Tuesday 1 January 2013

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 42)



HARI dalam sejarah. Buat pertama kalinya kami bertengkar hebat selama kami diijabkabulkan. Ini semua gara-gara peristiwa yang baru sahaja berlaku di apartment Hardija sebentar tadi.
            “Untuk apa Aween ke sana? Dan siapa yang benarkan Aween keluar? Cakap!” herdiknya. Aku sebak. Selama ini Azhari tak pernah menengkingku sebegitu rupa.
            “Yang abang tu pulak, untuk apa abang ke sana?” soalku pula dengan suara yang meninggi. Dia mendengus kasar.
            “Aween tak jawab lagi soalan abang,” ujarnya keras.
            “Dija yang panggil Aween untuk ke sana. Dia sendiri yang call Aween. Katanya nak tolong selesaikan masalah kita sebab kerana dia keadaan kita jadi macam ni!” jawabku kuat.
            “Tapi kenapa Aween tak beritahu abang yang Aween nak ke sana?” soalnya lagi. Nada suaranya masih keras seperti tadi.
            “Dia pesan supaya jangan beritahu abang…”
            “Sekarang ni antara abang dengan Dija, siapa yang patut Aween utamakan?” pintasnya. Aku terdiam. Wajahku ditundukkan ke bawah, memandang lantai. Tak sanggup hendak menentang wajah suamiku yang sedang berang itu. Dia masih berdiri di hadapanku sambil mencekak pinggang.
             “Maafkan Aween, bang,” ucapku.
            “Abang… abang tak jawab lagi soalan Aween,” ujarku perlahan. Namun aku yakin dia mendengarnya. Dia mendengus perlahan. Kali ini dia menjatuhkan tangannya dari pinggang. Aku mengangkat wajah, memandangnya yang sedang mengurut dahinya. Seketika dia menggeleng.
            “Abang pun tak tahu. Dia ada jugak call abang suruh datang. Dia cuma kata yang dia nak jumpa abang di rumahnya, tapi dia tak cakap pun sebab apa,” ujarnya mulai mengendurkan suara. Seketika dia mengeluh perlahan.
            “Macam manalah abang boleh ikut cakap dia? Salah abang jugak. Abang pun tak sepatutnya ke sana tadi. No, I mean… kita sama-sama silap. Tak sepatutnya kita ikut cakap dia,” ucapnya dalam nada kesal.
 
            “Abang,” panggilku perlahan.
            “Betul ke abang dah bosan dengan Aween?” soalku teragak-agak.
            “Apa yang Aween merepek ni? Ada abang cakap yang abang bosan dengan Aween?” soalnya keras. Aku ketawa sinis.
            “Memanglah abang tak cakap kat Aween. Sebab abang nak jaga hati Aween, kan? Tapi abang cakap pada orang lain,” ucapku sayu.
 
            Pantas dia melangkah ke arahku. Aku mulai takut. Gimiknya itu seakan mahu menerkamku. Namun langkahnya terhenti di hadapanku.
            “Siapa orang tu? Hardija?” soalnya kuat. Aku terdiam.
            “Aween percaya cakap dia?” soalnya lagi. Aku menjungkitkan bahu.
            “Memanglah susah Aween nak percaya. Tapi kalau betullah abang ada cakap macam tu pada dia, hanya ALLAH aja yang tahu, bang. Betapa hancurnya hati Aween ni. Hal rumahtangga kita, tolonglah jangan nak libatkan orang luar. Kalau abang tak puas hati, terus-terang aja dengan Aween, bang. Jangan nak berselindung. Selama ini pun, Aween tak pernah ceritakan masalah rumahtangga kita ni kepada orang lain walau dengan ayah sekalipun. Aween teramat sayang dan hormati abang sebagai suami Aween. Aween tak mahu menanggung dosa dengan memburuk-burukkan nama abang,” tuturku perlahan. Aku harap dia mengerti.
 
            Sepi seketika. Aku masih tertunduk di birai katil. Dan Azhari pula hanya mundar-mandir di hadapanku sejak tadi.
            “Apa yang kau orang berdua bincangkan tadi?” soalnya. Aku terdiam seketika. Perlukah aku memberitahunya?
            “Cakap, Aween!” suaranya meninggi. Kecut perutku mendengarnya.
            “Dia nakkan abang. Dia minta Aween bersetuju agar abang bernikah dengannya,” ucapku menahan sebak.
            “Gila! Perempuan tu betul-betul dah gila. Jadi, Aween setuju?” soalnya lagi. Suaranya masih meninggi seperti tadi. Aku menggeleng perlahan.
            “Tak,” jawabku ringkas.
 
            Sepi lagi antara kami. Yang kedengaran hanyalah esakan halusku. Azhari melepaskan perasaan runsingnya dengan memandang ke luar tingkap.
            “Abang,” ujarku perlahan.
            “Apa nak jadi dengan kita ni, bang?” soalku bersama esakan.
            “Kenapa rumahtangga kita boleh jadi macam ni?” Azhari tertunduk. Seketika dia merapatkan kepalanya ke grill tingkap. Tampak kebuntuan.
           “Entahlah, sayang. Abang pun tak faham dengan keadaan kita sekarang ni. Abang tak sangka semua ni boleh berlaku,” ucapnya perlahan. Sayang…. Sudah lama panggilan mesra itu tidak kedengaran dari mulutnya. Seketika dia melangkah perlahan menghampiriku semula. Punggungnya dilabuhkan ke sebelahku. Tubuhku diraih dan dibawa ke dalam dakapannya. Dan buat kesekian kalinya aku tersedu di dadanya. Melepaskan dendam rindu yang sekian lama terbuku.
            “Ya ALLAH, apa abang dah buat ni, sayang?” dia bersuara perlahan.
            “Kenapa sekarang ni abang dah mula marahkan Aween? Selama ni abang tak pernah pun tinggikan suara kat Aween. Abang tak sayangkan Aween lagi?” soalku menahan sendu.
            “Tak, sayang. Abang tak marah. Cuma abang tertekan. Abang stess. Maafkan abang, sayang. Maafkan abang…”

 
*****

 
DENGAN perlahan, aku melangkah turun ke anak tangga satu demi satu. Niat di hati hendak ke dapur untuk meneguk segelas air. Namun, langkahku terhenti apabila aku terdengar suara suamiku sedang berbicara di dalam telefon.
            “Apa lagi yang kau nak dari aku, Dija?” Keras sekali suaranya berbicara. Aku cuba memasang telinga di sebalik dinding.
            “Dija, kan aku dah kata, segalanya dah berakhir? Hubungan kita dah lama tamat. Tak ada apa lagi yang perlu kita bincang. Aku dah kahwin, Dija. Aku dah ada isteri dan isteri aku sedang mengandung sekarang ni. Tolonglah faham,” bentaknya geram. Diam seketika.
            “Kau dah gila, Dija! Kau jangan ingat kau tu banyak harta jadi kau boleh dapat segala apa yang kau hajati dengan harta kau tu. Kau silap, Dija. Aku tak pernah pandang pada harta. Aku rasa kehidupan aku yang serba serdehana ni dah mencukupi. Aku bersyukur dengan apa yang aku ada sekarang ni. Kalau selama ni kau ingat aku ni hanya pandang pada harta, kau silap besar,” suara kerasnya kedengaran lagi.
 
            Suasana menjadi sepi seketika. Tentu perempuan itu sedang berbicara sesuatu di hujung talian sana. “Kau ni tak faham bahasa ke, Dija? Aku dah kata, aku ni suami orang. Tak lama lagi aku akan ada anak. Aku dah ada keluarga aku sendiri. Tolonglah jangan nak rosakkan rumahtangga aku. Apa, tak cukupkah apa yang kau dah buat kat aku dengan isteri aku selama ni?” Diam lagi.
            I’m sorry, Hardija. Permintaan kau ni agak keterlaluan. Melampau! Permintaan gila! Aku tak boleh nak tunaikan. Aku sayangkan isteri aku. Aku tak sanggup nak lukakan hati dia. Azween tu sebaik-baik insan, Dija. Dia terlalu baik. Malah dia jauh lebih baik dari kau. Aku takkan persiakan wanita yang berhati mulia sepertinya. Maaf, Dija. Walau kau tawarkan aku dengan wang seratus juta sekalipun, aku takkan tinggalkan isteri aku dan pergi ke pangkuan kau,” dia bersuara tegas lagi. Suasana menjadi sepi lagi.
            “Argh! Sudahlah, Dija. Cukuplah. Aku dah tak larat nak merayu lagi. Aku dah penat melayan kerenah kau yang terlalu pentingkan diri tu. Ini amaran keras dari aku. Tolong jangan ganggu aku, lebih-lebih lagi rumahtangga dan kerjaya aku. Sekali lagi kalau kau degil, aku akan buat tindakan undang-undang. Kau jangan ingat aku takut dengan ugutan kau nak sabotaj business aku tu. Kalau kau main kasar, aku jugak boleh buat begitu. Aku boleh buat laporan polis mengatakan kau beri rasuah kepada klien-klien aku supaya memboikot business aku!”
 
            Aku menelan air liur mendengar kata-kata terakhirnya itu. Seketika aku terduduk di anak tangga setelah kakiku terasa penat kerana terlalu lama berdiri. Entah mengapa aku menjadi bingung ke atas apa yang sedang melanda rumahtanggaku kini. Lantas aku menundukkan wajah lalu menelangkupkannya pada kedua-dua belah lenganku.
            “Aween!” Aku tersentak lantas mengangkat wajahku. Azhari kelihatan cemas lalu menerpa mendapatkanku. Segera dia melabuhkan punggungnya di sebelahku.
            “Aween okey? Kenapa duduk di sini, sayang?” soalnya lembut. Aku memerhatikan wajahnya yang jelas tergambar kebingungan. Lantaran itu timbul rasa simpatiku ke atas suami yang tercinta ini.
           “Dia masih ganggu abang lagi?” soalku lembut. Dia mendengus lembut lantas tertunduk. Kepalanya digeleng perlahan. Aku terus memandangnya sayu. Spontan tanganku mengusap-usap kepalanya. Membelai halus rambutnya yang kasar itu.
            “Bang…” panggilku. Seketika dia mendongak. Matanya begitu sayu memandangku. Kepalanya digelengkan kecil. Lantas tubuhku dirangkulnya lalu dibawanya ke dalam pelukannya. Rasa bersalah mulai timbul di benak ini kerana terlalu cepat melatah dan meragui kejujuran suamiku. Aku tahu, suamiku agak kecewa dengan sikapku yang keras kepala ini. Namun kulihat dia masih mampu bersabar dengan kerenahku ini.
            “Maafkan Aween, bang,” ucapku sayu.
            “Abang dah maafkan, sayang. Sudahlah tu, lupakanlah. Abang akan cuba berusaha supaya perempuan tu takkan ganggu rumahtangga kita lagi,” ucapnya.
            “Tapi Aween janji dengan abang, yang Aween takkan ragui kejujuran abang lagi. Janji ya, sayang?” ujarnya. Aku mengangguk lemah. Sesekali aku menggesel-geselkan kepalaku ke dadanya.
            “Abang sedar yang abang ni lemah, sayang. Abang perlukan kekuatan. Siapa lagi yang dapat memberikan kekuatan dan sokongan kepada abang melainkan isteri abang sendiri?” tuturnya lagi. Aku terus mengangguk tanda faham.
            “Aween janji, bang,” ucapku hiba. Dalam pada itu, dapat kurasakan bibirnya hinggap di atas kepalaku.

*****

 

KEHIDUPAN kami suami-isteri kembali aman seperti dulu. Aku benar-benar bersyukur dengan perubahan yang berlaku ke atas rumahtangga kami ini. Sesungguhnya, apa yang berlaku ini dapat memberi pengajaran kepada kami agar lebih berhati-hati. Aku sama sekali tidak menyangka, di sebalik sikap lembut suamiku, terselit juga ketegasannya.
            “Hari ni ada appointment lagi dengan doktor?” soalnya di suatu pagi ketika kami sedang duduk bersarapan. Aku mengangguk bersama senyuman di bibir.
             “Asyik appointment aja? Ada masalah besar ke?” soalnya seakan mahu mengorek. Segera aku menggeleng.
            "Eh, taklah. Biasalah tu, bang. Inikan kandungan pertama? Banyak benda yang Aween tak tahu. So, kenalah selalu rujuk dengan doktor,” dalihku. Dia ketawa kecil.
 
            Beberapa minit kemudian, dia bangun lalu mencapai briefcasenya. Tahulah aku yang dia sedang mengejar masa.
            “Abang,” panggilku sebaik dia hendak memulas tombol pintu. Dia menoleh. Aku ketawa melihat mukanya yang tampak blur itu.
            “Mana neck tie abang?” soalku. Segara dia meraba-raba kolar lehernya.
            “Eh, abang lupa nak pakai,” ucapnya. Dan kami ketawa serentak.
            “Abang tunggu, ya. Aween pergi ambil,” ujarku dan terus melangkah menaiki anak tangga menuju ke bilik. Tali leher yang tersadai di atas katil kucapai bersama gelengan kecil. Tentu dia kelam-kabut sampaikan tali leher pun terlupa.
 
            Aku bergegas turun semula. Di muka pintu, Azhari sudahpun bersiap dengan kasutnya. Tanpa dipinta, aku sendiri yang mengikatkan tali leher lalu kusangkutkan ke lehernya. Aku memperkemaskan dirinya yang kelihatan agak selekeh pagi itu. Dan sekali lagi aku menggeleng tatkala melihat keadaan rambutnya ketika itu.
            “Abang ni, kalau ya pun kabut janganlah sampaikan diri tu pun dibiarkan tak kemas. Kalau Aween tahu tadi, Aween bawak sekali sikat turun,” bebelku sambil menyisir-nyisir rambutnya dengan jari-jemariku agar kelihatan lebih kemas. Dia sekadar tersenyum kambing. Setelah siap, aku menghulurkan tanganku kepadanya. Seperti yang kulakukan setiap pagi, bersalaman dan mencium tangannya, tanda menghormatinya sebagai suami.
            “Okey, sayang. Abang pergi,” ucapnya. Aku mengangguk.
            Take care, abang,” ucapku. Seperti selalu juga, aku menghantar pemergiannya dengan ekoran mata. Sehinggalah keretanya hilang dari pandangan, barulah aku berganjak dari muka pintu itu.