Sunday 12 June 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 33)

AKU melangkah longlai keluar dari tandas perempuan. Terbatuk-batuk aku sambil mengurut dadaku yang sesak. Perutku juga terasa senak kerana baru lepas mengeluarkan segala isi yang ada di dalamnya. Azhari yang sedang menungguku di luar pantas mendapatkanku.
            “Macam mana rasa sekarang? Dah lega?” soalnya cemas sambil tangannya mengurut pangkal tengkukku. Aku mengangguk lemah. Setelah usia kandunganku mencecah ke dua bulan, aku mulai diduga. Saban hari, aku terpaksa berhadapan dengan morning sickness yang agak teruk. Kusangkakan simptom morning sickness ini hanya akan berlaku di waktu pagi, namun ia terus berlanjutan sampai ke petang.
            “Tengok, sampai pucat muka tu,” keluhnya. Dia memimpin tanganku dan kami jalan beriringan menuju ke lif.

            Dalam perjalanan pulang dari pejabat, aku hanya mempu bersandar sambil memejamkan mataku yang memberat. Rasa perit di dada masih lagi terasa. Azhari pula, begitu tenang mengharungi jalanraya yang cukup sesak kini. Sesekali dahiku berkerut menahan rasa pitam yang kian mencengkam. Lantas kukeluarkan Tiger Balm dari dalam beg tanganku lalu kuhalakan ia ke hidungku. Rasa sedikit lega sebaik menghidu bau balsam tersebut. Di saat itu, terasa telapak tanganku dipaut mesra. Aku merasa sedikit tenang dengan sentuhan suamiku itu.
            “Sabar ya, sayang. Sekejap lagi kita sampai rumah,” pujuknya.

            Tiba di rumah, aku terus merebahkan diri ke atas katil. Rasa benar-benar tak bermaya, seperti kehilangan tenaga. Azhari melonggarkan tali lehernya lalu dicampaknya ke atas katil. Seketika dia turut melabuhkan dirinya di situ. Tangan sasanya mengusap-usap dahiku.
            “Aween, macam ni ajalah. Apa kata buat masa ni Aween berhenti kerja dulu. Just duduk rumah rehat aja. Aween tu berbadan dua. Abang takut nanti terjejas pulak kandungan tu. Lepas habis pantang nanti, Aween sambung balik,” cadangnya. Aku terus memandangnya.
            “Tak apalah, bang. Aween okey. Di awal kehamilan memanglah macam ni. Nanti bila kandungan ni dah masuk empat ke lima bulan, alahan ni akan hilang,” ucapku meyakinkannya.
            “Abang bukannya apa, sayang. Abang tak sampai hati tengok Aween macam ni. Kat office pun Aween tak fokus. Asyik letih tak bermaya aja. Aween berhenti dulu buat masa ni, ya,” pujuknya.
            “Abang…”
            “Dengarlah cakap abang. Abang bukannya suruh Aween berhenti terus. Abang cuma suruh Aween berhenti buat sementara waktu aja. Lepas habis pantang esok, Aween sambunglah balik,” tegasnya.
            “Habis tu, siapa yang nak uruskan akaun syarikat?” Dia tersenyum mendengar pertanyaan itu.
            “Tentang akaun syarikat, Aween tak perlu risau. Boleh buat di rumah. Untuk urusan kewangan tu pulak, abang dan Hafsyam boleh pantau buat sementara waktu ni.” Aku mengeluh berat.
            “Abang, abang tahukan yang kita kena bersedia dari sekarang? Tak lama lagi, bila anak ni dah nak lahir, kita perlu berbelanja lebih. Nak beli segala keperluan bayi, itu belum lagi termasuk duit belanja untuk bayar bil hospital nanti,” ucapku pula. Dalam keadaan sekarang ini, aku harus membantu suamiku untuk mencari wang lebih untuk pembiayaan anak kami kelak. Mana mungkin aku berhenti kerja?
            “Tak apa, sayang. Itu sayang jangan risau. Abang boleh berusaha lebih. Apa yang penting sekarang ni, Aween kena jaga diri dan anak kita ni,” ujarnya sambil mengusap perutku yang masih belum menampakkan isi itu. Lama aku terdiam sebelum bersetuju dengan cadangannya itu.
            “Baiklah, bang. Aween setuju,” putusku. Dia tersenyum puas.
            “Hmm… macam tulah, isteri yang solehah. Dengar cakap suami, tak banyak membantah,” ucapnya lalu mencuit hidungku.

*****

SEPANJANG tempoh kehamilanku, Azhari telah menunjukkan kasih sayangnya yang begitu melimpah-ruah. Aku dijaganya bagaikan seorang puteri. Segala kemahuanku akan diturutinya. Kini, tempoh kehamilanku sudahpun masuk ke bulan yang ketiga. Sepanjang tempoh itu, aku dapat merasakan kemesraan Azhari denganku telah melebihi dari sebelum ini. Pernah juga timbul rasa kegusaran di hati ini, andainya suamiku akan menjauhiku apabila aku sedang hamil, seperti yang kudengari dari mulut-mulut orang. Seorang suami akan merasa dingin apabila isterinya mengandung. Namun Azhari tetap Azhari. Padaku, dia tetap lelaki yang lain dari yang lain. Sepanjang tempoh kehamilanku, sikitpun dia tidak pernah berenggang denganku. Kami hanya terpisah apabila dia ke pejabatnya setiap pagi. Namun sepanjang dia berada di pejabat, setiap jam dia akan menghubungi aku di rumah untuk bertanyakan khabarku dan juga anaknya yang berada di dalam kandunganku ini. Selain untuk melepaskan rasa rindu di hati.

            Tiba-tiba fikiranku mulai kacau. Panggilan yang kuterima di suatu pagi benar-benar membuatkan dadaku berdetak hebat. Seperti ada berita yang kurang elok yang ingin disampaikan oleh si pemanggil.
            “Assalamualaikum, Puan Azween,” ucap Doktor Hazim, seorang doktor pakar sakit puan yang selalu membuat medical check-up ke atas diriku serta kandunganku.
            “Waalaikumussalam, doktor,” aku menjawab salamnya.
            “Maaf mengganggu, puan. Saya nak puan hadir ke hospital pagi ni. Ada sesuatu yang hendak saya bincangkan,” ujarnya agak serius. Aku terkedu.
            “Hal apa tu, doktor? Macam serius aja saya dengar?” soalku.
            “Hmm… memang serius dan amat penting,” jawabnya.
            “Pasal kandungan saya ke, doktor?” soalku lagi.
            “Beginilah, puan. Saya tak boleh nak cakap dengan puan dalam telefon aja. Sebab hal ni agak sensitif. Lebih baik puan datang sendiri ke hospital pagi ni. Kalau boleh puan datanglah bersama suami puan sekali. Perkara ni amat mustahak. Kena bincang face to face,” katanya lagi. Semakin menggeletarlah seluruh tubuhku. Seketika tanganku mengusap perutku yang kini sudah mulai menampakkan isi itu.
            “Baiklah doktor, saya datang.” Terus kumatikan talian.

            Aku memaklumkan terlebih dahulu akan pemergianku ke HUKM kepada Azhari. Aku tidak memberitahunya yang Doktor Hazim juga turut menyuruhnya datang sekali bersama denganku. Aku tak mahu mengganggu kerjanya di pejabat. Tiba di klinik Doktor Hazim di HUKM, aku dipanggil masuk ke dalam bilik rawatannya.
            “Mana suami puan?” soalnya.
            “Oh, dia sibuk hari ni. Ada meeting katanya,” aku memberi alasan. Doktor yang umurnya mungkin hampir separuh abad itu mengangguk. Seketika dia membuka cermin mata yang membingkai wajahnya.
            “Puan, apa yang nak saya bincangkan ini, bukanlah berkenaan dengan bayi dalam kandungan puan tu. Tapi, berkenaan dengan diri puan sendiri,” terangnya. Aku mengerutkan dahi.
            “Pasal saya? Kenapa dengan saya ni, doktor?” soalku tidak sabar. Dan di kala itu kurasakan seluruh tubuhku menggigil ketakutan.
            “Sabar, puan. Sebelum itu, ada beberapa perkara yang harus saya tanya pada puan. Saya harus siasat dan pastikannya betul-betul dari mulut puan sendiri sebelum memberi kata putus. Harapnya puan dapat memberi kerjasama,” doktor lelaki itu bermukadimah.
“Sebelum ini, ada tak puan mengalami dischrage yang teruk?” soalnya. Aku termagu seketika. Kenapa dia tanyakan itu? Rasa malu pula hendak menjawab kerana aku tidak pernah berkongsi akan masalah seperti ini dengan orang lain apatah lagi dengan seorang lelaki. “Err… ada, doktor. Tapi dah lama saya mengalami masalah tu, sejak saya masih remaja lagi,” jawabku. Doktor Hazim mengangguk.
            Ada tak puan mengalami sakit ketika melakukan hubungan intim dengan suami puan?”soalnya lagi. Aku termangu lagi, cuba mengingatinya.  Seketika aku mengangguk.
Ada, doktor. Sejak beberapa bulan yang lalu, saya ada merasa sakit di bahagian ari-ari saya sewaktu saya sedang bersama dengan suami saya,” jawabku tanpa berselindung. Doktor Hazim mengangguk.
“Pernahkah puan mengalami pendarahan di bahagian faraj di antara waktu haid dan selepas melakukan hubungan intim?” Doktor Hazim menyoal lagi. Ah, semakin bingung aku. Naik tebal mukaku kerana terpaksa bersoal-jawab tentang masalah wanitaku dengan doktor lelaki sepertinya.
“Jangan takut, puan. Berterus-teranglah. Tak ada apa yang hendak dimalukan,” ucapnya menenagkanku.
“Hmm… kalau antara waktu haid tu saya tak pasti, tapi kalau selepas melakukan hubungan intim tu, adalah. Tapi, bukankah itu satu perkara yang normal, doktor?” soalku pula agak ragu. Doktor Hazim mengangguk lagi.
“Ya, itu memang tak dapat dinafikan, puan. Tapi…”
“Tapi apa, doktor?” soalku bagaikan tidak sabar. Semankin kencang degupan jantungku ketika ini.
“Puan, saya harap puan bersabar dengan apa yang saya nak katakan ni,” ujarnya perlahan. Hancur luluh hatiku tatkala Doktor Hazim mengkhabarkan berita itu. Segala apa yang aku takuti selama ini benar-benar berlaku. Dan ia ibarat sebuah mimpi ngeri yang amat menakutkan.
“Doktor…” hanya itu yang mampu kuucapkan. Lemah sekali suaraku. Ia bagaikan tenggelam di sebalik kerongkong.
            “Bersabarlah, puan. Apa yang dapat saya cadangkan kepada puan, supaya kerap datang ke sini dan buat pemeriksaan dari semasa ke semasa,” nasihatnya.

            Di kala itu kurasakan duniaku begitu kelam sekali. Aku menjadi sedih, risau, takut dan bermacam-macam lagi. Bagaimanakah harus kuterangkan kepada suamiku nanti? Ya ALLAH, sungguh besar dugaanMu kali ini, Tuhanku. Tabahkanlah hatiku menghadapi dugaan yang maha hebat ini.

*****
AKU terjaga sebaik kedengaran pintu bilikku terkuak. Kelihatan Azhari masuk bersama briefcasenya di tangan. Wajahnya tampak kusam. Tentu dia kepenatan. Tali leher yang tergantung di lehernya turut kelihatan longgar dan lengan kemeja yang dipakainya dilipat hingga ke paras siku.
            “Baru balik, bang?” sapaku. Dia menoleh ke arahku bersama segaris senyuman. Ah, walaupun kepenatan, dia masih mampu melayangkan senyuman yang manis buatku. Dia membuka ikatan tali lehernya lalu diletakkannya di atas briefcasenya. Aku hanya memandangnya dari belakang. Hatiku berdegup kencang. Malah berbelah bahagi, sama ada hendak memberitahunya malam ini juga atau kemudian, ataupun tak payah beritahu langsung? “Abang,” sapaku perlahan. Dia hanya memandangku dari pantulan cermin.
            “Ya, ada apa?” soalnya. Aku terdiam. Bibirku kuketap kuat. Rasa berat hati dan takut hendak memberitahunya.
            Ada apa, sayang?” soalnya lagi. Spontan aku menggeleng laju.
            “Ah, tak ada apa, bang. Cuma Aween rasa sunyi malam ni, abang balik lewat,” ujarku membuat alasan. Dia ketawa kecil.
            Kan abang dah balik ni?” katanya memujukku. Kami ketawa. Namun tawaku kedengaran cukup hambar. Bukan tawa yang ikhlas dari hati.

            Aku bingkas bangun dan menghampirinya. Tubuhnya kupeluk dari belakang. Kepalaku turut kulentokkan ke bahunya. Lama aku memeluknya begitu. Aku bagaikan tak mahu melepaskannya. Aku tak mahu berpisah dengannya. Sesungguhnya aku teramat menyayangi lelaki ini. Aku pernah kehilangan lelaki ini suatu ketika dahulu. Dan aku bersyukur kerana dia telah kembali ke pangkuanku semula. Malahan, aku lebih bersyukur kerana aku kini telahpun menjadi hak milik mutlaknya. Dan aku tak mahu kehilangannya lagi, begitu jugalah sebaliknya. Aku tak mahu dia kehilanganku. Kami saling memerlukan antara satu sama yang lain. Ya ALLAH, janganlah Engkau pisahkan kami lagi.

             “Apa yang doktor cakap tadi siang?” soalnya menyentakkanku. Aku tergamam. Apa yang harus kujawab? Perlukah aku menipunya dengan mengatakan tak ada apa-apa? Oh, tak boleh. Berdosa besar menipu suami. Sedangkan dosaku yang lampau pun bagai tak tertanggung banyaknya. Takkan nak tambahkan lagi dosa yang telah tersedia ada?
“Sayang, abang tanya ni,” tekannya lagi. Ah, aku semakin keliru. Apa yang harus kujawab? Aku semakin gentar sebaik dia memusingkan tubuhnya menghadapku. Aku melarikan pandangan mataku. Aku tak mahu dia tahu yang aku menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya. Bukankah aku telah tersedia maklum yang dia boleh membaca akan apa yang tersirat di hati melalui pancaran sinaran mata?
“Kenapa dengan baby kita?” soalnya. Ah, sekurang-kurangnya dapatlah aku menarik nafas lega sebaik dia bertanyakan tentang bayi yang berada di dalam kandunganku ini, bukan bertanyakan kesihatanku. Aku tersenyum seraya menggeleng.
            Baby kita sihat, bang. Macam biasalah,” jawabku meyakinkannya. Mujurlah selepas itu dia tak bertanyakan lagi akan hal itu. Aku hanya menghantar pergerakannya menuju ke bilik air dengan pandangan mataku. Seketika aku mengeluh berat. Sampai bilakah aku dapat merahsiakan semua ini dari pengetahuannya?

*****

KEDINGINAN di bilik Doktor Hazim siang tadi masih lagi terasa sehingga kini. Malahan, berita yang disampaikannya itu membuatkan aku berasa lebih tertekan. Rasa hendak menjerit sepuas-puas hatiku. Tadi, sewaktu pulang dari HUKM, sudah puas aku menjerit bagaikan orang histeria. Melepaskan rasa tertekan yang bermukim sejak mendapat perkhabaran itu dari mulut Doktor Hazim. Aku menjadi hilang kewarasan buat seketika. “Tak, doktor! Tak mungkin! Tak mungkin saya dijangkiti kanser. Dulu saya pernah ke sini untuk membuat pemeriksaan. Tapi doktor kata saya bebas dari penyakit tu. Kenapa sekarang ni pulak tiba-tiba aja ada? Tak, doktor. Saya tak percaya. Doktor, tolonglah periksa semula. Betulkah ketumbuhan tu adalah sel kanser? Pastikan betul-betul dulu barulah confirm dengan saya. Tolonglah doktor,” rayuku dalam esakan. Doktor Hazim menghelakan nafasnya perlahan.
            “Sabar, Puan Azween. Saya baru suspect aja, kerana melalui pemeriksaan ultrasound, kami dapati ada ketumbuhan kecil pada pangkal rahim puan,” terangnya, menenangkanku. “Bukankah dulu saya pernah nasihati puan supaya kerap berjumpa dengan gynae untuk membuat ujian PAP smear ni? Sebab risiko puan untuk menghidapi penyakit kanser pangkal rahim ni agak tinggi memandangkan ibu puan sendiri pernah menghidapinya. Biasanya faktor keturunan boleh dijadikan penyebab utama mengapa seseorang itu boleh menghidapi penyakit kanser, puan. Ujian PAP smear secara berkala pula sangatlah perlu bagi mencegah dan mengesan sebarang masalah pada pangkal rahim. Tapi, puan jangan risau. Kami baru mengesyaki tetapi belum lagi mengenalpastinya. Puan harus menjalani ujian-ujian selanjutnya bagi mengenalpasti sama ada ketumbuhan yang terdapat di pangkal rahim puan itu adalah sel kanser ataupun bukan kanser,” terangnya lagi.
           
            Aku tertunduk lemah. Ya, aku masih ingat pesanan Doktor Hazim dulu supaya aku kerap menemuinya untuk menjalani ujian PAP smear ini. Entah bagaimana aku boleh menjadi leka sehingga terlupa akan pesanannya itu. Aku sangkakan, hanya dengan sekali ujian sahaja sudah dapat memastikan yang aku bebas dari penyakit kanser pangkal rahim ini. Aku mulai menyesali dengan kealpaanku selama ini. Malahan Azhari sendiri pun tak pernah nak mengingatkanku akan hal ini. Masing-masing sedang mabuk dengan kasih sayang yang dibina sehinggakan kami terleka dengan pemeriksaan penting ini. Dan sekarang ini, nah! Inilah akibatnya kerana terlalu cuai!
            “Kalau benar ketumbuhan tu sel kanser, bagaimana doktor?” soalku mulai tenang. Doktor Hazim tersenyum.
            “InsyaALLAH, puan. Kita sama-sama ikhtiar,” jawabnya.
           
             “Apa yang dimenungkan tu, sayang?” Aku kembali semula ke alam realiti apabila suamiku menyapaku secara mengejut seperti itu.
            “Ah, tak ada apa, bang,” ujarku kalut. Dia memandangku dengan pandangan yang berkerut. Ah, harap-harap dia tidak dapat menghidu apa-apa. Dari itu, aku harus berlagak biasa dan jangan terlalu menggelabah sangat sehingga menimbulkan syak yang bukan-bukan di hati suamiku.
            “Aween kenapa?” soalnya. Segera aku menggeleng. Dia terus merenungku. Tubuhnya masih terdedah tanpa pakaian. Hanya sehelai tuala yang melingkari pinggangnya. Rambutnya yang basah kelihatan berserabai.
            “Tak ada apa, bang. Aween masih ketakutan,” ujarku. Semakin berkerut dia memandangku. “Aween takut apa? Hantu?” sendanya.
            “Hisy, abang ni. Malam-malam buta ni dia boleh sebut lagi benda bukan-bukan tu? Sekali dia datang betul-betul karang baru tahu. Aween takut tinggal sorang-soranglah, bang. Yalah, selama ini kan, kita sentiasa berdua di waktu malam macam ni? Dah tu tiba-tiba pulak malam ni abang balik lewat. Manalah Aween tak takut?” terangku panjang-lebar. Dia ketawa.
            Kan ada orang yang temankan Aween?” ujarnya. Hisy, apalah yang dia merepek tengah-tengah malam begini? Suka sangat cakap benda mengarut tu. Aku terus terdiam. Malas hendak melayannya.
            Baby kita kat dalam perut tu, kan ada temankan Aween? Kenapa Aween nak takut?” ujarnya bersahaja. Aku membeliakkan mata. Oh, baby ni rupanya yang dimaksudkannya tadi? Aku ingatkan apalah.
“Aween fikir apa, hah?” dia mengusikku. Tentu dia dapat agak apa yang aku fikir akan maksud kata-katanya sebentar tadi. Dia ketawa. Aku menarik muncung.
            “Abang!” bentakku geram. Seketika aku ketawa lantas membaling sebiji bantal ke arahnya. Namun berjaya dia menyambut bantal yang kulemparkan itu.

            Malam itu aku tidak dapat melelapkan mataku. Aku masih dihantui dengan kata-kata Doktor Hazim siang tadi. Aku takut ia akan menjadi igaunan ngeriku. Aku menoleh ke sebelah, merenung suamiku yang sedang lena dibuai mimpi. Jelas tergambar akan riak gembiranya di sebalik wajah yang terpejam itu. Dia begitu tenang dalam lenanya. Tentu mimpi yang dilaluinya begitu indah sekali di saat ini.

Di kala itu, timbul rasa sayu dan hiba dihatiku. Aku terus merenung wajah suamiku dengan rasa penuh simpati. Semenjak kami memulakan kehidupan kami sebagai suami dan isteri kira-kira setahun yang lalu, dia benar-benar menghargaiku. Sememangnya dia seorang suami yang baik, penyayang dan memahami. Layanan yang diberikannya mampu membuatkan aku berasa berat hati hendak berenggang dengannya walau sesaat pun. Tidak pernah sekali dia menyakiti hatiku walau sekelumit pun. Ternyata kasih sayang yang disogokkan kepadaku memang tiada tolok bandingnya. Aduh, bertuahnya badan mendapat seorang lelaki yang penyayang seperti ini? Ya, sesungguhnya aku merasa begitu bertuah sekali. Malah rasa bersyukur dianugerahkan seorang suami yang baik hati seperti ini.

Namun begitu, rasa takut terus memburuiku. Semenjak dari siang tadi, aku asyik terkenangkan sakitku ini. Aku takut mati. Aku takut menghadapi sakaratulmaut. Aku takut menghadapi ALLAH, malaikat Munkar dan Nakir. Dan aku paling takut dengan azab kubur yang akan kuterima ke atas dosa-dosa yang telah kulakukan sepanjang aku hidup di muka bumi ini. Aku takut semua itu. Ya ALLAH, entah berapa banyaklah dosa yang telah aku lakukan sehingga menimbulkan kemarahanMu. Aku takut dengan azab dan seksa dariMu, Ya ALLAH. Sesungguhnya aku tak berdaya hendak menghadapi seksaan dariMu, Ya ALLAH.

No comments:

Post a Comment