Sunday 23 October 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 40)

SEJAK dari peristiwa itu, hubungan aku dan Azhari menjadi hambar. Tidak lagi semesra selalu. Malah sejak dari malam itu juga, Azhari sudah tidak banyak cakap lagi denganku seperti selalu. Begitu juga denganku. Kami hanya akan berbicara apabila terdapat hal-hal penting sahaja. Sesungguhnya aku berasa rimas. Rimas dan lemas dengan keadaan rumahtanggaku kini. Hampir dua tahun kami diijabkabulkan, tidak pernah kami berhadapan dengan krisis seperti ini. Adakah dugaan rumahtangga kami sudahpun bermula?

Suasana bilik rawatan itu begitu hening sekali. Aku duduk tertunduk sambil dipandang oleh dua pasang mata di hadapanku.
“Saya tengok, kesihatan awak sejak akhir-akhir ni semakin merosot, Puan Azween. Saya khuatir kandungan puan akan terjejas. Dan yang paling saya risaukan, penyakit puan,” ucap Doktor Hazim. Aku terdiam.
“Saya percaya, puan sekarang sedang bermasalah,” ujarnya lagi. Aku mengeluh berat. “Ya, doktor. Memang saya cukup tertekan sejak akhir-akhir ni. Macam-macam yang saya fikirkan. Kandungan saya, penyakit saya, rumahtangga saya,” ucapku perlahan. Kedua-dua orang doktor itu saling berpandangan.
“Rumahtangga?” soal Doktor Hazim. Aku mengangguk lemah.
“Kenapa dengan rumahtangga puan?” soal wanita yang berada di sebelah Doktor Hazim yang hanya dikenali sebagai Doktor Zainab. Aku menggeleng.
“Cukuplah sekadar saya katakan yang rumahtangga saya sedang dilanda krisis sekarang ni. Saya tak mahu dedahkan hal-hal rumahtangga saya kepada orang lain. Biarlah saya dan suami aja yang tahu akan masalah kami,” ucapku. Sesungguhnya, tak sampai hatiku untuk menceritakan hal rumahtanggaku kepada orang lain hatta kepada kaunselor sekalipun. Aku tak sanggup hendak menanggung dosa dengan membusukkan nama seorang suami yang berhati mulia itu.

“Itu terpulanglah kepada puan. Tapi puan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan kesihatan puan terjaga. Apa yang nak saya nasihatkan puan, supaya sentiasa tenangkan fikiran. Jangan anggap masalah satu beban sehingga kesihatan puan jugak terabai,” nasihat doktor wanita itu panjang.
“Apa yang merisaukan saya sekarang ni Puan Azween, sel kanser di pangkal rahim puan tu semakin membesar. Tapi mujurlah tumor malignan tu hanya tertumpu kepada pangkal rahim dan belum lagi merebak. Kita tak boleh berdiam diri. Kita harus lakukan sesuatu. Jika kita terus membiarkannya, keadaan akan bertambah buruk,” Doktor Hazim menerangkan kegusarannya.
“Doktor, sebenarnya bukan saya tak mahu buat sebarang rawatan. Kan saya dah cakap hari tu yang saya akan jalani rawatan setelah saya melahirkan anak saya ni? Tak lama, doktor. Cuma tinggal dua bulan aja lagi,” ucapku.
“Itu tak menjadi masalah kepada kami, puan. Andai itu yang puan mahukan, kami tepaksa menurut. Cuma kami ingin mengingatkan puan yang keadaan tumor di pangkal rahim puan tu semakin membesar, tetapi belum sampai lagi ke tahap kronik. Setelah beberapa kali saya dan Doktor Hazim membuat diagnosis tentang penyakit puan ni, kami dapati sel-sel kanser di pangkal rahim puan ni agak aktif kerana hanya dalam beberapa bulan sahaja ia dah menular dan kini hampir merebak ke sebahagian besar serviks puan. Saya bimbang kalau terus dibiarkan, sel-sel kanser itu akan merebak melampaui serviks seterusnya merosakkan sebahagia kecil rahim puan. Lebih memburukkan lagi, sel itu seterusnya ke akan merebak ke bahagian-bahagian lain seperti faraj, pundi kencing, usus dan seterusnya ke paru-paru. Kemungkinan besar juga, boleh membawa maut,” sampuk Doktor Zainab pula.

Aku tertunduk lemah. Hampir pitam tatkala aku mendengar perkataan ‘maut’ itu. Cukup menggerunkan.
“Jadi, apa yang harus saya lakukan sekarang, doktor?” soalku berbaur risau. Mereka terdiam seketika. Aku terus memerhatikan kedua-dua orang doktor pakar perbidanan dan sakit puan di hadapanku ini.
“Kalau puan sudah membuat keputusan untuk menunggu sehingga puan melahirkan kandungan puan tu, terpaksalah kami turutkan. Buat masa ni, kami akan cuba merawat apa yang patut. Setakat ni, saya perhatikan yang ubat-ubat yang saya beri tu tak memberikan sebarang effect ke atas kandungan puan. Jadi, eloklah kalau puan terus mengambil ubat-ubat tersebut,” ujar Doktor Hazim pula. Aku terdiam lagi.
“Apa yang kami mahukan, supaya Puan Azween banyakkan bertenang dan jangan terlalu melayani rasa tertekan tu, sebab dikhuatiri kesihatan puan akan bertambah merosot. Banyakkan berdoa, minta bantuan dan petunjuk dari ALLAH SWT. Kalau puan ada apa-apa masalah dan perlukan bantuan, kami bersedia untuk membantu. Kalau puan rasa tak selesa untuk berkongsi masalah dengan saya, Doktor Zainab ada. Beliau boleh membantu,” ucap Doktor Hazim lagi. Doktor Zainab yang berada di sebelahnya turut mengangguk, bersetuju dengan kata-kata Doktor Hazim itu. Seketika aku mengangguk lemah. “Terima kasih, doktor,” ucapku perlahan.

*****
KAMI melangkah keluar dari lobi hospital. Doktor Hazim tak habis-habis memberi semangat dan dorongan kepadaku. Sesungguhnya, aku memang menyenangi Doktor Hazim sejak kebelakangan ini. Aku tidak lagi kekok bersamanya sepertimana yang aku rasa sewaktu pertama kali berjumpa dengannya untuk membuat ujian PAP smear dulu. Masih kuingat lagi, waktu mula-mula aku menemuinya. Aku rasa teramat malu untuk melakukan ujian tersebut. Namun, akhirnya aku terpaksa juga menahan rasa malu itu setelah dia meyakinkanku. Menurutnya lagi, setiap wanita harus mengenepikan rasa segan dan malu itu demi untuk mencegah dan merawat sebarang penyakit yang boleh memudaratkan diri.

            So lepas ni, puan nak ke mana?” soalnya. Aku tersenyum. “Kalau boleh, saya tak mahulah doktor terus memanggil saya dengan panggilan puan tu. Kalau dalam klinik, saya tak kisah sebab doktor sedang bertugas. Jadi, waktu tu kenalah lebih formal. Tapi sekarang ni kita berada di luar, doktor. Panggil aja Azween, lebih mesra,” ucapku. Doktor Hazim ketawa kecil.
            “Bukan apa, doktor. Saya lebih senang dengan panggilan nama, sebab panggilan puan tu terlalu formal sangat,” ujarku lagi. Sekali lagi dia ketawa seraya mengangguk.
            “Hmm… baiklah, Azween. Lepas ni, Azween nak terus balik ke?” soalnya. Aku mengangguk. “Nampaknya macam tulah, doktor,” jawabku. Dia mengangguk.
            “Kita pergi minum?” pelawanya. Aku terpaku seketika. Dia ajak aku minum? Macam tak percaya aja. Getus hatiku.
            “Eh, tak apalah, doktor. Saya ada banyak urusan di rumah ni,” ucapku memberi alasan. “Ah’aah… awak lupa pesanan saya dan Doktor Zainab tadi, Azween. Kan saya kata jangan stress sangat? Jangan terlalu sibukkan diri. Dalam keadaan awak yang sedang sarat macam ni, sepatutnya awak mesti banyakkan berehat, bukan buat kerja-kerja yang memenatkan,” pesannya. Aku ketawa.
            “Rehat tu rehat jugak, doktor. Tapi, makan pakai suami mesti jugak dijaga,” bidasku. Dia pula ketawa.
“Jomlah, saya belanja,” pelawanya lagi. Kali ini lebih bersungguh. Aku mengeluh berat. Tak sampai hati hendak menghampakannya. Akhirnya aku akur.

Dengan menaiki kereta Honda City miliknya, kami ke medan selera yang terletak di Jalan Tenteram, Bandar Tun Razak.
“Tadi doktor kata nak minum aja. Ni dah macam nak makan tengahari,” ujarku sebaik seorang pelayan menghidang dua pinggan nasi putih berserta beberapa jenis lauk-pauk di atas meja kami. Dia ketawa kecil.
“Entah, tiba-tiba perut saya rasa lapar bila ternampak ayam kampung goreng tu. So saya pun orderlah. Memang sedap. Cubalah,” katanya. Nak tak nak terpaksalah aku menjamah nasi putih yang telah terhidang dengan ayam kampung goreng itu. Selain itu, terdapat juga lauk kerabu perut, kerabu pucuk paku dan juga nangka masak lemak kuning. Memang tampak menyelerakan.
“Selalu ke doktor makan di sini?” soalku.
“Kalau saya tak sibuk. Biasanya, kalau saya banyak passion, lambat saya keluar lunch. Bila dah lambat, banyak lauk yang dah habis, termasuklah ayam kampung goreng kegemaran saya ni,” jawabnya. Aku tersenyum seraya mengangguk.

Patutlah dia suka makan di sini. Memang sedap pun. Sesekali aku mengerling ke jam di pergelangan tanganku. Baru pukul sebelas setengah pagi, dah makan berat-berat macam ni. Getus hatiku.
“Azween memang dari dulu tak kerja?” soalnya setelah lama menyepi. Aku memberhentikan suapanku seketika.
“Dulu, ada jugak saya kerja. Alah, kerja biasa-biasa aja, doktor. Sebagai pengurus kewangan di tempat suami saya bekerja,” ujarku. Doktor Hazim mengangguk.
“Kenapa tak teruskan? Encik Khairul tak benarkan ke?” soalnya lagi. Aku menggeleng. “Tak. Saya berhenti setelah mendapat tahu yang saya pregnant. Suami saya suruh saya berhenti buat sementara waktu ni, sampailah saya habis pantang nanti,” jawabku. Doktor Hazim tersenyum seraya menggeleng.
“Tapi, jangan pulak bila dah sedap duduk kat rumah, tak nak sambung kerja. Awak ni berpelajaran tinggi. Sayang kalau tak ada pengalaman kerja,” katanya. Aku ketawa kecil.
“Betul tu, doktor. Mulanya saya pun tak nak berhenti. Habis tu, dah suami saya beria-ia suruh saya duduk di rumah sementara saya tengah mengandung ni, kenalah saya ikut perintahnya tu.” Doktor Hazim mengangguk.
            “Baguslah kalau awak berfikiran macam tu. Saya bukan apa, Azween. Saya tak mahu hanya kerana penyakit yang awak hadapi tu, awak seakan berputus asa untuk meneruskan kehidupan awak. Life must go on, Azween. Walau apa jua keadaan sekalipun, awak harus meneruskan kehidupan awak seperti biasa,” tuturnya lembut.
“Saya faham, doktor. Tapi, sejak saya dapat tahu yang saya ada kanser ni, saya rasa diri saya ni berada di ambang maut. Saya dapat rasakan yang ajal saya semakin hampir, doktor. Yalah, kita semua tahukan, yang penyakit kanser ni bukannya calang-calang penyakit. Diam-diam ia boleh merebak. Bila kita leka sikit, habislah. Silap haribulan boleh membawa maut. Dan apa yang saya lihat, majoriti pesakit yang menghidap kanser ni berakhir dengan kematian,” tuturku.
“Azween, setiap manusia akan mengakhiri hidup mereka dengan kematian. Sakit tu cuma penyebab aja. Awak harus kuat. Jangan cepat putus asa. Dengan adanya ilmu sains dan teknologi yang kian canggih sekarang ni, saya yakin setiap penyakit ada ubatnya. Dalam kitab suci Al-Quran sendiri, ALLAH ada menyebut yang setiap penyakit tu ada ubatnya kecuali mati. Jadi, kita selaku manusia yang berakal haruslah menggunakan kelebihan yang ALLAH berikan itu untuk berusaha dan berikhtiar. Samalah seperti sewaktu kita bergelar pelajar. Demi untuk memiliki segulung ijazah, kita harus tekun berusaha dan bekerja keras untuk mencapai matlamat kita. Selain itu kita harus bertawakal kepadaNya. Mohon doa dan perbanyakkan ibadat. InsyaALLAH, atas berkat kesungguhan dan kesabaran kita, Dia akan membantu. Sebagai syarat tambahan, kita mestilah redha dengan qadha’ dan qadar yang telah ditentukan.” Aku terdiam. Kuakui, kata-katanya itu memang ada benarnya. Sebagai manusia biasa, kita harus berusaha dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan mudah berputus asa.
“ALLAH pernah berfirman; ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina’. Kita selaku hambaNya yang taat, haruslah yakini yang ALLAH Maha Pengasih dan Maha Penyayang,” sambungnya. Aku terpaku mendengarnya. Rasa kagum kerana dia bukan sahaja berpengetahuan tinggi dalam bidang perubatan, tetapi juga dalam pengetahuan agama. Sedikit-sebanyak, kata-katanya yang berbaur tazkirah itu telah menyedarkanku selain membangkitkan semula semangatku untuk meneruskan kehidupan ini. Rasa mahu berlinang airmataku ini mendengar kata-katanya itu tadi.

“Azween biasa dengar tak kisah ini? Seorang lelaki yang berhadapan dengan situasi di mana isterinya sedang berjuang melahirkan zuriatnya. Sedang dia menunggu di luar unit kecemasan, tiba-tiba doktor yang bertugas keluar dan memberitahunya yang dia cuma ada satu pilihan, sama ada mahu menyelamatkan si ibu atau si anak,” tutur Doktor Hazim tiba-tiba. Lantas aku memandangnya seraya mengangguk.
“Pernah,” jawabku.
“Tentu sekali lelaki itu tadi berada di dalam kebingungan kerana baginya, kedua-duanya begitu penting dalam hidupnya. Lantas dia menyerahkan segala keputusan kepada doktor itu. Baginya, doktor itu lebih arif dan boleh membuat keputusan yang terbaik,” sambungnya. Aku mengangguk. Namun dahiku berkerut. Apakah sebenarnya yang Doktor Hazim cuba sampaikan?
“Lalu?” soalku.
“Azween tahu tak, bagaimana ajaran agama dapat membantu kita membuat keputusan disaat yang genting seperti ini?” soalnya. Dahiku berkerut lagi seraya menggeleng. Dia tersenyum.
“Bagi seorang doktor yang menganut agama Kristian, ia akan berusaha menyelamatkan si anak dan mengorbankan si ibu. Manakala bagi doktor yang beragama Islam pula, ia akan berusaha menyelamatkan si ibu dan mengorbankan si anak. Nampak tak dua perbezaan ni?” terangnya.
“Kenapa pulak macam tu, doktor?” soalku ingin tahu.
“Sebab dalam ajaran Kristian, setiap manusia yang lahir sudah membawa dosa. Dosa itu dikenali sebagai ‘dosa waris’ atau maksud lain ‘dosa asal’. Mereka percaya bahawa manusia yang lahir sudah menanggung dosa Nabi Adam dan Hawa. Untuk menebusnya dia harus mengikuti seorang penyelamat iaitu penebus dosa seperti paderi. Doktor Kristian itu akan cuba sedaya-upaya untuk menyelamatkan si anak agar dia dapat lahir dengan sihat dan selamat walaupun sebaliknya terpaksa mengorbankan si ibu. Doktor itu berharap, setelah anak itu lahir dia akan berkesempatan untuk dibaptiskan, untuk tujuan menebus dosanya. Jika si anak meninggal sebelum dibaptiskan, anak itu akan masuk neraka. Sebab dosanya belum sempat ditebus. Itu menurut kepercayaan Kristian. Berbeza pulak dengan ajaran Islam. Dalam ajaran Islam, setiap manusia lahir dalam keadaan yang bersih dan suci. Doktor yang beragama Islam akan cuba menyelamatkan si ibu, kerana setiap bayi yang meninggal selepas lahir, akan ditempatkan di syurga. Maka sebab itulah dia tidak terlalu bimbangkan si anak itu. Dengan menyelamatkan si ibu, insyaALLAH setelah dia kembali sihat, dia mungkin dapat mengandung lagi dan mudah-mudahan akan mendapat pengganti yang jauh lebih baik. Sedangkan anak yang tak dapat terselamatkan itu, dibiarkan kembali kepada ALLAH dalam keadaan yang suci dari sebarang dosa. Mungkin lebih baik sekiranya bayi itu tidak dilahirkan di dunia yang penuh tipu daya ini agar hidupnya kelak tidak menjadi orang yang sesat,” terangnya.

Di kala itu, aku bagaikan sudah dapat mengagak, apa yang cuba disampaikannya. “Kenapa doktor ceritakan semua ni?” soalku. Dia tersenyum. Adakah tujuannya menceritakan kisah itu untuk memberikan kesedaran kepadaku?
“Saya sekadar nak memberitahu bahawa di dunia ini ada banyak agama dan kepercayaan. Pemahaman kita terhadap ajaran agama yang kita ikuti akan dapat menentukan jalan hidup kita. Sebab itu, setiap kali saya berhadapan dengan kes-kes seperti Azween ni, saya akan menyarankan pesakit saya itu supaya jalani rawatan terlebih dahulu. Sama ada zuriat yang dikandung itu selamat atau tidak, itu kita harus serahkan kepada takdir. Kalaupun anak yang dikandung tu tak dapat diselamatkan, kita harus redha kerana mungkin belum sampai lagi rezeki kita,” terangnya.
“Jadi, doktor sarankan supaya saya jalani rawatan radiasi tu secepat yang mungkin?” soalku. Dia menggeleng laju.
“Tidak. Saya bukannya nak mengumpan Azween supaya membuat rawatan tu sekarang dengan menceritakan kisah ni. Cuma, saya ingin memberitahu, sekiranya Azween menghadapi situasi seperti itu, sekurang-kurangnya Azween dan suami boleh membuat keputusan yang bijak dan berteraskan agama yang kita anuti. Yalah, kita manusia ni takkan lari dari berhadapan dengan pilihan-pilihan yang lebih sukar, dan melibatkan akibat atau kesudahan yang sangat ditakuti,” terangnya lagi. Dan buat kesekian kali aku mengagumi lelaki di hadapanku ini. Terlalu banyak ilmu yang diperolehinya. Bukan setakat ilmu dunia, malah ilmu akhirat juga.

Sepi lagi antara kami. Seketika aku memberhentikan suapan, memandang wajah doktor yang umurnya sudah hampir setengah abad ini. Walaupun sudah agak berusia, namun raut wajahnya masih kelihatan berseri, bersinar dan warak. Bagaikan tidak dimamah usia. Bibirnya kelihatan merah basah. Rambutnya yang kelihatan sedikit memutih itu tersikat rapi. Begitu juga dengan misai dan jambang yang mengelilingi mulut dan dagunya. Tiba-tiba fikiranku teringatkan Sean Conery, seorang aktor kacak dari Hollywood yang sudah berusia namun masih mampu mengekalkan ketampanan wajahnya. “Berapa umur doktor?” soalku tiba-tiba. Dia yang kelihatan berselera menghentikan suapannya lantas memandangku. Seketika dia tersenyum.
“Rasa-rasanya?” soalnya pula. Aku tersenyum seraya menjungkitkan bahu.
“Rasa-rasa dalam lewat empat puluhan atau awal lima puluhan macam tulah,” jawabku. Dia ketawa kecil.
“Umur saya dah lima puluh tahun,” jawabnya tanpa berselindung.
“Dah tua, Azween. Anak pun dah empat,” tambahnya. Aku ketawa kecil.
“Dah tua pun, tapi masih segak dan tampan,” pujiku bersama tawa. Namun pujian itu sememangnya ikhlas lahir dari hati. Dia tersenyum simpul.
“Hmm… doktor sebaya dengan ayah saya,” kataku.
“Sebaya dengan ayah awak? Wow, umur baru lima puluh tahun tapi dah ada anak sebesar ni. Dah ada menantu pun. Tak lama lagi nak timang cucu pulak tu. Anak sulung saya baru aja berusia tujuh belas tahun. Tahun ni dia SPM,” ujarnya. Aku ketawa.
            “Agaknya ayah saya dulu kahwin muda kot?” tuturku bersama tawa yang masih bersisa. “Atau saya yang kahwin lewat sangat,” sampuknya pula. Kami sama-sama ketawa. Biasalah tu. Orang berpelajaran tinggi seperti Doktor Hazim ini, tentu lebih mementingkan kariernya terlebih dahulu sebelum berkeluarga. Hatiku berbisik.    

*****

SELEPAS makan malam, Azhari terus bangun ke dapur lalu menyuci pinggannya. Seketika dia terus naik ke bilik tanpa menghiraukanku yang masih duduk di meja makan sambil memerhatikannya. Hatiku menjadi sayu dengan kelakuannya yang langsung tidak mengendahkanku. Serta-merta airmata yang kutahan menitis dan jatuh ke atas pingganku. Dengan perlahan aku menyuap nasi yang masih tinggal sedikit. Terasa kelat sekali tekakku ketika ini. Pada suapan terakhir, aku mengunyah perlahan-lahan dengan rasa sebak. Terasa perit dadaku tatkala menelannya.

            Selepas mengemas meja makan dan dapur, aku terus naik ke atas. Dengan perlahan aku melangkah masuk ke bilik. Aku mengetap bibirku kuat sebaik melihat sekujur tubuhnya yang sedang lena di atas katil. Dan dengan perlahan aku melangkah menuju ke katil lalu menghenyak perlahan tubuhku di sebelahnya. Mataku terus memerhatikannya yang sedang enak dibuai mimpi. Di kala itu, hatiku terus dirundung rasa hiba tatkala melihat riak wajahnya yang mendung itu. Serta-merta rasa rindu pun menerpa di benakku ini. Ya, sesungguhnya aku terlalu rindukannya. Aku rindukan suaranya. Aku rindu dengan gelak-tawanya. Aku rindu dengan gurau-sendanya. Aku rindu dengan bisikan syahdunya. Aku rindukan belaian manjanya. Ah, aku rindukan segala-gala tentang dirinya. Aku rindu… hatiku menjerit.

            Tanpa kusedari aku teresak. Spontan telapak tanganku menghinggapi kepalanya. Kuelus lembut rambutnya yang kasar itu dengan penuh rasa kasih dan sayang. Abang, bangunlah bang. Aween rindukan abang. Aween mahu berborak dengan abang. Bangunlah… Aku terus teresak. Namun tiada sebarang respon darinya. Segera aku merebahkan kepalaku di atas lengannya. Tubuhnya kupeluk seerat yang mungkin. Sesungguhnya aku bagaikan tidak dapat menahan perasaanku di kala ini. Dan akhirnya aku terlena di situ bersama linangan airmata.

2 comments:

  1. sambung la lg..nk tau apa trjadi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam, shiera... maaf sbb x perasan komen anda kt sini. actually bkn x nk sambung, sbb manuskrip citer ni masih lg dlm proses penilaian oleh editor salah sebuah publisher. but don't worry, atas permintaan semua yg mengikuti perkembangan kisah aween ni, saya akan sambung x lama lg, Insya Allah...

      Delete