Ilustrasi : Slot Zehra TV3 (Hanya Padamu) |
“Sampai
di sini aja hubungan kita. Saya tak nak ada apa-apa kaitan lagi dengan awak hatta
sebagai kawan sekalipun!” Kata-kata yang terlontar dari mulut gadis di
hadapanku ini benar-benar membuatkan hatiku berderai.
“Tapi kenapa, Hanim? Apa salah
saya?” soalku sayu. Hanim menarik nafas dalam. Aku tahu, dia sedang menahan
sebak.
“Awak tak salah, Johan. Saya yang
salah. Saya yang tak sedar diri. Sepatutnya dari mula lagi kita tak seharusnya
berkawan. Saya tak tahu macam manalah saya boleh tak ingat masa mula-mula kita
berjumpa dulu, waktu tu awak bersama teman wanita awak. Saya yang silap!”
luahnya sebak.
“Teman wanita? Maksud awak, Zarith
Sofea?” soalku. Dia terdiam tanpa reaksi.
“Hanim, dengar sini. Saya dengan
Sofea tak ada apa-apa. Kami sekadar kawan biasa. Saya tak ada perasaan langsung
pada dia!”
“Sudahlah, Johan! Awak ingat saya
tak tahu? Awak ‘ayat’ Sofea dengan kata-kata manis awak tu sampai dia menaruh
hati pada awak, lepas tu senang-senang awak nak tinggalkan dia macam tu aja?
Dan sekarang ni perkara yang sama jugak awak nak buat pada saya, kan ? Bila awak dah jemu,
awak akan tinggalkan saya seperti mana awak buat pada Sofea dan gadis-gadis
lain sebelum ni! Maaf, Johan. Saya bukan gadis yang senang dipermain-mainkan
seperti yang awak sangka. Sebelum hubungan kita semakin jauh, dan sebelum awak
lukakan hati saya, lebih baik kita hentikan aja semuanya di sini. Selamat
tinggal, Johan. Lepas ni saya tak nak jumpa awak lagi. Lupakan saya!” Belum
sempat aku berkata apa-apa, Hanim telah berlalu.
“Hanim! Asiah Hanim!” jeritku,
memanggilnya. Namun dia tetap meneruskan langkahnya meninggalkan aku yang masih
terpacak kaku di situ.
Tengahari itu, aku pulang dengan
perasaan hiba dan kecewa. Sungguh, aku benar-benar tak dapat menerima keputusan
Hanim untuk mengakhiri hubungan kami. Aku terbaring lemah sambil merenung
siling kamarku yang berukiran indah. Benarkah Hanim mahu mengakhiri hubungan
kami yang belum pun mencecah ke usia setahun jagung ini? Adakah keputusan ini
lahir dari hatinya yang tulus? Ah, tak mungkin. Tak mungkin semudah ini Hanim
mahu melupakanku. Sedangkan gadis-gadis yang pernah aku kecewakan sebelum ini
begitu sukar untuk menerima kata-kata perpisahan dariku. Malah, ada juga yang
masih menaruh harapan terhadapku walaupun sudah bertahun aku meninggalkan
mereka. Mungkin Hanim masih marah. Sebab itu dia telah bertindak mengikut
perasaan tanpa berfikir secara rasional.
Aku sedar, aku bukanlah seorang
lelaki yang baik. Kehidupanku selama ini hanya dikelilingi oleh gadis-gadis cantik
dan seksi. Dengan kepakaranku dalam berkata-kata manis telah membuatkan mereka
semua terkulai dalam dakapan cinta palsuku. Sebenarnya, aku bukanlah cintakan
mereka semua. Aku sekadar menjadikan mereka sebagai bahan permainan atau
hiburan semata-mata. Aku terlalu bangga apabila didampingi gadis-gadis cantik.
Sehinggalah aku bertemu dengan Hanim. Pada mulanya, aku hanya berniat untuk
mepermain-mainkannya seperti yang telah aku lakukan terhadap gadis-gadis lain.
Namun kuasa Ilahi tak ada siapa yang tahu. Aku pula yang tewas. Aku benar-benar
merasakan yang aku telah jatuh cinta. Ya, aku telah jatuh cinta. Bukan dengan
seorang gadis seksi dan urban, tetapi dengan seorang gadis sopan lagi muslimah!
Buat kesekian kalinya aku mengeluh berat. Nur Asiah Hanim… Jiwaku menyeru
namanya.
***
7
BULAN YANG LALU…
“Assalamualaikum,” ucapnya lembut.
Kami hanya menjawab tanpa rasa ikhlas. Dalam hatiku bukan main marah lagi waktu
itu. Apa, dia tak nampakkah yang kami sedang bermanja-manja waktu itu? Kenapa
masih nak mengganggu? Potong stim
betul! Aku menyeranah gadis itu dalam hati. Dan aku juga yakin Sofea turut merasai
perkara yang sama. Bengang! Gadis itu menyerahkan sesuatu kepada kami.
“Oh, maaf ya. Kami tak berminat nak
beli,” ucap Sofea dalam nada kurang senang.
“Oh, tidak. Jangan salah faham.
Saya bukan nak jual barang. Saya cuma nak berikan risalah ni, untuk tabung bantuan
Palestine .
Kalau cik dengan encik ni rasa nak beri sumbangan ikhlas, boleh bank inkan aja ke dalam akaun yang
tertera di flyers ni,” ucapnya
lembut. Sebaik kami mengambil risalah yang dihulurkannya, dia mengucapkan
terima kasih dan terus berlalu.
Di kala itu, bagaikan ada kuasa
magnet yang telah menarik pandangan mataku dari terus memerhatikan gadis itu
yang kian menjauh. Seketika aku terleka, tanpa kusedari Sofea turut
memerhatikan gelagatku.
“Sayang! You tengok apa tu?” sergah Sofea. Aku tersentak, tak tentu hala.
“Ah, err… tak ada apalah. Dah, jom!”
Cepat-cepat aku sedar yang aku sudah terlebih-lebih. Ah, tak mungkin. Gila!
“You
ni kenapa? Jangan beritahu I yang you dah jatuh hati pada perempuan tadi
tu!” ucap Sofea kurang senang.
“Apa yang you cakap ni? Jangan merepeklah! Ada pulak I
dah jatuh hati kat perempuan tadi tu? Pleaselah,
bukan taste I!” ucapku.
Dan tidak lama selepas itu, aku
bertemu lagi dengannya. Ketika itu dia hanya keseorangan di restoran Secret
Recipe dan sedang sibuk menaip sesuatu pada komputer ribanya. Di kala itu
hatiku bagaikan meronta-ronta untuk mendekatinya. Aku menarik nafas dalam dan
terus melangkah ke arah meja di mana tempat gadis itu duduk.
“Assalamualaikum,” ucapku gugup. Dia
mengangkat wajahnya.
“Waalaikumsalam. Ya, ada apa?”
soalnya.
“Err… cik tak ingat saya?” soalku.
Dia mengerutkan dahi dan menggeleng kecil.
“Hari tu, cik ada serahkan saya
sekeping flyers untuk batuan tabung Palestine . Ingat lagi
tak?” soalku lagi. “Oh, maafkan saya Encik…”
“Johan!”
“Ya, Encik Johan. Err… saya tak
perasan. Maklumlah, terlalu ramai orang yang telah saya berikan risalah tu.
Manalah saya nak ingat.”
“Tak apa, saya faham. Err… boleh
saya duduk?”
“Ya, silakan.”
“Saya teringin sangat nak ke Palestine dan melihat sendiri penderitaan saudara-mara
Islam kita di sana
selain ingin memberi bantuan kepada mereka semampu yang boleh. Kemudian, saya
mahu menulis sebuah jurnal tentang pengalaman saya ketika berada di kem
pelarian sana ,”
ucapnya. Sungguh, aku benar-benar kagum dengan keluhuran hati gadis ini.
SEMENJAK
dari itu, kami mulai rapat. Boleh dikatakan hampir setiap malam aku menghubungi
Hanim. Namun, dalam waktu yang sama hubunganku dengan Zarith Sofea kian
renggang. Aku bukan sahaja semakin jarang bertemu dengan Sofea, malah jarang
juga menghubunginya. Seringkali Sofea menghubungiku, namun seringkali juga aku
tidak menjawab panggilan dan juga khidmat pesanan ringkasnya. Aku sendiri tak
faham mengapa aku harus menyeksa jiwa Sofea seperti itu. Apa yang pasti kini,
aku lebih menyenangi Hanim berbanding Sofea.
Hubunganku dengan Hanim makin hari
makin mesra. Malah perasaanku terhadapnya juga kian mekar. Sejujurnya, aku tak
pernah bertahan dengan seorang gadis lebih dari dua bulan! Hanim adalah gadis
yang paling lama aku jalinkan hubungan dengannya.
Sehinggalah hubungan kami dihidu
oleh Sofea. Suatu hari, pejabatku telah diterjah secara tiba-tiba oleh Sofea.
“How
dare you do this to me!” marahnya sambil menumbuk mejaku kuat. Di kala itu,
ramai pekerja-pekerjaku menjeling di sebalik cermin kaca yang memisahkan
bilikku dengan ruang pejabat.
“What’s
wrong with you, Sofea? Yang you
tiba-tiba datang sini nak mengamuk tak tentu fasal tu apa hal?”
“You
owe me an explanation, Joe! Kenapa dah lama tak contact I? Bila I call, you tak jawab. Bila I SMS pun you tak pernah reply.
Can you explain to me why?” soalnya. Aku
menghelakan nafas berat sambil bermain-main sebatang pen di hujung jari.
“Why,
Joe? Why? Betul ke you ada
hubungan dengan perempuan lain di belakang I?”
soalnya lagi. “Come
on, Sofea. Ini pejabat. Tolong jangan buat kecoh di sini, please!”
“I
takkan pergi selagi you tak
berterus-terang dengan I!”
“Okay,
fine! You nak tahu sangat kan ?
Yes, memang I ada hubungan dengan perempuan lain. Dan I jugak dah rancang nak lamar dia sebagai isteri I. Puas hati you?” ucapku geram. Kulihat dada Sofea berombak kencang.
“And
what about me? Mana janji-janji you
yang you nak kahwin dengan I dulu?” ujar Sofea sebak. “Excuse
me? Bila masa I janji nak kahwin
dengan you? I cuma cakap sekiranya ditakdirkan, I akan kahwin dengan you.
Tapi sekarang ni I dah jumpa orang
lain. So what’s now?” cabarku.
Sofea terdiam. Kulihat matanya mulai berkaca dan melimpah manik-manik jernih menuruni pipinya. “Sampai hati you buat I macam ni! Tak apa, Joe. You akan terima akibatnya nanti. Hei, ini Sofealah! You jangan ingat senang-senang you nak permainkan I macam betina-betina lain. Kalau you ingat I macam mereka semua, silap besarlah you! You tunggulah!” ugut Sofea dan terus berlalu keluar dari bilik pejabatku.
***
Aku mengeluh berat. Tak tahu apa
yang harus aku katakan lagi. Ya, kini aku benar-benar menyesal. Aku menyesal
dengan setiap perbuatan yang telah aku lakukan dulu. Aku telah melukakan ramai wanita. Aku berdosa. Ya Allah… hatiku merintih pilu.
‘Hanim, saya benar-benar perlukan awak sekarang ni. Tolonglah… Berilah saya peluang untuk saya perbaiki diri saya, tolonglah….’
Masuk kali ini sudah berpuluh kali aku menghantar khidmat pesanan ringkas kepada Hanim. Namun, satu pun tidak dijawabnya. Hanim terus menyepi. Benci sungguh dia terhadapku. Aku tahu, perubahan sikap Hanim ini turut berpunca dari Sofea. Aku juga tahu apa yang telah Sofea lakukan sehingga mengundang kemarahan Hanim. Sofea telah bertemu dengan Hanim secara rahsia. Dari situ, Sofea telah membongkar segala-gala tentang diriku kepada Hanim. Malahan, Sofea juga telah mengingatkan Hanim tentang pertemuan pertama antara kami bertiga ketika Hanim menyerahkan risalah ‘Bantuan Palestine’ kepada kami beberapa bulan yang lalu.
Argh! Selama ini, aku tak pernah
merayu dan meraih apa-apa dari seorang wanita. Entah bagaimana lain pula yang
terjadi ketika ini. Hanya kerana seorang gadis bernama ‘Hanim’, aku sanggup
membuang pendirianku yang tertanam kukuh di dada ini jauh-jauh. Aku bagaikan
seorang hamba yang sanggup sujud di kaki tuannya demi meminta belas ehsan.
Dasyat sungguh penangan gadis bernama ‘Hanim’ ini.
TANPA
KUDUGA, suatu hari aku telah menerima satu pesanan ringkas dari Hanim. Betapa
gembiranya aku, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dia ingin bertemu denganku di
Secret Recipe di mana tempat kami minum petang bersama buat kali pertama
beberapa bulan yang lalu.
Dari jauh, aku dapat melihat dia
sedang menunggguku di meja yang sama. Aku tersenyum dan terus melangkah laju
menghampirinya.
“Assalamualaikum,” ucapku. Dia
mendongak lalu menjawab salamku.
“Terima kasih, Hanim. Akhirnya awak
sudi jugak untuk berjumpa dengan saya. Saya ingat awak benar-benar tak mahu
jumpa dengan saya lagi, macam yang awak cakapkan hari tu,” ujarku. Dia terdiam.
“Saya nak jumpa dengan awak ni
bersebab, Johan,” ujarnya pula setelah menyepi seketika.
“Saya pun ada perkara
yang nak disampaikan kepada awak. Tapi tak apa, saya beri peluang untuk awak
cakap dulu,” ucapku teruja.
Dia menarik nafas dalam sebelum
menghembuskannya pelahan. “Johan, pertama sekali saya ingin meminta maaf dari
awak di atas setiap kesilapan yang telah saya lakukan terhadap awak sejak mula
kita kenal sehinggalah sekarang. Saya tahu awak terluka dengan saya. Tapi saya
jugak nak awak tahu yang saya jugak terluka dan kecewa setelah mengetahui siapa
awak sebenarnya,” ucapnya perlahan. “Jadi awak lebih mempercayai Sofea
berbanding saya? Macam tu? Sekarang saya nak tahu, awak lebih mengenali saya
ataupun Sofea?” soalku tak puas hati.
“Awak jangan salahkan Sofea. Dia tu
mangsa yang teraniaya oleh kita berdua. Kalau saya berada di tempat Sofea,
kemungkinan saya jugak akan melakukan perkara yang sama. Bukan kerana dendam,
tetapi demi maruah.” Aku mengeluh berat.
“Entahlah, Hanim. Saya dah penat nak
bertelagah untuk mempertahankan diri saya. Sekarang ni, semua orang salahkan
saya. Semua meletakkan kesilapan di bahu saya sampaikan saya terasa amat beban.
Tak apalah, Hanim. Saya maafkan awak, walaupun awak tak pernah buat silap
dengan saya. Dan saya jugak nak mohon maaf andainya perbuatan saya selama ni
telah membuatkan awak terluka dan kecewa.”
Sepi seketika sebelum dia menyambung
kata-katanya. “Johan, esok Aman Palestine Malaysia
akan menghantar pasukan sukarela ke Gaza .
Dan saya merupakan salah seorang ahli sukarela yang akan menyertai misi ni.
Saya pernah ceritakan kepada awak kan , yang
saya teringin nak ke sana
dan memberi bantuan di kem pelarian? Alhamdulillah, akhirnya apa yang saya
hajati telah termakbul,” ucapnya tenang. Namun sebaliknya, aku pula yang tercengang
mendengar apa yang dikatakan oleh Hanim itu.
“What?” hampir tak terkeluar suara itu.
“Esok awak nak ke Gaza , dan baru hari ni awak nak beritahu
saya? Kenapa, Hanim? Kenapa? Kenapa awak benci sangat pada saya? Apa salah saya
sampai awak hukum saya macam ni sekali?”
“Johan, saya tak pernah bencikan
awak. Malah awak tak pernah buat salah pada saya. Saya yang silap. Sebab
kehadiran saya telah mengganggu hubungan awak dengan Sofea. Saya beritahu awak
ni pun, sebab saya nak minta maaf dari awak. Saya takut kalau terjadi apa-apa
pada saya di sana
nanti, sekurang-kurangnya saya dah dapat pengampunan dari awak.” Aku mengeluh
lagi. Balik-balik Sofea! Sudah berapa kali aku katakan yang aku dah tak ada
apa-apa dengan gadis itu?
“Awak dah nekad, Hanim?” Dia
mengangguk.
“Saya nekad, Johan.”
“Awak pasti? Dah fikir habis?” Lama
dia terdiam dengan pertanyaanku itu sebelum mengangguk kecil.
“Saya
dah fikir masak-masak. Takkan ada sesiapa pun yang dapat mengubah keputusan
saya ni. Lagipun, inilah impian saya sejak saya menyertai Pertubuhan Aman
Palestine setahun yang lalu. Saya nak bantu saudara-mara kita yang sedang mengalami
kesusahan.”
“Habis tu, saya macam mana?” soalku
sebak.
“Awak boleh teruskan kehidupan awak
macam biasa, Johan.”
“Hanim, kehidupan saya takkan sama
sepertimana adanya awak di sisi saya…”
“Awak tak payah nak mereka-reka ayat
manis awak tu supaya saya boleh tarik balik keputusan saya ni. Walau apa
sekalipun, saya tetap akan pergi.”
“Hanim, saya tahu awak marahkan
saya. Saya sedar yang awak mulai tak sukakan saya selepas awak tahu tentang
sikap buruk saya. Ya, saya mengaku saya ni jahat. Saya kaki perempuan, saya romeo,
playboy, kasanova… tapi itu dulu,
sebelum saya kenal dengan awak. Sejak awak hadir dalam hidup saya, saya dapat
rasakan kehidupan saya semakin bermakna. Awak telah membawa saya keluar dari
dunia saya sebelum ni yang penuh dengan kepura-puraan. Sekarang saya mulai menyesal dan
saya mahu bertaubat. Saya nak berubah.”
“Alhamdulillah, syukurlah awak dah
mulai sedar dan mahu berubah. Saya doakan supaya Allah terus memberi hidayah
kepada awak dan sentiasa memberkati penghijrahan awak kali ni,” ucapnya. “Awak tak mahu beri saya peluang?
Saya amat sayangkan awak, Hanim. Saya tak sanggup nak berpisah dengan awak,
apatah lagi berjauhan dengan awak.” aku terus merayu.
Dia terdiam lagi sebelum menyambung
bicaranya. “Habis tu, bagaimana pulak dengan Sofea?” soalnya. Ah, Sofea lagi!
“Hanim, tentang saya dan Sofea, itu
adalah kisah lebih tujuh bulan yang lalu. Saya dah terangkan kepadanya supaya dia
faham. Saya tak tahu kenapa dia sanggup buat semua ni pada saya.”
“Sebab awak pernah beri harapan
kepadanya dulu. Dan sekarang ni, awak pula yang punahkan segala-galanya. Awak
kena ingat, baik Sofea mahupun gadis-gadis yang pernah jadi mangsa awak selama
ni, mereka jugak manusia yang ada maruah dan harga diri.” Aku terdiam. Mulutku
bagaikan terkunci rapat.
“Hanya satu saja jalan untuk awak
bebas dari pertuduhan yang dibuat oleh Sofea. Awak kena kahwini dia,” sambungnya.
“Tak boleh. Saya tak pernah cintakan
dia.”
“Terpulanglah kepada awak, Johan.
Pilihan berada di tangan awak. Buatlah keputusan dengan bijak. Okey, saya tamat
sampai di sini. Giliran awak pulak.”
Aku menghelakan nafas berat. Sejak
semalam lagi, fikiranku begitu asyik merangka ucapan yang hendak kuluahkan
kepada gadis ini. Namun segala-galanya bagaikan lenyap setelah mendengar
kata-kata yang diucapkan Hanim sebentar tadi. Seketika, aku menggeleng laju.
“Tak ada apa lagi untuk saya
katakan, Hanim. Semuanya telah saya luahkan dalam perbincangan kita tadi. Tak
ada, Hanim…”
“Kalau
macam tu, saya pergi dulu. Banyak lagi urusan yang perlu saya buat sebelum
bertolak esok. Jumpa lagi.” Hanim terus bangun dan berlalu dari situ, manakala
aku pula masih tertunduk memandang meja. Tak sanggup untuk aku memandang
wajahnya yang hanya mengundang rasa kecewa biarpun jiwaku meronta-ronta untuk
melihat wajahnya buat kesekian kali.
Pulang dari bertemu dengan Hanim,
aku terus memandu keretaku tanpa arah tuju. Sama seperti jiwaku yang tak tentu
arah ketika ini. Lagu ‘Surgamu’ nyanyian Kumpulan Ungu berkumandang di radio.
Liriknya yang lebih kepada memuji kebesaran Ilahi, benar-benar mendamaikan
jiwaku yang gundah. Kuhayati bait-bait lagu itu dengan perasaan sayu. Kenangan
bersama Hanim menggamit lagi. Hanim cukup gemarkan lagu-lagu yang memiliki
unsur-unsur zikir dan munajat kepada Allah. Katanya, lagu-lagu yang banyak
memuji kebesaran Yang Maha Esa seperti ini jauh lebih menenangkan kalau hendak
dibandingkan dengan muzik-muzik yang lain.
Spontan aku memandu menuju ke Taman
Tasik Titiwangsa, di mana tempat kami sering bersama di hujung minggu untuk
beriadah. Kalau dulu, setiap kali di hujung minggu, tempatku hanyalah di
kelab-kelab malam, menghabiskan masaku bersama rakan-rakan liburku. Turut serta
gadis-gadis kelab yang cantik dan seksi. Namun semenjak mengenali Hanim, aku
tidak lagi ke tempat-tempat seperti itu. Sebaliknya, aku lebih gemar
menghabiskan masaku bersama Hanim dengan beriadah di taman ini.
Mataku tak lepas dari terus merenung
permukaan tasik yang tenang. Tapi sayang, jiwaku tak setenang air tasik yang
terbentang luas di hadapanku ini. Tak dapat aku gambarkan bagaimana kehidupanku
selepas ini setelah ketiadaan Hanim. Pastinya kosong tak bermakna. Ah, Hanim. Beginilah
keadaan diriku apabila Hanim tiada di sisi. Jiwa tak keruan. Hidup bagaikan
hilang arah. Aku tak mampu lagi untuk mendekati Hanim seterusnya menghalang
gadis itu dari terus berlalu. Gadis itu ibarat pelangi senja, yang indah untuk
dilihat namun mustahil untuk didekati. Makin dikejar, makin ia menjauh dan
seterusnya hilang dari pandangan mata.
Tanpa kusedari, aku mencapai sebiji
anak batu di hujung kasutku lalu kubaling sekuat hati ke permukaan tasik. Air
tasik yang tadinya begitu tenang kini bekocak kecil dengan balingan itu,
seterusnya membentuk sebuah bulatan yang kian membesar di permukaannya.
Setelah keadaanku menjadi sedikit
tenang, aku melangkah perlahan ke kereta. Namun ketenangan itu hanya hadir
untuk seketika. Bayangan Hanim kembali menghantui fikiranku. Agak lama aku
membatu di dalam kereta melayani jiwaku yang berkecamuk. Pantas aku mencapai
telefon bimbitku dan seterusnya mendail nombor gadis itu. Biarlah kami
berbicara tanpa bertentangan mata. Mungkin itu adalah lebih baik. Namun sekali
lagi aku hampa. Gadis itu tidak menjawab panggilanku. Aku tetap takkan berputus
asa. Lantas kuhantar khidmat pesanan ringkas kepadanya.
'Hanim,
I’m so sorry. Tolonglah, beri saya peluang sekali lagi. Please… Saya
benar-benar cintakan awak. Tolonglah… Saya janji yang saya takkan sia-siakan
awak…’
Dan seperti biasa, khidmat pesanan
ringkasku itu hanya dibiarkan sepi…
***
AKU
NEKAD! Aku tak peduli. Aku harus bertemu dengan Hanim buat kali terakhir.
Selagi masih ada peluang, aku akan terus berharap! Johan takkan pernah mudah
mengalah! Kucuba tiupkan semangat ke dalam diriku agar terus kuat berhadapan
dengan hari-hari mendatang. Kupecut laju keretaku menuju ke Lapangan
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan perasaan berbaur.
Di KLIA, akucuba mencari kelibatnya. Alhamdulillah,
setelah puas mencari akhirnya mataku terpandang akan gadis yang kupuja siang
dan malam. Tidak jauh dari situ kelihatan sekumpulan ahli sukarela Aman
Palestine yang lain sedang berkumpul bersama kain rentang. Dari jauh kulihat
wajah sayunya menyalami kedua orang tuanya dengan penuh hormat. Dan mata kami
saling bertentang sebaik dia memeluk seorang wanita berumur yang pada fikiranku
merupakan ibunya. Ada
reaksi terkejut yang terlukis di wajah lembut itu. Dalam keadaan kalut, aku cuba
memaniskan mukaku dengan senyuman.
Aku memberanikan diri mendekati mereka. Kedua orang tuanya hanya memandangku dengan pandangan terpinga-pinga, manakala dia pula tampak lebih tenang. “Johan! Awak…” kata-katanya terhenti di situ sebaik menyedari ada dua pasang mata memandang ke arah kami.
“Err… Johan, ini emak dan abah saya. Mak, abah, ini Johan. Kawan Hanim,” dia memperkenalkan kami. Aku mengangguk bersama senyuman lalu menyalami lelaki tua yang dipanggil ‘abah’ itu.
“Err… maafkan saya, pakcik, makcik. Saya nak berjumpa dengan Hanim sebentar,” ucapku lembut. “Ya, silakan. Hanim, cepat ya. Nanti terlepas pulak,” abahnya memberi keizinan.
Di KLIA, aku
Aku memberanikan diri mendekati mereka. Kedua orang tuanya hanya memandangku dengan pandangan terpinga-pinga, manakala dia pula tampak lebih tenang. “Johan! Awak…” kata-katanya terhenti di situ sebaik menyedari ada dua pasang mata memandang ke arah kami.
“Err… Johan, ini emak dan abah saya. Mak, abah, ini Johan. Kawan Hanim,” dia memperkenalkan kami. Aku mengangguk bersama senyuman lalu menyalami lelaki tua yang dipanggil ‘abah’ itu.
“Err… maafkan saya, pakcik, makcik. Saya nak berjumpa dengan Hanim sebentar,” ucapku lembut. “Ya, silakan. Hanim, cepat ya. Nanti terlepas pulak,” abahnya memberi keizinan.
Kami mengambil tempat agak jauh
sedikit dari kedua orang tua Hanim. “Johan, apa awak buat kat sini?” keluhnya.
“Hanim, saya datang nak berjumpa
awak buat kali terakhir sebelum awak berangkat. Selagi hal kita belum selesai,
selagi tu hati saya takkan tenang,” luahku perlahan. Dia mendengus kecil. Sesekali
dia meperbetulkan muffler hitam-putih
Aman Palestine yang melitupi bahunya.
“Apa lagi, Johan? Bukankah hal kita
ni dah selesai?”
“Mungkin pada awak dah selesai, tapi
bukan pada saya!” tegasku.
“Johan, saya dah nak berangkat ni,”
rayunya.
“Baiklah, saya akan tunggu awak
pulang. Sampai bila-bila pun saya tetap akan tunggu. Hanim, saya datang cuma
nak meluahkan hasrat hati saya. Saya nak lamar awak sebagai isteri saya, depan kedua orang tua
awak!” tegasku berani. Bundar matanya memandangku.
“Awak, tolonglah jangan!”
“Kenapa tidak?”
“Awak, janganlah terlalu berharap.
Nanti awak akan terluka. Johan, saya pergi ni dengan membawa dua kemungkinan.
Yang pertama, saya pergi dan mungkin akan kembali. Yang kedua, saya pergi dan
mungkin takkan kembali. Kalaulah terjadi kemungkinan yang kedua? Takdir Allah
tiada siapa yang tahu, Johan. Saya tak nak nanti harapan hanya tinggal harapan semata-mata…”
“Tapi Hanim…”
“Johan!” pintasnya.
“Dengarlah cakap
saya ni. Kalau awak benar-benar sayangkan saya, lepaskan saya. Percayalah pada
takdir. Andainya sudah tersurat yang awak adalah jodoh saya, kita tetap akan
bersatu juga suatu hari nanti. Kalau tidak, pastinya ada hikmah yang lebih baik
yang kita sendiri tak jangka,” pujuknya. Aku terdiam.
“Maaf, saya terpaksa
pergi. Jaga diri awak baik-baik. Jangan lupa, dekatkan diri kepada Allah,
rajinkan diri untuk bersolat dan perbanyakkan berdoa supaya hati awak menjadi
tenang. Saya doakan semoga awak menemui kebahagiaan yang awak cari selama ni.
Saya pergi dulu. Assalamualaikum!” Selesai dia meluahkan kata-katanya, gadis
itu terus melangkah laju sambil menarik bagasinya, meninggalkan aku yang masih
terpacak di situ.
Kuhantar langkah Hanim menuju ke
balai perlepasan dengan perasaan sayu. Adakah peluangku untuk sehidup-semati
bersama Hanim juga akan berlalu pergi bersama langkah gadis itu? Sedikit demi
sedikit rasa sayu itu bertukar menjadi sebak.
Hanim, aku relakan kau pergi.
Selamat jalan, sayang. Aku doakan agar kau selamat di bawah lindunganNya.
Malahan, aku juga akan bermohon kepadaNya agar pintu hatimu akan terbuka semula
untukku. Kasih, usahlah kau pergi dari hidupku…
TAMAT