Saturday 9 July 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 36)

KAMI menyusuri setiap kedai yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman itu sambil berpegangan tangan. Sesungguhnya, aku merasa cukup terhibur bersama dengan Farhana. Walaupun masing-masing sudah mendirikan rumahtangga sekaligus bergelar isteri, namun telatah lincah yang ada pada kami tetap tak mampu hendak dikikis. Kami masih dengan sikap gila-gila kami, namun ada kalanya kami terpaksa juga mengawal kelakuan kami agar tidak dipandang jelek oleh orang ramai. Ditambah dengan keadaanku yang sedang sarat, takut orang akan mengata. Sesungguhnya, aku kini sudah ada keluargaku sendiri. Adalah menjadi tanggungjawabku untuk menjaga nama baik keluarga dan suami. Aku tak mahu menconteng arang ke muka suamiku angkara dengan sikap lepas lakuku di luar.

            Kami menyusuri sebuah lorong yang menghubungkan Jalan TAR dan Off Jalan Masjid India. Di kiri kanan lorong tersebut terdapat gerai-gerai menjual beraneka jenis tudung. Entah mengapa, tiba-tiba mataku terpaku pada tudung-tudung yang tersangkut di gerai-gerai tersebut. Terdapat pelbagai jenis tudung dan corak mengikut arus fesyen masa kini. Sesuai dengan muslimah-muslimah yang mementingkan gaya moden. Kalau sebelum ini, tak pernah aku menoleh walau seketika pun ke gerai-gerai tersebut memandangkan aku bukanlah seorang perempuan yang bertudung. Namun entah mengapa kini aku rasa terpukau dengan tudung-tudung yang terdapat di situ.
            “Err… Anne. Kita singgah sekejap?” ujarku kepada Farhana.
            “Nak singgah ke mana?” soalnya bersama kerutan di dahi. Aku menunding ke arah sebuah gerai yang menjual pelbagai jenis tudung yang berwarna-warni itu.
            “Kau nak buat apa?” soal Farhana.
            “Alah, sekejaplah. Aku berkenanlah pada tudung-tudung yang tersangkut tu. Macam-macam colour ada. Ceria aja aku tengok,” jawabku selamba.
            “Kau nak beli untuk siapa?” soalnya lagi.
            “Untuk akulah. Hisy, kau ni… banyak tanyalah. Ikut ajalah,” rungutku.
            “Kau?” soalnya seakan tak percaya. Aku mengangguk laju.
            “Yalah, aku. Dah, jomlah.” Pantas kutarik tangannya masuk ke gerai tersebut. Kedatangan kami disambut mesra oleh jurujual gerai tersebut.
           
            Mataku terus memerhatikan tudung-tudung bawal dan selendang yang pelbagai jenis dan warna itu tersangkut kemas di dinding gerai tersebut.
            “Ai, Aween! Sejak bila pulak kau dah mula minat kat tudung ni?” soalnya memerliku. Aku menjeling.
            “Salah ke, Cik Anne oi?” soalku.
            “Woi, apa pulak cik-cik ni. Puan!” tegasnya. Aku tersenyum kambing.
            “Maaf, Puan Anne. Ops, silap! Bukan Puan Anne tapi Puan Hakimi…” sakatku. Pantas dia mencubit lenganku. Aku terus mentertawakannya.
            “Kau dah nak bertudung ke?” soalnya lagi. Aku mengangguk.
            Wow, what a surprise? Sejak bila pulak ni? Atau cik abang yang suruh?” soalnya lagi bertubi-tubi.
            “Aku dah bersedia nak pakai tudung ni dengan rela hati. Kenapa kau nak pelik? Kan ini salah satu tuntutan agama?” soalku pedas.
            “Aduh, menusuk! Aku tak kata tak boleh. Tapi baguslah, kau dah mula nak bertudung. Kan itu satu perkembangan yang baik? Tapi kau serius ke ni?” soalnya lagi seakan tidak percaya.
            “Ya, aku serius. Aku dah mula nak bertudung, nak jadi seorang muslimah yang patuh dan taat,” tegasku. Farhana mencebik.

            Setelah beberapa minit di dalam gerai tersebut, akhirnya kami keluar dari situ. Kami meneruskan perjalanan kami ke Semua House.
            “Banyaknya kau beli, Aween?” soal Farhana. Aku tersenyum.
            “Kalau baju boleh dibeli berhelai-helai, kenapa tudung tak boleh?” bidasku. Dia terus terdiam. Kalau hendak diikutkan, mahu saja aku beli lebih, setiap helai dipadankan dengan setiap baju yang aku ada. Memandangkan budgetku tidak cukup, aku sekadar membeli mana yang mampu sahaja. Entah macam mana aku boleh jatuh cinta pada tudung-tudung yang pelbagai jenis di gerai tersebut sehingga menyebabkan aku benar-benar mahu mengubah penampilanku. Aku tersenyum sendirian mengenangkan reaksi Azhari setelah melihat penampilan baruku nanti. Tentu dia terkejut. Adakah aku akan menerima pujian darinya ataupun sebaliknya? Ah, biarkanlah semua itu. Bukan pujian darinya yang aku harapkan, tetapi untuk mendapatkan keredhaan dari ALLAH SWT.

*****

AKU dimaklumkan oleh suamiku yang sahabat kami, Hafsyam akan mengadakan majlis jamuan makan malam serta kenduri doa selamat pada hari Sabtu ini sempena dengan perpindahannya ke rumah baru. Aku tersenyum. Dalam hatiku sudah memikirkan sesuatu. Pada malam itu, aku akan menunjukkan penampilan baruku ini.

            Tiba pada hari yang telah ditetapkan. Selepas solat Maghrib, kami bersiap untuk ke rumah Hafsyam. Setelah mengenakan sehelai T-shirt jenama Polo serta seluar jeans biru gelapnya, dia terus menyisir rapi rambutnya bersama gel rambut. Bau wangi gel rambutnya agak menusuk. Seketika kemudian, dia menyembur pula perfume Romano Classic ke tubuhnya. Ah, dia memang gemarkan wangian itu sejak dulu lagi, sewaktu kami masih menuntut di kolej. Aku baru sahaja mengenakan gaun mengandung berlengan puff panjang merah hati berbunga-bunga putih kecil yang agak labuh. Setelah bersiap, dia duduk di birai katil, hendak menungguku. Aku mengetap bibir. Macam mana nak buat kejutan kalau macam ni! Bentak hatiku.
“Err… bang, abang tunggu Aween kat bawah, ya? Aween lambat lagi,” ujarku lembut sambil mengikat tali gaun ke belakang pinggang. Dia tersenyum seraya mengangguk. Ah, mujurlah dia akur dengan suruhanku itu.
“Hmm… okey. Cepat sikit, ya,” pesannya.

            Setelah dia menghilangkan diri di sebalik pintu, pantas kukeluarkan sehelai tudung jenis lycra yang mempunyai awning berwarna putih lalu kugosok sedikit supaya tampak licin. Memandangkan tudung itu merupakan tudung jenis sarung, maka amat mudah untuk aku menggayakannya selain menjimatkan masa. Setelah mukaku disolek tipis, pantas kucapai beg tangan dan terus turun ke tingkat bawah. Di anak tangga, kulihat dia sedang menungguku di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen. Aku tersenyum. It’s show time…. Bisik hatiku.
            “Abang,” panggilku agak menggoda. Pantas dia menoleh. Tepat sekali jangkaanku. Ternyata dia terkejut melihat penampilanku pada malam itu. Dia terus merenungku tanpa berkedip. Aku tersenyum dengan wajah yang selamba.
            Hey, what a surprise!” ucapnya. Aku ketawa kecil.
            “Sejak bila pulak ni?” soalnya. Aku tersenyum menjungkitkan bahu.
            “Sejak pertama kali terpandang tudung-tudung kat Jalan TAR hari tu,” jawabku selamba. Dia terus memerhatikanku dari atas sehinggalah ke bawah.
            “Abang suka tak?” soalku. Dia masih tersenyum. Lebar sekali senyumannya, hampir mencecah telinga. Seketika dia mengangguk.
            “Mestilah abang suka. Lagipun dah lama abang impikan untuk melihat Aween bertudung macam ni. Kan nampak manis? Tapi abang tak berani nak suarakan. Takut Aween tak suka. Lagipun, bertudung ni atas dasar niat yang ikhlas, bukan atas dasar paksaan,” jawabnya panjang. Aku tersenyum puas mendengar jawapannya itu.
            “Alhamdulillah, akhirnya terbuka jugak hati Aween untuk bertudung. Tapi, abang harap bukan untuk malam ni aja, tau. Untuk hari yang seterusnya jugak setiap kali Aween nak keluar dari rumah ni,” pesannya. Aku mengangguk.
            “Yalah, bang. Mulai dari saat ni, Aween akan bertudung tiap kali Aween keluar,” ucapku seakan berikrar. Dia tersenyum lagi.
            “Dah, jomlah. Nanti kita lambat,” ujarnya sambil menarik lembut tanganku menuju ke anjung kereta.

            “Macam mana Aween boleh terfikir nak pakai tudung?” soalnya lagi sewaktu berada di dalam kereta. Aku menjungkitkan bahu.
            “Entahlah, bang. Aween tengok tudung-tudung yang tergantung kat kedai tu semuanya cantik-cantik. Tiba-tiba Aween rasa berkenan. Lantas niat nak bertudung tupun datang secara mendadak. Jadi, perubahan Aween ni agak drastiklah,” jawabku panjang.
“Hmm… nampaknya lepas ni, terpaksalah isteri abang ni pakai syampu Sunsilk limau purut,” dia berjenaka. Aku mencebik. Namun seketika aku ketawa juga dengan lawak jenakanya yang tak seberapa itu. Dia juga turut ketawa. Seketika kemudian, dia terdiam semula sambil memandu dengan tenang.

*****

KAMI tiba di hadapan rumah banglo milik Hafsyam di Bandar Sunway beberapa minit kemudian. Kulihat orang ramai sudahpun memenuhi halaman rumah banglo itu. Aku memaut erat lengan Azhari sambil melangkah seiring menuju ke pintu pagar banglo yang hanya sederhana besar itu. Di pintu pagar, kelihatan Hafsyam sedang menyambut kedatangan para tetamu yang hadir. Dan dia tersenyum melihat kami yang tidak jauh dari situ. Azhari melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Aku hanya memandang gelagat dua sahabat itu dengan senyuman.
            “Assalamualaikum,” ucap Azhari sebaik menghampiri Hafsyam.
            “Waalaikumussalam. Hei, Ari. Kenapa lambat sampai? Siang tadi apa pasal tak datang untuk kenduri doa selamat?” Hafsyam membebel ke arah suamiku. Azhari ketawa kecil. “Sorrylah, Syam. Siang tadi Aween tak berapa sihat. Tak larat katanya, sebab tulah aku tak datang. Kan aku dah mesej kau?” ujar Azhari sambil menumbuk lembut bahu rakannya itu. “Tahu,” jawab Hafsyam pula.

            Seketika pandangan Hafsyam beralih kepadaku pula. Dia tersenyum. Aku membalasnya dengan ikhlas.
            “Hai, Aween. Lama tak dengar cerita. Sihat?” soalnya mesra. Aku mengangguk.
            “Sihat, alhamdulillah. Kau?” soalku pula kepadanya.
            “Aku pun sihat walafiat. Wah, bukan main berseri lagi kau aku tengok sekarang ni, ya?” pujinya. Aku mengerutkan dahi.
            “Berseri?” soalku hairan. Dia mengangguk.
            “Hmm… berseri-seri. Macam pengantin baru,” jawabnya. Aku ketawa kecil. Mengarut aja mamat ni! Getus hatiku.
            “Pengantin baru apa kebendanya? Dah nak dekat dua tahun dah. Ni, hah. Perut bini aku ni pun tak lama lagi dah nak meletup, takkan ada lagi seri pengantin baru tu?” sampuk suamiku pula. Aku mengangguk laju, mengiakan kata-kata suamiku itu.
            “Ah, barangkali seri bakal ibubapa,” seloroh Hafsyam lagi.
            “Hmm… mungkin jugak.” Dan kami bertiga ketawa serentak.
            “Dah lama benar aku tak jumpa kau, Aween. Sejak kau berhenti hari tu, terus tak dengar berita. Tahu-tahu aja dah besar dah perut kau tu,” tutur Hafsyam lagi kepadaku.
            “Macam tak percaya aja yang kau dah nak jadi mak. Yang paling aku tak sangka, akhirnya kau kahwin jugak dengan Ari, cinta pertama kau,” sambungnya lagi. Aku tersipu-sipu malu mendengar kata-katanya itu. Kurasakan, kata-kata itu pernah diucapkannya semasa menghadiri majlis persandinganku dengan Azhari dulu.
            “Hai, dah memang dah tertulis yang kau ni milik Azhari sejak dulu lagi. Nak kata macam mana. Terpaksalah aku terima takdir ni walaupun aku pernah jugak berangan-angan nak jadi pasangan kau dulu.” Itulah kata-katanya yang tak dapat kulupakan. Maksudnya cukup mendalam. Dalam sekelip mata, nostalgia antara kami bertiga sewaktu belajar di kolej dulu terlayar di mindaku ini.
            “Sayang, sayang okey ke?” soal Azhari tiba-tiba, mengembalikanku ke alam realiti. Aku tersentak.
            “Err… okey, bang. Ni hah, Syam ni. Bila dia cakap aja macam tu, teringat balik zaman kita sama-sama belajar di kolej dulu,” jawabku jujur. Mereka berdua ketawa.
“Itulah pasal. Banyak kenangan, kan Aween? Ingat dulu, laki kau ni selaku member rapat aku kononnya nak tolong kenen-kenenkan aku dengan kau, tapi last-last dia sendiri yang tersangkut dengan kau. Aku jugak yang tergigit jari,” ujar Hafsyam. Azhari ketawa besar.
“Salah kau jugak. Yang kau tu mata keranjang sangat, paling kat minah lain, siapa suruh? Dah kau lepaskan tuah kau kat depan mata aku. Apalagi, jadi rezeki akulah,” ujar Azhari pula bersenda.
“Eleh, mengata aku. Yang kau tu pun dulu….”
“Ah, sudah! Sudah! Jangan nak buka lagi cerita lama tu. Aku dah lama tutup buku lepas aku dapat balik Azween aku semula,” pintas Azhari. Sekali lagi tawa mereka meletus. Aku pula hanya tersenyum.
            “Eh, kita ni berborak kat sini pulak. Jemputlah masuk, Ari, Aween. Staff-staff kita pun ada sama kat dalam tu,” pelawa Hafsyam. Kami melangkah seirng memasuki kawasan rumah itu.

            Sepanjang majlis itu berjalan, Azhari sentiasa berada di sampingku. Sambil menikmati juadah yang disediakan, kami begitu rancak berbual dengan rakan-rakan sekerja kami. Malah mereka begitu teruja dapat bertemu denganku. Sudah berbulan aku tidak ke pejabat, pastinya banyak topik yang kami bualkan. Kadang-kala naik panas mukaku apabila mereka mengusikku yang sedang dalam keadaan sarat begitu.
            “Bang,” aku mencuit lengan suamiku sewaktu kami sama-sama ke meja yang terhidang juadah pencuci mulut. Dia menoleh memandangku.
            “Kenapalah dia orang ni suka sangat usik Aween? Malulah,” keluhku. Azhari hanya tersenyum meleret. Seketika pinggangku dirangkulnya kemas.
“Alah, sayang. Takkan Aween tak faham perangai budak-budak ni. Mereka ni kan memang suka mengusik?. Kenapa nak malu pulak? Abang lagi bangga bila orang puji isteri abang. Lagipun memang betul apa yang dia orang cakap tu. Muka Aween nampak berseri sangat sejak berisi ni,” ucapnya selamba. Aku mencebik.
“Aween bukannya apa, bang. Aween tak selesalah,” ucapku lagi.
“Alah, relaxlah sayang. Macam tak biasa pulak dengan staff-staff office kita. Dahlah, jom kita duduk,” ujarnya lantas menarik pinggangku. Aku terpaksa menurut rentak langkahnya. Sesekali pandanganku beralih memandang sekeliling. Ada mata-mata yang hanya memerhatikan kami dan aku hanya mampu melemparkan senyman yang manis kepada mereka. Namun hatiku tetap merungut. Huh, macamlah tak pernah tengok pasangan suami-isteri sedang bermesra! Sedangkan aku dan Azhari tidaklah terlalu melebih sampai nak menunjuk kemesraan kami di depan mereka. Kami tahu jaga batas-batas kemesraan kami! Bukan sahaja ketika di pejabat, malah ketika berada di luar pejabat juga. Takkan kami begitu bodoh sekali hendak menayang-nayang kemesraan kami di khalayak ramai? Hatiku membentak sendiri.

No comments:

Post a Comment