Saturday 25 May 2013

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 43)

AZHARI memberhentikan keretanya di hadapan pintu masuk UKM kampus Kuala Lumpur. Aku yang duduk di sebelahnya hanya memandang dirinya dengan pandangan yang bersahaja. Dia tersenyum dan aku turut membalasnya.
            “Okey, dah sampai,” ucapnya. Aku mengangguk perlahan.
            “Pukul berapa kursus ni habis?” soalnya. Lantas aku menundingkan jari ke arah papan tanda yang tertera berhampiran pondok guard.

 Kursus Kesempurnaan Solat dan Muhasabah Diri
Tarikh: 20 Mei (Sabtu)
Tempat: Dewan Kuliah A
Waktu: 8.30 pg - 6.30 ptg

 
            “Enam setengah petang? Lambatnya. Nampaknya terpaksalah abang duduk sorang kat rumah hari ni. Mesti sunyi, tak best,” sungutnya. Aku ketawa kecil.
           “Itulah, abang. Hari tu tarik muka dengan Aween. Orang nak ajak pun serba salah,” aku mengungkit. Dia tersenyum hambar.
           “Hmm… okeylah. Pukul enam setengah nanti abang tunggu kat sini,” ujarnya. Aku mengangguk. Seketika aku menghulurkan tanganku untuk bersalaman dengannya.

            Aku memboloskan diri keluar dari keretanya. Kulambaikan tanganku sebaik keretanya mulai bergerak dan dia membalas lambaianku. Sebaik keretanya meluncur pergi meninggalkanku, terus aku melangkah masuk ke pintu masuk utama kampus tersebut.
            “Err…peserta kursus solat?” soal guard yang sedang berdiri di situ. Aku yang sedikit terkejut mengangguk laju.
           “Di Dewan Kuliah A ya, puan. Puan ikut aja jalan terus ni,” ujar lelaki tersebut. Aku tersenyum seraya mengangguk.
           “Terima kasih ya, encik,” ucapku. Dia mengangguk lalu tersenyum mesra. Aku terus melangkah mencari dewan kuliah yang dimaksudkan dengan berpandukan petunjuk arah yang telah di tampal di setiap sudut dinding.

            Di kaunter pendaftaran, aku dikejutkan dengan teguran seseorang. “Assalamualaikum,” kedengaran satu suara memberi salam berhampiran telingaku. Pantas aku menoleh sambil menjawab salamnya.
           “Waalaikumussalam.” Aku sedikit tersentak tatkala melihat wajah lelaki di hadapanku itu.
           “Eh, Doktor Hazim,” ucapku sedikit ceria. Dia tersenyum.
           “Tak sangka kita berjumpa di sini. Sorang aja, Azween? Suami tak ikut sekali?” soalnya. Aku menggeleng.
           “Dia ada hal lain, doktor,” helahku. Doktor Hazim mengangguk. Dan pandanganku beralih ke arah wanita bertudung labuh di sebelahnya.
            "Oh ya, Azween. Kenalkan, my wife, Jamaliah. Jam, inilah Azween yang abang selalu ceritakan tu,” ucapnya. Kami saling tersenyum. Lantas aku menghulurkan salaman kepada wanita itu. Dia menyambutnya dengan mesra.
            “Apa khabar, Azween?” sapanya.
            “Baik, puan,” jawabku.
           “Panggil aja Kak Jam, Azween,” ujarnya. Aku mengangguk.
           “Well, Kak Jam. Apa yang selalu doktor ceritakan pada akak pasal saya?” soalku sambil mengerling tajam ke arah Doktor Hazim. Lelaki itu kelihatan sedikit tak tentu arah. Hatiku ketawa. Geli hati aku melihat reaksinya itu.
            “Tak ada apa, Azween. Cerita biasa aja. Well, kalau Azween nak tahu, my hubby ni, semua pasal pesakitnya dia akan ceritakan kepada kakak,” jawab Kak Jam sambil ketawa. Dan aku turut sama ketawa.
            “Baguslah tu, kak. Saling berkongsi cerita,” ujarku. Mereka ketawa serentak.

            Seketika kemudian kami masuk ke dewan kuliah tersebut. Rasa sejuk begitu menggamit. Namun mujurlah aku ada membawa sehelai sweater. Nanti, tidaklah aku kesejukan sepanjang kursus ini berjalan. Kami mengambil tempat di bahagian tengah dewan kuliah. Aku mengambil tempat di sebelah kiri Kak Jam manakala Doktor Hazim pula duduk di sebelah kanannya.
            “Hmm… nasib baiklah saya terserempak dengan doktor dengan kakak. At least ada jugak gang. Kalau tak, sorang-sorang ajalah saya,” ujarku kepada Kak Jam. Wanita itu ketawa kecil.
            “Akak pun tak sangka dapat berkenalan dengan Azween di sini. Dah takdir jodoh kita bertemu di sini, Azween,” selorohnya. Aku tersenyum.
            “Kenapa husband Azween tak ikut sekali?” soalnya. Hatiku mengeluh berat.
            “Dia ada kerja lain, kak,” helahku lagi.
            “Husband Azween kerja apa?” soalnya lagi.
            "Dia kerja sendiri. Buka syarikat periklanan dengan seorang rakan kongsinya,” jawabku. Kak Jam mengangguk.
            Businessmanlah ni?” dia menyoal lagi. Aku sekadar mengangguk.

 
*****

 KURSUS penghayatan solat tersebut dikendalikan oleh Ustaz Haji Zaharuddin Haji Abdul Rahman. Pada permulaan kursus tersebut, sebuah tayangan video telah ditayangkan buat tatapan para peserta. Tayangan video tersebut berkisarkan tentang sejarah solat dan menceritakan bagaimana ALLAH SWT telah menyeru Rasulullah SAW agar memerintahkan umatnya mendirikan solat lima waktu setiap hari.
 
            Selepas selesainya tayangan video tersebut, ceramah sesi pertama bermula. Sehinggalah pukul 10.30 pagi, barulah ceramah sesi pertama selesai.
            “Tak makan ke?” soal Kak Jam. Aku menggeleng seraya meneguk sedikit air teh O yang masih hangat.
            “Saya dah kenyang, kak. Pagi tadi dah sarapan dengan suami saya di Kampung Baru,” jawabku. Kak Jam mengangguk. Seketika dia menyuap mihun gorengnya ke dalam mulut sedikit demi sedikit. Doktor Hazim pula telah menghilang bersama para peserta yang terdiri dari kaum lelaki di dewan makan sebelah kanan.
 
             “Err… Azween,” panggilnya perlahan. Aku memandang wajahnya.
            “Doktor Hazim kata yang Azween ni….” dan kata-kata Kak Jam tiba-tiba mati di situ. Dia seakan serba salah hendak meneruskannya.
            “Kenapa, kak? Doktor ada cerita pada kakak pasal sakit saya ni ke?” soalku. Dalam keadaan teragak-agak dia mengangguk. Aku tersenyum hambar. Memang sudah kujangkakan.
            “Maafkan kakak. Kakak tak bermaksud nak menyinggung perasaan Azween,” ucapnya kesal.
            “Eh, tak ada apalah, kak. Tak salah pun kalau kakak nak tahu. Saya tak kisah,” ujarku lembut. Dia terdiam.
            “Kata Doktor Hazim, Azween ni seorang yang tabah. Seorang yang kuat semangat. Kakak selalu dengar kenyataan tu dari mulut suami kakak. Dan hari ni, kakak tak sangka dapat bertemu dengan Azween. Kakak dapat melihat dengan mata sendiri. Betul katanya, Azween ni seorang wanita yang hebat. Tetap ceria. Kakak macam tak percaya, wanita yang berada di depan kakak sekarang ni sedang menanggung derita,” ucapnya ikhlas. Aku tersenyum lagi.
           “Ya, kak. Memang saya ni sedang menderita dengan penyakit tu. Tapi, itu tak bermakna saya harus mewarnai hari-hari saya dengan perasaan suram. Walau macam mana keadaan sekalipun, life must go on, kak. Saya terima semuanya sebagai ketentuan takdir,” ujarku lirih. Kak Jam tersenyum. Bahuku diusapnya mesra.
            “Baguslah macam tu. Always think positive,” ucapnya. Aku mengangguk.
            Thanks.
 
            Sesi ceramah kedua diadakan setengah jam kemudian selepas selesainya waktu rehat dan minum pagi. Sepanjang kursus itu berjalan, aku sentiasa bersama dengan Doktor Hazim dan Kak Jam. Tiba waktu makan tengahari, aku dan Kak Jam melangkah beriringan menuju ke dewan makan untuk makan tengahari dan sekali lagi kami terpisah dengan Doktor Hazim.
            “Hmm… bagus jugak ada Azween. Ada teman. Kalau tak, sorang-soranglah kakak sebab terpaksa separate dengan Doktor Hazim,” ucapnya. Aku sekadar tersenyum.  
            Selepas makan tengahari, kami ke surau untuk menunaikan solat Zuhur. Sehinggalah jam 2.15 petang, barulah sesi ketiga bermula. Dan sekali lagi kami diberi rehat selama setengah jam pada jam 4.30 petang untuk minum petang dan solat Asar.
            “Sesekali kita hadiri majlis ilmu macam ni, seronok kan Azween?” Kak Jam bersuara. Aku tersenyum bersama anggukan.
            “Betul tu, kak. Tak sangka ya, banyak lagi ilmu agama yang perlu kita dalami. Tengoklah hari ni, seharian kita belajar berkenaan solat lima waktu. Ibadah yang wajib kita lakukan setiap hari. Selama ni, saya main buat aja. Main ikut aja apa yang saya pelajari sejak kecil. Tak sangka yang selama ni ada jugak kekurangan dalam solat lima waktu kita. Ada jugak pergerakan yang salah,” ucapku panjang. Kak Jam mengangguk.
 
            Sesungguhnya, sepanjang mengikuti kursus ini, aku mulai sedar betapa ceteknya pengetahuanku dalam ilmu agama ini. Rupa-rupanya, banyak lagi perkara yang perlu kupelajari. Kalaulah ada lagi kursus-kursus agama seperti ini di masa yang akan datang, memang akan aku hadiri. Malahan, akan aku ajak suamiku bersama untuk mendalami lagi ilmu agama ini. Biar mahal macam mana sekalipun yuran penyertaannya, aku tak ambil pusing. Kerana bagiku ilmu yang dituntut jauh lebih bernilai lebih-lebih lagi ilmu berkenaan agama. Aku sedar, pada akhirat kelak ilmu agama akan dipersoalkan terlebih dahulu.
 
            Sesi keempat, iaitu sesi terakhir untuk kursus ini bermula setengah jam kemudian. Kali ini, kami diberi ceramah tentang bagaimana hendak mencapai kusyuk dalam solat. Pada akhir sesi ini, sekali lagi sebuah tayangan video telah dimainkan untuk tatapan para peserta. Tayangan video ini merupakan sebuah visual berkenaan dengan seksa kubur yang diterima oleh jenazah setelah berada di alam barzakh.
 
            Seperti yang digambarkan, apabila seseorang itu terpisah dengan alam dunia ke alam barzakh, tiada sesiapa yang mampu menolong melainkan iman dan amalannya di dunia. Sepanjang menonton visual tersebut, aku menjadi gerun dan seluruh tubuhku menjadi gentar. Takut. Airmataku turut becucuran keluar. Kak Jam yang berada di sebelahku turut tersedu. Aku pasti, ramai peserta yang menangis tatkala menonton tayangan tersebut. Tayangan video ini cukup menakutkan dan menginsafkan bagi mereka yang menontonnya.
 
            Lampu dewan kuliah yang telah dipadamkan sebentar tadi dinyalakan semula sebaik tayangan video itu berakhir. Kak Jam menghulurkan sehelai tisu kepadaku. Aku mengangguk lesu seraya menyambutnya. Seketika tanganku digenggam olehnya. Dia seolah-olah mengetahui emosi yang sedang melandaku ketika itu. Tambahan dengan keadaanku yang sedang bergelut dengan penyakit yang boleh membawa maut, menambahkan lagi kegusaran yang bermukim di jiwaku ini. Ya ALLAH, sesungguhnya aku tidak berdaya untuk menghadapi seksaanMu. Terimalah taubatku. Ampunilah dosa-dosaku, Ya ALLAH. Hatiku merintih sayu. Dan buat kesekian kalinya airmata keinsafan menitis keluar membasahi pipiku.
 
*****
 TEPAT jam enam petang, majlis bersurai. Aku begitu sibuk menyimpan barang-barangku ke dalam beg. Kedengaran Kak Jam di sebelahku sedang berbicara sesuatu dengan suaminya.
            “Takutnya, bang. Agaknya macam itulah kita bila dah mati,” ucapnya dalam nada gusar. Aku sekadar memasang telinga.
            “Itu baru visual imaginasi manusia. Agaknya, seksa kubur yang sebenarnya lebih dasyat dari ni,” tutur Doktor Hazim pula. Semakin tidak keruanlah aku mendengarnya.
            “Takkan ada manusia yang sempurna, Jam. Setiap orang pasti akan melakukan kesilapan. Sebab itu, kita sebagai umat Islam ni sunat mengingati mati. Sekurang-kurangnya ia boleh menyedarkan kita dan dapat menghindari kita dari berbuat dosa,” Doktor Hazim mulai berceramah.
            “Setidak-tidaknya, kita manusia ni boleh berusaha untuk menghindari atau meringankan seksaan kubur. Antaranya memelihara solat lima waktu, selalu baca surah Al-Ikhlaas, surah Al-Mulk sebab kedua-dua surah ni dapat memelihara dan mencegah kita dari seksaan kubur,” sambungnya lagi. Aku terus mendengar. Dan sekali lagi aku terpegun mendengar kata-kata Doktor Hazim itu tadi. Alangkah beruntungnya Kak Jam memiliki seorang suami yang beragama dan mampu membimbingnya ke jalan kebaikan seperti ini.
 
            Kami keluar dari dewan kuliah yang mendinginkan itu. “So, pagi tadi Azween datang dengan siapa?” soal Doktor Hazim sebaik kami tiba di luar dewan.
            “Suami saya,” jawabku pendek.
            “Ni, balik pulak macam mana?” soalnya lagi. Aku tersenyum.
           “Dia jemput,” jawabku. Doktor Hazim mengangguk. Kak Jam yang berada di sebelahnya tersenyum.
            “Eh! Abang, Jam nak ke ladies kejap,” ucap Kak Jam sambil mencuit lengan suaminya.
            “Hmm… okeylah. Abang tunggu di kereta,” ujar Doktor Hazim pula. Kak Jam mengangguk.
            “Okeylah, Kak Jam. Saya pun nak balik ni. Suami saya tentu dah tunggu. Kita jumpa lagi?” ucapku pula lalu menghulurkan tangan kepadanya. Dia menyambut mesra tanganku.
            “Okey, Azween. Jumpa lagi. Kakak doakan semoga Azween tabah menghadapi dugaan dan sentiasa dilindungi dan diberkati ALLAH. Kakak senang hati dapat berkenalan dengan Azween. Jaga diri baik-baik, dik. Banyakkan bersabar,” ucap Kak Jam lalu mendakap erat tubuhku. Aku membalas pelukan mesranya itu. Hatiku benar-benar terharu. “Terima kasih, kak. Saya pun gembira dapat berkenalan dengan kakak,” ucapku sayu. Pelukan terlerai.
 
            Aku dan Doktor Hazim melangkah menuju ke tempat letak kereta. Sambil berjalan kami berbual-bual kosong.
            “Macam mana keadaan Azween sekarang? Sihat?” soalnya. Aku mengangguk.
            “Alhamdulillah, doktor. Setakat ni, kesihatan saya tak terganggu sangat. Cuma kekadang tu, saya rasa penat, pitam. Hmm… baru-baru ni, saya ada mengalami masalah buang air. Selain tu, saya rasa susah nak telan makanan. Bila saya cuba, rasa macam nak termuntah balik. Tekak saya loya,” aduku. Doktor Hazim terdiam, seakan memikirkan sesuatu.
            “Kenapa, doktor? Adakah itu semua merupakan petanda penyakit saya ni?” soalku mulai gusar. Doktor Hazim mengangguk.
            “Ya, Azween. Itu semua merupakan tanda-tanda penyakit kanser pangkal rahim. Saya fikir, elok Azween bincang dengan Doktor Zainab nanti,” ujarnya.
             “Bila lagi appointment Azween dengan Doktor Zainab?” soalnya.
             “Err… tak silap saya, hari Khamis minggu depan,” kataku.
             “Kalau saya cadangkan supaya temujanji itu percepatkan boleh? Macam mana dengan hari Khamis minggu ni? Nanti saya sendiri yang akan beritahu Dotor Zainab,” cadangnya. “Saya tak ada masalah. Saya kena inform dengan suami saya dulu. Nanti saya confirmkanlah. ” Doktor Hazim mengangguk lagi tanda setuju.
 
            Tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi hon kereta. Lantas aku menoleh. Kelihatan kereta Azhari sudah berada di tempat letak kereta itu.
            “Eh, suami saya dah sampai, doktor. Saya tak perasan. Okeylah, kita jumpa nanti. Saya akan call doktor secepat mungkin untuk buat appointment,” ujarku. Sekali lagi Doktor Hazim mengangguk.
            “Saya balik dulu, doktor. Sampaikan salam saya kepada Kak Jam,” ucapku.
            “InsyaALLAH.” Aku terus melajukan langkahku menuju ke kereta Azhari lalu memboloskan
diri ke dalamnya.
           “Hai, abang,” ucapku ceria. Namun wajahnya tampak mencuka. Hatiku mulai cuak. Tak mungkin kerana aku meninggalkannya selama sehari ini dia sudah kelihatan sungul sebegitu?
            “Panjang benar borak?” sinis sekali intonasi suaranya.
            “Alah, borak kosong aja, bang,” kataku. Dia terus menekan pedal minyak dan kereta yang dipandu mulai meninggalkan kawasan kampus tersebut.

No comments:

Post a Comment