Sunday 3 July 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 35)

“AWEEN, kenapa abang tengok Aween lain sangat sejak akhir-akhir ni?” soal Azhari pada suatu malam. Ketika itu kami baru sahaja pulang dari kampungnya di Alor Setar. Aku terkedu seketika, khuatir dia dapat menghidu sesuatu. Namun aku cuba memaniskan mukaku seperti biasa supaya tidak terlalu ketara akan perubahan pada diriku ini. “Lain? Maksud abang, lain macam mana?” soalku selamba. Aku meneruskan kerjaku melipat pakaian yang baru dikeluarkan dari sebuah beg besar.
            “Maksud abang, Aween dah tak nampak ceria macam selalu. Aween jangan tak tahu, dalam diam sebenarnya abang cuba perhatikan isteri abang ni. Kejap termenung, kejap nampak gelisah. Kenapa, anak kita kuat meragam ke?” soalnya seraya memaut bahuku dari belakang. Aku sedikit tersentak. Namun kucuba berlagak biasa memandangkan dia sudah mulai menghidu perubahan pada diriku.
            “Taklah, bang. Anak kita baik, tak banyak ragam. Entahlah, bang. Sejak makin sarat ni, macam-macam yang Aween rasa. Kadang-kadang takut, kadang-kadang risau,” jawabku. “Apa sebenarnya yang mengganggu fikiran Aween?” soalnya lagi. Aku menjungkitkan bahu.
            “Entahlah. Susah nak cakap. Aween cuma boleh rasa aja, tapi mulut Aween begitu sukar nak terangkan macam mana. Kalau Aween nak luahkan pun, Aween tak tahu macam mana nak mulakan,” ucapku agak berbelit.
            “Abang tak faham,” ujarnya perlahan.
            “Sebab Aween tak boleh nak terangkan pada abang, sebab tulah abang susah nak faham. Dahlah bang, tak usah tanya lagi. Karang lagi berserabut kepala Aween ni karang,” aku cuba menghentikan topik itu. Aku benar-benar rimas bila soalan itu dibangkitkanya. Aku takut nanti rahsia tentang penyakitku ini akan terbongkar.

            Aku sedikit lega apabila dia tidak terus mengasakku dengan persoalan itu lagi. Namun, aku dapat rasakan yang dia sedang mencari sesuatu di sebalik wajahku ini apabila renungan matanya begitu menikam memandangku.
            “Kenapa pandang Aween macam tu?” soalku sebaik melihat panahan matanya yang memandang tepat ke wajahku. Namun segera dia menggeleng.
            “Tak ada apa, Aween. Cuma abang rasa pelik tengok Aween sejak dua menjak ni,” tuturnya. Aku mengeluh.
            “Abang, Aween yang tuan punya badan sendiri pun tak faham, inikan pulak abang?” ucapku. Diam lagi.
            “Okey, abang cuma nak tahu, apa yang Aween takutkan sebenarnya?” dia terus mengasakku. Aku mendengus keras.
            “Kenapa abang beria-ia sangat nak tahu ni?” soalku sedikit keras. Serta-merta bilik yang agak dingin dengan alat penghawa dingin itu menjadi panas berbahang.
            “Tentulah abang nak tahu. Sebagai seorang suami, salah ke kalau abang nak berkongsi masalah dengan isteri abang?” tegasnya pula. Aku memejamkan mata rapat dan seketika aku membukanya balik.
            “Kalau Aween cakap nanti karang, abang tak boleh nak terima pulak. Tak pasal-pasal abang tuduh Aween cakap yang bukan-bukan.” Dia terdiam lagi. Namun seketika dia bersuara lagi.
            “Abang rasa, abang dah dapat agak apa yang mengganggu fikiran isteri abang ni,” katanya perlahan. Aku tersenyum sinis.
            “Baguslah kalau abang dah tahu. Jadi tak payahlah Aween nak cakapkan lagi,” ucapku bersahaja.

Lalu dia terus tidak berkata apa-apa. Lantas dia mencapai tuala dari penyidai dan terus melangkah ke dalam bilik air. Aku mengeluh berat. Marahkah dia? Seketika kemudian dia keluar semula. Ketika itu, kerja-kerja mengemasku sudahpun selesai. Aku hanya memerhatikannya mengibas-ngibas rambutnya yang basah dengan tuala. Dia hanya mengenakan sehelai T-shirt tanpa kolar serta kain pelikat. Setelah siap berpakaian, segera dia melabuhkan diri di atas katil, bersebelahan denganku. Aku terus memerhatikannya tanpa rasa jemu.

Hatiku terus diserbu rasa bersalah melihat dia terdiam sambil menyandarkan diri di kepala katil. Seketika kemudian aku mencapai tangannya. Kugenggam kemas tangan sasanya itu lalu kutekapkannya ke bibirku. Ternyata dia terperanjat dengan perbuatanku itu. Lantas dia menoleh ke sebelah memandang tepat ke wajahku. Aku tersenyum. Dan aku sedikit lega melihat senyuman yang terukir di bibirnya itu. Segera kulabuhkan kepalaku ke dadanya manakala tangannya mulai membelai kepalaku.
“Abang marah?” soalku lembut.
“Tak. Cuma sedikit terkilan sebab Aween berahsia sangat dengan abang,” jawabnya terus-terang. Aku terkesima. Rasa terpukul dengan jawapannya itu.
“Bukan Aween nak berahsia dengan abang. Kan Aween dah cakap tadi yang Aween sendiri pun tak faham dengan naluri Aween sekarang ni?” ujarku.
“Aween, ajal dan maut di tangan Tuhan. Bila-bila masa aja ia akan datang menjemput kita. Bukan Aween sorang aja yang rasa macam tu. Semua orang takut mati, Aween. Abang pun tak terkecuali. Semua orang akan merasa macam tu. Jadi, kenapa Aween nak risau?” tuturnya perlahan.
“Entahlah, bang. Aween dah cuba nak elakkan dari terus memikirkan hal tu, tapi tak boleh. Abang tahukan, setiap ibu yang sedang berjuang melahirkan anaknya, nyawa mereka seakan berada di hujung tanduk?” kataku pula.
“Itu abang tahu, sayang. Memang tak dapat dinafikan. Lagipun, tak salah kalau kita ingatkan mati. Lagi bagus kalau kita sentiasa ingat pada ajal dan maut, sebab hukumnya sunat. Dan ia boleh membuatkan kita sentiasa insaf,” ujarnya perlahan.

“Abang, kalaulah Aween temui ajal Aween sewaktu melahirkan anak kita ni, macam manalah keadaan abang dan anak kita agaknya, ya? Adakah abang akan jadi seperti ayah? Kerana asyik memikirkan orang yang sudah tiada, anak pulak yang terabai,” kata-kata itu terpacul dari mulutku dengan spontannya. Tiada sebarang jawapan kedengaran darinya. Ah, aku terlepas cakap lagi!
Ops, sorry bang,” ucapku.
“Hmm… tak apa. Lagipun, itulah sebenarnya yang merunsingkan fikiran Aween sejak akhir-akhir ni, kan?” soalnya. Aku bungkam.
“InsyaALLAH, abang akan lebih kuat dan tabah hadapi semua tu,” ucapnya.
“Bukan apa, bang. Kita tak tahu apa yang bakal berlaku kelak. Jadi, kita harus membuat persediaan lebih awal. Sebelum apa-apa berlaku ke atas diri Aween nanti, Aween nak pastikan yang abang akan jaga anak kita dengan baik. Berikan dia kasih sayang sepertimana abang berikan kasih sayang abang tu kepada Aween,” tuturku perlahan. Aku berharap dia mengerti dengan maksud kata-kataku ini.
“Tentu sekali abang akan jaga dia dengan penuh kasih sayang abang. Kan dia anak abang?” ujarnya.
“Aween percayakan abang. Aween tahu, abang seorang yang kuat dan tabah. Aween yakin abang dapat lalui semua itu dengan hati yang tenang,” ucapku. Dia ketawa kecil. “Bukan abang aja. Aween pun mesti macam tu jugak. Yalah, manalah tahu suatu hari nanti Aween pulak yang terpaksa memikul seorang diri tanggungjawab Aween sebagai ibu dan ayah kepada anak-anak kita nanti.” Aduh! Aku rasa terpukul lagi dengan kata-katanya itu. Dan kini, mulutku pula yang seakan terkunci.

*****

SEMENJAK aku disahkan menghidap kanser pangkal rahim, aku kian rajin menjaga pemakananku. Aku mulai mengamalkan pemakanan seimbang dan diet yang sihat. Malahan, aku juga telah kembali melakukan rutin harian yang selalu kulakukan sewaktu aku masih gadis. Setiap pagi, selepas suamiku ke pejabat, aku akan keluar rumah bersiar-siar di sekeliling kawasan perumahan itu sambil menghirup udara pagi.

            Aku juga lebih gemar mendalami pengetahuan tentang penyakit kanser pangkal rahim ini. Selain membeli buku-buku mengenai kesihatan dan sakit puan, aku juga akan mengumpul segala maklumat-maklumat mengenai penyakit ini dari internet. Dari sumber-sumber yang aku perolehi, sedikit-sebanyak telah menambahkan lagi pengetahuanku tentang penyakit yang dikatakan pembunuh nombor dua wanita ini. Kini, aku mulai faham, apa makna kanser pangkal rahim. Apakah punca seseorang wanita itu menghidapinya. Apakah gejala dan tanda-tanda awal penyakit kanser pangkal rahim ini. Namun begitu, kalau setakat mendapat pengetahuan hanya dengan pembacaan sahaja, masih tidak mencukupi. Walau apapun, aku harus merujuk juga penyakitku ini dengan doktor pakar sakit puan.

“Doktor, saya rasa saya tak mahu buat sebarang rawatan buat masa ni, doktor,” putusku. Doktor Hazim hanya terdiam mendengar kata putusku itu. Sebuah keluhan terbit di bibirnya.
“Puan benar-benar pasti?” soalnya. Aku mengangguk laju.
“Puan dah fikir masak-masak?” soalnya lagi. Aku bungkam seketika dan kemudian barulah aku mengangguk.
“Ya, doktor. Saya dah fikir masak-masak. Saya tak setuju untuk menjalani apa-apa rawatan, doktor. Saya terlalu sayangkan anak saya ni. Saya tak sampai hati nak mengorbankan anak saya ni,” ucapku sedikit tegas. Doktor Hazim tersenyum seraya menggeleng. “Puan Azween, maksud saya rawatan tu bukan hendak dilakukan dalam masa terdekat ni. Sel kanser tu masih lagi di peringkat permulaan, puan. Selagi ia berada di peringkat permulaan, ia masih dalam keadaan terkawal. Puan janganlah terlalu bimbang,” ucapnya meyakinkanku. Aku mengerutkan dahi.
“Doktor, saya nak tahu. Biasanya, kanser pangkal rahim ni mengambil masa berapa lama untuk membesar?” soalku lagi.
“Itu bergantung kepada keaktifan sel individu itu sendiri, Puan Azween. Tapi biasanya ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang,” jawabnya. Aku terdiam lagi. “Terpulanglah kepada puan. Kalau puan tak mahu jalani sebarang rawatan, saya tak boleh nak paksa. Tapi, sebagai seorang doktor, saya berasa amat kesal kerana gagal memujuk puan untuk menjalani rawatan kanser tu. Saya kecewa kerana tidak mampu hendak menyelamatkan seorang pesakit kanser yang masih ada harapan untuk sembuh.” ucap Doktor Hazim dalam nada kesal. Aku hanya membatu. Rasa serba salah kerana begitu cepat membuat keputusan tanpa berfikir panjang terlebih dahulu.
“Puan Azween, saya tahu apa yang saya lakukan. Seperti yang pernah saya katakan hari tu, sebagai seorang doktor, saya takkan lakukan perkara yang boleh memudaratkan kesihatan pesakit saya. Tambahan pula, ini bukan pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti ini,” tuturnya lagi.
“Jadi, bermakna ada jugak pesakit kanser yang tidak melakukan rawatan?” sampukku. Doktor Hazim mengangguk.
Ada yang tak jalani rawatan kerana sudah tak ada harapan dan ada jugak yang kesempitan wang. Malah ada jugak yang berdegil, cepat putus asa dan hanya menyerah kepada takdir tanpa berusaha,” terangnya.
“Macam mana dengan nasib mereka?” soalku ingin tahu. Doktor Hazim tersenyum hambar. Seketika dia menggeleng.
“Tak dapat saya nak ceritakan. Ianya begitu mendukakan saya. Cukuplah sekadar saya katakan yang, ada antara mereka yang masih hidup, tetapi dalam keadaan yang kritikal. Ada jugak yang sedang menunggu masa dan ada jugak yang sudah tiada,” terangnya lagi satu-persatu. Aku mengeluh berat.
“Maafkan saya, doktor,” ucapku perlahan. Aku benar-benar rasa bersalah dengan Doktor Hazim. Niatnya begitu baik, hendak membantuku menyembuhkan penyakit ini. Namun, aku lebih menyayangi anak di dalam kandunganku ini. Walau apapun, aku tetap mahukan anak ini lahir dengan sempurnanya.

“Kalau macam tu, saya akan menjalani rawatan. Tetapi, biarlah setelah saya melahirkan anak saya ni. Bolehkan, doktor?” soalku perlahan. Doktor Hazim merenungku tajam. Namun seketika dia mengangguk perlahan.
“Boleh. Tak jadi masalah. Terpulanglah kepada puan. Lagipun, itulah yang saya nak cadangkan kepada puan tadi. Tapi tiba-tiba puan putuskan untuk tidak melakukan sebarang rawatan. Itulah yang saya terus terdiam tu,” jawabnya seraya ketawa kecil.

Aku turut tersenyum bersama tawa kecil. Itulah, cepat sangat bertindak tanpa mendengar penjelasan Doktor Hazim terlebih dahulu.
“Maaf, doktor,” ucapku lagi.
“Tak apa, puan. Saya faham, puan sedang serabut. Maka sebab itu puan tak fikir panjang dan terus cari jalan mudah, betul tak?” tekanya. Kami ketawa serentak. Kuanggukkan sedikit kepalaku.
“Jangan begitu, Puan Azween.”
“Tapi doktor, kalau saya tunggu beberapa bulan lagi selepas saya bersalin, masihkah ada harapan untuk saya sembuh sepenuhnya?” soalku lagi.
            “InsyaALLAH, saya cuba. Lagipun, puan tak perlu takut sebab penyakit puan ni masih di peringkat awal. Biasanya, sel-sel kanser ni mengambil masa bertahun untuk merebak,” ucapnya panjang. Aku bungkam lagi.

*****

SETELAH hampir sejam aku berada di klinik perbidanan dan sakit puan milik Doktor Hazim, aku terus keluar melangkah ke keretaku. Aku menghelakan nafas berat. Dahiku kuusap perlahan. Anak-anak rambut yang sedikit terjuntai di dahi kukuak ke belakang.

            Agak lama aku termenung di dalam kereta, memikirkan kata-kata Doktor Hazim sebentar tadi. Kini aku menjadi sedikit yakin apabila Doktor Hazim mengatakan yang aku berkemungkinan akan sembuh dari penyakitku ini. Namun begitu, sebagai hamba ALLAH, aku harus berserah kepadanya.
            “Dia yang berikan kita penyakit, Dia jugalah yang dapat menyembuhkan kita.” Kata-kata Doktor Hazim yang berbaur penyunting semangat itu masih terngiang-ngiang di telingaku ini. Dan entah mengapa di saat ini, aku perlukan ketenangan. Aku tak mahu pulang ke rumah. Aku mahu meronda-ronda bagi mengurangkan kekusutan yang masih melanda mindaku kini. Telefon bimbit kukeluarkan dari beg tanganku lalu mendail nombor telefon bimbit Azhari.
            “Assalamualaikum, abang,” ucapku.
            “Waalaikumussalam, sayang. Dah jumpa doktor? Macam mana?” soalnya.
            “Dah, bang. Aween baru keluar dari klinik ni. Okey, macam biasa,” jawabku.
            “Ya? Alhamdulillah. Aween, abang minta maaf, ya. Aween selalu pergi medical check-up sorang. Abang tak pernah nak temankan,” ucapnya berbaur kesal.
            Oh! No, it’s okay, abang. Aween boleh handle sendiri. Abang kan sibuk? Aween faham,” ujarku. Dia terdiam.
            “Abang, boleh tak Aween nak jalan-jalan? Boringlah asyik duduk rumah aja,” ujarku lagi. “Aween nak ke mana, sayang?” soalnya.
            “Alah, just around KL ni jugak. Ingat nak pergi Jalan TAR. Dah lama tak ke sana,” jawabku. “What? Nak ke Jalan TAR? Kan bahaya kat situ sayang? Sekarang ni macam-macam cerita abang dengar kat KL tu. Ragutlah, apalah. Kalau jadi apa-apa nanti, macam mana?” ujarnya agak gusar.
            “InsyaALLAH, bang. Tak ada apa. Aween pandai jaga diri,” ucapku yakin. Dia terdiam seketika. Aku masih sabar menunggu kebenaran darinya.
            “Okey, abang benarkan. Tapi, dengan syarat Aween kena ajak seseorang untuk temankan Aween. Anne ke, sesiapa ajalah. Asalkan sayang tak keseorangan,” pesannya. Giliran aku pula terdiam.
            “Okeylah. Kalau tak ada sesiapa nak temankan Aween?” soalku.
            “Abang tak benarkan,” jawabnya agak tegas. Aku mengeluh. Walau apapun, aku harus akur dengan perintah suamiku. Itu adalah satu kewajipan buat isteri.
            “Okeylah, bang.”
            “Okey, sayang. Abang pun ada benda nak bincang dengan Hafsyam ni. Take care, assalamualaikum. Ops! Ni, Syam kirim salam,” ucapnya mengakhiri perbualan.
            “Waalaikumussalam,” jawabku.

            Sebaik talian kumatikan, pantas aku mendail nombor telefon Farhana. Dan aku sedikit lega apabila panggilanku dijawabnya tidak lama selepas itu.
            “Helo, Anne. Akulah, Aween,” ucapku.
            “Hai, kau kat mana ni?” soalnya.
            “Aku baru lepas buat medical check-up ni. Anne, aku nak keluarlah. Aku bosan asyik duduk kat rumah aja. Kau temankan aku, boleh?” pintaku.
            “Kau nak ke mana?” soalnya.
            “Aku ingat nak pergi Jalan TAR. Dah lama aku tak ke sana. Kau boleh tak temankan aku?” soalku lagi.
            “Aku kena tanya Kimi dulu. Wei, yang kau ni exited nak keluar, laki kau tu tahu ke tak?” soalnya pula. Aku mendecit.
            “Dah, aku dah beritahu Ari dah. Dia kata kalau ada orang yang temankan aku, dia tak kisah. Tapi kalau aku jalan sorang dia tak bagi,” ujarku.
            “Hmm… memanglah. Kau tu dahlah tengah jadi mak buyung. Tentu dia risau kalau kau jalan sorang-sorang kat tengah-tengah bandar tu. Macam nilah, Aween. Kau balik dulu. Aku nak call Kimi. Kalau dia kata benarkan, aku call kau, and then aku jemput kau kat rumah, okey?” cadangnya.
            “Hmm, okeylah,” aku setuju dengan cadangannya itu. Sebaik talian dimatikan, terus aku memandu pulang ke rumahku.

No comments:

Post a Comment