Sunday 6 February 2011

Cerpen - Semurni Cintamu


Illustrasi : Filem Pride & Prejudice 2005
LANGKAHKU kian memanjang. Peluh mulai merintik di dahi. Termengah-mengah nafasku ketika mendaki bukit menuju ke fakulti. Tak guna! Hatiku membentak. Jam di pergelangan tangan sudah menujukkan pukul 8.40 pagi. Bermakna kelas sudah bermula sepuluh minit yang lalu. Ketika itu, terbayang wajah pensyarahku, Encik Fikri yang padaku cukup bengis tetapi ‘poyo’! Setahu aku, Encik Fikri cukup pantang kalau pelajarnya datang lebih lewat darinya. Sikapnya yang mudah mengamuk dan garang tak bertempat itu membuatkan aku sering menggelarnya ‘bapak singa’. Sesuai dengan karektornya yang meloyakan tekakku itu.

            Aduh! Macam manalah aku boleh terlewat bangun pagi tadi? Yang budak berdua tu pun satu, bukannya nak kejutkan aku. Tahu-tahu aja dah pergi. Kawan sebilik apa namanya ini kalau tak mahu tolong-menolong! Sempat aku menyeranah dua orang rakan sebilikku. Kadang-kala aku sendiri tak faham akan sikap mereka yang suka melakukan hal masing-masing tanpa mempedulikan antara satu sama yang lain. Bukankah sebagai rakan yang tinggal sebilik harus mengambil berat dan saling membantu rakan sebilik yang lain?

            Tiba di hadapan pintu bilik tutorial. Dengan lafaz bismillah, aku membuka perlahan dedaun pintu tersebut lalu memberi salam.
            “Assalamualaikum,” ucapku perlahan. Tanpa mendengar sebarang suara, semua mata tertumpu ke arahku. Dengan wajah kalut, aku melangkah perlahan menuju ke tempatku. “Nanti dulu, Cik Dylea! Siapa yang benarkan awak duduk?” Langkahku terhenti sebaik suara bapak singa itu bergema di segenap ruang bilik tutorial tersebut. Dengan hati yang berdetak, aku ke hadapan kelas semula.
            “Apa alasan awak lewat ke kelas saya pagi ni?” suaranya bergema lagi. Aku tertunduk, tak sanggup menentang wajah bengis bapak singa itu.
            “Saya… err… saya…” tergagap-gagap aku hendak menjawab. Puas aku memikirkan alasan yang terbaik untuknya.           
            “Saya apa!” sergahnya menyentakkanku.
            “Saya terlewat bangun!” Alamak… macam mana boleh terlepas ni? Aduh… bodoh! Bodoh! Aku mengutuk diriku sendiri.
            “Oh, awak lewat bangun! Apa awak buat malam tadi?” Argh! Apa aku nak jawab ni? Takkan aku nak jawab dengan jujur, yang aku berchatting malam tadi? Matilah kalau macam ni! Kuketap bibirku kuat, memandang keadaan sekeliling. Kesemua mata masih tertumpu ke arahku yang sedang terkulat-kulat di hadapan kelas.
            “Awak tahu tak Dylea. Masa awak masuk tadi, saya dah mulakan pembelajaran. Bila pintu tu terbuka, saya terpaksa berhenti. Okey, saya nak tanya kepada semua. Waktu dia masuk tadi, mengganggu tak agenda kita?” Semua senyap. Mungkin serba-salah hendak menjawab.
            “Saya tanya, mengganggu tak?” Mereka mengiakan dalam keterpaksaan.
            “Tengok, Dylea. Kawan-kawan awak yang lain pun kata mengganggu. Jadi sekarang, awak tahu apa nak buat, kan?” soalnya. Aku mengangguk, memahami apa yang dimaksudkan oleh bapak singa ini.
            “Ya, Encik Fikri.”
            “Jadi awak tunggu apa lagi?” kuhelakan nafas berat, lalu melangkah perlahan keluar dari bilik tutorial yang panas berbahang itu dengan perasaan yang sebal. Puas hati kau, wahai bapak singa?! Dahlah kau malukan aku depan kelas. Lepas tu kau halau aku keluar dari kelas dan secara tak langsung membuatkan kedatanganku pagi ini kosong! Tak guna kau, bapak singa! Bentak hatiku geram.

*****

SUASANA di Perpustakaan Tun Abdul Razak cukup lengang pagi itu. Tak ramai pelajar yang berkunjung ke situ. Mungkin ramai yang ada kelas pagi ini. Maklumlah, pagi Isnin. Jarang sekali pelajar yang tiada kuliah di pagi Isnin. Buku yang berselerak di hadapanku langsung tidak kuhiraukan. Fikiranku jauh melayang, mengenangkan insiden pagi tadi. Argh! Ini semua gara-gara aku tidur lewat malam tadi kerana terlalu lama berchatting dengan Azrai. Aku hanya dapat melelapkan mata pada pukul tiga pagi. Kalau tak mengenangkan pagi ini aku ada kelas, pastinya sampai ke pukul tujuh, aku sanggup chat dengan Azrai, lelaki kedua yang kucintai selepas ayahku. Bukannya aku tak pernah buat, malah dah berkali-kali. Aku hanya berhenti sebentar untuk menunaikan solat Subuh. Azrai pula yang kini berada jauh di perantauan bagaikan tidak jemu melayaniku.

            “Dylea!” tegur satu suara, menyentakkanku dari lamunan. Puan Aisyah, pensayarah matapelajaran ekonomi yang sangat rapat denganku sudah tercegat di hadapanku. “Eh, puan! Silakan duduk,” pelawaku. Dia tersenyum bersama gelengan.
            “Tak apalah, Dylea. Awak buat apa kat sini? Bukan ke pagi ni awak ada kelas costing?” soalnya. Argh, apa aku nak jawab ni? Sememangnya, aku cukup akrab dengan Puan Aisyah. Dia sering kujadikan tempat untuk meluahkan masalahku termasuklah masalah dengan Encik Fikri. Tetapi, kalau aku ceritakan apa sebab aku di sini dan kenapa Encik Fikri tidak membenarkan aku masuk ke kelasnya pagi itu, pastinya Puan Aisyah akan menyebelahi bapak singa itu.
            “Saya tak masuk kelas pagi ni, puan. Err… puan pulak buat apa kat sini?” soalku pula, cuba melarika diri dari terus disoal-jawab oleh Puan Aisyah.
            “Biasalah, Dylea. Saya selalu ke sini untuk mencari bahan rujukan untuk mengajar nanti. Err…awak dah breakfast?” Aku menggeleng. Hilang seleraku untuk bersarapan pagi mengenangkan peristiwa tadi.
            “Kalau tak keberatan, jomlah kita sarapan sama? Saya pun belum breakfast lagi ni. Nanti boleh kita berbual?” pelawanya. Aku serba-salah untuk mengikuti Puan Aisyah.
            “Jomlah, Dylea. Lagipun saya tengok awak asyik termenung aja dari tadi. Tak fokus dengan buku yang melambak depan awak tu. Tak guna study kalau fikiran awak terganggu. Dah, jom!” Nak tak nak, terpaksalah aku mengikut Puan Aisyah ke Kafe Menara.

            “Apa lagi yang tak kena ni, Dylea?” soal Puan Aisyah ketika berada di kafeteria Menara SAAS. “Ni mesti tak lain dan tak bukan, kes dengan Encik Fikri, kan?” soal Puan Aisyah lalu meneguk sedikit teh susu kegemarannya.
            “Siapa lagi, puan? Kalau bukan dia yang suka timbulkan kes!”
            “Awak ada buat silap, kot?”
            “Ya, memang silap saya sebab terlewat masuk kelas pagi tadi. Tapi saya lewat sepuluh minit aja, bukannya lama pun! Tak pasal-pasal dia malukan saya depan kelas, mengamuk tak tentu pasal lepas tu bagi hint suruh saya keluar!” luahku geram. Puan Aisyah ketawa kecil.
            “Kamu dah tahu dia tak suka pelajarnya masuk kelas lambat, kenapa kamu buat jugak? Sebab tulah dia marah.” Huh, aku dah agak! Pasti Puan Aisyah akan membela ‘adik angkatnya’ itu.
            “Dylea, sebenarnya Encik Fikri tu okey. Dia tegas macam tu sebab dia nak yang terbaik untuk pelajarnya. Dia tak mahu pelajar-pelajarnya gagal, itu saja…” nasihat pensyarah wanita itu lagi.
            “Awak patut minta maaf dengan Encik Fikri, Dylea.” What? Minta maaf dengan bapak singa tu? Oh, no..! No! No! Tidak sama sekali. Never!
            “Perlu ke saya minta maaf, puan? Okey, memang silap saya datang lewat ke kelasnya dan dia telah pun menghukum saya. Kenapa perlu minta maaf lagi?” bantahku.
            “Saya tahu, awak masih tak puas hati dengan Encik Fikri. Sebelum ni pun, awak sering cerita yang dia selalu aim awak ketika dalam kelas sehingga awak rasa tak selesa. Tapi awak sedar tak Dylea, yang dia buat macam tu sebab dia terlalu mengambil berat terhadap awak?” Aku mencebir.
            Whatever, puan.” Kenapalah semua orang hendak menyebelahi bapak singa tu? Ah, tak faham aku!

*****

AKU terus pulang ke asrama. Dalam fikiranku tak lain dan tak bukan, hendak tidur mamandangkan aku tak cukup tidur malam tadi. Baru aku hendak melelapkan mata, pintu bilikku terkuak. Dua serangkai itu sudah pulang.
            “Didie, kau okey?” tegur Zaza, salah seorang rakan sebilik merangkap rakan sekelasku. “Hmm…” jawabku acuh tak acuh, tanpa memandang ke arahnya. Mataku hanya tertacap pada siling.
            “Die, sorry sebab kita orang tak kejutkan kau pagi tadi. Kita orang ingat kau tak ke kelas sebab kau tidur lewat malam tadi,” ucap Zaza lagi.
            “Tak apalah, Za. Kau orang kan memang jenis tak pedulikan kawan!” pedas kata-kataku itu. Mereka terdiam.
            “Janganlah cakap macam tu, Die. Bukan maksud kita orang tak pedulikan kau. Cuma kita orang serba-salah. Kalau kau ke kelas, sure kau takkan fokus sebab kau mengantuk. Encik Fikri tetap akan smash kau kalau kau mengantuk dalam kelas. So kita orang biarkanlah kau terus tidur. Kita orang dah rangka jawapan untuk Encik Fikri kalau dia tanya kenapa kau tak ke kelas. Tak sangka sebelum dia tanya, kau dah sampai,” terang Azie pula.
            “Hmm… apa-apa ajalah. Okeylah, aku nak tidur.” Kutangkup wajahku dengan sebiji bantal.
           
            “Hei, Die… kau nak tahu, tak lama lepas kau keluar tu, Encik Fikri cakap apa?” Zaza menggerakkan tubuhku.
            “Wei, dahlah tu. Kau orang ni asyik sebut nama dia aja! Bosanlah. Aku tak nak dengar nama dia lagi. Benci!” marahku.
            “Dengarlah dulu, Die…”
            “Hmm… apa dia? Cakaplah!”
            “Tak lama lepas kau keluar, Encik Fikri tanya kat kelas, kenapa dia biarkan kau pergi? Patut tak dia panggil kau balik?” Bantal yang menutupi wajah kucampak ke tepi dan memandang tepat ke wajah Zaza.
            “Kau biar betul!” Ah, macam tak percaya bapak singa tu boleh cakap macam tu?
            “Betul! Lepas tu, dia boleh buka pintu nak panggil kau balik. Tapi malangnya waktu tu kau dah jauh. Dia kejar kau sampai lif, kau tahu! Tapi tak sempat sebab kau dah turun.” Aku ketawa besar mendengar penerangan Zaza itu tadi.
            “Sampai macam tu sekali? Dah alang-alang tu, kenapa tak kejar aku sampai bawah? Kalau tak dapat jugak, kenapa tak terus kejar aku sampai library?” soalku sinis.
            “Ah, melampaulah tu! Takkan dia nak tinggalkan kelas macam tu aja semata-mata nak mengejar kau? Tak ada masa dia nak terus kejar kau sampai macam tu sekali!”
            “Yalah, kalau dia terus kejar aku, tak adalah dia masuk kelas mengajar kau orang. Kempunanlah kau nak tengok muka dia, betul tak?” aku menyindir Zaza.

            Macam aku tak tahu yang Zaza merupakan peminat nombor satu Encik Fikri. Bukan sahaja Zaza, malah ramai lagi pelajar perempuan yang meminati Encik Fikri yang kononnya kacak seperti Angkasawan Negara, Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Euw! Tolonglah… tak serupa langsung! Macam langit dengan bumi. Tapi aku tetap tabik juga pada bapak singa tu. Dalam garang-garang pun, tetap ramai peminat.
            “Tapi kau beruntunglah, Didie. Dia selalu bagi attention kat kau. Jealous aku. Kan bagus dia pun aim aku sama macam tu? Biarlah nak garang macam mana sekalipun, yang aku tahu dia buat macam tu sebab dia ambil berat tentang kita…” Aku mencebir mendengar kata-kata Zaza itu.
            “Kau ni angau betul dengan Encik Fikri tu! Hei, Za! Come onlah, beb! He’s married, okay! Janganlah nak berangan lebih-lebih!” bebelku.
            “Helo… kau tahukan, lelaki ni boleh kahwin sampai empat? Tiga tempat masih kosong lagi beb!” ujarnya selamba. Bundar mataku memandang Zaza. Dia ni dah angau tahap kronik! Dasyat betul penangan bapak singa tu sampai minah ni boleh fikir sampai ke situ! “Itu kalau dia nak cukupkan quota sampai empat. Kalau dia rasa satu quota pun dah cukup?” soalku.
            “Eleh, lelaki! Mana pernah rasa cukup kalau dah melibatkan nafsu dia orang yang satu tu!” jawabnya. Aku mencebir lagi.
            “Lantak kaulah, Za. Asalkan kau bahagia. Walau macam mana sekalipun, aku tetap tak suka dia! Aku harap inilah semester pertama dan terakhir aku berjumpa dia.”

*****

WAKTU kian beredar sedetik demi sedetik. Tanpa disedari, aku sudah berada di semester terakhir. Bermakna hampir tiga tahun jugalah aku menuntut ilmu perakaunan di universiti ini. Dan selama tiga tahun aku berada di sini, pelbagai pengalaman suka dan duka telah aku lalui. Namun, semenjak akhir-akhir ini agak banyak peristiwa yang tidak menyenangkanku telah berlaku. Azrai, kekasihku kian menyepikan diri. Tiap kali aku membuka Yahoo Messenger, dia pasti tiada. Sudah lama dia tidak berada di talian. Kenapa ya? Adakah dia terlalu sibuk dengan kuliah serta tugasannya sehingga dia tidak ada masa langsung untuk ber ‘YM’?

            Yang paling aku tidak suka, semester ini aku terpaksa bersua lagi dengan Encik Fikri, si bapak singa itu! Namun yang anehnya, sikap Encik Fikri sudah jauh berubah. Dia tidak lagi garang seperti dulu. Tutur kata dan bicaranya sejak akhir-akhir ini cukup lembut sekali. Tidak pernah kulihat dia bersikap sebegitu sebelum ini. Malah, dia tidak lagi suka mencari fasal denganku. Kalau ada kesilapan yang aku lakukan, dia akan menegur dengan cara lembut. Rupanya, bukan aku yang berprasangka begitu, malah pelajar-pelajar lain turut perasan akan perubahan sikap Encik Fikri. Menurut Puan Aisyah, Encik Fikri berubah laku menjadi pendiam seperti itu semenjak kematian isterinya dalam satu kemalangan jalanraya tahun lalu. Kasihan bapak singa itu. Tapi bagus juga kalau dia dah berubah. Sekurang-kurangnya, tak adalah aku rasa meluat setiap kali hendak masuk ke kelasnya. Bolehlah aku belajar dengan tenang tanpa gangguan. Tambahan pula, aku kini berada di semester akhir. Pastinya aku tak mahu gagal walau satu matapelajaran sekalipun. Aku mahu grad on time! Itu matlamat aku.

            Suatu hari, aku dikejutkan dengan kehadiran Azrai di kolejku. Sememangnya, kehadirannya amat menggembirakanku. Sudah bertahun tidak bersua, pastinya aku cukup merinduinya.
            “Azrai! Bila balik sini?” soalku teruja. Ketika itu, hanya kami berdua yang berada di wakaf kolej.
            “Semalam. I balik pun sekejap aja. Lagi dua hari I akan pulang semula ke Aukland,” terangnya. Aku mengerutkan dahi. Kurasakan Azrai ketika ini kelihatan berlainan sekali. Wajahnya yang dulunya cukup ceria dan mudah tersenyum kini tampak mendung, seperti sedang menanggung beban yang amat berat.
            “Azrai, you okey ke?” soalku resah. Dia mengangguk. Wajahnya tetap kelam.
            Are you sure? You macam tak happy aja jumpa dengan I?” soalku lagi.
            “Bukan macam tu, Didie…”
            “Kenapa sekejap sangat balik sini? At least duduklah seminggu.”
            I masih ada kuliah.
            “Habis tu, kenapa tak tunggu cuti semester aja?” Dia mengeluh berat.
            “Die, I minta maaf kalau apa yang bakal keluar dari mulut I ni membuatkan you kecewa. Sebenarnya, bukan niat I untuk melukakan hati you.” Mukadimahnya itu membuatkan dadaku berdegup kencang. Apakah yang ingin diucapkannya? Adakah dia ingin mengucapkan kata-kata perpisahan? Oh tidak! Aku tak sanggup untuk memutuskan ikatan kasih yang telah terjalin selama enam tahun ini!

            “Die, sebenarnya tujuan I pulang ni untuk melawat keluarga I dan juga….” Kata-katanya tergantung di situ.
            “Dan juga apa, Ray?” soalku perlahan.
            “Dan juga… I nak kenalkan family I dengan isteri I.” Aku terpaku tatkala mendengar kata-kata Azrai itu. Tuhan, apakah benar apa yang diucapkannya ini? Adakah ia satu realiti atau mimpi semata-mata?
            What? Azrai, please! Jangan nak bergurau dengan I macam ni. I tak suka, Ray! Please, tell me this is not true!” jeritku. Azrai memandangku sayu. Kedua belah tanganku dicapai lalu diramasnya lembut. Wajahnya turut kelihatan sendu.
            It’s true, Die. I tak tipu you. I dah kahwin. Kami bernikah di New Zealand.” Tanganku yang berada dalam genggamannya kurentap kuat.
            “Kenapa you tak pernah beritahu I yang you dah jumpa orang lain, Ray? Kenapa, Ray?” soalku sebak.
            I’m so sorry, dear. I love you so much, tapi I terpaksa nikahi Sasha sebab kami dah terlanjur. I terpaksa bertanggungjawab dengan perbuatan I.” Aku menelangkupkan mulutku dengan telapak tangan menahan tangis. Dadaku juga kian perit menahan sebak. Hancur luluh perasaanku mendengar pengakuan yang dibuat oleh Azrai itu tadi. Terasa menggeletar seluruh tubuh ini.
            “Didie…”
            “Cukup! Cukup Ray! I dah tak nak dengar apa-apa lagi. Now please go. I tak nak tengok muka you lagi!” Dengan langkah yang longlai, aku meninggalkan tempat itu dengan hati yang teramat parah.

*****

AKU tersedu sendirian di sebuah bangku yang terletak berhampiran kawasan fakulti. Pokok rendang yang memayungi tempat tersebut, ditambah dengan angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa langsung tidak mampu untuk menyejukkan hatiku yang panas membara ini. Sudah terlalu banyak airmataku mengalir keluar sejak semalam hinggalah ke hari ini. Pengakuan Azrai petang semalam benar-benar merundun hati dan perasaanku. Sungguh aku tak sangka dia sanggup melukakan perasaanku dengan melakukan perkara terkutuk ini. Sudahnya, kami terpaksa berpisah akibat dari perbuatan bodohnya itu.

            “Dylea Dalila…” Kedengaran satu suara yang cukup lembut memanggil namaku dari belakang. Aku yang ketika itu begitu asyik melayan perasaan sedihku tersentak. Kuseka airmataku sebelum menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya aku tatkala melihat pemilik suara tersebut.
            “Encik Fikri!” Aku menjadi gelabah seketika.   
            “Awak okey ke?” soalnya lembut. Dalam keadaan kalut, aku mengangguk. Namun jangan haraplah aku akan terpikat dengan suaranya yang lembut macam agar-agar itu. Never! Aku takkan lupa dengan setiap perbuatanya terhadapku dulu!
            “Awak buat apa sorang-sorang kat sini?”
            “Tak buat apa-apa, Encik Fikri. Saja, nak ambil angin kat sini,” jawabku tenang.
            “Encik Fikri buat apa kat sini?” soalku pula.
            “Saya park kereta saya kat situ. Saya nak keluar lunch sebenarnya ni. Waktu saya ke kereta tadi saya nampak awak duduk sorang-sorang kat sini. Hmm… kalau tak keberatan, apa kata kita pergi lunch sama?” Aku merenung mata Encik Fikri. Dia pelawa aku untuk makan tengahari bersama? Bapak singa ni demam ke?
            “Eh, err… tak apalah Encik Fikri. Terima kasih aja,” ucapku lalu terus mengatur langkah untuk meninggalkannya.
            “Didie, tunggu!” panggilnya. Aku tersentak. Dia panggilku dengan panggilan Didie? Mana dia tahu nama panggilanku?
            “Kenapa tiba-tiba Encik Fikri terlalu baik dengan saya? Bukankah dulu Encik Fikri cukup tak suka dengan saya?” Tak semena-mena terhambur persoalan yang terbuku semenjak awal semester hari itu. Kesedihan yang kutahan sejak tadi bagaikan tak mampu untuk kutanggung lagi. Akhirnya aku menangis juga di hadapan bapak singa ini.

            Dia melangkah ke hadapanku. Sehelai sapu tangan diserahkannya kepadaku. Wajah yang tertunduk kudongak, memandangnya. Sapu tangan yang dihulurkannya itu kusambut. Jelas terpancar riak kesal dan rasa simpati pada wajahnya.
            “Okey, okey… saya minta maaf di atas segala perbuatan saya terhadap awak dulu. Tapi percayalah, saya buat macam tu sebab saya terlalu mengambil berat terhadap awak. Saya tak mahu awak gagal sebab saya tahu awak bijak, Didie…”
            Please don’t call me that! Call me Dylea as usual!” marahku. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang layak memanggilku dengan panggilan Didie.
            Okay fine, Dylea! Sejak pertama kali saya tengok awak dalam kelas saya, awak macam tak fokus. Awak selalu mengantuk. Kekadang tu saya tertanya-tanya kenapa awak macam tu. Saya cuba risik setiap aktiviti awak semasa di kolej. Saya nak tahu apa yang awak buat sehingga awak hilang tumpuan dalam kelas. Kawan-kawan awak beritahu saya yang awak selalu berchatting dengan teman lelaki awak yang berada di luar negara sampai pukul tiga ke empat pagi. Itu yang membuatkan saya marah dan seterusnya terpaksa bertindak tegas terhadap awak. Dylea, saya sayangkan awak. Saya tak mahu awak kandas hanya kerana perkara-perkara remeh macam ni. Ingat, Dylea. Masa depan awak lebih penting sekarang ni. Cinta boleh difikirkan kemudian.” panjang nasihatnya. Aku terdiam. Benar-benar rasa terpukul sekaligus terharu dengan nasihatnya yang tulus itu.

            Semenjak peristiwa bapak singa itu menasihatiku tempoh hari, aku menjadi semakin rapat dengannya. Ops! Gelaran ‘bapak singa’ itu patut kubuang jauh. Serasakan dia tidak layak digelar gelaran itu lagi. Aku kini lebih senang memanggilnya Encik Fikri dari memanggilnya bapak singa. Namun begitu, aku tetap juga rapat dengan Puan Aisyah. Encik Fikri dan Puan Aisyah ibaratkan sebagai abang dan kakakku di sini.

            Rakan-rakanku yang lain turut merasa hairan melihat keakrabanku dengan Encik Fikri. Mana tidaknya, dulu aku cukup anti dengan Encik Fikri. Alih-alih jadi ‘kamcing’. Apa yang lebih pasti, ramai juga pelajar perempuan yang cemburu, lebih-lebih lagi Zaza. Aku dengar, dia ada pasang impian untuk cuba memikat Encik Fikri semenjak kematian isterinya tahun lalu. Maklumlah, peminat nombor satu Encik Fikrilah katakan. Sedangkan dulu sewaktu Encik Fikri masih bergelar suami pun, dia sudah berangan hendak menjadi isteri kedua, ketiga atau keempat. Inikan pula setelah pensyarah itu menduda, makin meninggilah angan-angannya itu. Dasyat!

*****

Peperiksaan berakhir hari ini. Semua pelajar berpusu-pusu keluar dari dewan peperiksaan. “Yahoo! Syok betul!” sorakku di luar bangunan fakulti.
            Bravo! Aku harap aku pass semua paper. Tak nak repeat even one paper pun! Aku mesti grad semester ni jugak!” sampuk Azie keriangan.
            “So, apa plan kau orang lepas ni?” soal Zaza.
            “Entahlah. Masih belum plan lagi,” kataku.
            “Wei, Die. Kau tak nak jumpa ke ‘abang’ kesayangan kau tu?” soal Azie.
            “Abang?” soalku keliru.
            “Abang Fikri…” Aku mencebir.
            “Euw! Tak kuasa nak berabang-abang dengan dia! Aku rasa Zaza ni lebih senang hati kalau nak panggil Encik Fikri tu abang,” aku mengusik Zaza. Gadis itu menjeling. Aku dan Azie ketawa serentak.
           
            Punat kunci kereta kutekan sebaik memakirkan Produa Myviku di anjung. Dengan langkah pantas aku masuk ke dalam rumah sambil menyanyi kecil. Terasa puas dapat keluar membeli-belah dan menonton wayang bersama rakan-rakanku setelah sekian lama memerap di asrama untuk mentelaah.
            “Didie,” panggil mama sebaik aku melintasi ruang tamu.
            “Ya, mama.” Aku menoleh ke arah mama yang sedang duduk di sofa di ruang tamu. “Mari sini kejap,” pinta mama. Aku mengatur langkah menghampiri mama lalu melabuhkan diri di sisinya.
            Ada apa, ma?” soalku. Mama tersenyum. Seketika kemudian mama menunjukkan sebuah kotak baldu kecil kepadaku. Terbeliak mataku tatkala melihat sebentuk cincin belah rotan yang terselit di dalam kotak itu.
            Wow, sweetnya. Siapa punya ni?” soalku. Kagum melihat keindahan cincin belah rotan yang tampak ringkas tetapi menarik itu.
            “Untuk Didielah,” kata mama. Aku melopongkan mulut. Untuk aku? Biar betul.
            “Untuk Die? Are you really meant it? Takkanlah untuk Die?” kataku bagaikan tidak percaya.

            Mama meramas lembut bahuku. Semakin keliru aku dibuatnya. Seketika kemudian mama mengusap ubun-ubunku. Terpinga-pinga aku dengan gelagat mama itu.
            “Anak dara mama ni dah besar,” kata mama perlahan.
            “Sekejap aja masa tu berlalu. Mama rasa macam baru semalam mama mengendong dan menyusukan Didie,” sambungnya. Aku mengerutkan dahiku.
            “Apa kena-mengenanya cincin ni dengan semua tu, mama?” soalku. Mama masih lagi tersenyum sambil merenungku.
            “Didie, tadi ada orang datang,” tutur mama perlahan.
            “Siapa?”
            “Adalah. Dia orang datang nak meminang Didie.” Zappp!!! Bagai tersentap jantungku. Betulkah apa yang aku dengar ini?
            “Siapa, ma?” Rasa ingin tahu terus menyerbu diri ini.
            “Adalah, hamba ALLAH ni,” kata mama ingin berahsia denganku.
            “Yalah, tapi siapa?”
            “Itu tak penting. Yang penting sekarang ni, Didie terima atau tak?” soal mama berbasa-basi.
            “Mama, macam mana Didie nak terima, sedangkan Didie tak kenal siapa orangnya,” tegasku.
            “Mama pasti, Didie kenal siapa dia. Dan mama percaya yang dia boleh membahagiakan anak mama ni,” kata mama yakin.
           
            Aku terdiam. Siapakah gerangan manusia itu? Aku kenal? Siapa, ya? Dan perlukah aku menerimanya?
            “Didie, keputusan di tangan Didie. Mama takkan memaksa Didie sebab ini soal masa depan Didie. Mama dan ayah beri kelonggaran kepada anak-anak kami untuk memilih pasangan hidup masing-masing. Kalau Didie dah ada pilihan sendiri, beritahu aja kat mama. Boleh mama beritahu orang tu awal-awal dan pulangkan semula cincin ni,” kata mama lembut. Aku menghelakan nafas berat. Kotak kecil itu telahpun bertukar tangan. “Mama, kalau mama fikir dia tu baik dan sesuai dengan Die, terpulanglah kepada mama dan ayah. Die ikut aja, ma,” ucapku yakin.
            “Jadi, Didie terimalah ni?” soal mama buat kesekian kalinya.
            “Terima ajalah, mama. Die dah malas nak beratkan fikiran Die ni lagi. Tak kisahlah siapa pun dia, asalkan dia dapat membahagiakan Die.”

            Minggu berikutnya, aku ke UiTM untuk bertemu dengan Puan Aisyah. Kami menikmati makan tengahari kami bersama di Kafe Menara.
            “Awak terima pinangan tu?” soal Puan Aisyah sebaik aku memberitahunya tentang peminangan tersebut. Aku sekadar mengangguk.
            “Tapi awak tak kenal dengan bakal tunang awak tu, kan?” soalnya lagi.
            “Mak saya kata, saya kenal dengan bakal tunang saya tu, tapi mak saya tak mahu cakap siapa,” jawabku.
            “Hmm… peliknya! Kenapa perlu berahsia?” Aku menjungkitkan bahu dengan persoalan itu.
            “Majlis pertunangan tu akan berlangsung seminggu selepas keputusan peperiksaan diumumkan. Maknanya, saya hanya ada sebulan aja untuk membuat persiapan. Majlis nikahnya pula akan berlangsung selepas konvo, insyaAllah.” Puan Aisyah hanya tersenyum memandangku.
            “Tahniah, Dylea. Saya doakan awak bahagia dengan bakal tunang awak tu.”
            “Terima kasih, puan.”
            “Hmm… beruntung orang tu. Kalau tak, mahu aja saya padankan awak dengan adik lelaki saya,” usik Puan Aisyah.
            “Alah, puan. Apa yang ada pada saya ni?”
            “Awak cantik, Dylea. Bukan itu sahaja, malah awak juga cerdik. You are intelligent, Dylea. Untung siapa yang dapat awak sebagai isteri,” pujinya melambung. Ah! Merah padam mukaku dibuatnya.
            “Hisy, ada-ada ajalah puan ni,” ucapku malu.

*****

HARI yang ditunggu-tunggu tiba jua. Keputusan peperiksaan turut telah diumumkan seminggu yang lalu. Alhamdulillah, aku lulus kesemua matapelajaran yang kuambil sekaligus menandakan perjuanganku telah pun tamat.

            Hari ini, aku akan bergelar tunangan orang. Di majlis yang serba serdehana itu, aku hanya memakai sepasang kebaya satin peach yang diadun dengan kain lace berwarna kuning air. Kepalaku turut terlitup dengan sehelai selendang lace dari warna yang sedondon dengan bajuku. Wajahku hanya disolek nipis, biar ia kelihatan asli. Mama dan ayah hanya tersenyum melihatku. Namun, walaupun bibirku sentiasa terukir dengan senyuman, tetapi jauh di sudut hatiku masih tertanya-tanya siapakah gerangan tunanganku itu. Sehinggalah jari manisku disarungkan dengan sebentuk cincin belah rotan oleh bakal emak mentuaku. Kurenung wajah tua itu lama. Wajahnya seiras wajah seseorang, tetapi aku tidak dapat mengecamnya.

            Sebaik selesai majlis pertunangan, aku melangkah ke halaman rumah untuk menghantar pihak keluarga lelaki yang mahu beransur pulang. Sehinggalah kenderaan rombongan lelaki hilang dari pandangan, barulah aku melangkah untuk masuk semula. Namun, langkahku mati tiba-tiba. Seperti ada sesuatu yang menarikku untuk menoleh ke belakang semula. Alangkah terkejutnya aku dengan kehadiran Encik Fikri. Dia bersalaman dengan saudara-maraku yang berada di luar pagar. Yang menghairankanku, sebaik dia bersalaman dengan ayah, terus sahaja ayah memeluknya erat.

            “Encik Fikri! Apa Encik Fikri buat kat sini? Macam mana Encik Fikri boleh tahu rumah saya ni?” soalku bertubi-tubi. Encik Fikri hanya tersenyum. Eh, senyum pulak orang tua ni! Getus hatiku.
            “Tak payahlah berencik-encik lagi, Dylea. Mulai sekarang, panggil aja abang,” ucapnya bersahaja. Abang? Apahal pulak aku nak kena panggil dia abang? Buang tabiat ke? “Maafkan abang, Dylea sebab tak berterus-terang dengan Dylea. Sebenarnya, memang abang yang rancang pertunangan ni. Abang jatuh hati pada Dylea sejak kali pertama abang tengok Dylea menangis semasa di bawah pokok hari tu. Abang tak tahu macam mana nak luahkan perasaan abang ni pada Dylea. Tambahan pulak, waktu tu Dylea masih belajar. Abang tak mahu pelajaran Dylea terganggu. Sebab tu abang tunggu sampailah Dylea habis study. Kalau Dylea nak tahu, Puan Aisyah yang selama ini menjadi orang tengah antara kita. Dia yang cadangkan abang supaya hantar rombongan meminang,” terangnya panjang. Terkejut beruk aku dibuatnya.  Terkaku aku di situ. Tak percaya, lelaki yang berada di hadapanku ini adalah tunanganku.  Siapa sangka, dia yang dulunya cukup kubenci akhirnya bakal menjadi teman seumur hidupku. Ah, takdir Ilahi. Sesiapapun takkan tahu akan rancanganNya.
           
            “Dylea, sudi tak Dylea terima abang seadanya?” soalnya lembut. Aku tertunduk membisu. Malu hendak bertentang mata dengannya. Di saat ini, aku rasa seperti mahu menangis tetapi airmataku bagaikan degil untuk keluar. Tak sangka, segarang-garang Encik Fikri ini, rupa-rupanya terselit juga sikap lembut dan romantiknya.
            “Dylea…” Tanganku digenggamnya erat. Aku rasa hendak menjerit pun ada. Mana tidaknya, pensyarah yang dulu menjadi musuh nombor satuku akan menjadi suami aku. “Keputusan dah pun dibuat. Majlis pertunangan pun dah selesai. Nak kata apa lagi? Didie akan belajar terima abang seadanya,” ucapku perlahan.
            “Terima kasih, sayang. So, boleh abang panggil Didie?” soalnya. Aku mengangguk. Akhirnya airmata yang bertakung di tubir mataku menitis jua. Tangan Encik Fikri kusalam dan kucium lembut. Ops! Bukan Encik Fikri, tetapi Abang Fikri…

*****

SELESAI membaca Surah Yasin, kami berdiri serentak. Aku hanya memerhatikan Abang Fikri menyiram air mawar ke pusara arwah isterinya. Jag yang masih berisi separuh air mawar itu bertukar tangan. Dengan bacaan bismillah, aku turut menyirami pusara tersebut. “Jom kita balik, sayang,” ajaknya lembut. Aku mengangguk. Sebaik kami mengaturkan langlah, tiba-tiba langkah Abang Fikri terhenti.
            “Kenapa, bang?” soalku. Dia menundingkan jarinya ke satu arah. Kelihatan seorang wanita sedang kusyuk membaca Surah Yasin di hadapan sebuah pusara.
            “Abang rasa, abang kenal perempuan tu,” ujarnya.
            “Jom, kita jumpa dia sekejap,” ajaknya pula. Aku hanya akur dan menurutnya dari belakang.

            Belum sempat Abang Fikri menyapa wanita tersebut, dia sudah menoleh ke belakang. Dia tersenyum manis ke arah kami.
            “Assalamualaikum, doktor,” ucap Abang Fikri. Wanita itu menjawab salam Abang Fikri. “Waalaikumussalam, Encik Fikri. Apa khabar?” soalnya.
            “Baik, doktor. Err… doktor, kenalkan ini bakal isteri saya Dylea Dalila,” dia memperkenalkanku dengan wanita tersebut. Kami bersalaman.
            “Tahniah, Encik Fikri.”
            “Terima kasih, doktor. Err… Die, ini Dr. Farah Atika. Dialah yang dulu bersusah-payah cuba menyelamatkan nyawa arwah Kak Nani,” terang Abang Fikri.
            “Tapi saya gagal, Encik Fikri,” Dr Farah Atika menyampuk, kesal.
            “Jangan cakap macam tu, doktor. Ini semua takdir, tiada sesiapa yang boleh melawan,” ucap Abang Fikri tenang.

            “Doktor melawat kubur siapa ni?”soal Abang Fikri setelah sepi seketika.
            “Oh, ini kubur arwah suami saya,” jawabnya tenang.
            “Kubur suami doktor?” Dia mengangguk.
            “Hmm… dia meninggal akibat ketumbuhan di otaknya. Waktu tu, saya masih lagi berada di pengajian semester akhir. Tak sempat untuk saya berbakti dan menolong orang yang paling saya sayang,” ucapnya lirih.
            “Maaf, saya tumpang simpati. Walau macam mana sekalipun, kita kena redha.”
            “Betul tu, Encik Fikri. Dah lima tahun arwah pergi. Selama lima tahun tu jugaklah saya cuba muhasabah diri saya supaya redha dengan pemergiannya. Tapi ternyata, saya tak sekuat seperti yang disangka. Di saat saya tersenyum, tiada siapa yang tahu dalam hati saya ni sedang menanggung kesedihan yang amat berat,” luah doktor wanita itu.
            “Bersabarlah, doktor. Waktu dia dah sampai. Kita pun akan mengikut jugak nanti. Cuma tak tahu bila.” Dr. Farah Atika hanya mengangguk mendengar nasihat Abang Fikri. “Okeylah, Encik Fikri, Cik Dylea… saya pulang dulu.” Dia meminta diri.
            “Doktor tak kerja hari ni?” soal Abang Fikri.
            “Saya cuti hari ni, Encik Fikri. Anak saya demam,” terangnya. Kami mengangguk.

            Kami hanya menghantar pemergian Dr. Farah Atika dengan pandangan mata kami. “Kesian doktor tu, kan bang? Muda lagi, dah kematian suami,” ucapku simpati. Abang Fikri mengangguk perlahan.
            “Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah suami doktor,” ucap Abang Fikri. Aku mengangguk setuju. Kutadahkan kedua belah tanganku untuk menyedekahkan Al-Fatihah buat arwah suami Dr. Farah Atika. Selesai membaca sepotong dua ayat suci Al-Quran, barulah kami beransur meninggalkan tanah perkuburan yang sunyi itu.

            Sebaik kami memboloskan diri ke dalam kereta, Abang Fikri mencapai lalu mengelus mesra tanganku. Aku tersentak dengan perlakuannya itu dan memandang wajahnya dengan perasaan hairan.
            “Abang percaya, Didie mampu membahagiakan abang, kan?” ujarnya. Aku mengangguk bersama segaris senyuman.
            “Didie akan buat abang bahagia, sepertimana arwah Kak Nani lakukan terhadap abang,” ucapku. Dia menggeleng.
            “Tak perlu ikut cara arwah Kak Nani. Abang nak Didie bahagiakan abang dengan cara Didie sendiri. Jadilah diri Didie sendiri, tak perlu jadi orang lain. Barulah kita betul-betul ikhlas menyayangi seseorang.” Aku tersenyum lagi bersama anggukan kecil.
            “Yalah, bang. Didie janji yang Didie akan menyayangi abang dengan sepenuh hati Didie.”

            Abang Fikri tersenyum. Lantas tanganku dikucupnya dengan penuh rasa kasih. Di saat ini, tiada apa yang dapat kurasakan melainkan rasa cinta dan bahagia.
            “Terima kasih sayang, kerana sudi menerima abang. I will always love you forever,” ucapnya penuh syahdu.
            I love you too, abang. Always…” ucapku penuh perasaan. Akhirnya, aku tidak dapat menolak hakikat yang aku juga mencintai Encik Fikri, lelaki dan juga pensyarah phsyco yang cukup kubenci dahulu sehingga aku menggelarnya ‘bapak singa’. Kini kusedar, dialah yang kumahukan selama ini. Seorang lelaki yang menyayangi, mengasihi dan mencintai diri ini dengan seikhlas hatinya. Terima kasih, Tuhanku dia atas anugerah ini. Kekalkanlah kegembiraan ini hingga ke akhir hayatku. Doaku dalam hati.

TAMAT

p/s : Watak Dr. Farah Atika di akhir babak cerita ini merupakan watak Farah Atika yang sama dalam cerpen saya yang lepas, ‘Hadiah dari Suami.’.

3 comments:

  1. sweet2........hahaha..tapi ad jd pada bekas kekasih didie?kenapa arwah kak nani meninggal?

    ReplyDelete
  2. Baru bertunang bukan bernikah lagi..kenapa nak berpegang tangan..kena pentingkan unsur agama dalam penceritaan

    ReplyDelete