Sunday 2 October 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 39)

DI SUATU MALAM, sedang aku leka menonton televisyen bersama suamiku, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Sebaik dia meneliti skrin telefonnya, dia mendengus keras. Seketika dia melangkah ke luar rumah. Dari dalam dapat kudengar dia sedang berbicara. Aku sekadar membiarkan sahaja tanpa mengesyaki apa-apa kerana aku percayakannya. Mungkin dia sedang berbincang tentang kerja. Aku sudah tersedia maklum, yang suamiku memang tidak suka masalah kerjanya dibawa balik ke rumah. Agaknya kerana itulah dia mengeluh sebentar tadi.

            Tanpa menghiraukannya di luar, mataku terus menonton drama yang tertayang di televisyen itu sambil enak mengunyah buah plum kering. Seketika kemudian dia masuk semula dengan wajah yang mencuka. Aku memandangnya dengan perasaan aneh.
            “Kenapa bang?” soalku lembut sebaik dia mengambil semula tempatnya di sebelahku. Sebuah keluhan kedengaran di celah bibirnya. Seketika dia menggeleng lemah. “Besar sangat ke masalah kat pejabat sampaikan pekerja abang tu tak boleh nak tunggu esok?” soalku lagi. Dia terus membatu tanpa menghiraukan pertanyaanku itu. Melihatkan dia begitu, terus aku mengalihkan pandanganku ke kaca televisyen semula. Aku takut dia akan melenting kalau aku terus bertanya.

            “Aween,” panggilnya setelah lama dia berdiam diri. Dan kali ini, aku mendongakkan semula kepalaku memandangnya.
            “Aween percayakan abang?” soalnya. Aku terkedu. Soalan itu agak pelik kedengarannya. Semakin bingung aku dibuatnya.
            “Kenapa tiba-tiba aja abang tanya macam tu?” soalku tanpa menjawab pertanyaannya terlebih dahulu. Dia tidak segera menjawab. Sebaliknya dia mengeluh.
            “Kalau ya pun, jawablah soalan abang tu dulu,” tegasnya. Aku menghelakan nafas berat. Kenapa pulak dia ni? Getus hatiku.
            “Mestilah Aween percayakan abang. Abang kan suami Aween? Lagipun abang dah janji nak terus setia dan bersikap jujur dengan Aween, kan?” kataku. Dia terdiam. Aku kaget melihat dia begitu.
            “Kenapa, bang? Ada orang kacau abang ke?” soalku. Dia menghelakan nafas berat. Seketika dia menggeleng kecil seraya mengusap lembut kepalaku.
            “Tak ada apa, sayang. Abang takut Aween akan hilang kepercayaan terhadap abang,” ucapnya. Aku mengerutkan dahi. Pelik.
            “Bang, hari tu abang kata abang tak suka bila Aween meragui kejujuran abang. Kalau abang tak suka, kenapa abang pulak pertikaikan soal kejujuran ni dengan Aween?” soalku tidak puas hati.
            “Bukan macam tu, sayang. Hmm… tak apalah. Kita lupakan hal ni. Apa yang abang nak Aween tahu, abang terlalu sayangkan Aween. Pada abang, Aweenlah satu-satunya wanita yang menjadikan hidup abang lengkap. Dan takkan ada orang lain yang dapat mengambil tempat Aween sebagai isteri abang,” ucapnya bersungguh.

            Aku semakin bingung. Rasa tak puas hati. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena yang bakal melanda rumahtangga kami.
            “Tapi bang, kenapa tiba-tiba…” Pantas dia meletakkan jemarinya di bibirku. Tidak membenarkan aku meneruskan bicaraku.
            “Syyhh… jangan cakap lagi. Aween tak payah tahu. Yang penting sekarang ni, kita harus pertahankan rumahtangga kita supaya terus kukuh berdiri,” katanya berbisik. Di kala itu juga mulutku bagaikan terkunci. Biarlah aku pendam saja persoalan ini di benakku. Walaupun jiwaku meronta-ronta hendak tahu apa yang sedang berlaku sehingga perangai suamiku menjadi pelik seperti ini.

            Dan pada malam seterusnya, ketika itu aku sedang duduk seorang diri di ruang tamu sambil menonton drama bersiri kesukaanku, ‘Smallville’. Tiba-tiba telefon bimbit suamiku yang berada di atas meja berdering. Aku mencapai telefon tersebut dan melihat nama si pemanggil. Tertera perkataan ‘JGN LYN’. Lantas aku meletakkannya semula di atas meja. Lama telefon itu berdering dan akhirnya mati dengan sendirinya. Aku meghelakan nafas lega. Namun sekatika kemudian, telefon bimbit milik suamiku itu berdering lagi. Argh! Aku mendengus geram. Benar-benar mengganggu kosentrasiku menonton drama bersiri itu. Aku tetap membiarkan sehingga bunyinya terhenti dengan sendirinya. Dan kesabaranku benar-benar teruji apabila telefon itu berdering lagi buat kali ketiga. Aku menghentak kusyen kecil yang kupeluk lantas kucapai telefon tersebut dan berlari naik ke atas.

            Di dalam bilik, kelihatan Azhari sedang kusyuk menaip sesuatu pada laptopnya. Dia kelihatan agak terkejut lalu mendongak memandangku tatkala terdengar bunyi telefon bimbitnya. Aku tersenyum hambar seraya menyerahkan telefon bimbit itu kepadanya. “Kenapa tak jawab?” soalnya. Aku menggeleng. Sebaik telefon itu bertukar tangan, serta-merta ia berhenti berbunyi.
            “Dah abang tulis kat situ ‘Jangan Layan’, Aween tak angkatlah. Dah banyak kali berbunyi. Bising, Aween bagilah kat abang,” jawabku panjang berjela. Dia mengangguk lemah. Kemudian aku mula mengatur langkah keluar dari bilik itu. Namun seketika aku menoleh semula memandangnya yang sedang menyambung semula kerjanya tadi.
            “Abang nak air?” soalku lembut. Tanpa menoleh ke arahku, dia menggeleng perlahan. Aku mengeluh lantas meninggalkannya di bilik itu.

            Pada keesokan paginya, setelah suamiku ke tempat kerjanya, seperti biasa aku akan menyapu laman rumah dan menyiram pokok bunga. Sedang aku leka melakukan kerja-kerjaku, tiba-tiba hatiku tergerak sesuatu. Aku mendongakkan wajah, memandang ke luar pagar. Dan aku semakin pelik melihat sebuah kereta BMW berwarna merah gelap terpakir di seberang jalan sana. Aku mengerutkan dahi. Setahu aku, tak ada jiran-jiran terdekat yang memakai kereta itu. Siapa pulak yang punya? Hatiku bertanya sendiri. Ah, biarkanlah. Mungkin saudara-mara mereka yang datang bertandang. Segera aku menyambung semula kerja menyiramku.

            Namun seketika, hatiku mulai rasa tak sedap. Aku menoleh semula memandang kereta itu. Ia masih terpakir di situ. Aku cuba meneliti setiap inci kereta tersebut. Cermin tingkapnya yang berwarna gelap menyukarkanku untuk melihat sama ada tuannya berada di dalam kereta atau tidak. Ingin juga aku tahu siapakah gerangan pemilik kereta mewah itu.

            Setelah urusanku di laman selesai, cepat-cepat aku melangkah masuk ke dalam rumah. Dari dalam, aku cuba mengintai di sebalik langsir di sliding glass, memerhatikan kereta mewah yang masih terpakir di hadapan rumahku. Seketika, kelihatan cermin tingkap kereta tersebut diturunkan. Oh, ada orang rupanya di dalam kereta itu. Getus hatiku. Tak sampai beberapa saat, terserlah seraut wajah wanita berkaca mata hitam. Aku terus memerhatikannya. Namun agak sukar bagiku untuk mengenal pasti siapa dia dan rumah siapakah yang dilihatnya memandangkan wajahnya tersembunyi di sebalik kaca mata hitam. Aku terus memerhatikannya. Dalam masa yang sama, hatiku berdetak hebat, seperti ada sesuatu yang tak kena.

            Tidak lama kemudian, kereta mewah itu pun berlalu pergi. Sesungguhnya, kehadiran kereta berjenama mewah di hadapan rumah kami itu benar-benar menimbulkan tanda tanya di benakku ini.

*****

SEGALA-GALANYA bagaikan serba tak kena sejak akhir-akhir ini. Azhari, semenjak hari yang dia pulang lewat baru-baru ini, aku dapat melihat sedikit perubahan pada dirinya. Kalau dulu, dia sentiasa tampak ceria. Ketika aku sedang dilanda duka, dialah yang menjadi penghiburnya. Namun kini, sudah tiada lagi wajahnya yang bercahaya itu. Saban hari wajahnya kelihatan mendung. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang telah mengganggu fikirannya.

            Kalau sebelum ni, boleh dikatakan setiap malam telefon bimbitnya berbunyi. Siapa lagi yang menelefonnya melainkan si fulan yang digelarnya ‘JGN LYN’ itu. Sesekali timbul juga di benakku ini untuk mengetahui siapakah gerangan si pemanggil yang diletaknya sebagai ‘JGN LYN’ itu. Dan kini, bukan setakat menelefon, malah bunyi yang menandakan ada mesej yang masuk, turut kerap kudengar. Dan suamiku ada kalanya tidak melayan dan ada kalanya juga melayan. Tetapi, layanannya tidak keterlaluan. Setakat taip sedikit dan kemudian melemparkan telefonnya ke katil.

            Pernah sekali aku menceritakan segala kejadian pelik yang melanda rumahtanggaku sejak akhir-akhir ini kepada Farhana.
            “Aku bukan nak suruh kau syak suami kau tu. Cuma aku nak pesan kat kau supaya berhati-hati. Kalau boleh, kau cuba korek identiti si pemanggil tu. Cuba kau cilok nombor tu dari suami kau, lepas tu kau cuba call, dengar suara dia sama ada lelaki atau perempuan,” ujar Farhana. Ya, betul kata Farhana itu. Aku harus melakukan sesuatu.

Aku sudah nekad untuk mengetahui siapakah gerangan insan yang sering mengganggu suamiku itu. Dan aku tidak melakukan apa yang telah Farhana suruh. Sebaliknya, aku telah menekan butang ‘answer’ sebaik telefon suamiku berdering ketika dia sedang berada di bilik air. Alangkah terkejutnya aku apabila mendengar suara seorang perempuan. Cukup manja sekali.
            “Helo, abang. At last abang jawab jugak panggilan Dija ni. Bang, kenapa diam ni, bang?” Pantas aku menekan butang ‘cancel’. Di kala itu jantungku bagaikan hendak tercabut dari tangkainya. Hatiku benar-benar hancur. Luluh perasaanku apabila mengetahui perempuan itu telah mengganggu suamiku lagi. Apa, tidak cukupkah dia bertindak memisahkan kami sewaktu kami sedang asyik bercinta dulu? Dan sekarang ini, masihkah dia tergamak hendak menghancurkan rumahtangga kami? Oh, Ya ALLAH! Hatiku merintih sayu. Airmataku mulai mengalir setitik demi setitik. Di kala itu, terasa ari-ariku pedih dan ia semakin menggigit, sehingga aku tidak mampu berdiri. Duniaku juga menjadi kelam. Pandanganku kian kabur. Kepalaku juga terasa berpinar-pinar. Dan akhirnya tubuhku terjelapuk juga ke lantai.
*****

DENGAN perlahan aku membuka mataku yang memberat. Kepalaku masih terasa berdenyut-denyut. Dalam keadaan yang berbalam-balam, aku dapat melihat suamiku begitu setia duduk di sisiku. Melihat aku sudah mulai sedar, terus dia menerpa mendapatkanku. Tanganku dicapai dan digenggamnya erat.
            “Syukur alhamdulillah. Aween dah sedar,” ucapnya. Aku terdiam, tanpa menghiraukannya. Seketika tanganku yang digenggamnya itu dikucup lama.
            “Sayang pengsan tadi. Kenapa, sakit ke?” soalnya agak cemas. Aku merengus lemah. Sakit hatiku mendengar kata-katanya berbaur mesra itu. Hipokrit! Pantas aku merentap kuat tanganku dari genggamannya. Dia tersentak. Dahinya berkerut memandangku.
            “Hei, kenapa ni?” soalnya lembut. Aku pula langsung tidak memandangnya. Mataku dihala ke arah lain. Seketika aku dapat rasakan tangannya melingkari bahuku. Namun pantas aku menepis. Kasar.
            “Sayang, please. Janganlah macam ni. Kenapa tiba-tiba sedar aja jadi macam ni? Sayang mimpi apa? Mimpi abang ada perempuan lain ya?” sendanya. Argh! Sakitnya hati aku. Pedih!

            Aku menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan. Mataku terpejam seketika, mengumpul segala kekuatan yang ada.
            “Abang,” tuturku perlahan. Dia terdiam menanti bicaraku seterusnya.
            “Siapa orang yang selalu telefon dan bermesej dengan abang tu?” soalku keras. Dia kelihatan terkedu.
            “Orang yang kacau abang malam tu,” jawabnya, masih mahu berselindung.
            “Siapa? Si ‘Jangan Layan’ tu?” soalku. Dia terdiam. Seketika dia mengangguk.
            “Siapa ‘Jangan Layan’ tu sebenarnya, bang?” soalku lagi. Dia terdiam tanpa bicara. Aku masih setia menanti jawapan dari mulutnya.
            “Siapa dia tu, bang?” bentakku kuat. Dia kaget memandangku. Seketika dia mengeluh berat.
            “Aween tak perlu tahu,” jawabnya agak perlahan tetapi tegas.
            “Kenapa?” soalku lagi dalam nada yang kuat.
            “Tak penting,” jawabnya keras. Aku tersenyum sinis.
            “Huh, tak penting konon!” ujarku memerlinya.
            “Abang tak perlu nak sorokkan apa-apa dari Aween, bang. Aween dah tahu siapa perempuan tu. Aween kenal dia. Dah terlebih kenal. Kenapa dia masih nak kacau abang? Apa, dia tak tahu ke yang abang ni dah jadi laki orang?” tuturku meninggi.

            Bundar matanya memandangku. Tentu dia tersentak apabila aku meninggikan suaraku memarahinya.
            “Aween kecewa, bang. Aween kecewa bila dapat tahu yang abang masih menghubungi perempuan tu!” luahku kesal.
            “Aween…”
            “Abang tak serik lagi ke dengan apa yang kita dah lalui dulu? Kalau dulu tu bolehlah lagi sebab kita baru aja bergelar pasangan kekasih. Tapi sekarang dah lain, bang. Abang sedar tak yang abang sekarang ni dah jadi suami Aween? Tak lama lagi abang akan bergelar bapak. Ni, anak kat dalam ni. Anak abang, tau! Abang sedar tak?” lantang sekali suaraku melempiaskan kemarahanku kepadanya. Dia mendengus keras.
            “Abang sedar semua tu, Aween. Abang sedar siapa diri abang ni. Aween, please. Dengar dulu penjelasan abang ni…” Namun belum sempat dia menghabiskan bicaranya, aku terlebih dahulu menyampuk.
            “Apa lagi yang abang nak jelaskan? Selama ni abang berSMS dengan perempuan tu depan mata Aween. Bila telefon bunyi, cepat-cepat abang jauhkan diri abang dari Aween, tak mahu Aween dengar takut rahsia abang terbongkar. Abang nak jelaskan apa lagi? Semuanya dah jelas, bang!”
            “Aween, dengar dulu!” dia pula yang meninggikan suaranya kepadaku. Dan aku tergamam. Seketika mulutku yang tadinya begitu lancang telah terkunci rapat.

            Nafasnya berombak, turun naik menahan marah. Tentu dia bengang kerana aku tidak membenarkannya berbicara.
            “Kenapa Aween selalu macam ni, hah? Dari dulu sampai sekarang tak pernah nak berubah. Kenapa tak benarkan abang membela diri abang? Aween main tuduh aja abang yang bukan-bukan. Tuduhan yang tak berasas!” marahnya. Aku terdiam.
            “Hari tu Aween kata Aween percayakan abang. Dan sekarang, apa dah jadi? Dahlah tak percayakan abang, lepas tu tak benarkan abang berterus-terang. Aween cakap tak serupa bikin!” gumamnya.
            “Kenapa baru sekarang abang nak berterus-terang? Kenapa bukan hari tu lagi, sejak perempuan tu hadir? Kalau Aween tak jawab panggilan tu tadi, agaknya sampai bila-bilalah Aween takkan tahu yang abang masih berhubung dengan dia semula!” Dia merengus lagi.
“Bukan abang tak mahu beritahu Aween. Tapi abang kesiankan Aween. Aween tengah sarat, jadi abang tak mahu tambahkan beban Aween. Abang tak mahu emosi Aween terganggu. Nanti effect pada baby kita. Abang buat semua ni demi kebaikan Aween. Tak ada niat lain, sayang. Tapi kenapa Aween tergamak tuduh abang yang bukan-bukan? Kenapa masih ragu-ragu dengan kejujuran abang?” terangnya panjang. Dan kali ini aku terus terdiam.
            “Apa, selama ni Aween ingat abang ada hubungan dengan perempuan tu? Abang takkan sampai hati hendak mengkhianati isteri abang sendiri. Abang tak sekejam tu. Abang sedar abang kini suami orang. Selama ini pun, perempuan tu yang selalu ganggu abang. Abang pun hairan macam mana dia boleh tahu alamat pejabat abang dan dari mana dia dapat nombor telefon abang. Aween nampak abang melayan dia di telefon selama ni. Ya, memang abang selalu menjawab panggilan dan mesejnya. Tapi untuk memberi amaran kepadanya supaya tidak mengganggu abang dan rumahtangga abang lagi. Abang cuba fahamkan dia akan kedudukan abang sebagai suami dan bakal bapa. Tapi, dia buat tak tahu aja. Dia terus mengganggu abang. Abang sendiri pun tak tahu apa motif dia buat begitu. Mungkin kerana dendam,” sambungnya lebih panjang.

            Aku terus membisu. Mataku terpejam rapat, serta-merta airmata yang bertakung mengalir membasahi pipiku. Lantas aku merebahkan semula kepalaku ke bantal, dalam keadaan badan yang mengiring membelakangi suamiku. Selimut tebal yang menyelubungi separuh badanku kutarik hingga ke hujung kepala, menutupi seluruh tubuhku. Aku tersedu di situ. Seketika dapat kurasakan sentuhan lembut pada lenganku. Namun pantas aku menepisnya kasar. Sebuah dengusan keras jelas kedengaran. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi derapan kaki yang semakin menghilang. Tahulah aku yang Azhari telahpun meninggalkanku seorang diri di bilik itu.

No comments:

Post a Comment