Saturday 18 June 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 34)

SETELAH ujian demi ujian yang dah saya lakukan ke atas diri puan, saya dapati ketulan yang terdapat di pangkal rahim puan itu merupakan tumor jenis malignan,” ucap Doktor Hazim pada satu temujanji.
            “Saya tak faham, doktor. Tumor jenis malignan?” soalku. Doktor Hazim mengangguk. “Ya, dan tumor jenis ini merupakan tumor jenis kanser,” jawabnya. Aku menggeleng perlahan. Sesungguhnya, terlalu payah untuk aku menerima hakikat ini.
            “Saya masih kurang jelas, doktor,” ucapku dalam keadaan yang menggeletar.
            Actually Puan Azween, tumor ni terbahagi kepada dua jenis. Satu, tumor jenis benign iaitu ketumbuhan setempat yang bukan kanser dan ia tak boleh merebak tetapi boleh membesar dan menyebabkan komplikasi setempat. Dan lagi satu, tumor jenis malignan dan inilah dia ketumbuhan jenis kanser dan sel-selnya mampu memasuki dan merosakkan organ-organ setempat dan juga mampu merebak ke bahagian-bahagian lain yang lebih jauh ke dalam badan melalui saluran darah dan saluran limfa,” terangnya lagi dengan lebih terperinci.

            Aku terpinga-pinga, cuba memahami apa yang telah diterangkan oleh Doktor Hazim sebentar tadi
            “Doktor benar-benar pasti?” soalku, seakan tidak percaya.
            Ujian PAP smear yang telah puan lakukan baru-baru ni telahpun beberapa kali saya menelitinya. Dan langkah diagnosis juga telah saya lakukan. Malahan ujian makmal juga sudahpun beberapa kali dilakukan. Dan hasilnya tetap sama. Penyakit puan masih lagi di peringkat awal. Ia dipanggil peringakat pra-kanser atau nama lainnya Cervical Intraepithelial Neoplasi, di mana sel kanser tu masih belum berkembang sepenuhnya. Masih awal lagi, Puan Azween,” terangnya panjang-lebar. Menitis airmataku sebaik mendengar penjelasan Doktor Hazim itu.
“Doktor,” ucapku sayu.
“Bersabarlah puan,” ujarnya lemah.
“Jadi, apa yang harus kita lakukan sekarang ni?” soalku sebak.
            “Puan tak perlu khuatir. Masih terlalu awal dan insyaALLAH ada harapan untuk sembuh. Selaku umat Islam, kita wajib percaya kepada qada’ dan qadar. Manusia hanya mampu berusaha tapi, kita harus bertawakal kepadaNya. Mudah-mudahan penyakit puan ni dapat disembuhkan. Biasanya, dengan mendapat rawatan di peringkat awal ini takkan menganggu kesuburan seseorang itu,” nasihatnya lembut.

            “Habis tu, macam mana dengan kandungan saya ni, doktor?” soalku. Apa yang merisaukanku kini adalah anak di dalam kandunganku ini.
“Puan jangan risau, anak dalam kandungan puan tu stabil buat masa ni. Kanser tu masih di peringkat permulaan, puan. Tumor yang terdapat pada pangkal rahim puan tu saiznya agak kecil,” ujarnya lembut.
“Kalau penyakit saya ni boleh disembuhkan, rawatan yang bagaimana harus saya jalani? Adakah saya akan dibedah untuk membuang keseluruh rahim saya?” soalku lagi. Doktor Hazim menggeleng.
“Tak semestinya, puan. Pembedahan hanya dilakukan kepada mereka yang sudah sampai ke tahap yang kronik di mana pembedahan yang dilakukan itu bertujuan untuk membuang rahim yang sudah rosak. Selain dari pembedahan, kita ada kaedah kimoterapi dan juga radioterapi untuk merawat penyakit kanser. Rawatan kimoterapi ini sering digunakan sebagai rawatan lanjutan selepas seseorang pesakit itu menjalani rawatan secara pembedahan dan setelah mendapati sel kanser tersebut telah merebak pada organ-organ yang lain. Dan untuk rawatan kanser pangkal rahim ni biasanya kaedah radioterapi menjadi pilihan utama. Kaedah radioterapi ini bertujuan untuk menyusutkan tumor sebelum ia dapat dibuang,” terangnya lagi.

Aku termangu-mangu. Naik pening kepala aku dibuatnya, mendengar beberapa istilah yang tidak berapa kukenali. Namun tetap dapat memahami akan setiap fakta yang cuba disampaikannya itu.
“Kaedah radioterapi? Macam mana tu, doktor? Boleh doktor terangkan?” soalku ingin tahu. Doktor Hazim mengangguk.
“Rawatan dengan kaedah radioterapi ini dilakukan dengan memasukkan logam radium radioaktif ke dalam rahim untuk beberapa hari yang bertujuan agar logam ini akan mengeluarkan bahang radiasi untuk memusnahkan sel-sel kanser. Namun begitu, rawatan secara radiasi ini terdapat kesan sampingannyan juga, Puan Azween. Selain dapat memusnahkan sel-sel kanser, bahang radiasi ini juga boleh merosakkan sel-sel normal yang lain seperti kilang telur dan ovari. Ini boleh menyebabkan pesakit kehabisan hormon estrogen,” terangnya panjang lebar.

Aku terdiam. Sedikit-sebanyak penerangan Doktor Hazim itu tadi meredakan rasa gundah di hatiku
“Doktor, insyaALLAH saya akan cuba merajinkan diri untuk berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan. Tapi doktor, boleh doktor tolong saya sesuatu?” pintaku. Dia mengangguk. Aku tersenyum lega.
“Boleh doktor janji dengan saya agar merahsiakan penyakit saya ini, lebih-lebih lagi dengan suami saya?” pintaku bersungguh. Doktor Hazim membuntangkan matanya. Dia kelihatan terkejut mendengar permintaanku itu.
“Tapi kenapa, Puan Azween? Kenapa mesti nak rahsiakan penyakit puan ni dari pengetahuan Encik Khairul? Diakan suami puan? Dia patut tahu,” tekan Doktor Hazim. Aku menggeleng laju.
“Tidak, doktor. Buat masa ni, biarlah saya seorang saja yang tahu akan hal ini. Saya tak mahu dia runsing. Kalau boleh, saya mahu hidup kami suami-isteri aman bahagia. Saya tak mahu rumahtangga saya dilanda awan mendung, doktor. Kalau boleh, saya mahu kami meneruskan kehidupan kami seperti biasa, seolah tiada apa yang berlaku. Bolehkan, doktor?” rayuku bersungguh-sungguh. Doktor Hazim termangu seketika. Sesekali dia mengurut-urut dagunya. Seketika dia menanggalkan cermin matanya lalu diletakkan di atas meja.
“Baiklah, puan. Tapi, kalau suami puan tanya, macam mana?” soalnya mengasak mindaku. Aku mengeluh.
“Berikanlah apa jua alasan pun. Asalkan jangan tentang penyakit saya ni. Tolonglah doktor,” rayuku buat kesekian kalinya. Dan seketika Doktor Hazim mengangguk. Aku menarik nafas lega.
“Baiklah, saya akan cuba rahsiakan. Tapi, sekiranya suami puan mendesak saya ataupun ada sesuatu yang terjadi ke atas puan dan kandungan puan, saya tak ada pilihan lain selain dari berterus-terang dengan suami puan,” tuturnya. Aku mengangguk.
“Baiklah, doktor. Tapi kalau boleh, cubalah rahsiakannya sedaya yang mungkin. Tentang rawatan tu, saya akan pertimbangkannya,” ucapku.

Setelah selesai berbincang dan berunding aku terus melangkah keluar dari bilik Doktor Hazim. Aku menghelakan nafas berat. Sesekali kuusap anak-anak rambutku yang menutupi dahi. Aku harus kerap ke sini. Namun, apa alasan yang harus kuberikan kepada Azhari kiranya dia tanya?

*****

AKU mundar-mandir di ruang tamu. Sudah hampir waktu Maghrib, namun bayangan suamiku masih tidak kelihatan. Biasanya kalau dia balik lewat sekalipun, dia akan memberitahuku terlebih dahulu. Dia takkan membiarkan aku ternanti-nanti. Aku menjadi risau. Malahan, penyakit yang sedang kuhidapi ini turut membuatkan aku bertambah runsing. Argh! Rasa hendak pecah kepalaku ini.

            Seketika aku dapat melihat cahaya kuning yang menyuluh di laman rumah. Bunyi enjin kereta turut kedengaran. Fuh, lega! Akhirnya sampai juga suamiku ke rumah. Segera aku melangkah ke muka pintu. Aku menyambut kepulangannya dengan senyuman. Sedaya-upaya aku memaniskan wajahku agar dia tidak mengesyaki apa-apa. Seperti selalu, aku akan menyambut kepulangannya dengan menyalami tangannya. Briefcase ditangannya kucapai lantas kubawa naik ke bilik.
            “Lambat abang balik hari ni?” soalku lembut. Ketika itu aku sedang mengeluarkan pakaian dan tualanya dari dalam almari.
            “Abang ke One Utama sekejap tadi,” ujarnya. Aku mengerutkan dahi memandangnya. “Abang ke One Utama? Ada apa?” soalku. Dia tersenyum.
            “Beli ni,” ucapnya seraya menunjukkan bungkusan plastik kepadaku. Dan semakin berkerut mukaku melihat beg plastik yang tertera jenama Poney itu.
            “Apa tu, bang?” soalku. Dia tersenyum.
            “Nah, ambil ajalah. Tengok apa abang beli,” ujarnya. Pantas aku menghampirinya lalu menyambut bungkusan plastik itu dari tangannya.

            Aku menjadi hairan apabila kulambak isi yang terdapat di dalamnya di atas katil. Pakaian bayi! Terharu aku melihat pakaian bayi yang kecil-kecil saiznya itu. Tampak comel sekali. Aku membelek pakaian bayi yang berupa sehelai baju, sehelai seluar, sepasang romper, stoking, sarung tangan serta topi berjerut tali.
            “Untuk anak kita?” soalku perlahan. Dia mengangguk.
            “Yalah, untuk anak kita. Untuk siapa lagi,” ujarnya. Sayu aku mendengarnya. Serta-merta kata-kata doktor siang tadi bergema di gegendang telingaku. Andainya dia mengetahui akan penyakitku ini, apakah reaksinya? Melihat dia begitu perihatin terhadap kandungan pertamaku ini, dapatkah dia menerima hakikat sekiranya anak ini hilang akibat dari penyakit kanserku ini? Ah, mana mungkin! Sedangkan aku sendiri pun takkan biarkan anak ini hilang, apatah lagi dia! Rasa tak sampai hatiku untuk mengecewakannya. Andainya suatu masa nanti ditakdirkan salah seorang dari kami harus berkorban, aku rela melakukan pengorbanan itu demi melihat dia gembira bersama anak ini.
            “Aween suka tak?” soalnya menyentakkanku.
            “Suka. Cantiklah, bang. Comel-comel saiznya,” ucapku ceria. Namun di hatiku hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa gundah-gelananya perasaanku kini.

            “Aween, hujung minggu ni kita balik kampung, nak tak?” tutur Azhari perlahan. Aku hanya terdiam tanpa menjawab.
            “Aween.” tekannya lagi. Aku mengeluh.
            “Suka hati abanglah. Aween tak kisah,” ucapku bersahaja.
            “Kenapa, Aween dah ada agenda lain ke?” soalnya.
            “Ada Aween kata tak nak? Aween kata Aween tak kisah. Sebagai isteri, Aween akan ikut ke mana aja suami pergi,” ucapku panjang. Dia ketawa.
            “Abang tahu, Aween tak larat jalan jauh dalam keadaan macam tu. Tapi, entahlah. Abang rasa rindu pulak kat keluarga abang. Dah lama kita tak balik jenguk ibu dan tok kat sana,” katanya.
            “Kalau rasa nak balik, balik ajalah, bang. Aween faham perasaan abang tu. Aween pun dah lama tak jumpa ibu. Sejak Aween mengandung ni tak pernah pun kita balik. Agaknya ibu pun rindukan kita. Tentu dia seronok tengok Aween macam ni,” ucapku pula. Ah, semua orang pun gembira dengan kehadiran bayi di dalam kandunganku ini. Apa akan jadi sekiranya aku terpaksa mengorbankan bayi ini demi untuk merawat penyakit kanser yang kuhadapi ini? Adakah mereka kecewa? Tentu sekali mereka kecewa dengan kehilangan bayi ini. Malahan, aku juga akan merasa lebih kecewa kerana aku ibunya. Dia sentiasa dekat denganku. Dan tentu sekali aku akan merasa jauh lebih kehilangan kerana selama ini anak ini sentiasa kubawa ke mana sahaja aku pergi.

            Seketika aku mengusap lembut perutku yang kelihatan sedikit membuncit itu. Oh anakku, bisik hatiku lembut. Ketika itu, dapat aku gambarkan kegembiraan anak ini apabila diusap begitu oleh si ibu. Tentu dia tahu betapa sayangnya aku terhadapnya. Namun, apa akan jadi sekiranya keputusan ujian biopsy itu menyatakan yang aku harus melakukan pembedahan? Tentu sekali aku terpaksa mengugurkan anakku ini. Ah, aku benar-benar risau. Risau dengan sebarang kemungkinan yang berlaku. Namun begitu, andainya berlaku sesuatu yang memaksa untuk aku membuat pilihan, aku harus membuat pilihan yang bijak. Sebagai seorang ibu, aku tidak seharusnya mementingkan diriku sendiri. Aku harus mengutamakan anakku. Ya, mungkin inilah pengorbanan yang telah arwah mama lakukan dulu. Dia sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri supaya adikku Ijie dapat menikmati kehidupan di muka bumi ini. Dan akhirnya, dia benar-benar syahid setelah berjuang melahirkan adikku. Mungkin juga peristiwa pengorbanan arwah mama dulu memberikan aku satu petanda yang aku juga harus melakukan pengorbanan yang sama demi melihat anakku lahir di dunia ini dengan sempurna. Ya, mungkin apa yang pernah berlaku ke atas diri mama merupakan satu petunjuk untuk aku membuat keputusan.

*****

SEPERTI yang telah dirancang, hujung minggu itu kami pulang ke kampung suamiku di Alor Setar. Sebaik kereta yang dipandu Azhari menyusuri perkarangan laman rumah ibu, kulihat ibu tersenyum berdiri di anak tangga muka pintu. Dia kelihatan gembira sekali menyambutku dari kereta. Aku dipimpinnya menuju ke anak tangga.
            “Aween sihat?” soalnya ceria. Aku mengangguk lemah.
            “Alhamdulillah, ibu,” ucapku. Namun, hanya bibirku sahaja yang mengaku yang aku sihat. Mereka benar-benar tidak tahu yang aku kini sedang menderitai penyakit yang amat digeruni oleh semua kaum wanita.
            “Ni, cucu ibu yang kat dalam ni macam mana pulak?” soalnya lagi sambil tangannya mengusap lembut perutku yang hampir sarat itu.
            “Cucu ibu nipun sihat,” jawabku. Ah, bertambah sayatlah hatiku ketika itu melihat perilaku ibu yang begitu mengharapkan cucunya ini. Dalam hatiku begitu asyik bertanya, kalau beginilah gamaknya, bagaimana harus aku pisahkan anak ini dari tubuhku, sedangkan sudah hampir lima bulan dia sentiasa bersama denganku tanpa berengang walau sesaat pun? Tergamakkah aku memisahkannya dari tubuhku ini selagi dia belum cukup bulan dan juga belum masanya untuk lahir?

Azhari melangkah ke arah kami sambil menjinjit dua buah beg beisi pakaian yang dikeluarkan dari boot. Tangan ibu diciumnya manakala si ibu mengusap lembut kepala si anak itu di saat dia menundukkan wajah ketika bersalaman. Jelas tergambar rasa rindu ibu yang begitu mendalam buat anak lelakinya itu.
            “Ibu sihat?” soalnya kepada ibu.
            “Ibu sihat aja, Ari,” jawabnya. Ternyata kepulangan kami kali ini disambut mesra oleh kaum keluarga Azhari. Ibu dan tok lebih-lebih lagi. Setelah berada di kampung, hatiku sedikit terhibur. Lebih-lebih lagi dengan adanya Tasya dan Alia yang tak habis-habis dengan kerenah mereka yang menghiburkan itu. Telupa aku seketika dengan penyakitku ini.
            “Ayah Aween sihat?” soal ibu sewaktu aku sedang menemaninya di dapur menyediakan minuman petang.
            “Ayah sihat, ibu. Sekarang ni, adik Aween tu dah tinggal sama dengan ayah,” jawabku panjang. Ibu tersenyum seraya mengangguk.
            “Baguslah tu. Ada jugak teman,” katanya. Aku ketawa kecil.
             “Ayah dengan adik dah berbaik? Tak bermasam-masam muka lagi?” soalnya lagi. Aku menggeleng.
            “Alhamdulillah, ibu. Lega Aween tengok mereka dua beranak tu. Kalau arwah mama masih ada, tentu lagi seronok tinggal sekeluarga macam tu,” ujarku.
            “Awat cakap macam tu, Aween? Tak baik. Jangan sesekali menyesali takdir Tuhan,” pesannya. Aku mengeluh.
            “Entahlah, bu. Sejak Aween mengandung ni, macam-macam yang Aween fikir. Sebelum ni, Aween selalu tertanya-tanya kenapa arwah mama sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri demi untuk melihat anaknya selamat dilahirkan. Tapi sejak Aween dah nak bergelar ibu ni, Aween dah dapat rasa kenapa seorang ibu itu sanggup buat apa saja demi anaknya,” ujarku panjang. Ibu tersenyum.
            “Itulah dia sifat sebenar seorang ibu, Aween. Dulu, masa ibu mengandungkan budak-budak ni, pun ada rasa macam tu jugak. Ibu mana yang tak sayangkan anak, Aween? Setelah sembilan bulan lebih anak tu di dalam kandungan kita, ke mana saja kita pergi, kita bawak dia sama. Tentulah anak tu dah sebati dengan diri kita. Sebab tulah kalau boleh kita tak mahu anak kita terpisah dengan kita,” terang ibu panjang berjela. Aku terdiam tanpa kata.
            “Kalau ibu berada di tempat arwah mama Aween, sanggup ke ibu melakakukan pengorbanan yang sama?” soalku ingin menguji mentuaku itu. Ibu tersenyum tenang. Seketika dia mengangguk perlahan.
            “Setiap ibu akan sanggup berkorban untuk kebaikan anaknya sendiri, Aween. Itu memang dah menjadi sifat semulajadi mereka yang bergelar ibu,” ujar ibu lagi. Aku terus bungkam. Kata-kata ibu itu memang ada benarnya. Sesungguhnya, itulah yang dapat kurasakan kini.

            Aku duduk termenung sambil mataku dihalakan ke sawah padi yang menghijau terbantang luas. Sudah lama rasanya aku tidak menghayati alam yang cukup mendamaikan seperti ini. Dengan menikmati kebesaran Yang Maha Esa ini, sedikit-sebanyak dapat menenangkan fikiranku yang sedang bercelaru. Sesekali gelak-tawa Azhari, Asmawi, Alia dan Tasya kedengaran, menyentakkan lamunanku. Mereka kelihatan riang memancing ikan air tawar. Hatiku benar-benar terhibur melihat kemesraan suamiku dengan dua orang adik serta sepupunya, Tasya. Ternyata hubungan mereka adik-beradik begitu rapat.
           
Seketika Azhari bangun dan melangkah menghampiriku yang sedang duduk di bangsal kecil. Aku tersenyum melihatnya. Dia juga tersenyum memandangku.
            “Dapat ke ikannya, bang?” soalku. Azhari mengangguk.
            “Adalah tiga ekor,” jawabnya.
            “Seronok betul tengok abang dengan adik-adik abang tu,” ucapku perlahan. Dia ketawa kecil. Seketika dia melabuhkan punggungnya di sebelahku.
            “Kami memang dah rapat macam ni sejak kecil lagi, Aween,” katanya.
            “Tentu seronok adik-beradik ramai macam ni, kan bang?” soalku. Dia hanya tersenyum mendengar kata-kataku itu.
            “Untung abang. Ada adik-beradik ramai. Tak macam Aween ni, cuma dua orang aja. Itupun terpisah jauh,” luahku tiba-tiba. Dia memandangku sekilas.
            “Tak apa, sayang. Kalau ALLAH dah kurniakan Aween adik sorang aja, tak mustahil suatu hari nanti Dia akan kurniakan kita anak yang ramai, mana tahu?” ucapnya. Tersentuh hatiku mendengar kata-kata yang terpacul dari mulut suamiku itu.

            Seketika mulutku seakan terkunci. Dia masih tidak tahu akan sakitku ini, bolehlah dia mengayam harapan untuk memiliki anak yang ramai. Kalaulah dia tahu, tentu dia takkan berani bercakap seperti itu.
            “Abang,” aku memanggilnya perlahan. Dia menoleh ke arahku. Dan sekali lagi mulutku seakan terkunci.
            “Ya, sayang. Ada apa?” soalnya perlahan.
            “Agaknya, berapa orang anak yang abang nak?” soalku, memberanikan diri. Dia tersenyum. Seketika pipiku dicuitnya lembut.
            “Kalau boleh lima orang, sama bilangan dengan adik-beradik abang,” ujarnya. Ah, semakin serba salah aku dibuatnya. Lima orang? Bolehkah aku memberikannya zuriat sebanyak itu? Sedangkan yang di dalam kandungan ini pun masih belum pasti selamat. “Kalau Aween tak mampu nak bagi sebanyak tu, macam mana?” soalku ingin mengujinya. Dia mencebirkan bibirnya sambil menjungkitkan bahu.
            “Hmm… apa boleh buat. Dah Tuhan kata bukan rezeki kita untuk memiliki anak seramai tu. Terima ajalah,” jawabnya. Dan aku terdiam lagi.
            “Kenapa Aween tanya?” soalnya.
            “Saja, nak tahu. Takut nanti karang, bila Aween tak dapat nak beri anak sebanyak tu, abang akan…” belumpun aku habis berkata-kata, dia lebih pantas meletakkan jarinya di bibirku. “Dah, sayang. Jangan nak cakap yang bukan-bukan. Biarlah berapa banyak mana sekalipun, dua ke, tiga ke, even sorang sekalipun, abang tak kisah. Abang tetap akan rasa bersyukur dengan apa yang dah ALLAH kurniakan untuk kita berdua,” ucapnya bersungguh. Namun suaranya kedengaran agak tegas.
            “Aween, boleh abang minta tolong sesuatu dari Aween?” soalnya. Aku mengangguk laju.
            “Jangan cakap macam tu lagi, sayang. Jangan sekali-kali Aween pertikaikan kejujuran dan kesetiaan abang. Abang tak suka,” tegasnya. Aku bungkam tanpa suara. Rasa bersalah kerana terlalu lancang menuturkan kata-kata yang bisa mengguriskan perasaan suamiku tadi. Seketika aku mengangguk lemah.

            Tiba-tiba sahaja terasa tekakku cukup haus, ditambah dengan cuaca yang kian panas. Mana tidaknya, matahari sudahpun menegak di dada langit.
            “Abang, Aween nak balik. Hauslah, bang. Nak minum,” ujarku lembut. Dia tersengih. Seketika dia ketawa kecil.
            “Kesian isteri kesayangan abang ni, dahaga ya?” usiknya sambil mencuit daguku.
            “Bukan Aweenlah. Ni, anak abang kat dalam ni hah,” kataku sambil mengusap-usap perutku yang membuncit itu.
            “Oh, ya? Baby yang nak minum ya?” sampuknya sambil ketawa. Seketika dia turut menggosok telapak tangannya di atas perutku.
            “Okeylah, jom kita balik,” ajaknya. Lantas aku menurunkan kakiku lalu menyarung selipar. Azhari menurutiku dari belakang. Seketika dia memaut kedua belah bahuku dari belakang. Aku tersenyum senang. Dia benar-benar mahu memantau dan melindungiku dari sebarang kejadian yang tak diingini. Tambahan lagi aku kini berada di tengah-tengah sawah. Tanahnya agak licin. Takut nanti aku tergelincir.
            “Awie, Alia, Tasya, abang balik dulu,” laungnya ke arah ketiga-tiga remaja itu. Mereka mengangguk. Ketika itu aku masih dapat menangkap wajah Tasya yang sedang tersengih-sengih ke arah kami. Seperti mengejek. Ah, faham benar aku dengan sikapnya itu. Memang pantang tengok orang senang.

No comments:

Post a Comment