Thursday 23 December 2010

Cerpen - Hadiah dari Suami




Ilustrasi : TV Series
(Smallville)
PESAWAT MAS yang kunaiki mulai mendarat dan mencecah ke landasannya. Dengan tenang, kakiku menjejak ke tangga pesawat menuju ke terminal ketibaan dengan perasaan yang gementar. Lima bulan yang lalu, aku pulang ke tanahair dengan perasaan yang gembira. Namun kini, kepulanganku terasa bagaikan ada kelainannya. Perasaanku tidak segembira lima bulan yang lalu. Jiwaku kosong.

            Kutolak bagasi yang sarat dengan baranganku, sesarat perasaan rinduku terhadap keluarga tersayang, termasuklah seseorang yang sangat kucintai. Di luar terminal tersebut, pastinya ada yang sedang menanti. Kupanjangkan langkahku. Di luar, aku dapat melihat kedua orang tuaku sedang melambaikan tangan ke arahku. Lambaian pilu jelas terlukis di wajah mereka. Semakin panjanglah langkahku. Aku tahu, kepulanganku ini sentiasa dinanti dalam penuh debar. Di kala itu, aku dapat merasakan ada kekurangan di antara mereka.  Satu wajah yang dulunya begitu setia menanti kepulanganku tiada di situ. Abang! Bisik hati kecilku.
            “Tika!” mama menyahut namaku lalu memeluk tubuhku. Dapat kurasakan esakan halus mama. Hatiku menjadi sayu.
            “Mama!” sahutku pula dalam nada yang sebak. Air jernih terasa hangat menuruni pipi. Kubiarkan ia mengalir deras. Kulepaskan perasaan sedihku dalam pelukan mama.

            Pelukan terlerai. Aku mendapatkan papa lalu kusalam tangan tuanya. Papa turut mencium pipiku dengan penuh kasih sayang.
            “Mama, Abang Ery…” kata-kataku tergantung di situ. Mama menggelengkan kepala. “Kita balik rumah dulu ya, sayang. Sampai rumah nanti kita cerita,” putus mama. Aku terdiam, akur dengan kata-kata mama. Abang, sampai hati abang. Mana janjimu dulu? Janji yang kau akan menunggu setiap kali kepulanganku? Hatiku merintih pilu.

*****
           
TIBA DI RUMAH, aku terus meluru ke bilik yang sudah kutinggalkan hampir lima bulan. Serasakan baru sahaja aku pulang ke tanahair untuk menghabiskan cuti semesterku yang lalu. Kini, aku terpaksa pulang semula hanya kerana satu tujuan.
            “Selamat pulang, isteriku!” aku tersentak dengan sergahan itu. Kupalingkan tubuh menghadap pintu. Di situ, dia sedang tersenyum menawan sambil memegang anak patung beruang. Aku mengurut dadaku perlahan.
            “Abang! Terkejut Tika…” marahku. Dia ketawa kecil. Anak patung beruang itu diserahkannya kepadaku.
            “Hadiah dari abang buat isteri yang tercinta,” ucapnya penuh romantis. Aku menyambutnya dengan cebiran di bibir.
            Teddy bear? Abang ingat Tika ni budak-budak lagi ke nak main teddy bear?” soalku dengan muncung memanjang.
            “Tika tak suka?” soalnya.
            “Bukan tak suka, tapi sekurang-kurangnya bagilah yang special sikit sempena menyambut kepulangan Tika!” Dia ketawa lagi.
            “Okey, okey… abang janji nanti abang akan berikan hadiah yang paling special untuk isteri abang ni,” dia memujuk.
            “Hadiah apa?” soalku. Dia menggeleng sambil menggerakkan jari telunjuknya di hadapanku.
            “Hmm... hmm… surprise! Mana boleh bagi tahu!”

            “Farah Atika!” panggilan mama menyentakkanku. Kulihat mama sudah berada di muka pintu sambil memerhatikanku.
            “Eh, mama! Masuklah, ma…” pelawaku. Mama menghampiriku.
            “Tika buat apa ni, sayang?” soal mama. Wajahnya terlukis dengan perasaan resah. Aku menjadi kalut seketika. Anak patung beruang pemberian suamiku masih lagi dalam dakapanku. Kudakap erat anak patung beruang itu, seolah-olah aku memeluk batang tubuhnya yang sasa, bagi melepaskan perasaan rindu yang menggunung.
            “Tika, jangan macam ni sayang. Jangan buat mama risau,” ucap mama gusar.
            “Mama, kenapa Abang Ery…” sekali lagi kata-kataku mati sebaik kusebut namanya. Mama menggeleng. Kepalaku diusapnya dengan penuh rasa kasih.
            “Sabarlah, sayang. Ini semua takdir. Biarkanlah dia,” pujuk mama.
            “Mama, Tika yang bersalah. Tika terlalu pentingkan diri sendiri sampai mengabaikan orang yang Tika sayang.” Mama menggeleng lagi. Telapak tangannya yang sejuk bak salju itu masih lagi setia mengusap kepalaku.
            “Bukan salah sesiapa semua ini terjadi, Tika. Kan mama dah cakap, ini semua takdir. Tika kena terima qada dan qadar yang dah ditentukan olehNya. Bersabarlah, sayang. Mama tahu, sukar untuk Tika terima atas apa yang berlaku ini.”
            “Mama, mungkin abang dah bahagia sekarang ni, kan mama?” Mama terdiam.
            “Sudahlah, sayang. Mama tak nak tengok Tika bersedih macam ni. Tika rehat, ya.” Mama berlalu pergi meninggalkanku.

*****

BERLARI anak aku ke ruang tamu sebaik kedengaran telefon berdering. Kucapai ganggang telefon untuk menjawab panggilan tersebut.
            Hello…” sahutku.
            “Assalamualaikum, sayang…” kedengaran suara yang kurindui memberi salam.
            “Waalaikumussalam! Abang…” jawabku teruja.
            “Abang, abang kat mana ni? Dah dua hari Tika kat rumah mama, kenapa abang tak datang langsung jenguk Tika? Abang dah tak sayangkan Tika lagi?” soalku sebak.
            “Bukan macam tu, sayang. Abang ada tanggungjawab lain…”
            “Tika tahulah abang ada tanggungjawab lain yang lebih penting dari Tika. Tapi sekurang-kurangnya baliklah sini sekejap jumpa Tika. Tika balik sini tak lama, bang. Dalam beberapa hari lagi Tika kena pulang semula ke UK. Abang tahu tak yang Tika rindu kat abang separuh mati?” luahku geram.
            “Tika, kenapa marah-marah abang macam ni?” lembut sekali suaranya menegurku. “Yalah, Tika ni dah tak penting bagi abang, kan?” rajukku.
            “Kenapa cakap macam tu, sayang? Sampai hati Tika cakap abang macam tu?”
            “Sampai hati jugak abang membelakangi Tika!”
            “Okey, okey… abang sorry, ya!”
            “Abang, cubalah bersabar sikit. Tika cuma ada satu semester aja lagi. Takkan itu pun abang tak boleh sabar? Bukannya lama mana pun!” marahku lagi.
            “Tika, bukan sebab abang tak boleh bersabar. Tapi ini semua dah ditakdirkan, sayang. Macam yang mama cakap kat Tika…”
            “Sudahlah, bang. Tika kecewa dengan abang. Kecewa sangat!” Ganggang telefon kuhempas kuat, melepaskan geram yang terbuku di dada.

            “Tika!” sekali lagi aku tersentak dengan sergahan mama. Ya Allah, kenapalah mama suka sangat menyergah aku sejak semalam lagi?
            “Tika cakap dengan siapa tu?” soal mama keras.
            “Cakap kat telefon, dengan Abang Ery.” Mama mengeluh lagi mendengar jawapanku. “Farah Atika… berapa kali mama dah cakap? Ini semua dah ditentukan. Mama tak sukalah Tika terus-terusan macam ni!” marah mama. Argh! Mama tidak mengerti. “Mama, kita ni sama-sama perempuan. Sama-sama bergelar isteri. Takkan mama tak faham perasaan Tika!” ujarku menahan sebak.
            “Bukan mama tak faham. Mama terlebih faham. Mama tahu sukar untuk Tika terima semua ni, tapi Tika kena cuba jugak! Jangan terlalu layan rasa kecewa sampai kita terpesong dan menyalahkan takdir!”
            “Tika tak salahkan takdir, mama. Tika salahkan Abang Ery!” ujarku lalu berlari ke anak tangga menuju ke bilikku. Di dalam kamar, aku menangis semahu-mahunya.

*****

MALAM ITU, aku hanya duduk berehat di ruang tamu sambil menonton DVD kegemaranku. Sesekali aku mengeluh. Tidak ada sesiapa yang menemaniku malam itu melainkan kesunyian. Sedang aku kusyuk menonton, tiba-tiba kedengaran bunyi hon di luar sana. Aku bingkas bangun lalu menuju ke tingkap untuk melihat siapakah gerangan yang membunyikan hon itu.

            Di luar pagar, dapat kulihat sebuah Honda CRV terpakir di hadapan rumah. Aku tersenyum lalu berlari menuju ke luar. Suasana malam nan gelap, ditambah dengan hujan lebat yang turun mencurah-curah mengaburi pandanganku. Namun ia masih belum mampu menghalang aku untuk melihat sesusuk tubuh yang membolosi keluar dari kereta tersebut. Dia berlari anak mendapatkanku. Tubuhnya juga telah dibasahi air hujan. Kini, dia benar-benar berada di hadapanku. Lantas aku memeluknya erat, bagaikan tak mahu melepaskan dia pergi meninggalkanku lagi. Guruh yang berdentum-dentam langsung tidak kuhiraukan walaupun sebelum ini aku cukup takut dengan bunyi guruh.
            “Abang…” sahutku. Rambutku diusapnya lembut.
            “Tika, maafkan abang sayang,” ucapnya syahdu. Pelukan kami terlerai. Mata kami saling bertentangan. Wajah dan rambutnya yang basah lencun itu membuatkan naluri wanitaku bergetar.
            “Jom kita masuk, bang.” Tanganya kutarik lembut. Kami berjalan seiring masuk ke dalam rumah.

            “Baju abang basah. Jom kita masuk bilik, tukar baju,” ajakku. Dia menggeleng. Seketika tangannya membelai wajahku yang turut basah.
            “Abang nak rehat di sini aja. Kita duduk sekejap.”
            “Malam ni abang tidur sini, ya. Temankan Tika,” pintaku sebaik kami melabuhkan diri ke atas sofa. Dia menggeleng perlahan. Anak-anak rambutku yang berserabai diselaknya ke belakang telinga. Ah, bahagianya bila dibelai sebegitu.
            “Kenapa, bang?” soalku.
            “Tak boleh sayang. Abang kena balik malam ni jugak.”
            “Abang…” rengekku.
            “Sayang tengok movie apa ni?” soalnya mengubah topik. Pandanganku beralih ke kaca televisyen sebentar sebelum menatap wajahnya semula.
            “Tika tengok Pearl Habour,” jawabku. Dia tersenyum.
            “Abang ingat lagi tak, pertama kali kita tengok DVD bersama pada malam pengantin kita? Cerita ni yang kita tengok, kan?” Aku menggamit semula memori indah antara kami. Dia mengangguk.
            “Abang ingat. Bila abang tanya, muka abang handsome tak macam Ben Affleck, Tika jawab muka abang cute macam Josh Hartnett,” ucapnya. Aku ketawa kecil. Manja. Seketika dia mendekatkan wajahnya kepadaku. Dahi dan hidung kami saling bersentuh. Aku memejamkan mataku, menikmati sentuhan kasihnya yang sesekali hinggap ke hidung dan bibirku. Tangan sasanya turut menyentuh bahuku, seterusnya melurut ke lengan dan akhirya ke perutku. Ada getaran di bibir kami.

            Seketika aku melarikan wajahku, jauh dari wajahnya. Dia tergamam dengan perlakuanku itu.
            “Abang sejuk, ya? Jomlah, kita naik atas tukar baju,” ajakku lagi. Sekali lagi dia menggeleng. “Tak boleh, sayang. Abang tak boleh ikut Tika masuk ke bilik Tika,” ucapnya. “Kenapa tak boleh, bang?” soalku hairan.
            “Kita dah tak macam dulu lagi,” jawabnya sendu. Aku menarik nafas dalam lalu menghembusnya perlahan. Berat untuk aku terima kata-katanya itu.
            “Kalau macam tu, abang tunggu di sini aja ya. Biar Tika naik atas ambilkan towel untuk abang.” Aku bangun meninggalkannya bersendirian di situ. Dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu betapa sedih dan merananya aku. Ya, keadaan kami bukan lagi seperti dulu. Kami sekarang berada dalam kehidupan yang berbeza. Namun masih sukar untuk aku menerima hakikat itu. Sukar yang teramat.

            Aku ke ruang tamu semula bersama sehelai tuala bersih serta secawan Chinese tea panas yang menjadi kesukaannya ketika cuaca sejuk. Namun aku tergamam sebaik tiba di ruang tamu. Dia sudah tiada di situ! Kemanakan dia? Mataku tercari-cari di segenap ruang sambil mulutku memanggil-manggilnya.
            “Abang!” Tiada sahutan.
            “Abang…” panggilku lagi. Sepi. Aku ke tingkap, menjenguk keadaan di luar. Keretanya yang terpakir di luar pagar juga sudah tiada! Sah, dia telah pergi tanpa memberitahuku terlebih dahulu. Kenapa dia berlalu begitu sahaja tanpa memaklumkannya kepadaku? Permainan apakah yang cuba dimainkan ini? Airmataku gugur, selebat hujan yang masih turun di luar sana. Sampai hati abang! Hatiku merintih pilu.

            “Tika…!” kedengaran suara garau memanggilku. Aku menoleh. Papa dan mama sudah tercegat di anak tangga sambil merenung ke arahku. Mama berlari mendapatkanku. Dipandangnya aku kehairanan.
            “Kenapa ni, Tika? Kenapa basah kuyup ni? Tika berhujan ke tadi?” soal mama. Aku hanya mematungkan diri. Bingung.
            “Ni, tuala dan air ni untuk siapa?” soal mama.
            “Untuk abang, mama. Dia datang sekejap tadi. Tapi belum sempat Tika bagi dia tuala dan air ni, dia dah pergi,” terangku.
            “Astagfirullahal’azim… Tika, kenapa dengan Tika ni? Mana ada Ery datang?” keluh mama.
            “Betul, mama. Tika tak bohong. Dia datang tadi. Mama tak dengar bunyi hon keretanya tadi? Tika siap jemput dia masuk. Kami berbual sebentar di sofa. Dia pegang Tika, dia cium Tika. Tika rasa semua tu, mama…” ucapku panjang.
            “Atika! Boleh tak tolong jangan buat perangai macam ni?” suara garau papa kedengaran tegas. Aku tahu, papa marah kerana menjemput Ery masuk tanpa pengetahuan mereka dan membiarkan dia menyentuhku sesuka hati. Seperti yang dikatakan oleh Ery tadi, bahawa kami dah tak macam dulu lagi. Namun biarpun antara kami bukan lagi seperti dulu, cintaku tetap miliknya selamanya. Takkan ada yang mampu menggantikan tempatnya di hatiku ini.
            “Maafkan Tika, papa,” ucapku perlahan. Wajahku tertunduk memandang lantai.
            “Mah, mulai dari saat ni abang tak mahu Tika dibiarkan bersendirian. Kalau tidak, macam nilah jadinya. Macam orang tak ada pegangan agama!” marah papa lalu meninggalkan aku dan mama di ruang tamu.
            “Tika, kan mama dah cakap jangan diikutkan sangat kata hati? Tengok, kan papa dah marah?” omel mama sambil memaut dan menggosok perlahan bahuku, bagi meredakan rasa gundah di hati.

*****

SELEPAS peristiwa dimarahi papa malam semalam, aku hanya terkurung di dalam bilik. Berkali-kali mama mengetuk pintu kamarku, namun aku enggan membukanya. Aku ingin bersendirian tanpa diganggu oleh sesiapa. Masaku banyak kuhabiskan dengan termenung dan menatap gambar-gambar kenangan antara aku dan suamiku. Satu-persatu potret di dalam album perkahwinan kami kubelek.

Pintu hatiku telah kau buka
Tak mampu ku menafikannya
Kejujuran diberi
Kasih datang terhenti
Ini bahagia yang ku cari
            Sesekali kuhayati bait-bait lagu ‘Cahaya Cinta’ nyanyian Dato’ Siti Nurhaliza yang berkumandang di radio. Benar-benar menyentuh perasaanku. Tanpa dipinta, kisah pertemuan kami buat kali pertama terlayar di minda. Ya, pertemuan pertama yang telah dirancang oleh kedua orang tua kami.

            “Apa pendapat you tentang rancangan keluarga kita ni?” soalku. Wajahnya tampak bersahaja. Cukup tenang. Seketika dia menjungkitkan bahu.
            “Entahlah. Pada pendapat I, niat mereka tu baik untuk menyatukan kita. Yang manjadi masalahnya sekarang ni, kitalah. Sama ada setuju atau tidak.”
            You setuju untuk menikahi I?” soalku.
            Why not? Kalau itu yang terbaik untuk I.” Aku mendengkil melihat dia yang cukup bersahaja. Hanya aku yang gelisah. Aku belum bersedia untuk bergelar isteri kepada lelaki yang belum pernah kukenali.
            You pulak macam mana?” soalnya pula.
            I hanya mampu pasrah. I tak mahu mereka tersinggung. Jadi I terpaksa setuju.”
            “Jadi you terima keputusan mereka kerana terpaksa?” Aku mengangguk.
            “Tapi I dah letakkan syarat. Mereka hanya akan setuju kalau you setuju,” tegasku. Ery menjungkitkan keningnya.
            “Syarat? Syarat apa?”
            “Syaratnya, lepas kita nikah I nak sambung pengajian I di UK,” tegasku.
            “Wow!”
            You setuju tak?” soalku. Dia tersenyum meleret.
            “Kalau dah itu yang you mahukan, takkan I nak halang?”
            “Jadi you tak kisah kalau kita tinggal berjauhan lepas kahwin nanti?”
            “Demi you, I sanggup berkorban.”

            Itulah pertemuan pertama kami. Aneh. Hatiku langsung tidak tercuit dengan kehadirannya ketika itu. Tiada langsung perasaan cinta yang terbit. Walhal, dia bakal menjadi suamiku dan kami akan melayari bahtera rumahtangga kami bersama. Ketika itu, aku hanya mampu berserah kepada Yang Maha Esa. Namun siapa tahu akan kuasa Ilahi, cinta itu hadir di saat dia melafazkan ijab dan kabul di hari pernikahan kami. Suaranya yang melafazkan akad nikah benar-benar menusuk ke dasar jantungku. Serentak dengan itu, airmataku gugur tanpa dipinta. Dengan sekali lafaz, aku telah sah menjadi isteri kepada Ery, lelaki yang dipilih oleh mama dan papa sebagai pasangan hidupku. Rasa kasihku terhadap lelaki yang telah sah bergelar suami itu kian mendalam sebaik dia menyarungkan cincin perkahwinan ke jari manisku. Kucupan syahdunya ke dahi benar-benar membahagiakanku.

            Selang dua hari kami disatukan, aku telah dipanggil oleh pihak universiti untuk mendaftar dan melaporkan diri. Pada malam sebelum aku bertolak ke bumi asing, kami menghabiskan waktu kami dengan mengemas pakaianku.
            “Maafkan Tika, bang. Tika terpaksa tinggalkan abang di saat kita belum puas berbulan madu,” ucapku kepadanya. Dia yang ketika itu sedang membantu melipat dan memasukkan pakaianku ke dalam beg, hanya tersenyum simpul.
            “Tak apa, Tika. Abang faham. Tika ada impian Tika sendiri, ada cita-cita. Dan abang tak berhak untuk menghalang Tika,” ucapnya tenang.
            “Abang menyesal kahwin dengan Tika?” soalku.
            “Kenapa Tika tanya macam tu?” Aku terdiam.
            “Tika, abang tak pernah menyesal berkahwin dengan Tika. Malah abang gembira memiliki isteri secantik dan sebijak Tika. Tika seorang wanita yang hebat di mata abang. Bercita-cita tinggi dan tak mudah berputus asa. Abang bahagia hidup bersama Tika walaupun kita baru aja saling kenal-mengenali. Abang jugak bersyukur dengan perkahwinan ni biarpun ia atas rancangan keluarga. Lagipun, bukan senang nak dapat isteri yang bakal bergelar doktor, betul tak?” soalnya. Kami ketawa serentak.
            “Abang, alangkah bagusnya kalau abang dapat ikut Tika sekali ke sana? Sekurang-kurangnya, Tika tak keseorangan. Tika ada sumber inspirasi yang boleh membantu Tika.”
            “Abang pun berharap dapat pergi bersama dengan Tika ke sana. Tapi nak buat macam mana, sayang. Abang ditugaskan untuk mengendalikan syarikat milik ayah. Kalau abang tak ada, siapa yang nak tengok-tengokkan syarikat? Takkan nak harapkan ayah sorang? Ayah tu dah tua, dah tak larat nak uruskan syarikat. Hanya abang saja yang dia harapkan,” terangnya panjang.
            It’s okay, abang. Tika jugak faham keadaan abang. Tika janji. Setiap kali cuti semester, Tika akan balik sini jumpa abang.” Dia sekadar tersenyum mendengar kata-kataku itu. “Jaga diri baik-baik di tempat orang, sayang. Jangan nakal-nakal. Belajar bersungguh-sungguh, supaya nanti boleh jadi seorang doktor pakar. Nanti kalau abang sakit, tak payah cari doktor peribadi. Isteri abang sendiri boleh jadi doktor peribadi abang,” pesannya berseloroh.
            “Apalah abang ni! Orang lagi tak nak sakit, abang pulak nak sakit?” bebelku.
            “Abang cakap kalau, sayang.”
            “Tapi cara abang cakap tu macam abang meminta pulak. Janganlah cakap macam tu lagi, bang. Tika tak suka abang cakap bukan-bukan macam tu.” Aku mulai menarik muncung. Dia ketawa kecil.
            “Yalah, Dr. Farah Atika! Abang takkan cakap macam tu lagi.”

*****

TUK! TUK! TUK! Bunyi ketukan pintu telah membawaku kembali ke alam nyata. Hilang sudah wajah Ery dibawa kenangan semalam.
            “Tika! Atika… buat apa terkurung dalam bilik tu? Buka pintu ni, sayang,” kedengaran suara mama memanggilku dari luar. Aku menyeka sisa airmata di pipi dengan lengan bajuku sebelum membuka pintu. Terserlah wajah gelisah mama sebaik daun pintu kubuka.
            “Tika…” panggil mama. Aku membiarkan mama masuk ke dalam bilikku lalu mengambil tempat di sisi katil. Dia mengeluh berat sebaik melihat beberapa album perkahwinanku berserakan di atas lantai.
            “Tika, jangan macam ni sayang.” Entah kali keberapa mama memujukku dengan perkara yang sama.
            “Kalau Tika terus murung macam ni, keadaan tetap sama. Ia takkan ubah apa-apa,” keluh mama lagi.
            “Bukan mudah untuk Tika lupakan semua ni, mama,” keluhku pula. Mama mengambil tempat di hadapanku. Anak rambutku yang terjuntai di pipi diselaknya ke belakang. “Mama tahu, sayang. Untuk bangkit semula dari kecewa memerlukan masa yang lama. Tapi mama tak mahu Tika asyik melayan perasaan Tika aja sampaikan Tika kelihatan seperti orang tak betul macam ni,” ujar mama berbaur risau. Aku terdiam.

            “Tika, mama rasa lebih baik Tika balik semula ke UK dengan kadar yang segera. Mama tak mahu Tika berlama di sini. Lagi lama Tika berada di sini, jiwa Tika makin tak tenteram. Baliklah, Tika. Lagipun, Tika masih ada kuliah, kan?” pujuk mama.
            “Mama halau Tika?” soalku sebak.
            “Mama tak halau Tika. Cuma mama tak mahu fikiran Tika terganggu bila Tika berada di sini. Sebab di sini banyak tercatat kenangan yang mampu mengusik jiwa Tika. Tika ingat mama tak risau tengok Tika murung macam ni? Tika ingat mama tak susah hati bila tengok Tika asyik bercakap seorang diri?” luah mama. Aku terdiam lagi.
            “Balik ya, sayang. Lagipun Tika sekarang dah berada di tahun akhir. Jangan sampai pengajian Tika terjejas dan seterusnya memusnahkan impian Tika. Mama yakin, kalau Ery ada, tentu dia jugak risau dan kecewa lihat Tika macam ni,” nasihat mama.

            “Mama, Tika akan balik ke UK semula seperti yang mama suruh. Tapi sebelum tu, ada satu hajat Tika yang perlu mama tunaikan,” ucapku perlahan. Mama memandangku, memberi isyarat agar aku meneruskan kata-kataku.
            “Tolong tunjukkan Tika di mana Abang Ery berada,” pintaku. Mama terdiam dengan wajah yang berkerut, seolah-olah permintaanku itu satu permintaan yang berat untuk ditunaikannya.
            “Tolonglah, mama…” rayuku sambil memegang kejap kedua belah tangan mama. Mama masih membatu seperti tadi.
            Please, mama. Tika masih isteri Abang Ery. Tika berhak tahu di mana dia,” rayuku lagi. Seketika kemudian, mama mengangguk perlahan. Aku tersenyum.
            “Terima kasih, mama,” ucapku.
            “Tapi dengan satu syarat. Tika kena janji akan patuhi syarat mama ni!” tegas mama. “Tak kisah. Walau seribu syarat sekalipun, Tika akan ikut. Apa yang penting Tika nak tahu di mana suami Tika berada sekarang ni.”
            “Tika janji supaya tabah dan kuatkan semangat Tika. Jangan terlalu ikutkan emosi Boleh?” Aku mengangguk laju.
            “Boleh, mama. Boleh!” ucapku penuh yakin.
            “Janji dengan mama?”
            “Tika janji!”
            “Kalau macam tu, esok kita ke sana…”

*****

SEPULUH MINIT perjalanan, akhirnya kami tiba juga ke tempat yang dituju. Kedatangan kami di situ disambut dengan suasana yang sunyi dan hening. Mama memimpinku perlahan, menuju ke tempat di mana suamiku berada kini. Di hadapanku kini, terbentang luas sebuah hakikat yang aku terpaksa terima walaupun terlalu sukar. Kakiku terasa seperti tidak mampu untuk berdiri. Akhirnya aku terjelapuk juga di atas pusara yang masih merah itu. Aku menangis tersedu-sedu sambil mataku merenung nisan putih yang terukir kemas nama suamiku, Mohamad Ery Hafizi Bin Jamaluddin. Abang, kenapa abang rahsiakan penyakit abang dari Tika? Kenapa, bang? Hatiku merintih sayu.

            Masih segar lagi dalam ingatanku, ketika papa mengkhabarkan yang suamiku sedang berada di unit kecemasan (ICU). Menurut papa, suamiku mengalami ketumbuhan di otaknya. Hampir luruh jantungku mendengar berita itu. Airmataku mengalir mencurah-curah. Dalam hati aku berdoa, moga-moga suamiku cepat sembuh biarpun aku tahu, harapan itu amat tipis. Berhari-hari aku tidak ke kuliah, kerana asyik memikirkan keadaan suamiku. Segala apa yang kulakukan semuanya serba tak kena. Tidur malamku sering terganggu, malah aku juga tak terdaya untuk menjamah walau sedikit makanan sekalipun. Dalam hati aku memasang azam untuk pulang ke Malaysia. Aku nekad. Benar-benar nekad.

            Selang dua hari setelah mendapat berita yang menakutkan itu. Ketika itu, hanya Tuhan saja yang tahu betapa berkobar-kobarnya aku hendak pulang ke tanahair. Tiket penerbangan sudah ditempah. Namun, segala-galanya telah tersurat. Harapanku untuk pulang menemui suamiku musnah dalam sekelip mata. Ketika aku sedang bersiap untuk ke lapangan terbang, aku telah menerima panggilan telefon dari mama. Seluruh tubuhku menggigil sebaik kedengaran suara mama menangis teresak-esak.
            “Tika, Ery dah tak ada, sayang…” Kepala lututku menggeletar hingga aku tak mampu untuk berdiri lagi. Pandanganku turut berpinar-pinar dan kabur. Akhirnya aku rebah di lantai rumah sewaku. Aku telah dibawa ke hospital oleh rakan-rakan serumahku.

            Aku hanya tersedar selang beberapa hari kemudian. Menurut rakan-rakanku, aku tak sedarkan diri selama tiga hari. Puas aku memikirkan apa yang telah berlaku. Segala-galanya bagaikan mimpi. Aku bertegas untuk pulang ke tanahair, untuk mendapatkan kepastian tentang perkara yang sebenar. Namun pihak hospital tidak membenarkan kerana keadaanku yang lemah. Menurut doktor yang merawatku, aku nyaris kehilangan ‘hadiah’ istimewa yang diberikan oleh suamiku lima bulan yang lalu. Setelah keadaanku kembali stabil, barulah aku dibenarkan keluar dari wad. Tanpa membuang masa aku terus membuat tempahan tiket untuk pulang ke tanahair dan seterusnya menemukan aku dengan suamiku.

            “Tika,” tegur mama. Aku menoleh. Baru kusedar, aku tak bersendirian ke sini tadi. Aku telah ditemani kedua orang tuaku.
            “Sabarlah, sayang. Jangan menangis. Tak elok meratapi orang yang dah tak ada,” nasihat papa. Senaskah Surah Yasin diserahkannya kepadaku. Dalam esakan, aku menyedekahkan Al-Fatihah serta bacaan Surah Yasin buatnya. Di kala itu, aku dapat merasakan kehadiran suamiku di sisi sambil melihat aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran itu untuknya.

            Ketika ini, aku bagaikan orang yang baru tersedar dari lena yang panjang. Barulah aku dapat rasakan yang aku sedang berpijak di bumi yang nyata. Segala apa yang berlaku bukanlah satu mimpi yang sering kuharap-harapkan, tetapi ia adalah sebuah realiti yang tak boleh diubah lagi. Rupanya selama ini, aku hanya berada di alam khayalanku. Panggilan telefon darinya tempoh hari, serta kepulangannya ketika hujan lebat malam itu hanyalah mainan perasaanku semata-mata. Hakikatnya, dia sudah tiada. Dia telah pergi meninggalkanku, menyambut panggilan Yang Maha Pencipta. Benar katanya dalam khayalanku malam itu, yang kami bukan lagi seperti dulu. Dia sudah ada kehidupan lain. Kehidupan di satu alam yang cukup jauh dari bumi yang fana ini. Selesai membaca Surah Yasin. Pusara yang kering itu kusirami dengan air mawar. Seketika aku menguis tanah yang agak lembap itu, seolah-olah aku membelai dirinya.    
            “Tika, jom kita balik sayang,” ajak mama. Aku mengangguk kecil.

            Abang, Tika balik dulu. Cuti semester nanti Tika datang lagi melawat abang di sini. Damailah abang di sana. Tika akan sentiasa mendoakan kesejahteraan abang. Bisik hati kecilku. Perutku yang agak menonjol kuusap lembut. Abang, terima kasih di atas hadiah istimewa pemberian abang ni. Abang pernah berjanji yang abang akan berikan hadiah yang paling istimewa untuk Tika. Ternyata, abang memang seorang yang tepati janji. Tika akan jaga hadiah terakhir abang ni sebaik-baik yang mungkin. Tika akan menyayanginya sepertimana Tika menyayangi abang. Tika akan pastikan yang dia juga akan berjaya suatu hari nanti, sama seperti papa dan mamanya. Tika janji...
TAMAT

No comments:

Post a Comment