Mengiakan kata-katanya itu. Ah, semakin bersalah aku dibuatnya.

*****
AKU mencapai sampul surat yang terletak di atas peti sejuk itu. Isinya kukeluarkan. Hatiku terus dipugut rasa sayu tatkala menatap coretan yang tertulis di dalamnya.

Undangan Majlis Perkahwinan Azween dan Azhari

Walimatul Urus
Kamaruddin Bin Haji Ayob
Dengan penuh kesyukuran menjemput ayahanda Haji Ayob dan bonda sekeluarga ke majlis tambatan janji, izin berwali, ijab bersaksi puteri saya yang dikasihi:

Khairul Azween Binti Kamaruddin
dengan
Khairul Azhari Bin Ramli

            Aku mengetap bibir dengan rasa hiba. Menurut perancangan, majlis ini akan berlangsung dua minggu lagi. Dalam hati aku tertanya-tanya, sudahkah Farhana menyerahkan cincin itu kepada Azhari? Bagaimanakah agaknya reaksi Azhari apabila menerima cincin itu kembali?

Ah, entahlah. Sejak akhir-akhir ini, fikiranku sering kacau-bilau. Adakah disebabkan keputusan yang kubuat itu menyebabkan fikiranku berserabut seperti ini? Tak habis-habis memikirkan keputusan yang telah kubuat. Malah, rasa bersalah terus memburu diriku. Ya, memang aku bersalah. Aku bersalah kepada semua orang. Ayah, ibu, Azhari… ah, semuanya! Namun, apakan daya. Hatiku begitu kuat mengatakan yang ini adalah keputusan yang terbaik, biarpun telah melukakan banyak pihak. Aku pasti akan dipersalahkan nanti. Tentu ibu serta seluruh kaum keluarga Azhari akan membenciku. Malah, tentu ayah juga akan mengamuk bila mendapat tahu yang aku telah memutuskan pertunangan ini tanpa sebarang perbincangan. Ah, pelbagai kemungkinan yang menghantui fikiranku ini. Sesungguhnya, aku pasrah dengan ketentuan Ilahi. Aku pasti, suatu hari nanti mereka akan faham.
*****

“KENAPA kakak tak beritahu yang kakak dah bertunang?” soal Ijie keras. Ketika itu kami sedang mengambil angin petang di pangkin yang terletak di bawah pokok bunga tanjung di halaman rumah. Aku bungkam. Seketika kuhelakan nafas berat. Aku tahu, dia terkilan kerana aku merahsiakan hal pertunanganku.
            “Ijie, bukan maksud kakak nak merahsiakan semua ni…”
            “Habis tu, kenapa? Apa, Ijie tak layak untuk tahu?” pantas dia memintas kata-kataku. Aku mengeluh berat.
 “Ijie sedar, kak. Siapalah kami di sini untuk berhak tahu semua tu.”
            “Jie, apa Ijie cakapkan ni?” soalku keras.
            “Memang dari dulu lagi kakak dengan ayah tak pedulikan Ijie di sini. Ijie ni dah macam bukan adik kakak lagi, kan?” dia terus melempiaskan rasa tidak puas hatinya.
            “Khairul Azizi!” bentakku mulai meradang.
            “Memang betul, kan? Tak payah kakak nak nafikan. Memang Ijie ni tak guna. Sebab tu ayah buang Ijie. Ayah hantar Ijie tinggal dengan atuk dan nenek. Kalau dah tak suka sangat kat Ijie, kenapa tak hantar aja Ijie ni ke rumah kebajikan!”

            Aku beristighfar panjang mendengar kata-kata yang lahir di bibir adik tunggalku itu. Namun hatiku turut merasa sayu dan hiba.
            “Astagfirullahal’azim. Ijie, jangan cakap macam tu, dik. Ayah dan kakak sendiri tak pernah anggap Ijie orang luar. Ijie tetap adik kakak. Kakak tak ada saudara lain lagi. Ijie ajalah yang akak ada, dik,” aku bersuara lirih. Ijie ketawa sinis.
            “Sudahlah, kak. Kakak ingat adik tak tahu? Dulu, ayah memang bencikan Ijie, kan? Ayah tak terima kelahiran Ijie, sebab mama meninggal kerana melahirkan Ijie. Sebab tu ayah tak sukakan Ijie!” ujarnya keras. Aku termangu seketika. Di kala itu timbul tanda tanya di benakku ini. Mana dia tahu semua ini?
            “Apa yang Ijie mengarut ni? Mana ada? Siapa yang cakap semua ni, dik?” soalku mulai berang. Ijie tersenyum sinis.
            “Tak payahlah kakak nak tanya siapa yang cakap. Tapi memang betul, kan? Ya, Ijie yang bersalah. Ijie yang menyebabkan kematian mama. Kalau bukan kerana kelahiran Ijie, tentu mama masih hidup, kan? Tentu ayah dan kakak sedang bergembira sekarang ni, kan? Kakak pun taklah kehilangan kasih sayang mama. Dan ayah pun tak adalah sunyi sekarang ni,” bentaknya.

            Aku mengurutkan dada, menahan sabar. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja aku menampar pipi adikku itu kerana kelancangan mulutnya berkata-kata sebentar tadi. Memang sudah melampau!
            “Cukup, Ijie. Cukup! Kakak tak mahu dengar semua tu!” aku mulai meninggikan suaraku. Nafasku turun naik. Azizi tak sepatutnya mengata ayah sebegitu. Dan dia tak berhak melibatkan arwah mama dalam hal ini. Mama sudah lama pergi. Dia tak seharusnya mengungkiti orang yang sudah tiada.
            “Ijie,” aku mulai sebak.
            “Sampai hati kau kata ayah macam tu. Kenapa mesti pandang serong pada ayah hanya kerana cerita yang dah lapuk tu? Kau tahu tak, betapa banyak jasa yang telah ayah lakukan untuk kau?” kataku dalam nada suara yang tenggelam-timbul. Sesungguhnya, tahap kemarahanku sudah sampai di kemuncaknya.
            “Dan sampai hati jugak ayah membuang Ijie hanya kerana kematian mama!” tengkingnya. Matanya begitu buntang memandangku.
            “Ijie!” jeritku lantang. Kali ini dia terdiam. Mata kami saling bertemu. Aku dengan beraninya merenung mata tajam adikku itu. Begitu juga dengan dia.
            “Jangan sekali-kali kau kurang ajar, Jie. Kalau arwah mama masih ada, tentu dia jugak akan kecewa melihat anaknya terlalu biadap macam ni!”

            Ijie terus membisu. Namun pandangannya masih dihalakan denganku. Matanya masih seperti tadi, bagaikan seekor harimau yang ingin membaham mangsanya.
            “Ijie, kau dengar sini baik-baik. Kau jangan cakap ikut sedap mulut kau aja, Jie. Kau tak tahu, kenapa ayah begitu. Sebenarnya, dia tak berniat untuk membenci kau, jauh sekali nak membuang kau,” aku bersuara sayu.
“Kau baru lahir ketika tu. Kau tak tahu betapa hebatnya penderitaan ayah setelah kematian mama. Ayah begitu tertekan, Jie. Ayah bagaikan hilang punca setelah kematian mama. Dia tak boleh terima yang mama telah pergi dijemput Ilahi. Kakak sendiri melihat keadaan ayah ketika itu. Cukup menyayatkan hati. Belum reda lagi kesedihan kakak di atas pemergian mama, ditambah pula dengan keadaan ayah yang sebegitu rupa.” Aku mulai menangis tatkala menceritakan kisah yang amat memilukan sepanjang kehidupanku itu.
He was not being himself that time. Kerana asyik terkenangkan arwah mama, diri kakak sendiri pun terabai. Dia langsung tak pedulikan kakak. Kakak terkilan sangat waktu itu. Dahlah kakak kehilangan kasih sayang mama. Kepada siapa lagi yang harus kakak menumpang kasih selain dari ayah? Ayah pulak macam tu. Saban hari asyik meratapi pemergian mama.” Aku berhenti seketika, menyeka airmataku yang kian lebat merembes keluar.
“Kerana itulah, ayah menyesali dengan kelahiran kau dan tidak dapat menerima kehadiran kau. Tapi kau tak boleh nak salahkan ayah sepenuhnya, sebab ayah dalam keadaan yang tidak waras masa tu. Dia tak sedar dengan segala tindak-tanduknya ketika itu. Demi untuk meredakan keadaan yang tegang, atuk dan nenek telah membawa kau pulang ke kampung. Mereka mahu menjaga kau. Tak sampai hati mereka untuk membiarkan kau terus dibenci ayah. Atuk dan nenek bercadang akan memulangkan kau semula ke pangkuan ayah setelah ayah benar-benar stabil. Tapi, keadaan ayah makin hari makin tak terurus. Lantaran itu, atuk dan nenek serta seluruh kaum keluarga ayah yang lain telah membawa ayah berjumpa dengan seorang yang warak untuk memulihkan semula keadaannya. Alhamdulillah, tak lama selepas itu keadaan ayah pulih seperti sedia kala. Ayah mulai dapat menerima hakikat yang mama telah pergi buat selama-lamanya. Malah dia jugak dapat menerima kehadiran kau. Dia mahu mengambil kau semula. Tapi, nenek pula yang berat hati hendak menyerahkan kau semula kepada kami. Sebab itu ayah mengalah. Dia tak mahu tengok atuk dan nenek kesunyian. Maka sebab itulah kau dibiarkan tinggal bersama atuk dan nenek di sini,” aku mengakhiri cerita itu dengan tersedu-sedu.

Sekilas aku memandang Ijie yang kelihatan bungkam tanpa kata. Wajahnya turut kelihatan sayu. Ada air yang kelihatan bertakungan di kolam matanya. Hidungnya kembang-kempis menahan sendu.
“Selama ni, dah terlalu banyak jasa yang telah ayah lakukan terhadap kau. Ayah mahu mengambil semula hati kau. Tapi kau terus bersikap keras kepala begini. Kau terus dengan dendam kau. Namun begitu, ayah tetap tidak putus asa. Dia terus berusaha untuk memujuk kau semula. Kau tahu tak selama ni, ayahlah yang kerap mengirimkan kau duit? Atuk dan nenek tak mampu untuk biaya perbelanjaan sekolah dan yuran peperiksaan kau. Ayahlah yang mengirimkan wang itu kepada atuk setiap bulan untuk perbelanjaan kau,” sambungku lagi.
“Habis tu, duit motorsikal tu pun dari ayah jugak?” soal Ijie. Aku mengangguk lemah. “Ya, itu pun dari ayah,” jawabku perlahan. Ijie melopongkan mulutnya. Mungkin terperanjat mendengar semua ini.
“Selama ni, Ijie ingat atuk yang berikan duit tu untuk Ijie beli motor. Katanya untuk kemudahan ke sekolah dan kelas tusyen,” ujarnya. Aku menggeleng.
“Tak, Ijie. Semuanya dari ayah. Kau bertuah, Ijie. Cuba kau tengok, ada tak kawan-kawan kau di kampung ni yang mampu pergi ke kelas tusyen? Tak ada, kan? Kalau ada pun, jarang. Cuba kau fikir, setakat pendapatan atuk yang datang dari hasil kutipan buah dari kebun, mana cukup untuk tampung semua tu?”

Ijie terus membisu mendengar kata-kataku. Mulutnya yang tadinya begitu lancang berkata-kata seakan terkunci rapat.
            “Lagi satu, jangan sekali-kali kata yang Ijie menyebabkan kematian mama. Ijie tak menyebabkan kematian mama. Mama meninggal kerana menderitai kanser pangkal rahim. Pada awal kehamilannya, doktor telah mengesahkan penyakitnya itu. Mama disuruhnya menggugurkan kandungannya. Tapi mama tak mahu. Dia terlalu sayangkan kandungannya. Dia teramat sayangkan kau. Jadi, janganlah kau nak menyalahkan diri kau lagi, Ijie. Arwah mama sendiri yang nakkan kau merasai nikmat hidup di dunia ni. Ayah telah menceritakan segala-galanya kepada kakak, dik,” tuturku lembut. Dia masih membisu.

            “Kakak masih ada masa untuk pulang menjenguk kami di sini, ya?” akhirnya dia bersuara, mengubah topik perbualan kami setelah lama menyepi diri.
            “Kalau ada masa terluang, kakak akan balik jenguk semua,” kataku.
            “Tentu kakak dengan ayah sedang sibuk membuat persiapan majlis tu, kan?” soalnya lagi. Aku termangu seketika. Perlukah aku memberitahu semua akan pembatalan majlis perkahwinanku itu?
            “Ijie,” ujarku lembut. Dia menoleh memandangku.
            “Kakak, kakak…” Ah, terasa berat pula bibir ini hendak memberitahunya.
            “Kenapa, kak?” soalnya.
            “Sebenarnya kakak tak jadi kahwin, dik,” tuturku perlahan.
            “Hah! Apa?” Ternyata dia terkejut mendengar perkhabaran itu.
            “Tapi kenapa, kak?” soalnya sedikit meninggi.
            “Kakak belum bersedia, dik. Banyak lagi urusan yang belum kakak selesaikan. Kalau boleh, kakak nak semuanya selesai sebelum kakak melangkah ke alam perkahwinan,” sengaja aku mencipta alasan.
           
            Ijie mendengus keras. “Urusan apa, kak?” soalnya bersama kerutan di dahi. Ah, nampaknya, peluang sudah terbuka luas. Kurasakan, inilah masanya yang paling sesuai untuk aku menjalankan tanggungjawabku yang telah diamanahkan selama ini.
            “Banyak, dik. Antaranya urusan adik dengan ayah,” ujarku perlahan. Dia semakin hairan. “Urusan adik dengan ayah?” soalnya. Aku mengangguk.
            “Sebelum kakak meninggalkan keluarga kakak dan mengikuti suami, kakak harus memastikan yang Ijie berbaik semula dengan ayah,” tegasku.
            “Tapi kenapa, kak?” soalnya berbasa-basi.
            “Ijie, kakak tak mahu ayah kesunyian. Kakak tahu, setelah kakak kahwin nanti, kakak terpaksa tinggalkan ayah sendirian. Selama ini, kakak telah menemani hidup ayah. Kakak nak pastikan yang ayah tidak kesunyian setelah ketiadaan kakak nanti. Dan kakak rasa, siapa lagi yang dapat mengisi kekosongan hidup ayah selain dari Ijie. Ijie jugak anak dia. Malah, tanggungjawab Ijie terhadap ayah jauh lebih besar sebab Ijie anak lelaki. Kalaupun ditakdirkan Ijie mendirikan rumahtanggga suatu hari nanti, hubungan Ijie dengan ayah tetap tidak akan terputus. Tanggungjawab untuk menjaga ayah tetap di bahu Ijie,” terangku panjang-lebar. Ijie terdiam.
“Habis tu, kakak nak Ijie buat apa?” soalnya bagaikan orang bodoh. Ah, takkan dia masih tak faham-faham lagi!
            “Senang aja. Tolong berbaik dengan ayah. Dan kalau boleh, kakak nak Ijie tinggal dengan ayah di KL selepas tamat SPM nanti,” aku bertegas lagi. Dia termangu seketika.   “Habis tu, macam mana pulak dengan atuk dan nenek di sini? Sejak kecil Ijie dibesarkan di sini. Takkan Ijie nak tinggalkan mereka macam tu aja?” dia membantah dengan alasannya tersendiri.

            Aku mengeluh berat. Ijie seakan mahu mengelak dari bertembung dengan ayah. Sedangkan kedua orang tua itu tidak kisah langsung sekiranya ayah hendak membawa Ijie tinggal di Kuala Lumpur bersamanya.
            “Pak Long dengan Mak Long kat belakang rumah tu kan ada? Apa yang Ijie nak risaukan?” bidasku. Dia merengus lagi. Keras.
            “Kak, cuba kakak tengok keadaan atuk sekarang ni? Dan cuba kakak fikir, dari kecik dia membela Jie. Bila dah besar, Jie nak kena tinggalkan dia dalam keadaan yang sebegitu rupa. Kakak fikir Jie sampai hati ke nak buat macam tu?” Aku mengurutkan dahi. Seketika aku merengus lemah.
            “Tak apalah. Kakak tak mahu paksa Ijie lagi. Terpulang pada adik nak tinggal kat mana sekalipun. Cuma, satu aja yang kakak pinta, dik. Kakak nak adik berbaik semula dengan ayah. Rapatkan semula hubungan adik dengan ayah yang dah lama renggang ni. Sayangilah ayah sepertimana ayah menyayangi adik. Itu sahaja. Tolonglah dik,” rayuku. Dia termangu seketika.
“Bolehkan, dik?” rayuku lagi. Dia menghelakan nafas berat.
            “Habis tu, macam mana pulak dengan penerimaan ayah nanti, kak?” soalnya masih ragi-ragu.
            “Ijie, ayah dah lama menerima Ijie dalam hidupnya semula, dik. Cuma adik aja yang tak mahu bagi ayah peluang. Selama ni, banyak perkara yang dah ayah lakukan untuk mengambil semula hati adik. Tapi adik masih jugak berkeras kepala. Semakin ayah mengejar adik, semakin jauh adik melarikan diri. Kenapa adik terus nak berdendam dengan ayah? Dia tu ayah kita. Kalau dia tak ada, kita takkan dapat menikmati kehidupan di bumi ALLAH ni,” tuturku panjang lebar.

            Ijie bungkam lagi. Lama dia begitu. Wajahnya tampak sendu. Tentu dia terkilan dengan apa yang telah kuceritakan ini. Aku terus menanti keputusannya dengan penuh sabar. Dan seketika dia mengangguk lemah.
             “Tapi adik masih terkilan dengan perbuatan ayah dulu. Adik sukar nak melupakan perbuatan ayah yang pernah membuang adik dulu. Mana ada seorang ayah yang sanggup buang anaknya sendiri?” ujarnya perlahan. Aku mengeluh. Seketika aku melangkul bahunya. Kepalanya kubawa ke dadaku.
            “Jangan macam tu, dik. Yang dah lepas tu biarkanlah lepas. Yang penting sekarang ni, ayah benar-benar menyesal dengan sikapnya yang terlalu menurutkan perasaan dulu. Cuba adik fikir, ayah bersikap begitu hanya seketika cuma. Tak sampai pun setahun. Tapi, dendam Ijie terhadap ayah terlalu lama. Dari dulu sampai ke saat ni. Sampai bila Ijie nak terus membenci dan berdendam dengan ayah? Janganlah memusuhi ayah lagi. Jangan jadi anak derhaka. Tak cium syurga,” nasihatku panjang.
            “Kak, maafkan adik,” ucapnya perlahan.
            “Tolonglah, dik. Penuhi permintaan kakak ni. Kakak berharap sangat yang suatu hari nanti adik dapat menerima ayah semula,” rayuku buat kesekian kalinya.
            “Kak, adakah disebabkan perkara ni, kakak sanggup membatalkan perkahwinan kakak?” soalnya sebak. Aku menghelakan nafas berat. Seketika aku mengangguk lesu.
            “Ya. Kakak buat semua ni demi kebaikan kita bersama. Kakak nak bahagiakan ayah. Kakak nak tengok adik gembira di sisi ayah. Barulah kakak dapat meninggalkan keluarga kita dengan tenang dan hidup bahagia di samping suami. Selagi adik dan ayah berpecah-belah macam ni, hati kakak takkan tenang, Jie,” ujarku sayu.
            “Kak, begitu besar pengorbanan kakak buat kami. Maafkan Jie, kak. Maafkan Ijie. Ijie janji akan mengambil-alih tugas kakak menjaga ayah. Ijie janji, kak,” ucapnya sayu.

Aku tersenyum lemah. Airmata gembira semakin lebat bercucuran. Ya ALLAH, sesungguhnya aku memanjatkan rasa syukurku terhadapMu, kerana telah melembutkan hati adikku ini. Terima kasih, Tuhanku. Semoga kau gembirakanlah hidup mereka ini, Ya ALLAH. Mama, Aween telah berjaya, ma. Aween telah berjaya memujuk Ijie agar pulang ke pangkuan ayah. Semoga mama gembira dengan berita ini di alam sana. Dikejauhan ini, akan kuutuskan doa agar rohmu ditempatkan bersama insan-insan yang dikasihiNya. Amin.

No comments:

Post a Comment