Wednesday 8 May 2013

Cerpen - Dendam Ameera

Ilustrasi : Filem Wrong Turn 1
“Lya, lama lagi ke nak sampai ke check point yang seterusnya ni?” soal Suhada dalam keadaan mamai.
            “Entahlah, Sue. Dari tadi tak sampai-sampai pun. Dah jauh sangat aku drive ni!” ujar Alya. “Dah pukul berapa ni?” soal Suhada lagi lalu menjeling ke arah jam digital di dashboard.
             “Hah! Dah pukul enam lebih? Biar betul!” tempiknya membuatkan dua lagi rakan mereka di tempat penumpang belakang terjaga.
            “Ya, dah pukul enam lebih. Dah nak pukul tujuh dah. Kenapa, tak percaya?” Alya berseloroh.
            “Dah nak pukul tujuh masih tak sampai-sampai lagi?” soal Ain.
            “Dah, jangan nak bising-bising. Kau orang bukan main sedap lagi tidur, aku ni dari tadi bersengkang mata memandu, sikit pun tak merungut!” bebel Alya.
            “Masalahnya sekarang ni, takkan dari tadi tak sampai-sampai lagi? Betul ke jalan ni, Lya?” soal Hana pula.
             “Entahlah, Hana! Aku main ikut aja. Tapi rasa-rasanya betul.”
             “Habis tu, kenapa tak sampai lagi kat tempat check point tu? Hmm… jangan-jangan kumpulan lain ada yang dah sampai…” rungut Hana.
             “Mesti punyalah! Lupakanlah nak menang…!” sampuk Ain pula.
             “Hei, kau orang jangan nak salahkan aku seorang aja tau! Sepatutnya kau orang kena tolong aku, tengok-tengokkan peta, perhatikan signboard! Ini, semuanya membuta. Aku seorang aja yang terkontang-kanting nak check peta, nak tengok signboard cari jalan! Huh!” dengus Alya tak puas hati. “Entah, Sue! Kau duduk depan sebelah Lya, kau tolonglah dia. Ini kau pun sama membuta!” ujar Hana.
            Hello, kau orang ingat kau orang aja yang rasa letih? Aku tak?”
           “Sudah! Sudah! Kalau nak ikutkan aku ni lagi letih. Dari kita mula tadi sampai sekarang aku memandu. Tak macam kau orang, sedap tidur. Dengar suara kau orang bergaduh macam ni lagilah buat aku letih!” bebel Alya.
            “Lya, aku rasa kita ni dah sesatlah. Kau tengoklah jalan ni, lengang aja. Tak ada pun kereta lain?” ujar Suhada gusar. Alya hanya terdiam sinis. Dia hanya terus memandu tanpa menghiraukan rungutan dari tiga orang rakannya. Biarkan mereka bising. Padanlah muka! Tadi masing-masing tidur tak ingat dunia.

            Namun tak semena-mena, Proton Waja yang dipandu Alya mati membuatkan keempat-empat gadis itu panik.
            “Kenapa, Lya?” soal Suhada.
            “Entahlah! Tiba-tiba aja enjin mati,” ujar Alya dengan wajah yang tak tentu hala. Lantas Alya mengalihkan keretanya ke bahu jalan lalu menarik brek tangan.
            “Hah! Mati? Habis tu macam mana sekarang ni? Sekarang dah nak senja, kat tengah-tengah jalan pulak tu! Dahlah kiri-kanan hutan!” bentak Ain.
            “Ain, boleh tak kau tolong jangan bising?” marah Alya lantas memboloskan diri dari perut keretanya dan terus berjalan ke hadapan. Bonet kereta di hadapan dibukanya. Seketika ketiga-tiga rakannya turut keluar dan menghampiri Alya.
            “Apa masalah kereta kau ni?” soal Suhada. Alya menjungkitkan bahu.
            “Entah. Aku ni bukannya tahu pun bab-bab kereta ni,” ujar Alya selamba. Ketiga-tiga mereka mendengus kuat.
            “Habis tu, apa kita nak buat sekarang ni?” keluh Hana. Dia mulai merasa rimas. Sesekali dia menampar dan menggaru lengannya yang telah dimamah nyamuk hutan.

“Tunggu sekejap, aku try call mekanik aku.” Lantas Alya mengeluarkan iPhone dari poketnya lantas mendail nombor yang hendak dihubunginya itu. Namun sekali lagi dia mengeluh hampa. “Kenapa, Lya?” soal Ain agak kasar.
            “Tak ada line,” ujar Alya pendek. Sekali lagi mereka mendengus.
            “So what’s now?” soal Ain lagi. Wajahnya benar-benar tampak berang. Menyesal dia bersetuju mengikuti rakan-rakannya menyertai aktiviti Treasure Hunt ini. Kalaulah dia tahu, awal-awal lagi dia menolak pelawaan mereka untuk menyertai aktiviti ini.
            “Terpaksalah kita tunggu kat sini,” cadang Alya ringkas.
            “What?” bentak mereka bertiga serentak.
            “Kau gila? Nak tunggu kat sini sampai pukul berapa? Kau tahu tak sekarang dah senja? Kejap lagi hari dah nak gelap!” Ain terus membebel bagaikan murai tercabut ekor.
              “Ain, kau tolong diam boleh tak? Makin kau bising macam ni, makin serabut kepala otak aku ni, tahu tak!” Alya pula mulai naik darah. Bengan betul dia dengan sikap Ain yang tak sudah-sudah membebel suka menyalahkan orang lain.
             “Kalau ada kereta lalu nanti, kita tahanlah minta bantuan!” sambungnya.
             “Kalau ada kereta lalu. Kalau tak ada? Dari tadi aku tengok satu kereta pun tak lalu!” celah Ain lagi. “Kalau kau pandai sangat, bagilah idea supaya kita semua tak terus terperangkap kat sini!” dengus Alya lantas berlalu meninggalkan ketiga-tiga rakannya.
             “Ain, boleh tak buat seketika kau tolong tutup mulut kau tu?” Hana memarahi Ain. Gadis itu sekadar menjeling tajam.
            “Lya, kau nak ke mana tu?” soal Suhada sebaik melihat Alya semakin menjauh.
            “Aku nak tengok kalau-kalau ada rumah dekat-dekat sini. At least boleh kita tumpang untuk semalaman sementara tunggu esok. Daripada duduk sini dengar minah tu memekak!” jerit Alya sambil menunding ke arah Ain
            “Eh, Lya tunggu. Aku ikut kau. Kau orang berdua jaga kereta ya,” ujar Suhada. Hana dan Ain sekadar menjeling sesama sendiri.

***

HARI KIAN GELAP. Perjalanan kedua orang gadis itu hanya diterangi oleh cahaya bulan dan juga lampu LED dari telefon bimbit mereka.
            “Lya, aku tahu kau kecil hati dengan perangai Ain tu. Banyakkan bersabar, ya,” Suhada cuba memujuk Alya. Namun gadis itu terus membisu. Matanya hanya difokuskan di hadapan sambil kedua belah tangannya memeluk tubuh.
            “Alah, Lya… kau takkan tak kenal dengan perangai Si Ain tu. Kita berkawan sejak di semester satu lagi, takkan kau masih tak faham lagi dengan dia?” Suhada terus memujuk.
            “Asyik aku aja nak kena faham orang, tapi orang tak nak faham aku,” ucap Alya perlahan.
            “Janganlah cakap macam tu, Lya. Aku kan ada? Hana pun okey apa? Kita orang ni akan sentiasa bersama dengan kau walau dalam apa jua keadaan sekalipun.”
            “Habis tu, Ain tu pulak macam mana?”
            “Ain? Lya, kami bertiga ni dah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Aku dan Hana dah masak sangat dengan perangai Ain tu. Dia tu memang dari dulu lagi dah macam itu. Mengelat, cerewet, bossy! Terus-terang aku cakap yang aku dan Hana pun dah bosan dengan dia. Tapi kita orang tak sampai hati nak putuskan persahabatan yang dah lama terjalin ni. Kalau kita orang boleh bersabar, aku yakin kau jugak boleh…” Suhada terus-menerus menenangkan Alya biarpun gadis itu hanya membisu seribu bahasa.

            “Lya, kau yakin ke ada rumah dekat-dekat sini? Aku tak rasa ada orang nak berumah kat tempat terpencil macam ni. Jom kita balik semula ke kereta…” sambung Suhada dan memandang ke sebelah. Namun dia terkesima. Alya tiada di sebelahnya. Bermakna sebentar tadi dia hanya bercakap seorang diri. Ke manakah Alya?
            “Lya?” panggilnya. Namun tiada sahutan.
            “Lya, kau kat mana?” pekiknya lagi.
            “Lya, this is not funny, okay!” Sepi lagi. Dia mulai seram. Tambahan pula dengan suasana jalan yang amat gelap tanpa lampu.
            “Alyaaa….” Jeritnya. Namun Alya tetap tidak muncul hatta mendengar suaranya sekalipun menyahut panggilan sahabatnya itu. Suhada mulai tak keruan. Bulu romanya berdiri tegak. Mungkin Alya disorok oleh mahluk halus? Fikirnya. Spontan dia menangis teresak-esak dalam keadaan ketakutan.
            “Lya…! Lya! Di mana kau…” Suhada bersuara lemah. Rasa takut dan seram kian menebal menyelubungi dirinya.

            Lantas dia mengambil keputusan untuk patah balik ke kereta. Di saat dia mengundurkan sedikit tubuhnya, tiba-tiba dia bagaikan terlanggar seseorang di belakangnya. Spontan dia memusingkan badannya kerana begitu yakin yang dilanggar itu adalah Alya.
            “Lya, kau pergi mana…” Kata-katanya mati di situ. Rupa-rupanya yang dilanggar tadi bukan Alya, tetapi satu lembaga yang berselubung dengan kain hitam. Tanpa berfikir panjang dia terus lari dengan lajunya tanpa disedarinya dia telah berlari masuk ke dalam hutan belantara berhampiran jalan gelap itu. Di saat itu terasa seperti kakinya tidak menjejak ke tanah kerana terlalu pantas berlari. Suaranya juga tersekat di celah-celah kerongkong hingga dia tak mampu untuk menjerit meminta tolong.

 Sehinggalah dia terpijak sebuah lubang kecil menyebabkan tubuhnya terjelapuk dan kakinya pula terseliuh. Di saat ini terasa yang dirinya benar-benar tak berdaya. Dia menoleh ke belakang. Lembaga hitam itu kini benar-benar di hadapannya. Dia mengesot ke belakang, namun lembaga itu makin mara ke hadapan. Sebilah pisau belati dikeluarkan dari selubung hitamnya lalu diangkat tinggi. Suhada kecut. Dia menjerit sekuat hati. Sekelip mata, satu tusukan bias telahpun menembusi tubuhnya dan jeritannya makin kuat akibat kesakitan.

Aaarrrrrggghhhh!!!
***

 DALAM PADA ITU, Ain dan Hana masih menanti di dalam kereta dengan perasaan yang berbaur. Sesekali Ain merungut sambil menyumpah-nyeranah kedua orang sahabatnya itu.
            “Hisy, manalah mangkuk ayun dua orang ni pergi? Jangan-jangan dah kena baham dek binatang buas tak?” Ain bersuara.
            “Hei, Ain! Tolong jaga sikit mulut kau tu boleh tak? Celupar betullah mulut kau ni! Langsung tak insurans,” marah Hana. Ain hanya menarik muka. Benci dengan situasi seperti ini. Menyesal tak terkata kerana menyertai aktiviti Treasure Hunt yang telah dianjurkan oleh kelab kembara kolej mereka. Kalaulah dia tidak menyertai penyertaan bodoh ni, agaknya dia kini sedang bersenang-lenang di rumah sambil berguling-guling atas katil, layan internet dan VCD.

            “Ain, perut aku tak sedaplah! Jom temankan aku pergi lepaskan hajat,” pinta Hana setelah keadaan menyepi buat seketika.
            “Ah, malaslah! Tak kuasa aku nak menunggukan melabur! Lagipun kat luar tu banyak nyamuk. Kau kan tahu kulit aku ni allergic?” ucap Ain.
            “Alah, temankanlah aku sekejap. Gelap kat luar tu. Jomlah!” Hana merayu.
            “Tak mahulah, Hana! Kau faham tak aku kata tak mahu, tak mahulah! Tak faham bahasa ke?” marah Ain. Hana hampa.
            “Ada kawan pun tak guna!” bentak Hana lalu membuka pintu kereta.
            “Kalau kau rasa ada benda yang kacau kau, kau jerit aja nama aku. Nanti aku datanglah!” Ain mendengus.
            “Apa-apalah, Ain. Kalau kau dengar jeritan aku…” marah Hana lantas menghempas pintu kereta. Terpaksalah dia berjalan seorang diri dalam keadaan pasrah. Namun dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu betapa seramnya dia. Akhirmya dia mengambil keputusan untuk tidak berada jauh dari tempat kereta Alya tersadai.

            Dihampiri semak berdekatan. Namun ketika itu, dirasakan ada sesuatu sedang mengikutinya dari belakang. Malah bagaikan terdengar bunyi dengusan nafas sesuatu. Hatinya mulai rasa tak tenteram. Terus dia membatalkan hasratnya yang satu itu dan bertindak untuk pulang semula ke kereta. Namun di saat itu tiba-tiba terasa ada seseorang menelangkup hidung dan mulutnya dari arah belakang. Dia ingin menjerit menyahut nama Ain, namun dia tidak terdaya kerana mulutnya telah ditelangkup kuat, malah pernafasannya turut tersekat. Dengan kudrat yang masih bersisa, dia meronta-ronta untuk melepaskan diri namun tetap tidak berjaya. Akhirnya dia terkulai juga akibat ketiadaan udara. Selepas itu, dia sudah tidak tahu apa yang telah berlaku.

            Apa yang dia tahu, sebaik dia sedar, dirinya telah tersandar pada sebatang pokok. Dia cuba mengamati suasana gelap itu. Tiba-tiba dia merasakan lehernya dijerut kuat pada batang pokok itu. Terbatuk-batuk dia sambil meronta-ronta akibat terlalu lemas dengan jerutan itu. Lidahnya turut terjelir dan akhirnya dia menjadi lemah. Di saat itu juga satu lembaga serba hitam keluar dari balik pokok tersebut. Lembaga itu lalu membuka kain hitam yang menutupi wajahnya, namun gadis itu tetap tidak dapat melihat akan wajah lembaga itu kerana pandangannya kian kabur dan akhirnya menjadi gelap.
***

DI DALAM KERETA, Ain begitu leka melayan games pada Samsung Galaxy SII miliknya. Tanpa dia sedari sudah lama Hana meninggalkannya seorang diri. Dia memandang ke luar tingkap. Suasana gelap-gelita membuatkan bulu tengkuknya berdiri tegak. Kemanakah Hana? Hatinya mulai gusar. Sekali lagi dia rasa menyesal kerana tidak mengikuti Hana sebentar tadi. Kalau tidak sudah tentu dia tidak keseorangan seperti sekarang ini.
            “Hisy, mana Hana ni? Dah lama benar dah dia pergi? Jangan-jangan budak ni sesat tak? Tak pun dah jadi mangsa binatang buas? Ah, tak! Tak mungkin… tak mungkin! Hana pasti tak apa-apa. Ya Allah, selamatkanlah Hana. Selamatkanlah rakan-rakanku yang lain, Alya dan Suhada,” dia bermohon.

             Hatinya terus dilanda gelisah. Tiada tanda-tanda yang Hana akan datang semula ke situ. Begitu juga dengan dua orang lagi sahabatnya, Alya dan Suhada. Tanpa membuang masa Ain membuka pintu kereta dan terus keluar.
            “Hana!” jeritnya memanggil nama sahabatnya itu. Hatinya mulai tak keruan.
            “Hana! Lya! Suuee…!” jeritnya lagi.
            “Kau orang! Mana kau orang pergi!” Tetap sepi. Yang kedengaran hanyalah bunyi cengkerik yang tidak mampu meredakan rasa takut yang dialaminya. Suasana gelap dan sunyi lebih menambahkan lagi perasaan seram. Kalaulah muncul sesuatu di hadapannya, tak tahulah apa reaksinya nanti. Ngeri dia mengenangkan kemungkinan itu. Dia mulai mahu teresak-esak sambil menyebut-nyebut perlahan nama-nama rakannya. Dalam pada itu kakinya bukan main kuat menggigil akibat ketakutan. Sungguh, dia tak pernah merasa takut seperti yang dialaminya waktu ini.

            Kemudian dia terasa seperti ada seseorang di belakangnya. Adakah itu Hana? Bagaimana kalau bukan Hana atau Alya mahupun Suhada? Dia beristighfar dan membaca sepotong-dua ayat suci Al-Quran. Dengan perasaan berani-berani takut, dia menoleh kebelakang. Alangkah terkejutnya dia apabila satu lembaga hitam berada begitu hampir dengannya. Belum sempat dia hendak menjerit, lembaga itu terlebih dahulu menumbuk kuat wajahnya membuatkan dia rebah ke tanah. Dalam keadaan separuh sedar, dia cuba bangun. Sempat dia melihat lembaga berselubung kain hitam itu, namun dia tak dapat melihat wajah lembaga itu kerana wajahnya turut ditutup dengan kain hitam. Ditambah dengan suasana yang gelap.
            “Kau siapa?” soalnya lemah. Namun kali ini lembaga itu menghentak pula kepalanya dengan sebatang kayu membuatkan gadis itu terus tak sedarkan diri.
 
***

MENTARI PAGI mulai memancarkan cahayanya menembusi celah-celah dedaun dan ranting-ranting pokok membuatkan suasana rimba itu kelihatan terang. Di bawah sebatang pohon, kelihatan seorang gadis sedang bersandar. Matanya tertutup rapat. Wajahnya pucat lesi. Ketakutan jelas terpancar pada raut wajah gadis itu. Kicauan sang burung telah membuatkan dia tersedar dari lenanya. Dia agak tersentak lantas memandang suasana di sekelilingnya yang sudah pun diterangi matahari. Seketika dia menjadi bingung dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.
 
            Ketika dia hendak bangun, tiba-tiba dia terperasan akan kesan tompokan darah pada seluarnya, betul-betul berhampiran di celah kelangkangnya. Dadanya berdegup kencang. Hatinya tidak keruan. Seketika dia tersedu-sedu, mengenangkan kejadian menakutkan yang telah berlaku malam tadi. Dia berharap sangat apa yang berlaku malam tadi hanyalah mimpi semata-mata. Tetapi kesan darah ini….
 
            Lantas dia terus bangun dan terus berlalu untuk mencari jalan keluar. Kalbunya berharap Suhada kini sudah berada di kereta bersama dua orang lagi rakannya. Pastinya mereka bertiga sedang menanti dirinya di kereta. Dan tentunya Ain akan berang dengannya nanti kerana menyebabkan mereka terpaksa bermalam di pinggir hutan belantara itu. Mudah-mudahan tiada apa yang berlaku ke atas ketiga-tiga orang sahabatnya. Pasti mereka semuanya dalam keadaan selamat.
 
            Dalam dia sedang mencari jalan keluar, tiba-tiba dia ternampak sesusuk tubuh terbaring kaku tidak jauh dari situ. Dadanya berdegup kencang.
            “Suhada!” ucapnya perlahan. Lantas dia berlari mendapatkan sahabatnya yang sedang terbaring itu. Menggigil seluruh tubunya melihat tubuh Suhada yang dilumuri darah pekat. Di dadanya terdapat kesan tikaman.
            “Sue, bangun Sue! Sue…!” Alya mulai teresak sambil menggoncang-goncang tubuh Suhada. Namun rakannya itu tetap kaku. Dadanya berdetak hebat. Esakannya juga kian menjadi-jadi kerana tidak dapat menerima hakikat yang dia telah kehilangan seorang rakan yang cukup memahaminya selama ini. Lantas dia lari dari situ meninggalkan tubuh Suhada yang sudah tidak bernyawa itu.
 
            Lama dia berlegar-legar di dalam hutan tebal itu untuk mencari jalan keluar namun gagal. Dalam dia sedang berusaha, sekali lagi dia dikejutkan dengan penemuan tubuh seorang gadis yang sudah terkulai di bawah sebatang pokok. Segera dia berlari anak mendapatkan gadis itu.
            “Hana!” sahutnya. Tubuh Hana dicapai lalu dipangkunya.
            “Hana, bangun! Hana….” Tubuh Hana turut digoncangnya namun juga tiada respon. Tersedu dia melihat Hana yang dalam keadaan mata sedikit terbuka berserta lidah yang terjelir keluar. Dalam keadaan menggeletar, dia merasai nadi di pergelangan sahabatnya itu. Hana juga sudah tiada. Lalu dia meraung sekuat hati sambil memanggil-manggil nama Hana.
            “Hana, bangun Hana! Hana, jangan tinggalkan aku…” Alya terus menangis. Tubuh Hana turut digoncangnya dengan harapan sahabatnya itu sedar semula. Rambut Hana yang panjang diselaknya ke belakang. Sekali lagi dia terkesima sebaik terlihat kesan jerutan di leher rakannya itu. Dan buat kesekian kalinya dia menangis teresak-esak. Dengan perlahan, dia meletakkan semula tubuh Hana di situ dan terus berlalu. Kalau boleh dia mahu cepat-cepat keluar dari hutan puaka ini dan seterusnya ingin mendapatkan bantuan untuk menguruskan mayat kedua-dua sahabat baiknya itu.
 
            Setelah puas berusaha, akhirnya dia berjaya juga meloloskan diri keluar dari hutan belantara itu. Tercungap-cungap dia berjalan dan akhirnya terjelapuk di tepi jalan. Dia menangis sepuas-puasnya di situ. Di dalam kepalanya tiada apa yang difikirkan melainkan sahabatnya yang lagi seorang, iaitu Ain. Suhada dan Hana sudah mati. Bagaimana pula dengan Ain? Bagaimana harus dia menerangkan kepada Ain yang Suhada dan Hana sudah pergi meninggalkan mereka?
            Dengan longlai dia meneruskan langkah. Dari jauh dia melihat keretanya yang masih tersadai di tepi jalan. Tiba di keretanya, dia cuba mencari Ain, namun rakannya yang seorang itu tiada di situ.
            “Ain!” panggilnya.
          "Aaaiiiinnn!” jeritnya lagi. Tetap tiada sahutan. Dia cuba masuk ke dalam belukar berhampiran. Namun Ain tiada juga di situ. Dia melangkah lagi jauh ke dalam. Dan sekali lagi dadanya berdegup kencang. Kali ini lebih kencang sehingga dia tak mampu bernafas. Bagaikan tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tubuh Ain terbaring kaku di dalam semak-samun belukar tersebut. Darah pekat berlumuran di wajahnya. Hujung kepala Ain tampak hancur bagaikan dihentak dengan sesuatu benda yang keras. Kedua-dua lututnya menggigil. Dia tak berdaya lagi untuk terus berdiri. Akhirnya dia terjelapuk juga di sisi tubuh Ain. Segala apa yang diharapkan mimpi kini telah menjadi realiti. Dia kini telah kehilangan ketiga-tiga rakannya serentak dalam keadaan yang cukup menyayatkan hati. Fikirannya buntu. Jiwanya juga kosong. Bagaikan orang hilang kewarasan, dia menjerit sekuat-kuat hati. Bergema suaranya di segenap ruang belukar tersebut.

***
“BAGAIMANA awak serta rakan-rakan awak yang lain tu boleh berada di situ?” Alya hanya terdiam dengan pertanyaan salah seorang anggota polis yang telah ke rumahnya untuk mengambil keterangan mengenai misteri pembunuhan ketiga-tiga gadis remaja itu. Keadaannya turut bagaikan tak terurus. Ibunya yang duduk di sebelah hanya mampu mengusap bahu anak gadisnya itu.
            “Kami menyertai aktiviti treasure hunt yang dianjurkan oleh kelab di kolej kami. Tapi entah bagaimana kami boleh tersesat di tempat tu,” ujarnya perlahan. Dia langsung tidak memandang kedua-dua anggota polis itu. Matanya hanya tertala di hadapan.
            “Ketika kejadian, kemanakah kamu?” soal seorang lagi anggota polis itu.
            “Saya tak tahu. Apa yang saya ingat, pada malam kejadian, saya bersama Suhada hendak mencari rumah terdekat untuk meminta bantuan manakala Hana dan Ain pula menunggu di kereta,” jawabnya satu-persatu, bagaikan robot yang dikawal oleh alat kawalan.
            “Awak bersama Suhada?” Dia mengangguk.
           “Habis tu, kalau awak bersama Suhada, tentunya awak tahu bagaimana kejadian ini boleh berlaku. Siapa yang bunuh Suhada?” soal anggota polis itu lagi. Alya menggeleng perlahan.
           “Saya memang tak tahu macam mana kejadian itu boleh berlaku. Pada malam kejadian, sewaktu kami berjalan di pinggir hutan, tiba-tiba Suhada hilang. Saya tak tahu macam mana kami boleh terpisah sedangkan sebelum itu kami ada berbual-bual dalam perjalanan. Saya tak sedar sejak bila Suhada mulai tiada bersama saya. Tahu-tahu aja saya dah pun berada di dalam hutan tu, sedangkan sebelum tu kami berada di tepi jalan,” ucapnya panjang.
            “Kawan-kawan awak semua telah mati dibunuh. Manakala awak pula terselamat. Agak pelik. Pada malam kejadian, ada awak terjumpa sesuatu yang aneh? Atau sesuatu telah berlaku ke atas diri awak?”

 Alya terdiam dengan pertanyaan itu. Dadanya berombak, wajahnya yang tadinya agak tenang kini berubah menjadi pucat lesi. Dia tampak ketakutan apabila disuruh mengingat kembali peristiwa hitam yang telah berlaku pada malam itu. Dia mulai tersedu, lalu menjerit kuat hingga bergema ke seluruh ruang rumahnya. Kemudian dia menangis meraung-raung bagaikan orang histeria.

 Kedua anggota polis itu tergamam. Ibu Alya yang duduk di sebelahnya juga tak tentu arah melihat perubahan sikap anak gadisnya itu. Lantas dia meraih tubuh Alya dalam dakapannya lalu ditenangkan anak gadisnya itu.
“Lya, sabar sayang! Maaf encik, dengan perubahan sikap anak saya ni. Dia masih trauma dengan kehilangan kawan-kawannya dan kejadian malam tu,” ucap ibu Alya bersama esakan halus. Dia turut bersimpati malah risau dengan tekanan jiwa yang dialami oleh anak gadis tunggalnya itu semenjak kejadian malam itu.
“Hmm… kalau macam tu, tak apalah. Nanti bila-bila masa, kami akan datang lagi.”
“Encik, kalau boleh encik berdua tak usahlah paksa dia untuk ingat semula apa yang dah berlaku malam itu. Tolonglah, encik! Dialah satu-satunya anak perempuan tunggal yang saya ada. Saya tak mahu apa-apa berlaku ke atasnya. Dalam keadaan mentalnya terganggu macam sekarang ni pun, dah cukup buat saya risau. Tolonglah…” ibu Alya meraih simpati. Kedua-dua anggota polis tersebut berpandangan sesama sendiri.
“Baiklah, kami takkan paksa anak puan lagi. Pihak kami akan terus mencari bukti di tempat kejadian. Alya, kami takkan tanya apa-apa lagi. Tapi nanti bila awak dah pulih sepenuhnya dan ingin bercerita, jangan lupa hubungi kami.” Akhirnya meraka meminta diri.
 
***

ALYA sekadar terkurung di dalam bilik sambil melayan perasaannya. Sedang dia duduk termenung di atas katil, tiba-tiba dia terpandang diari miliknya di atas meja belajar di sisi katil. Lantas dicapainya diari itu. Sebaik dia membukanya, terpampang gambarnya bersama tiga orang sahabat baiknya itu. Juga terdapat dua perkataan yang cukup bermakna buat mereka berempat pada foto tersebut. ‘Friendship Forever…’ airmatanya mengalir. Seketika dia menyeluk tangannya di bawah bantal lalu dikeluarkannya sesuatu. Sebuah buku motivasi bertajuk ‘Membina Keyakinan Diri’. Dibukanya buku tersebut lalu ditatapnya lama pada muka pertama buku tersebut.
 
Buat gadisku Ameera,

Bangkitlah, puteriku. Bebaskanlah dirimu dari terus dibelenggu rasa rendah diri. Percayalah, setiap manusia yang dijadikan ALLAH ada keistimewaan mereka tersendiri, termasuklah dirimu.

                                    Sayang selalu,
                                   Ahmad Mujahid

             Ameera. Nama yang sudah sekian lama terpadam bersih dari kotak memorinya. Nama itu bagaikan pemberi malang kepada dirinya. Diselaknya lagi helaian demi helaian sehingga sekeping foto jatuh ke ribanya. Foto yang merakamkan gambar sepasang teruna dan dara. Si teruna bertubuh tinggi lampai, kacak dan segak berpakaian uniform pengawas. Manakala si dara pula hanya pelajar biasa, bertubuh agak gempal, berpakaian baju kurung putih serta kain biru laut, wajah bulat yang penuh dengan jerawat batu. Kontras sekali dengan si teruna di sebelahnya.
 
            Memori silam yang sudah sekian lama lupus dari ingatannya kembali menerjah. Kisah duka yang telah lama berlalu tersingkap kembali…
 
***

“KAWAN-KAWAN, jaga-jaga mak gajah datang. Nanti gempa!” ejek Ain lalu disambut dengan gelak-tawa oleh dua orang rakannya, Hana dan Suhada. Si gadis berbadan gempal yang melalui jalan tersebut berhenti lalu memandang ketiga-tiga gadis yang sedang seronok mentertawakannya itu. Tanpa menghiraukan mereka bertiga, gadis malang itu terus berlalu.
 
            Di belakang sebuah blok, si gadis malang itu tersedu mengenangkan nasibnya yang sering menjadi bahan ketawa dan mangsa buli ketiga-tiga gadis nakal itu. Bukan sekali dua dia diperlakukan seperti orang bodoh, malah sudah banyak kali. Seringkali dia mendiam diri dengan harapan Ain, Hana dan Suhada akan merasa bosan. Namun semakin dia mendiam, semakin melampau perbuatan mereka. Sebentar tadi, mereka telah menukar kerusinya dengan sebuah kerusi yang patah. Sebaik saja dia duduk, apalagi jatuh berdebuklah.
            “Tengok tu! Nangka busuk jatuh laa…” ejek Hana. Satu kelas mentertawakannya.
            “Bukan sekadar busuk, berulat pulak tu. Eeiii… geli!” tokok Ain. Semakin galaklah mereka semua mentertawakannya. Akibat terlalu malu, dia berlari keluar dari kelas itu dan terus ke sini.
           “Ameera!” kedengaran satu suara yang sedikit garau memanggilnya. Seorang jejaka yang segak dengan uniform pengawas tersenyum ke arahnya.
            “Saya tahu kenapa awak ke sini. Awak nak marah saya dan suruh saya masuk ke dalam kelas, kan? Kalau tak awak akan adukan kepada cikgu. Nanti makin galaklah kau orang semua ketawakan saya bila saya kena denda!” ucap Ameera penuh emosi. Jejaka itu menggeleng.
            “Jangan salah faham, Meera. Saya sebenarnya kesian tengok awak, asyik kena buli aja dengan Ain dan rakan-rakannya tu.” Ameera ketawa sinis.
            “Awak nak kesiankan saya? Mujahid, jejaka idaman Malaya di sekolah nak kesiankan gadis hodoh macam saya ni? Kelakarnya!” Mujahid mengeluh apabila dipersendakan sebegitu.
            “Awak jangan samakan saya dengan mereka. Saya tak macam mereka. Sungguhpun orang kata saya ni jejaka idaman atau apa jua gelaran sekalipun, tetapi saya ni manusia yang ada hati perut. Saya seorang yang mudah merasa simpati,” ucap Mujahid.
            “Ameera, jangan biarkan mereka terus membuat awak macam ni. Awak kena bangun. Awak kena kuat untuk melawan mereka semula. Jangan terlalu tunjuk yang awak ni lemah, nanti makin seronok mereka aniaya awak,” sambungnya.
            “Macam mana saya nak lawan, Muja. Saya hanya seorang diri. Saya tak ada kawan yang mahu menyebelahi saya. Mereka bertiga. Awak bukan tak tahu, saya pernah melawan tapi akhirnya lebih teruk saya dikerjakan mereka. Pernah berlaku di depan mata awak, kan? Nasib baik awak ada waktu tu, suruh kita orang bersurai. Kalau tak…”
            “Awak mahu saya tolong awak?” soal Mujahid.
            “Apa yang awak boleh tolong?”
            “Saya akan jadi kawan awak, yang akan selalu lindungi awak dan sentiasa bersama awak tak kira waktu susah mahupun senang. Lepas ni kalau mereka usik awak lagi, saya sendiri akan buat laporan kepada guru disiplin.”
            “Jangan! Err… tak apalah, ini urusan saya dengan mereka bertiga. Tak perlulah awak campuri urusan kami. Terima kasih aja,” ucap Ameera sambil menundukkan wajahnya. Mujahid terdiam. Hampa. “Dah, jom kita masuk kelas. Loceng dah bunyi dah tu. Tadi kita dah terlepas kelas yang sebelum ni,” ajak Mujahid. Ameera akur. Terharu kerana keperihatinan jejaka tampan ini.
 

***

DI SUATU HARI, ketika pelajar-pelajar tingkatan 4 Sains III berada di dalam makmal sains untuk matapelajaran Kimia, tiba-tiba suasana digemparkan dengan satu letupan yang agak kuat diiringi dengan suara perempuan menjerit. Rupa-rupanya, bahan kimia yang dipanaskan oleh Ameera ketika melakukan eksperimen telah meletup dan seterusnya mengenai wajahnya. Terguling-guling dia di atas lantai sambil menjerit menahan pedih yang teramat perit di wajahnya. Darah merah turut mengalir di celah-celah jemari yang menutupi wajahnya.
 
            Dalam suasana riuh itu, Ain serta dua orang rakannya hanya duduk di satu sudut sambil memerhatikan tubuh Ameera yang sudah dikerumuni pelajar-pelajar serta guru. Mereka tersenyum puas lalu menaikkan ibu jari mereka. Tanpa mereka sedari ada sepasang mata yang memerhatikan gelagat mereka bertiga.
 
            Di birai katil dalam sebuah wad, Ameera sekadar termenung sambil memerhatikan pemandangan luar melalui tingkap. Seluruh wajahnya masih berbalut dengan kain kasa putih. Hanya mata dan mulutnya sahaja yang dibiarkan tidak berbalut.
 
            Kering sudah airmatanya kerana menangisi nasib malang yang sering menimpa dirinya sejak akhir-akhir ini. Jiwanya juga kosong, seperti sudah tiada semangat untuk meneruskan kehidupannya lagi. Sedangkan ketika wajahnya sempurna pun dia sering dipersendakan, inikan pula setelah wajahnya cacat. Kini dia hanya mampu pasrah. Dalam dia sedang melayani perasaannya bersendirian, kedengaran pintu wad terbuka.
            “Meera, tengok siapa yang datang ni,” kedengaran suara ibunya menyapa. Namun pandangannya tetap menghala ke tingkap. Tak ingin untuk dia melihat siapakah gerangan orang yang datang melawat itu.
            “Ameera,” kedengaran namanya dipanggil. Dia terpana mendengar suara garau yang dirinduinya itu saban hari. Mujahid mengambil tempat, duduk di sebelahnya.
            “Sayang,” panggilnya lagi. Lembut sekali panggilan itu.
            “Kenapa awak datang, Muja?” soalnya perlahan.
           “Salah ke saya datang nak melawat orang yang saya sayang?” Ameera ketawa kecil. Sinis.
           “Sayang? Dalam keadaan saya macam ni pun awak masih lagi berselera nak cakap sayang pada saya?”
            “Kenapa tidak?”
            “Muja, saya bukan lagi Ameera yang dulu. Saya bukan lagi gadis yang awak kata sempurna dan istimewa selama ni. Saya dah tak sempurna, Muja. Wajah saya dah cacat. Hodoh! Awak pasti akan benci dan menyampah tengok rupa saya nanti,” ucap Ameera sendu.
            “Ameera, walau apa terjadi sekalipun, awak tetap Ameera yang saya kenal selama ni. Awak tak perlu risau. Saya sayangkan awak bukan kerana paras rupa, tetapi kerana hati awak yang suci,” ucap Mujahid ikhlas.
 
            “Awak, saya dah tak ada semangat nak teruskan kehidupan saya macam selalu. Saya nak berhenti sekolah!” ucap Ameera.
            “Jangan! Jangan, Meera. Jangan kerana hal ini awak hancurkan masa depan awak.”
            “Masa depan saya memang dah hancur pun dengan hancurnya wajah dan hati saya ni, awak! Kalau saya meneruskan persekolahan saya, awak ingat Ain dan rakan-rakannya tu akan duduk diam? Pasti lebih galak lagi mereka membuli saya. Kalau saya pindah ke sekolah lain, apa jaminannya yang saya takkan dibuli lagi? Pasti akan ada pelajar nakal yang akan mengejek dan membuli saya nanti…”
            “Awak jangan risau. Segala-galanya akan selesai tak lama lagi. Lepas ni saya akan pastikan tak ada sesiapa yang boleh ganggu awak. Itu janji saya,” ujar Mujahid.
            “Apa maksud awak?”
            “Meera, saya tahu siapa yang punya angkara semua ni. Saya tahu siapa yang menyebabkan awak kemalangan di makmal hari tu.” Ameera memandang Mujahid di sebelahnya.
            “Siapa? Siapa punya angkara? Tak mungkin Ain, Hana dan Suhada!”
            “Kalau betul mereka yang buat, macam mana?” Ameera terdiam.
            “Kenapa mereka tergamak buat semua ni pada saya? Apa salah saya pada mereka? Apa dosa saya, awak?” Ameera mulai tersedu.
            “Awak tak salah, Meera. Mereka tu yang bermasalah. Kalau mereka selalu ejek awak nangka busuk, tapi pada saya hati mereka tu jauh lebih busuk. Sebenarnya, Ain tu ada menaruh hati pada saya. Dia tak boleh terima apabila saya memilih awak, bukannya dia. Sebab tu dia telah merancang dengan kawan-kawannya untuk membuat sesuatu supaya saya membenci awak,” terang Mujahid.
            “Awak jangan risau. Perbuatan jahat mereka telahpun diketahui. Saya dah ceritakan segala-gala yang berlaku di sekolah selama ni kepada ibu dan ayah awak. Pagi tadi saya bersama mereka telah berjumpa dengan pengetua sekolah untuk melaporkan hal ni. Guess what? Ain dan rakan-rakannya telah dibuang sekolah,” sambungnya lagi.
            “Awak, saya takut,” ucap Ameera tiba-tiba.
            “Awak nak takut apa? Sepatutnya awak merasa lega sebab mereka dah tak belajar kat sekolah tu lagi. Lepas ni takkan ada sesiapa yang boleh kacau hidup awak lagi.
           “Bukan macam tu. Saya risaukan keselamatan awak. Kalaulah mereka tahu awak yang melaporkan hal ni kepada pengetua, nanti mereka akan mengapa-apakan awak.” Mujahid tersenyum lalu memaut lembut bahu Ameera.
            “Jangan risau, saya tahu jaga diri. Kalau mereka berani buat sesuatu ke atas saya, saya takkan teragak-agak untuk buat laporan polis. Okeylah, saya minta diri dulu. Awak rehatlah, ya. Jangan terlalu fikirkan sangat hal ni. Nanti kesihatan awak terganggu. Saya sayangkan awak.”
 
            Itulah kali terakhir mereka berdua berbual mesra sebelum dia mendapat berita bahawa Mujahid telah mengalami kecelakaan di jalanraya pada keesokan harinya sehingga meragut nyawanya. Dalam sekelip mata, dia hilang segala-galanya. Dia telah kehilangan wajahnya yang sempurna. Dia telah kehilangan cintanya. Kini dia sudah tiada sesiapa lagi melainkan kedua orang tuanya. Dalam waktu yang sama, salah seorang bapa saudaranya yang begitu perihatin ingin membantu membiayai kos pembedahan plastik ke atas wajahnya yang cacat. Mungkin ini adalah hikmah di sebalik dugaan yang dialaminya selama ini.
 
            Setelah selamat melakukan pembedahan pada wajahnya, dia merasakan bagai dilahirkan semula. Wajahnya yang asal juga telah berubah secara total. Tiada lagi wajah Ameera yang sering menjadi bahan ejekan orang. Malah, namanya juga telah ditukar dari Nur Ameera ke Nur Alya. Ya, dia kini bukan lagi Ameera tetapi Alya!
 
 
***

DIA kembali semula ke alam realiti. Potretnya bersama Mujahid ditekapnya ke dada bersama linangan air mata. Dadanya tiba-tiba berombak kencang. Dikepalkan tangannya lalu diramas-ramas cadar yang menutupi tilamnya. Diari peribadi miliknya dicapai kembali. Gambarnya bersama Ain, Hana dan Suhada direntapnya dari situ. Sedikit demi sedikit gambar itu dikoyaknya menjadi cebisan-cebisan kecil. Dalam pada itu, peristiwa di hutan belantara pada malam itu menjelma semula…
 
            Masih terbayang di ruang matanya keadaan Suhada yang terkial-kial menahan kesakitan akibat terlalu bisa dengan tikaman di perutnya. Di saat itu, dia membuka kain hitam yang menutupi wajahnya. “Ya, Sue… Kau cari aku?” Alya bersuara perlahan.
            “Lyyaa!” menggigil Suhada menyebut namanya. Gadis itu benar-benar kelihatan terseksa. Nafasnya turun-naik. Alya ketawa berdekah-dekah. Lalu dia mencangkung melawan panahan mata Suhada. Diusapnya ubun-ubun Suhada yang kian mendingin itu.
            “Kesian kau, Sue… Itulah, lain kali jangan suka menganiaya orang. Inilah akibatnya... So lepas ni, harap kau insaf, ya! Jangan buat lagi! Janji dengan aku, di neraka nanti jangan kau buli orang lain macam mana kau orang buat pada Ameera dulu!” ucapnya diiringi tawa mengilai
            “Ameera?” Semakin kuat hilai tawa Alya apabila Suhada menyebut nama itu.
            “Ameera dah mati, Sue. Dan sekarang ni Alya yang bangkit untuk membalas perbuatan kau orang terhadap dia!” Pisau yang tertusuk di perut Suhada direntapnya kuat membuatkan gadis itu meraung kesakitan. Darah pekat keluar membuak-buak. Akhirnya gadis itu terus kaku tak bernyawa. Alya tersenyum puas.
 
            Kemudian Hana pula. Wajah Hana yang pucat lesi akibat dijerut lehernya pada batang pokok. Ketika itulah dia keluar, menunjukkan dirinya di sebalik selubung hitam.
            “Hai, Hana…” sapanya. Dia mencangkung, menghadap wajah Hana yang kian nyawa-nyawa ikan itu. Rambut gadis itu ditarik lalu dihalakan wajah Hana bertentangan dengan wajahnya.
            “Kau tengok betul-betul muka aku ni, Hana. Kau masih ingat lagi dengan wajah ni? Kau masih ingat lagi tubuh badan ni? Muka hodoh yang pernah menjadi bahan jenaka kau, Ain dan Suhada dulu? Badan yang pernah kau kata macam nangka busuk! Ingat lagi tak?” Terbeliak mata Hana memandang Alya.
            “Masih ingat lagi apa ku orang dah buat pada seorang gadis bernama Ameera suatu ketika dulu? Masih ingat lagi apa yang dah terjadi kepada Mujahid? Ingat lagi tak?” Hana tidak mampu untuk memberi respon mahupun berkata-kata. Hanya matanya sahaja yang terkebil-kebil akibat terlalu seksa dengan jerutan di lehernya ketika itu. Namun yang pasti dia masih mampu mengingati akan kenakalannya dan rakan-rakannya sehingga menyebabkan mereka bertiga dibuang sekolah suatu ketika dulu. Nafasnya kian sendat dek kerana jerutan yang amat ketat di lehernya. Akhirnya dia terkulai bersama mata dan mulut yang terbuka.
            “Padan muka kau!”
 
            Selesai ‘urusan’nya dengan Hana, kini giliran mangsa yang dinanti-nantikan sejak mula lagi. Siapa lagi kalau bukan Ain! Kerana dialah kepala dalam kumpulannya dulu! Tiba di keretanya, Alya menundukkan tubuhnya di sebalik kereta agar Ain tidak menyedari akan kehadirannya. Dan dia sedikit terkejut apabila pintu di bahagian belakang terbuka. Ain meloloskan diri keluar. Alya tersenyum. ‘Terima kasih, Ain… kerana memudahkan kerja aku!’ hatinya berbisik. Ain tampak ketakutan sambil memanggil-manggil namanya, Suhada dan Hana. Di situ dia memasang strategi. Dalam Ain leka menjerit-jerit memanggil nama mereka bertiga, dengan perlahan dia mendekati Ain. Mungkin gadis itu sedar akan kehadirannya dan mahu menoleh ke belakang. Namun belum sempat Ain bertindak apa-apa, dia terlebih dahulu menumbuk wajah gadis itu membuatkan Ain terjatuh ke atas tanah.
            “Kau siapa?” Tanpa menjawab pertanyaan Ain, dia lalu menghayun sebatang kayu lalu menghentak kuat kepala gadis itu. Darah pekat mengalir di wajah Ain.
            “Ini akulah…” jawabnya perlahan diiringi tawa kecil.
            “Kau, Alya?” soal Ain lagi. Kali ini makin kuat Alya ketawa.
            “Ya, aku Alya. Kenapa?”
            “Oi! Kau tu yang kenapa! Syaitan mana yang dah masuk kat dalam badan kau tu hah!”
            “Syaitan? Bukan kau ke syaitan tu? Kau, Hana dan Suhada… tiga ekor syaitan yang pernah menghancurkan kehidupan seorang gadis bernama Ameera suatu ketika dulu, kan?” Ain tersentak. Dia cuba mengingati nama itu. Ya, mana mungkin dia lupa. Gadis malang itu sering menjadi mangsa bulinya serta rakan-rakannya dulu. Tetapi, apa kena-mengena Ameera dengan Alya? Adakah?
            “Kau Ameera?”
           “Bukan, aku bukan Ameera. Ameera dah mati bersama-sama dengan kekasihnya Mujahid. Kau masih ingat Mujahid? Jejaka tampan yang kau dambakan, tapi sayang dia telah memilih Ameera yang hodoh dan gemuk itu. Maka sebab itu, kau cuba hancurkan hidup mereka berdua. Kau, Hana dan Suhada telah membunuh dua jiwa yang tak berdosa!”
            “Aku tak bunuh mereka! Aku hanya nak hancurkan hidup Ameera kerana merampas Mujahid dari aku!”
            “Ameera yang rampas Mujahid dari kau atau kau yang nak rampas Mujahid dari dia? Sebab itu kau bubuh bahan mudah meletup dalam mangkuk kajian Ameera sehingga bahan itu meletup mengenai wajah Ameera. Akibatnya wajah Ameera menjadi cacat dan hodoh! Kemudian kau bunuh Mujahid! Tetapi kau harus ingat, jelmaan Ameera masih bebas mencari kau orang bertiga untuk dia tuntut bela!” Ain ingin membalas, namun keadaan kepalanya yang berpinar-pinar membuatkan dia tak berdaya.
            “Apa kau cakap ni? Aku tak bunuh Mujahid. Dia mati akibat kemalangan!”
           “Kalau tak kerana kau, Hana dan Suhada yang pancitkan tayar dan longgarkan rantai motorsikal dia, Muja takkan susah payah tolak motorsikalnya ke bengkel waktu tu dan dia takkan dilanggar van kalau dia tak melintas jalan besar di hadapan bengkel tu! Aku tahu, kau orang nak balas dendam kerana dia telah melaporkan perbuatan kau orang kepada pengetua sehingga kau orang dibuang sekolah! Aku tahu, Ain! Apa yang telah terjadi ke atas Meera dan Muja sebenarnya adalah hasil agenda jahat kau orang bertiga! Dan sekarang ni, nah! Kau rasakan!” sekali lagi kepala Ain dihentak dengan kayu tersebut membuatkan gadis itu menjerit kesakitan.
            “Ya, akulah Ameera! Dan kini aku bangkit semula sebagai Alya untuk membalas dendam!” Dihentaknya lagi kepala Ain berkali-kali sehingga darah keluar membuak-buak.
            “Dan yang ini, untuk kekasihku Mujahid!” buat pengabisan batang kayu itu hinggap lagi di kepala Ain. Sorry, Ain! Aku terpaksa tamatkan riwayat hidup kau. Sebab kaki buli macam kau, Hana dan Suhada ni tak patut hidup di muka bumi ni. Orang-orang macam kau orang bertiga ni hanya menyusahkan orang lain untuk hidup bahagia aja. So lepas ni, pastikan kau takkan buat perkara yang sama di neraka nanti, ya!” Alya ketawa berdeka-dekah. Puas kerana dendam yang dipendam selama ini akhirnya terbalas.

 Alya tersenyum puas. Kalau nak tunggu pembalasan di Padang Mahsyar, memang lambat. Lebih baik dia sendiri menjalankan hukuman segera ke atas gadis-gadis durjana itu. Kalau dulu dia bodoh membiarkan dirinya menjadi ‘bahan mainan’ mereka bertiga. Dan sekarang ini, dia jauh lebih bijak dari mereka bertiga. Tak sia-sia usahanya sehingga dia berjaya diterima untuk meneruskan pengjiannya di kolej yang sama dengan ketiga-tiga gadis itu. Dan nasib terus menyebelahi dirinya kerana telah ditempatkan di kelas yang sama dengan mereka!

 Ain, Hana, Suhada… berbahagialah kau di alam barzakh sana dengan ditemani malaikat Munkar dan Nakir. Ma rabbuka! Alya ketawa berdekah-dekah. Semoga kita bertemu lagi di Padang Mahsyar. Friendship forever! Hatinya berbisik lagi. Semakin kuat ketawanya.

 Mujahid, aku telahpun menunaikan permintaanmu agar aku bangkit dari terus dibelenggu rasa rendah diri. Kalaulah kau masih ada, tentu kau bangga melihat kekasihmu ini yang bukan sahaja berhati suci, tetapi juga cantik, bijak dan berani macam aku sekarang ini. Semoga kau damai di sana, sayangku. Dan jangan lupa, tunggu aku di pintu syurga nanti. Alya ketawa, ketawa dan terus ketawa memecah kesunyian kamar itu. Sementara sang ibu yang mendengar tawa si anak dari luar, hanya mampu mengalirkan airmata…
 

TAMAT

No comments:

Post a Comment