Wednesday, 22 August 2012

Cerpen - Dua Hati Jadi Satu

Ilustrasi : Pasangan Kembar Popular
Hollywood (Mary Kate & Ashley Olsen)
MUSIM LURUH mulai menutup tirai, untuk mempersilakan kehadiran musim salji. Di tepi jendela, aku sekadar menongkat dagu sambil menyaksikan Kota London yang sudahpun bertukar rupa, dari warna kekuningan daun-daun yang luruh ke warna putih. Seluruh bandar sudahpun diselaputi dengan salji. Warnanya yang memutih begitu memukau pandanganku. Pohon-pohon hijau turut diselaputi salji, bagaikan berdaun putih.
            Sejak akhir-akhir ini aku sering termenung, mengenangkan pujukan mama agar aku pulang ke tanahair dengan segera. Bukan aku tak mahu pulang, bukan aku tak rindukan keluargaku di sana. Tetapi hatiku masih terasa berbelah bahagi, kerana hajatku yang satu itu masih belum lagi tertunai. Pencarianku selama aku berada di bumi asing ini masih belum kutemui.
            Serta-merta peristiwa seminggu yang lalu menerjah ke mindaku. Sewaktu aku serta rakan-rakanku yang lain menghadiri ke masquerade party yang telah dianjurkan oleh salah seorang kenalan kami. Ketika itu, semua tetamu yang hadir dikehendaki memakai topeng. Dalam suasana sesak dan hiruk-pikuk itu, tiba-tiba aku terlanggar seorang gadis.
            “Hei, kau buta ke?” marah gadis itu. Aku yang terkejut dengan sergahan itu lalu menghampirinya.
            “Aku dah minta maaf! Apa lagi yang kau tak puas hati?” marahku pula. Kulihat dadanya juga berombak menahan amarah. Seketika kemudian, kami membuka topeng yang menutupi wajah kami serentak. Terserlah raut wajah masing-masing. Namun, alangkah terkejutnya aku sebaik melihat rupa paras gadis yang berada di hadapanku itu. Dia juga tersentak. Mulutnya sedikit terbuka. Lidah masing-masing kelu. Ketika itu, aku terasa seperti sedang memerhatikan diriku sendiri di cermin. Para hadirin yang menyaksikan pertengkaran kecil kami sebentar tadi turut terkejut.
            “Ya Tuhan! Wajah mereka serupa!” ucap salah seorang dari mereka. Tiba-tiba, muncul pula seorang jejaka Inggeris berambut perang dan tinggi lampai di situ.
            “Hei, sayang,” ucapnya, menerpa ke arahku. Dan aku tergamam apabila jejaka itu tiba-tiba memeluk dan mencium pipiku! Aku cuba melarikan wajahku dan terus menolak tubuhnya. Biadap sungguh lelaki ini! Sesuka hati dia melakukan adegan kurang sopan itu terhadapku! “Hei, kenapa ni?” soal jejaka itu kepadaku.
            “Jesse!” jerit gadis yang telah kulanggar sebentar tadi. Jejaka itu terkejut. Wajahku dan gadis tersebut dipandangnya bersilih ganti.
            “Lyssa?” ucapnya kepada gadis tersebut.
            “Dan siapa pula kau?” soalnya pula kepadaku. Dia kelihatan bingung. Tanpa kuduga, dia rebah. Gadis yang bernama Lyssa itu meluru mendapatkan jejaka tersebut yang telah terbaring di atas lantai. Aku yang ketika itu sedang kusut dan kebingungan terus meninggalkan majlis tersebut.
            “Siapa perempuan yang berwajah serupa macam kau tu?” soal Zetty sebaik tiba di apartment sewa kami. Aku mengetapkan bibirku kuat. Ya, sehingga ke hari ini, tiada seorang pun yang tahu tujuan sebenar aku menjejakkan kaki ke bumi England ini, termasuklah kedua orang tuaku. Mereka hanya tahu yang aku ke sini bertujuan untuk melanjutkan pengajianku sahaja.
            “Sebenarnya, Zett… tujuan aku ke sini bukan untuk sambung belajar semata-mata, tetapi untuk mencari ahli keluarga yang telah terpisah lama,” aku bermukadimah.
            “Ahli keluarga yang terpisah?” soal Zetty. Aku mengangguk. Sepanjang berada di sini, belum pernah aku menceritakan perihal keluargaku kepada sesiapapun, termasuklah Zetty yang begitu akrab denganku semenjak aku menjejakkan kakiku ke sini.
            Lalu aku menyingkap satu-persatu kisah keluargaku kepadanya. Selama ini, aku sering tertanya-tanya, kenapa wajah aku tampak lain, tak seperti wajah orang Melayu tulen sedangkan kedua orang tuaku adalah orang Melayu asli. Sehinggalah pada suatu hari, mama menceritakan kepadaku segala kisah yang telah menjadi rahsia dalam keluargaku selama ini. Ketika itu, usiaku sudah menjangkau enam belas tahun. Rupa-rupanya, sebelum mama berkahwin dengan ayah, dia pernah berkahwin dengan seorang lelaki berbangsa Inggeris dan dikurniakan sepasang kembar perempuan. Dan akulah salah seorang dari pasangan kembar itu. Tapi sayang, mahligai mereka tak bertahan lama. Akibat tidak sehaluan, mereka mengambil keputusan untuk berpisah. Saudara kembarku diambil dan dijaga oleh ayah kandungku manakala aku pula di bawah jagaan mama. Mama telah membawaku pulang ke tanahair sementara ayah kandungku pula terus tinggal di England ini bersama-sama dengan adik kembarku itu.
            Setelah pulang ke tanahair, mama telah berkahwin lagi dengan seorang lelaki Melayu yang juga merupakan rakan seuniversitinya sewaktu di England. Dialah lelaki yang kupanggil ‘ayah’ selama ini. Aku sama sekali tidak menyangka, lelaki yang kusangkakan ayah kandung yang sangat kusayangi selama ini rupa-rupanya hanyalah ayah tiriku. Kebetulan pula, namanya sama dengan nama Islam ayah kandungku. Namun aku bersyukur, kerana lelaki yang kupanggil ayah itu telah memberikan kasih sayangnya yang tak berbelah-bahagi kepadaku. Sejak dari kecil lagi aku ditatangnya bagaikan minyak yang penuh, seperti anak kandungnya sendiri.
            Setelah mengetahui duduk perkara sebenar, tiba-tiba aku merasa terpanggil untuk menyelesaikan masalah keluargaku ini. Aku cuba berusaha keras, belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengikut jejak-langkah kedua orang tuaku melanjutkan pengajian ke England seterusnya bertekad untuk mencari ayah kandung dan saudara kembarku itu. Dalam hati aku berdoa agar ayah kandungku tidak kembali semula ke agama asalnya dan saudara kembarku itu tidak dididiknya dengan ajaran agama Kristian!
            “Hmm… patutlah rupa kau tu nampak lain. Wajah Pan Asian! Rupa-rupanya ada darah campuran Inggeris,” ujar Zetty. Aku tersenyum.
            “Itulah, aku pun tak sangka darah yang mengalir dalam tubuhku sekarang ni ada darah orang putih,” ujarku diiringi ketawa kecil.
            “Jadi sekarang, apa tindakan kau yang seterusnya untuk mencari ayah kandung kau?” soal Zetty lagi bertubi-tubi.
            “Pertama sekali, aku nak siasat dulu tentang Lyssa. Kalau boleh aku nak tahu di mana dia tinggal.”
            “Kau benar-benar pasti ke yang Lyssa tu adik kembar yang kau cari selama ni?” Aku menjungkitkan bahu.
            “Aku tak pasti, tetapi naluri aku kuat mengatakan yang Lyssa itulah adik kembar yang kucari selama ni! Lyssa, Shania Alyssa Binti Yusuf, itulah nama penuh adik kembarku…”

*****
DUA HARI kemudian, aku cuba menjejaki gadis tersebut. Aku ingin mengetahui latar-belakangnya. Demi untuk mengetahui identitinya, aku sanggup masuk ke kelab malam dan pub, di mana tempat yang sering dikunjungi oleh gadis tersebut. Namun, sebaik mengetahui dirinya diekori, terus dia memberi amaran dan mengugut aku agar aku berhenti dari terus mengekorinya. Semenjak dari itu, aku seakan putus harapan untuk mengenali gadis yang bernama Lyssa itu.
            Namun, bagaikan pucuk dicita, ulam yang mendatang. Tiba-tiba hari ini dia muncul di Lite & Easy CafĂ©, di mana tempat aku bekerja.
            “Shara!” Zetty yang muncul entah dari mana, menyapaku sekaligus membuatkan lamunanku mati. “Berangan lagi!” tegurnya.
            Ada pelanggan yang tak diduga datang, di meja sepuluh,” ucap Zetty. Aku mengerutkan dahi bersama kening yang sedikit terangkat. Lantas aku menjengukkan kepala di ruang kafe. Dadaku berdegup kencang sebaik terlihat seorang gadis sedang duduk di salah sebuah meja di ruang kafe tersebut.
            “Dia memesan hot coffee latte dengan double choc muffin. Aku rasa, pasti ada tujuan dia ke sini. Nanti kau tolong hantarkan pesanannya, ya!” ujar Zetty dan terus berlalu dari situ. Aku menghelakan nafas berat. Apa tujuannya ke sini?
            Aku ke meja di mana gadis itu sedang duduk, sambil membawa kopi dan muffin coklat yang dipesannya.
            “Pesanan awak, hot coffee latte dengan double choc muffin,” ucapku. Tanpa memandang ke arahnya, aku menghidang menu yang dipesan itu tadi di atas meja dan lantas mengatur langkah untuk meninggalkannya.
            “Boleh kita cakap sebentar?” soalnya, mematikan langkahku. Lalu aku memaling semula memandangnya. Di kala itu, aku teringat akan kata-katanya yang berbaur amaran dan ugutan tempoh hari, supaya aku tidak mengganggunya lagi. Ditambah dengan campur tangan rakan-rakannya membuatkan hatiku tersayat pilu biarpun perasaanku kini bagaikan melonjak gembira kerana dia sudi datang untuk bertemu denganku.
            “Maaf, Lyssa. Aku sedang bekerja sekarang ni,” ucapku bersahaja. Sengaja aku mahu berjual mahal dengannya. Merajuklah konon!
            “Atau mungkin lepas waktu kerja? Pukul berapa kau habis bekerja?” soalnya. Aku mengeluh berat.
            “Mungkin lewat malam. Itu pun kalau kau sanggup tunggu,” ujarku lagi dan terus berlalu dari situ.
            “Apa dia cakap kat kau?” soal Zetty yang asyik terjenguk-jengukkan kami di sebalik meja bar. “Tak ada apalah,” ucapku. Dengan lincah tanganku mengelap cawan-cawan porselin di satu sudut sambil mataku memerhatikan gadis itu yang sedang enak menikmati muffin coklatnya. Dia gemarkan kopi dan coklat rupanya. Samalah sepertiku.
            “Kenapa kau tak nak jumpa dengannya? Bukan ke selepas peristiwa malam tu, kau yang beria-ia sangat nak tahu identiti budak tu?” soal Zetty. Aku mengeluh lagi.
            “Entahlah, Zett. Aku masih sakit hati dengan perbuatannya hari tu. Dia ugut aku tu satu hal, siap bawa gang lagi. Yang paling aku tak boleh terima, sanggup dia tengking aku depan orang ramai. Terjerit-jerit sampai semua orang pandang.”
            “Cara kau nak dekati dia tu yang salah. Yang kau ikut dia macam penculik tu, fasal apa? Buatnya nanti dia buat laporan polis, mengatakan kau selalu ekori dia, macam mana?” bebel Zetty. Aku terdiam sementara tanganku begitu kusyuk dengan kerja membersihkan cawan-cawan di rak tersebut.
            “Shara!” panggil Puan Carol, pengurus kafe tersebut. Ketika itu aku sedang menyudahkan kerja di bar. “Ada orang nak jumpa,” ucapnya.
            “Tapi sekarang ni bukankah waktu kerja, puan?” soalku. Puan Carol tersenyum.
            “Tak apa, Shara. Tinggalkan dulu kerja awak tu. Pergilah jumpa dengannya sekejap. Tak baik buat orang kecewa. Lagipun, dia jugak salah seorang pelanggan kita. Jangan hampakan dia,” ujar Puan Carol lagi. Aku mengeluh berat. Nak tak nak, terpaksalah aku bersemuka dengan Lyssa, memandangkan itu juga merupakan satu arahan dari majikanku.
            “Shara!” panggil Puan Carol lagi. “Wajah awak betul-betul serupa dengan wajahnya! Adik-beradik ke?” soalnya sambil tersengih-sengih. Aku tersenyum kecil bersama jungkitan bahu lalu terus melangkah menghampiri gadis itu.
            Ada apa kau nak jumpa dengan aku ni?” soalku mendatar. Dia mendongak, memandangku. Seketika mata kami bertentangan.
            Ada perkara yang aku nak cakap dengan kau. Silakan duduk,” pintanya. Tanpa membuang masa, aku melabuhkan punggungku di kerusi bertentangan dengannya. Seketika kemudian, Zetty datang bersama secawan hot coffee latte yang juga merupakan minuman kegemaranku di kafe ini.
            “Terima kasih,” ucapnya kepada Zetty. Semakin hairan aku. Zetty tersenyum manis lalu mengenyitkan matanya ke arahku.
            “Minumlah. Aku yang pesankan minuman tu untuk kau. Aku pasti, kau jugak sukakan kopi, kan?” ucapnya lagi.
            “Okey Lyssa, apa yang kau nak cakapkan?” soalku. Dia tersenyum nipis.
            “Aku pasti yang kau tahu tujuan aku ke sini untuk bertemu dengan kau, sama jugak dengan tujuan kau mengekori aku tempoh hari, bukan?” Aku mengerutkan dahi, berpura-pura tidak mengerti.
            “Aku tak tahu apa tujuan kau hendak berjumpa denganku, tetapi macam mana kau boleh tahu tujuan aku mengikuti kau hari tu?” Dia tersenyum. Lantas dikeluarkannya sesuatu dari tas tangannya. Seketika, dia menyerahkan sekeping gambar kepadaku. Mataku terbeliak sebaik melihat gambar tersebut. Gambar mamaku sedang memangku seorang bayi. Di sebelahnya terdapat seorang lelaki Inggeris yang juga sedang meriba seorang bayi yang wajahnya serupa dengan bayi yang dipangku oleh mama.
            “Mama?” sahutku. Lama aku menatap gambar itu sebelum mengalihkan pandanganku ke arah Lyssa.
            “Dari mana kau dapat gambar ni?” soalku. Dia menghelakan nafas perlahan.
            “Dari mama aku. Err… maksud aku Mama Rose, isteri kedua papa aku. Cuba kau teka, siapa yang berada di pangkuan papa aku dan siapa pula yang berada di pangkuan wanita di sebelahnya itu?” soalnya. Sekali lagi kurenung potret keluarga tersebut bersama kerutan di dahi. Seketika aku menggeleng. Sukar untuk kubezakan antara kedua-dua bayi di dalam gambar tersebut.
            “Yang bersama wanita itu adalah aku, manakala yang bersama papaku itu adalah kakak kembarku,” ucapnya.
            “Wanita yang berada di dalam gambar ini adalah mama aku, Lyssa,” ujarku pula. Dia mengangguk. “Ya, mama aku jugak,” ucapnya perlahan. Lama kami mendiam, sambil memandang antara satu sama yang lain. Senyuman terukir di bibir masing-masing. Kucapai tangan Lyssa lalu kugenggamnya erat.
            “Kita adik-beradik, Lyssa,” ucapku.
            “Ya, kakak…” ucapnya pula. Sayu hatiku apabila dia memanggilku dengan panggilan kakak. Kami bangun lalu saling berpelukan. Lama kami berkeadaan begitu
sambil menangis, melepaskan rindu yang sarat di dada. Berkali-kali Lyssa memohon maaf dariku di atas kekasarannya sebelum ini.
            “Papa apa khabar? Aku nak sangat berjumpa dengan papa,” kataku setelah pelukan kami terlerai dan kembali duduk ke kerusi untuk menghabiskan minuman kami. Seketika dia menundukkan wajah. Kulihat airmatanya berlinangan. Lantas kuraih semula tangannya. “Kenapa, Lyssa?” soalku. Wajahnya tampak sendu.
            “Shara, papa dah tak ada. Dia dah meninggal dua tahun yang lalu,” ucap Lyssa. Aku mengetap bibirku kuat, menahan sedih. Spontan, mutiara-mutiara jernih menitis keluar dari tubir mataku. Aku benar-benar kesal dan kecewa kerana tak berkesempatan untuk mengenali ayah kandungku.
            “Sekarang ni, aku hanya ada Mama Rose. Mama Rose pula sedang menderita kanser. Menurut doktor, Mama Rose tak boleh hidup lama lagi. Sejak mengetahui hal itu, aku rasakan yang hidup aku ni dah tak ada makna lagi, Shara. Orang-orang yang aku sayang semua akan tinggalkan aku. Bila Mama Rose dah tak ada nanti, aku akan keseorangan. Aku akan hilang tempat untuk bergantung hidup. Sebab itulah aku setuju untuk berkahwin dengan Jesse setelah Mama Rose pergi nanti. Tetapi, Jesse pula enggan memeluk Islam, dan sebaliknya menyuruh aku mengikuti agamanya,” Lyssa bercerita panjang. Dalam rasa simpati, ada sesuatu yang menarik perhatianku dengan kisah yang diceritakannya itu.
            “Lyssa, papa masih Islam? Lyssa dan Mama Rose jugak Islam?” soalku. Lyssa mengangguk. Alhamdulillah. Aku menarik nafas syukur.
            “Lyssa, siapa kata kau akan keseorangan? Kau masih ada aku. Dan apa yang paling penting, kau masih ada mama. Mama kandung yang telah mengandung dan melahirkan kita,” pujukku. Dia mengangguk perlahan.

*****
PADA keesokan harinya, Lyssa telah membawaku berjumpa dengan Mama Rose, iaitu ibu tiri yang telah membela dan membesarkan adik kembarku selama ini.
            “Mama, ini Shara Elliya,” Lyssa memperkenalkan aku kepada Mama Rose. Melihat keadaan wanita separuh abad itu, aku menjadi hiba. Pilu hatiku melihat dirinya yang hanya berkerusi roda. Tubuhnya terlalu kurus, wajahnya cengkung. Matanya terpelosok ke dalam. Dengan penuh hormat, aku menyalami Mama Rose. Kedua belah pipinya kucium dengan penuh rasa kasih. Ya, ibarat kasih seorang anak terhadap ibunya biarpun Mama Rose hanyalah ibu tiriku. Mama Rose meraih tubuhku dalam dakapannya. Kami menangis sambil berpelukan.
            “Lyssa tunggu di luar, ya. Mama ada sesuatu nak cakap dengan Shara,” ujar Mama Rose lemah. Tinggallah aku dan Mama Rose berdua di kamar yang suram itu. Aku tersenyum sambil duduk melutut di sisi kerusi rodanya. Kuurut perlahan kakinya yang kurus itu. Dia tersenyum. Kepalaku diusapnya mesra. Seketika, rasa rindu terhadap mama yang berada di tanahair terubat dengan belaian ibu tiriku itu.
            “Semasa hayatnya dulu, papa pun teringin sangat hendak berjumpa dengan Shara dan mama Shara. Dia nak minta maaf di atas segala perbuatannya dulu. Tetapi sayang, hayatnya tak panjang. Hajatnya itu tak kesampaian,” cerita Mama Rose
            “Mama, Shara dah lama maafkan papa. Shara jugak yakin yang mama Shara juga telah memaafkan dia,” ucapku lalu melirikkan mataku ke arah bingkai gambar yang menempatkan potret seorang lelaki yang umurnya pertengahan lima puluhan. Potret papa yang tampak segak dengan pakaian formalnya.
            “Shara, bila mama dah tak ada nanti, Shara tolong jagakan Lyssa. Bawalah dia pulang ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan ibu kandungnya. Mama tak mahu hidupnya sunyi setelah ketiadaan mama nanti. Apa yang paling mama takutkan, dia akan mengikuti Jesse. Mama tak mahu dia tinggalkan Islam, Shara,” pesan Mama Rose dalam keadaan menggeletar. Aku menggeleng perlahan.
            “Ya, mama. Shara akan pastikan yang itu takkan berlaku, insyaAllah. Sememangnya, tempat Lyssa adalah di sisi ibu kandungnya. Shara takkan biarkan Lyssa hilang tempat bergantung, walhal dia masih ada keluarga di Malaysia.” Mama Rose tersenyum lega mendengar kata-kataku itu.
            “Shara janji akan jaga Lyssa, mama…”
            Di ruang tamu, kelihatan Lyssa sedang berdiri di tepi tingkap sambil memerhatikan suasana di luar.
            “Lyssa,” sapaku. Dia menoleh.
            “Aku dah dengar semuanya, Shara,” ucapnya. Aku mengangguk lemah.
            “Shara, kau rasa mama kita tu masih sudi menerima aku?” soalnya. Aku memandangnya kehairanan.
            “Sudah tentu, Lyssa. Kalau kau nak tahu, mama amat rindukan kau selama ni. Aku selalu nampak dia termenung sambil merenung gambar kau semasa bayi,” ujarku.
            “Mana kau tahu, bayi di dalam gambar itu adalah aku?”
            “Mama sendiri yang beritahu aku. Dia telah ceritakan segala-galanya kepadaku. Maka sebab itulah aku kini berada di sini.”
            “Kau pasti mama boleh terima aku dalam keadaanku yang macam ni?” soalnya lagi. Aku mengerutkan dahi, kurang mengerti.
            “Apa maksud kau?” soalku pula. Dia terdiam seketika sebelum menjawab.
            “Shara, aku ni kotor. Kau tahukan, kehidupan aku di sini tak sama dengan kehidupan di tempat kau. Kami di sini terlalu bebas bergaul tanpa batas, tanpa memikirkan dosa. Aku selalu ke kelab-kelab malam. Aku selalu minum. Malah sudah beberapa kali juga aku terlanjur, dengan bekas kekasih aku, dengan Jesse. Aku dah tak suci lagi, Shara,” ucapnya lirih. Aku tercengang. Rasa nak pitam mendengar pengakuan kembarku itu. Seketika aku mengeluh berat lalu beristighfar panjang.
            “Lyssa, sesungguhnya pintu taubat itu sentiasa terbuka. Masih ada waktu lagi untuk kau minta ampun dari ALLAH dan perbetulkan keadaan. Yang berlalu tu biarlah berlalu. Jadikan ia sebagai iktibar. Tentang penerimaan mama, kau janganlah risau. Tak ada ibu yang sanggup buang anaknya. Aku yakin, mama tetap akan terima kau walau dalam apa jua keadaan sekalipun,” pujukku, meyakinkannya.

*****
SUASANA di Lite & Easy CafĂ© hari itu cukup lengang, tidak ramai pelanggan yang berkunjung di situ. Di ruang bar, aku dan Zetty begitu ceria sambil mulut kami becok bercerita. “Menarik cerita kau ni. Boleh dibuat filem!” ucapnya, mengulas tentang kisah aku dan Lyssa.
            “Hmm… panjang pun umur. Baru sebut, dia dah muncul,” ucap Zetty, memuncungkan bibirnya ke pintu masuk kafe. Kualihkan pandangan mataku. Kelihatan Lyssa sedang melangkah menghampiriku di bar.
            “Hai, Shara,” sapanya. Aku tersenyum, membalas sapaannya itu.
            “Sibuk ke?” soalnya. Aku menggeleng.
            “Tak, tapi tetap kena kerja jugak,” ujarku.
            “Malam ni, kau ada apa-apa hal?” soalnya. Aku memandangnya bersama kerutan di dahi, sebelum menggeleng.
            “Tak ada. Kenapa?” soalku.
            “Aku nak ajak kau keluar,” jawabnya.
            “Nak ke mana?”
            “Alah, ikut ajalah. Jangan lupa, malam ni, okey?” ucapnya dan terus berlalu. Aku sekadar memerhatikannya yang sedang melangkah meninggalkan kafe dengan perasaan hairan. Ke manalah dia mahu bawa aku? Hatiku bertanya sendiri.
            Malam itu, seperti yang dijanjikan Lyssa menjemputku di apartment kediamanku. Aku hanya mengikut ke mana saja dia hendak membawaku malam itu. Beberapa minit kemudian, kereta yang dipandu Lyssa berhenti, betul-betul di hadapan sebuah pub. Aku sedikit kaget.
            “Lyssa, aku tak biasalah datang ke tempat-tempat macam ni,” ujarku, kurang selesa. Lyssa tersenyum.
            “Alah, sekali ni aja. Aku nak kenalkan kau dengan kawan-kawan aku. Takkan tak biasa? Hari tu yang kau ikut aku tu, boleh? Kalau kau segan dengan kawan-kawan aku, kau cuma duduk diam saja, okey? Kalau ada lelaki-lelaki yang cuba nak kacau kau, buat tak tahu aja.” Aku hanya terdiam bersama keuhan kecil.
            “Jangan takut. Aku akan lindungi kau,” ucapnya lagi sambil menggenggam kuat tanganku.
            Dari jauh, aku memerhatikan Lyssa menari terhenjut-henjut mengikut rentak muzik yang berkumandang. Aksi lincahnya itu menjadi tumpuan para pengunjung pub. Aku menghelakan nafas berat. Beginikah kehidupannya selama ini? Tidakkah arwah papa dan Mama Rose memantau setiap tindak-tanduk Lyssa? Aku hanya beristighfar dalam hati. “Hai, Shara,” sapa seorang lelaki Inggeris. Aku menoleh. Ya, aku masih ingat lelaki ini. Lelaki yang aku jumpa sewaktu pertama kali aku bersua muka dengan Lyssa kira-kira tiga minggu yang lalu.
            “Apa kau buat kat sini? Bukan ke sepatutnya kau pergi menari dengan Lyssa di sana?” soalku sedikit dingin. Dia tersenyum. Ah, senyumannya cukup manis dan menggoda. Mungkin kerana senyuman itulah, Lyssa jatuh hati terhadapnya.
            “Tak apalah. Biar dia menari dengan orang lain. Err… aku nak berkenalan dengan kau,” ucapnya. Aku memandang lelaki itu dengan pandangan yang jelek.
            “Perlu ke?”
            “Salah ke aku nak mengenali bakal kakak ipar aku?” soalnya selamba. Ah, tolonglah! Perkara itu takkan berlaku. Aku akan pastikan bukan kau yang menjadi adik iparku! Getusku dalam hati.
            “Jom kita menari,” ajaknya setelah kami menyepi buat seketika.
            “Maaflah, aku tak pandai menari,” helahku.
            “Itu tak jadi masalah. Aku boleh ajar. Jom,” ajaknya lagi. Kali ini, dia lebih berani memegang tanganku. Dengan perlahan aku melepaskan pegangan tangannya.
            “Tak apa, terima kasih. Aku bukan sahaja tak pandai, tetapi aku jugak tak suka menari.” Dia ketawa sinis, mendengar kata-kataku itu.
            “Kau seorang yang membosankan. Kau tak macam Lyssa,” ucapnya, menyakiti hatiku. “Ya, memang aku seorang yang membosankan. Jadi, apa masalahnya?” soalku sedikit angkuh. Air coke yang masih tinggal separuh gelas kuteguk sedikit demi sedikit hinggalah hampir habis.
            Beberapa minit kemudian, tiba-tiba aku terasa kepalaku berat. Pandanganku turut berpinar-pinar. Argh! Kenapa dengan aku ni? Dalam keadaan tidak bermaya, tubuhku rebah di atas sofa empuk itu. Dan di saat itu, terasa tubuhku disambut seseorang. Dahiku juga terasa seperti diusap lembut. Dalam pandanganku yang berbalam-balam, aku dapat menangkap wajah Jesse sedang tersenyum ke arahku. Senyuman yang menjengkelkan.
            “Jesse, apa yang kau cuba buat ni?” Dalam keadaan mamai, aku masih dapat menangkap dengan jelas suara Lyssa memarahi Jesse.
            “Apa?” soal Jesse kembali tanpa menjawab pertanyaan Lyssa.
            “Apa yang kau cuba buat pada kakak aku?” herdik Lyssa lagi.
            “Tak ada apa-apa.”
            “Bohong! Kau jangan tipu. Kau tengok keadaan dia! Dia lemah! Apa yang dah kau berikan kepadanya?”
            “Macam biasa, seperti yang pernah aku buat kepada kau dulu.”
            “Berani kau cuba nak sentuh kakak aku!” Jesse ketawa.
            “Lyssa sayang, aku tahu kau cemburu, bukan?”
            “Bukan sekadar cemburu, tetapi aku marah sebab kau cuba ambil kesempatan ke atas Shara! Jesse, tolonglah! Tolong jangan apa-apakan dia. Dia masih suci. Tolong jangan libatkan kakak aku dengan dunia kotor kita ni. Aku tak mahu perkara yang sama berlaku ke atasnya. Kau dah janji takkan sentuh dia, kan?” rayu Lyssa. Kepalaku semakin berat sehingga aku tidak berupaya untuk mengangkatnya. Ya ALLAH, selamatkanlah aku dari neraka dunia ini. Dalam keadaan tak bermaya, aku hanya mampu berdoa agar aku dilindungiNya.
            “Shara…” Terasa ada tangan lembut mengusap kepalaku. Kucuba buka mataku yang memberat. Kepalaku turut masih terasa berdenyut-denyut.
            “Shara, bangun. Aku ni, Lyssa,” kedengaran suara Lyssa mengejutkanku. Akhirnya aku berjaya membuka mataku. Terserlah wajah sunggul Lyssa.
            “Kat mana ni?” soalku lemah.
            “Apartment kau,” ucap Lyssa. Aku cuba bangun dari sofa. Lyssa turut memapah tubuhku. Terasa denyutan di kepalaku kian menyucuk-nyucuk.
            “Aduh! Kepala aku… arrgh!”
            “Maafkan Lyssa, kak. Lyssa tak sepatutnya bawa kakak ke tempat tu,” ucapnya berbaur kesal. Seketika kelihatan Zetty menghampiri kami dengan membawa segelas air putih. Diserahkannya gelas itu kepada Lyssa lalu disuakannya gelas itu kepadaku. Dengan teragak-agak aku menyisip perlahan air putih itu. Lyssa tersenyum.
            “Jesse telah meletakkan pil khayal ke dalam minuman kau. Dia nak ambil kesempatan ke atas kau. Tak cukup dengan apa yang pernah dia buat kepadaku dulu, sekarang ni dia nak lakukan benda yang sama ke atas kau pula. Tapi kau jangan risau, dia tak sempat berbuat apa-apa. Aku telah berjaya bawa kau keluar dari tempat tu tadi,” ucap Lyssa lagi. Ah, aku sudah menjangkakannya. Jesse bukanlah seorang lelaki yang baik. Memang patut Mama Rose dan arwah papa menentang hubungannya dengan Lyssa. Lelaki jahat seperti Jesse memang patut dijauhi.

*****
SEMENJAK dari peristiwa itu, Lyssa tidak lagi kuhubungi. Malah dia juga tidak lagi ke Lite & Easy Café untuk bertemu denganku. Aku buntu. Patutkah kami terus begini? Menjauhkan diri akibat terlalu menyesal dengan kesilapan masing-masing? Namun jauh di sudut hati, ada rindu yang terpendam. Malahan juga ada perasaan risau. Aku khuatir Lyssa akan terus hanyut. Amanat Mama Rose bagaikan menyesakkan lagi fikiranku.
            Hinggalah aku menerima satu berita sedih lewat malam tadi. Mama Rose telah pergi menyambut panggilan Ilahi. Lemah-longlai kepala lututku menerima perkhabaran itu. Fikiranku terus teringatkan Lyssa. Pastinya gadis itu memerlukan seseorang di kala ini. Teksi yang kunaiki berhenti di kawasan tanah perkuburan Islam, di mana tempat Mama Rose disemadikan. Zetty yang menemaniku memimpin tanganku menuju ke pusara yang masih dikerumuni oleh orang ramai itu. Dari jauh aku melihat Lyssa sedang menangis sambil ditenangkan oleh seseorang. Sebaik terlihat kami, terus dia berlari mendapatkanku. Dia menangis teresak-esak dalam pelukanku.
            “Shara, mama dah tak ada! Dia dah tinggalkan aku…” Lyssa mengongoi di bahuku. Begitu sayu sekali. Aku yang bagaikan tak mampu menahan rasa sedih turut menangis sambil mengusap belakang adik kembarku itu. Sememangnya sejak malam tadi lagi aku menahan tangis sebaik mendapat berita tentang pemergian Mama Rose.
            Lyssa, kakak akan jaga Lyssa seperti yang telah diamanahkan oleh Mama Rose. Kakak akan bawa Lyssa pulang ke pangkuan keluarga kita. Tempat kau bukan lagi di sini, tetapi di bumi bertuah Malaysia. Kakak pasti, mama dan ayah sedang menunggu kepulangan kita di sana. Bisik hatiku.
*****
DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR. Selesai menjalani pemeriksaan imegresen dan kastam, kami menolak troli yang sarat dengan bagasi menuju ke terminal ketibaan. Aku memandang Lyssa. Gadis itu tampak ayu dengan baju kurung yang tersarung di tubuhnya. Dia hanya mendiam semenjak di dalam kapal terbang tadi. Aku tahu akan gelodak perasaan yang sedang melanda dirinya itu. Lantas aku meraih tangannya, cuba memberi kekuatan serta menghilangkan rasa gemuruh dalam jiwanya. Namun hatiku juga tidak dapat lari dari merasa gentar, kerana aku tidak memaklumkan tentang Lyssa kepada mama. Malah aku juga tidak memberitahunya yang aku pulang membawa saudara kembarku ini. Agaknya, bagaimanalah penerimaan mama nanti bila melihat pasangan kembarnya berada di depan mata?
            Mama dan ayah berada betul-betul di pintu keluar terminal ketibaan. Dari jauh dapat kulihat mereka tersenyum sambil melambaikan tangan. Namun seketika, jelas tergambar riak terkejut di wajah mereka. Lyssa pula masih dengan kebisuannya. Mereka tercengang sebaik kami berada betul-betul di hadapan mereka. Tangan mama kucapai lalu kucium lama. Tubuh mama turut kupeluk erat. Mama membalas pelukanku.
            “Shara…” ucap mama sepatah. Dia bagaikan sukar untuk meluahkan kata-katanya. “Mama, Shara dah balik. Shara bawakan hadiah istimewa buat mama,” ucapku. Pelukan terlerai. Wajah mama tampak bingung. Hanya ayah yang mampu tersenyum. Aku turut tersenyum, lalu meraih lengan Lyssa.
            “Mama, ini Lyssa. Shania Alyssa Binti Yusuf, puteri mama yang mama rindukan selama ni,” ucapku lirih. Mama masih terdiam. Kelu.
            “Lyssa, inilah mama kita,” aku perkenalkan mama kepada Lyssa. Dengan teragak-agak, Lyssa menghulurkan tangannya kepada mama untuk bersalaman.
            “Mama,” panggil Lyssa perlahan. Dalam sekelip mata, tubuh Lyssa sudahpun berada di dalam dakapan mama.
            “Ya ALLAH, Lyssa anak aku. Syukur alhamdulillah, Tuhan telah makbulkan doa mama. Mama rindukan Lyssa…” ucap mama dalam esakan. Bibirnnya tak putus-putus mengucap syukur ke hadrat Ilahi.
            “Lyssa pun rindukan mama. Tolong jangan tinggalkan Lyssa lagi, mama.”
            “Tak, sayang. Maafkan mama. Mama janji takkan tinggalkan Lyssa lagi.” Mereka menangis semahu-mahunya sambil berpelukan. Aku yang berada dalam pautan ayah hanya mampu memandang mereka dengan linangan air mata. Sayu hatiku menyaksikan pertemuan antara ibu dan anak itu.
            Di dalam kamar beraduku, Lyssa duduk termenung di birai katil. Lantas aku mengambil tempat di sisinya.
            “Lyssa, kenapa ni?” soalku lembut.
            “Shara, aku sama sekali tak menyangka semua ni boleh berlaku. Segala-galanya bagaikan mimpi, Shara. Aku bersyukur kerana diketemukan dengan keluargaku di sini. Dan yang paling aku terharu, mama dan ayah menerima kehadiranku di sini,” luahnya. Aku tersenyum lalu mengusap ubun-ubunnya.
            “Mulai hari ni, kita akan tinggal di sini sebagai sebuah keluarga. Di sini tempat kau sekarang, Lyssa. Lupakan kesemua kisah hitam kau semasa di England dulu. Kita mulakan kehidupan baru kita di sini.”
            “Ya, tempat aku sekarang di sini bersama kau, mama dan ayah.”
            “Kita ni adik-beradik kembar, Lyssa. Kita diibaratkan sebagai sepasang sepatu. Kalau hilang sebelah, tak mungkin seseorang itu boleh melangkah dengan hanya memakai sebelah sepatu sahaja. Begitu jugalah dengan mama. Dia memerlukan kita berdua supaya dia dapat menjalani kehidupannya dengan sempurna. Kita berdua adalah permata hati mama,” terangku. Lyssa hanya mendiam. Seketika kemudian, dia mengangguk tanda faham. Dan buat kesekian kalinya, kami saling berpelukan. Dalam hati aku memanjatkan rasa syukur yang tak terkata kerana telah menyatukan semula dua hati kami yang telah lama terpisah ini.

TAMAT

Friday, 25 November 2011

Cerpen Paranormal - Gadis Di Stesen Keretapi

PERADUAN MENULIS CERPEN PARANORMAL
OLEH KOMUNITI E-NOVEL


TEPAT pukul tujuh pagi. Aku sudahpun bersiap untuk ke pejabat. Sebaik aku keluar dari bilik, kelihatan rakanku Suria sudah terkocoh-kocoh hendak keluar.
            “Dah nak pergi dah?” soalku.
            “Ya, nak pergi. Raziq dah tunggu aku kat bawah tu. Aku pergi dulu, ya. Kau tu hati-hati naik train,” pesannya ketika sedang menyarung sepatunya di muka pintu. Tidak sampai beberapa saat, kelibat Suria sudahpun hilang dari pandangan.
            Tanpa membuang masa, aku juga keluar meninggalkan flat yang baru kami diami dua hari yang lalu, khuatir aku akan lewat masuk ke pejabat nanti. Maklumlah, ini merupakan hari pertama aku dan Suria ke pejabat dari rumah sewa kami setelah sebulan menumpang di rumah ibu saudaraku di Kampung Kerinchi.       
            Selain bas, pengangkutan awam yang ada berdekatan dengan rumah sewa kami adalah KTM Komuter. Memandangkan aku masih baru tinggal di sini, keretapi komuter menjadi pilihan utamaku. Lebih mudah walaupun sering padat dengan penumpang. Aku akan berhenti di Stesen Sentral Kuala Lumpur untuk menaiki LRT Putra pula untuk sampai ke pejabat.
            Aku terpaksa melalui sebuah kawasan perumahan setinggan untuk ke stesen keretapi berdekatan. Di hujung kawasan setinggan tersebut, tidak jauh dari stesen keretapi terdapat sebuah rumah tinggal yang sangat usang. Ketika aku melalui rumah usang itu di awal pagi, memang tak terasa apa-apa yang pelik. Namun ketika aku pulang dari pejabat, lain pula rasanya apatah lagi setelah senja melabuhkan tirainya. Entah mengapa ketika aku melintasi rumah tersebut, tiba-tiba terasa bulu romaku berdiri tegak. Kakiku terasa berat hendak meneruskan langkah. Aku membaca sepotong ayat Qursi serta berdoa kepada Yang Maha Esa agar melindungi aku dari sebarang ancaman dan bahaya selain melenyapkan rasa takut yang kian mencengkam.

***
PADA MALAM ITU, aku dan Suria hanya duduk menonton televisyen di ruang tamu sambil berbual kosong.
            “Macam mana hari ni? Okey tak naik train? Pukul berapa sampai office?” soal Suria. “Okey. Alhamdulillah, aku sampai awal dua puluh minit sebelum waktu pejabat bermula,” jawabku. Suria tersenyum meleret.
            “Kesian kau, terpaksa naik train seorang diri. Bukan aku tak nak pergi sama dengan kau, tapi Raziq yang tak benarkan aku naik train, apa lagi KTM Komuter. Sebab tu dia sanggup jemput dan hantar aku.”
            “Untung kau dapat tunang macam Raziq tu. Sanggup jemput dan hantar kau pergi-balik pejabat,” ujarku. Suria ketawa kecil.
            “Alah, janganlah sedih. Tak apa, lagi setahun Raziq nak beli kereta, dah tak nak pakai motor lagi dah. Nanti boleh kau tumpang sekali. Lagipun, office kau dengan office aku taklah jauh mana. Sehala aja,” pujuknya. Aku pula tersenyum meleret.
            “Setahun? Lamanya! Jangan-jangan dalam masa setahun ni, aku dah ada ‘seseorang’ yang boleh jemput dan hantar aku macam kau!” aku berseloroh. Suria ketawa lagi. “Baguslah kalau macam tu. Cari ‘seseorang’ tu cepat! Nanti tak payah kau susah-susah naik train lagi.”
            Kami masuk tidur awal pada malam itu memandangkan masing-masing masih keletihan setelah membersih dan mengemas rumah selama dua hari sebaik kami masuk ke rumah sewa ini.
            “Tolong! Tolong!” Kelihatan kelibat seorang gadis sedang meronta-ronta sambil menjerit. “Diam! Diam!” Kedengaran pula suara lelaki bengis mengherdik gadis itu. Lelaki itu menerkam tubuh si gadis, namun si gadis itu tetap cuba berentap. Dengan sekuat tenaga yang ada dia cuba meloloskan dirinya dari cengkaman lelaki berbadan sasa itu. “Tolong jangan apa-apakan aku! Tolong jangannn!!!”
            “Diam aku kata!” Pang! Satu tamparan hinggap ke pipi gadis itu. Namun dia tetap tidak berputus asa, cuba bergelut demi mempertahankan dirinya dari terus menjadi mangsa kerakusan lelaki itu.
            “Aaaarrrrgghh!!!!” Gadis itu menjerit nyaring.
            Aku tersedar. Spontan aku terduduk di tempat pembaringanku. Dadaku berdegup kencang. Peluh memercik, membasahi dahi. Aku beristighfar panjang. Pelik. Kenapa pelik sungguh mimpi aku kali ini? Puas aku memikirkan apa maksud mimpiku tadi? Dan sekali lagi aku tersentak dengan suara azan subuh yang berkumandang di surau berdekatan.
            Aku menceritakan tentang mimpi ngeri yang kualami malam tadi kepada Suria pagi itu. “Suria, malam tadi kau ada mimpi pelik tak?” soalku. Suria menggeleng bersama dahi yang berkerut.
            “Tak ada pulak. Kenapa, Nadia? Kau ada mimpi yang bukan-bukan ke malam tadi?” soalnya kembali. Aku mengangguk kecil.
            “Aku mimpi seolah-olah aku sedang menyaksikan satu kejadian. Dalam mimpi tu, aku nampak seorang perempuan yang sedang dizalimi oleh seorang lelaki berbadan besar. Terjerit-jerit perempuan tu, merayu minta tolong supaya tak diapa-apakan. Namun lelaki tu tak endahkan langsung jeritan perempuan tu. Dia terus menerkam, memukul, menyepak dan terajang perempuan tu sampai…” ceritaku terhenti di situ.
            “Hisy, takut pulak aku dengar cerita kau ni. Jangan difikirkan sangatlah! Mimpi aja tu, bukannya ada apa pun. Dah, jom kita turun. Raziq dah sampai kat bawah tu. Kau tu pun, nanti nak naik train. Karang ramai pulak orang, tak fasal-fasal tak dapat naik.” Aku mengeluh, lalu mengekori Suria ke muka pintu. Setelah memastikan pintu serta pagar berkunci, barulah kami meninggalkan perkarangan rumah pangsa itu menuju ke destinasi masing-masing.
            Tiba di stesen keretapi, kelihatan ramai penumpang yang sudah tersedia menunggu. Bangku yang disediakan sudahpun penuh diduduki oleh para penumpang yang menunggu. Aku mengeluh kerana terpaksa berdiri lama. Naik lenguh kakiku yang tersarung dengan kasut tumit tinggi itu. Dan entah mengapa, bagaikan ada satu tarikan, aku menoleh ke belakang. Seorang gadis berbaju kurung begitu ayu tersenyum ke arahku. Aku membalas senyuman ikhlasnya. Tanpa kujangka, dia mengisyaratkan aku duduk di sebelahnya. Seboleh-boleh dia cuba memberi ruang untuk aku duduk walaupun ketika itu memang sudah tidak cukup ruang untuk diduduki. Melihat kesungguhannya, aku akhirnya menurut pelawaannya itu bersama ucapan terima kasih.
            Keretapi tiba beberapa minit selepas itu. Setelah berebut-rebut, akhirnya aku berjaya meloloskan diri masuk ke dalam koc wanita. Aku cuba mencari kelibat gadis itu tadi, namun gagal memandangkan koc tersebut sudah padat dengan penumpang.

***
MALAM ITU, sekali lagi aku mimpi perkara yang sama. Dan ia terus berlarutan dua-tiga malam kemudian. Sepanjang minggu itu, boleh dikatakan hampir setiap malam aku bermimpi perkara yang sama. Bila aku bertanyakan Suria, adakah dia juga mengalami mimpi yang sama sepertiku, namun jawapannya tetap tidak.
            Aku cuba mengubungi emakku di kampung untuk bertanyakan pendapatnya. Sungguh, aku benar-benar tertekan dengan mimpi ngeri yang sering menghantui tidur malamku itu. Emak bercadang agar aku dan Suria mengadakan bacaan Yassin setiap hari Khamis malam Jumaat selain mengharmonikan rumah itu dengan bacaan ayat suci Al-Quran. “Mimpi itu mainan tidur. Mimpi itu adalah gangguan syaitan laknat.” Itulah kata-kata emak di hujung perbualan kami.
            Alhamdulillah, setelah kami lakukan apa yang disarankan oleh emak, tidur malamku tidak lagi diganggu oleh mimpi yang menakutkan itu. Namun itu hanya untuk seketika. Tidak lama kemudian, sekali lagi aku diganggu oleh mimpi ngeri itu. Aku hanya tersedar apabila suara azan subuh berkumandang. Aku terduduk bersama keluhan berat. Naik buntu kepalaku memikirkan mimpi ngeri yang sering kualami itu. Di luar, kedengaran bunyi guruh berdentum menandakan hujan masih turun lebat pada pagi itu.
            Hujan mulai reda ketika aku dan Suria hendak meninggalkan rumah. Seperti selalu, aku terpaksa menempuhi kawasan setinggan untuk sampai ke stesen keretapi. Keadaan jalan tanah yang lembap dan berlopak-lopak membuatkan aku sukar hendak melangkah pantas, ditambah dengan kasut tumit tinggi yang aku pakai.
            Sebaik aku melintasi rumah tinggal di hujung kawasan setinggan itu, entah mengapa terasa ada kelainan dalam diriku. Pandanganku berpinar-pinar. Tanpa dipinta, fikiranku tiba-tiba terbayangkan mimpi ngeri yang sering kualami. Suara perempuan menjerit diselangi dengan suara bengis seorang lelaki bagaikan terngiang-ngiang di gegendang telingaku. Argh! Aku tak sanggup nak ingat semua itu ketika ini! Aku menelangkup kedua belah telingaku.
            Tiba-tiba terasa kedua belah bahuku dipaut seseorang. Aku tersedar. Suara-suara yang menghantuiku itu turut lenyap sama sekali. Aku menjadi bingung seketika.
            “Awak tak apa-apa?” soal gadis yang memaut bahuku. Aku merenungnya. Gadis di stesen keretapi tempoh hari, yang telah mempelawa aku duduk di sebelahnya.
            “Awak, hampir-hampir nak terjatuh tadi. Lain kali berhati-hati, ya. Jalan kat sini memang akan berlopak teruk setiap kali selepas hujan,” terangnya.
            “Oh, terima kasih,” ucapku bagaikan baru tersedar dari lena. Fikiranku bingung. Apa yang telah terjadi? Namun mengenangkan diriku yang sedang mengejar masa ketika itu, kukuburkan persoalan itu buat masa ini. Aku dan gadis itu jalan bersama menuju ke stesen. Kami saling berkenalan. Gadis itu hanya memperkenalkan dirinya sebagai Iman.
            Kami mulai rapat semenjak dari itu. Setiap pagi, Iman akan menungguku di luar kawasan rumah pangsaku dan kami akan ke stesen keretapi bersama. Kini, aku tidak perlu risau lagi untuk melalui kawasan setinggan itu kerana aku sudah ada rakan yang boleh menemaniku ke stesen keretapi. Kecuali ketika pulang dari kerja kerana waktu pejabat Iman tak sama denganku. Menurutnya, dia sering pulang malam akibat tuntutan kerja yang banyak.

***
SUATU PAGI, ketika kami sedang menunggu ketibaan keretapi, aku tergerak hati untuk menceritakan kepada Iman akan mimpi yang sering mengganggu tidurku dan juga perasaan tidak sedap hatiku setiap kali melalui rumah setinggan kosong itu seorang diri. Aku mengagak, Iman mungkin tahu jawapannya memandangkan dia tinggal di sini lebih lama dariku.
            “Tak ada apalah. Mainan tidur aja tu. Tentang rumah tu pulak, saya tak pasti. Cuma nasihat saya supaya berhati-hati ketika melalui kawasan tu, lebih-lebih lagi ketika seorang diri. Bukannya apa, musibah akan berlaku di mana-mana saja tanpa kita ketahui.” Itulah kata-katanya yang mampu menyedapkan hatiku. Ketika itu, aku memandang sekeliling. Semua mata memandang ke arah kami. Namun aku tak mengendahkannya. Mungkin mereka memandang Iman. Yalah, gadis jelita seperti Iman, siapa yang tak tertarik? Tidak kira lelaki mahupun wanita. Sedangkan aku yang memandangnya buat pertama kali pun boleh terpesona, inikan pula orang lain?
            “Oh, ya! Nadia, hari ni hari terakhir saya di sini. Lepas ni, saya akan terus pulang ke kampung asal saya,” terang Iman. Aku terkejut mendengar kata-katanya itu.
            “Jadi lepas ni awak takkan ada lagi di sini?” soalku. Dia mengangguk lemah. Nampaknya selepas ini, aku terpaksa tempuhi perjalananku setiap pagi seorang diri tanpa ditemani sesiapa.
            “Jadi, saya nak minta tolong sesuatu dari awak, boleh?” Iman mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya. Sekeping sampul surat merah jambu diserahkan kepadaku.
            “Boleh tak awak tolong pergi ke Bangunan Sri Angsana, tingkat sebelas. Carikan seorang lelaki bernama Nazril dan serahkan kad ni kepadanya?” pinta Iman. Aku semakin hairan. Bukannya kerana susah memandangkan tempat itu tidak jauh dari pejabatku, tetapi…
            “Kenapa Iman tak berikannya sendiri? Nanti pasti dia terpinga-pinga sebab saya tak kenal dia dan dia jugak tak kenali saya.” Iman menggeleng.
            “Saya tak boleh berjumpa dengan dia lagi, Nadia. Tolonglah saya,” rayu Iman bersungguh. Akhirnya aku bersetuju. Iman tersenyum puas dan mengucapkan terima kasih. Keretapi tiba tidak lama selepas itu.
            “Jaga diri baik-baik, tau. InsyaAllah, jika diizinkanNya nanti kita jumpa lagi.” Itulah ucapan terakhirnya sebelum kami berebut untuk masuk ke dalam koc.
            Tengahari itu, seperti yang disuruh oleh Iman aku ke tempat yang dimaksudkannya untuk bertemu dengan insan bernama Nazril itu.
            “Saya datang ni nak sampaikan hajat Iman kepada awak,” terangku sebaik dia bertanya akan hajatku untuk bertemunya. Dan ternyata dia amat terkejut apabila aku menyebut nama Iman. Wajahnya pucat lesi.
            “Awak siapa?” soalnya.
            “Saya Nadia, kawan Iman. Dia berpesan kepada saya supaya berjumpa dengan awak. Dia suruh saya beritahu awak yang dia minta maaf sebab terpaksa tinggalkan awak secara tiba-tiba macam ni. Bukan kehendak dia tetapi kehendak takdir,” terangku dalam keadaan berat. Dalam pada itu sempat aku merungut dalam hati kerana terpaksa melibatkan diri dalam hal peribadi mereka berdua.
            “Apa awak cakap ni? Bila awak jumpa dia?” soal lelaki itu.
            “Pagi tadi. Err… sebenarnya kami memang bertemu setiap pagi untuk ke stesen keretapi sama-sama. Cuma pagi tadi dia cakap hari ni hari terakhir dia di sini sebab lepas ni dia akan terus pulang ke kampungnya.” Lelaki di hadapanku ini menggeleng kecil mendengar peneranganku itu.
            “Tak mungkin! Tak mungkin Iman. Saya rasa awak dah silap orang,” sangkalnya.
            “Encik Nazril, saya tak silap. Pagi tadi dia ada berikan saya sesuatu untuk disampaikan kepada awak.” Lantas aku mencari kad bersampul merah jambu di dalam tas tanganku, namun kad itu sudah tiada di dalamnya. Ah, kemana pula perginya kad itu? Takkan tercicir?
            “Maaf, Cik Nadia. Awak telah membuang masa saya dengan cerita megarut awak tu!” ucap lelaki itu keras lalu melangkah untuk meninggalkanku.
            “Encik Nazril, dia berikan saya sekeping kad pagi tadi untuk diserahkan kepada awak!” aku bersuara lantang. Kenapa lelaki ini begitu angkuh? Kalau dia ada masalah bersama Iman sekalipun, tak sepatutnya dia melayani aku sebegini. Langkah Nazril terhenti lalu memusingkan semula tubuhnya memandangku.
            “Sekeping kad?” soalnya. Aku mengangguk. Kali ini, wajahnya tampak tidak keruan. “Kalau awak ada masalah dengan dia, itu awak punya fasal. Kalau awak tak mahu percaya cakap saya, itu jugak hak awak. Saya dah pun jalankan tanggungjawab saya!” marahku lantas mengatur langkah untuk meninggalkan tempat itu. Sakit hati aku dengan sikap lelaki ego ini!
            “Eh, nanti! Err… boleh awak tunggu sekejap? Saya nak ambil barang saya,” pintanya. Tanpa kuduga, Nazril mempelawaku untuk makan tengahari bersamanya kerana dia tidak gemar bercakap tentang hal peribadinya di pejabat.
            “Kad ini ke yang awak maksudkan tu?” soal Nazril lalu menunjukkan sekeping sampul surat berwarna merah jambu kepadaku. Sampul surat itu kelihatan sama seperti yang Iman berikan kepadaku pagi tadi. Bagaimana ia boleh berada di tangan lelaki ini? Aku memandang Nazril. Bingung.
            “Dan, gadis ini yang awak maksudkan?” soalnya lagi sambil menunjukkanku gambar seorang gadis di dalam beg duitnya. Ya, itu gambar Iman. Aku mengangguk lagi.
            Akhirnya dengan berat hati dia membuka segala cerita tentang Iman kepadaku. Serta-merta seluruh tubuhku menjadi seram-sejuk. Cemas dan takut bersilih ganti. Rupa-rupanya, Iman sudah tiada lagi di dunia ini. Dia telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di rumah kosong berhampiran dengan stesen keretapi tempat tinggalku itu. Hasil siasatan polis mendapati Iman telah dirogol dan dibunuh dengan kejam di suatu malam ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah. Malahan dulu, Iman juga pernah menyewa rumah pangsa yang sama aku dan Suria duduki kini. Kad yang berada di tangan Nazril itu juga telah dijumpai oleh pihak forensik di dalam beg Iman berhampiran tempat mayatnya ditemui.
            Tidak puas hati dengan keterangan yang diberikan oleh Nazril, aku bertemu dan bertanyakan hal itu kepada tuan rumah berkenaan pada petang itu. Sekali lagi aku terkejut apabila tuan rumah itu sendiri mengiakan cerita itu dan menurutnya lagi, bilik yang aku duduki itu adalah bilik Iman. Sudah setahun rumah sewa itu tidak berpenghuni semenjak dari peristiwa hitam itu. Sehinggalah dia diberitahu yang kami berminat hendak menyewa rumah itu, lalu seminggu sebelum kami masuk segala kerja pembaik-pulih telah dilakukannya termasuklah menyediakan segala kemudahan dan kelengkapan untuk kami. Sengaja dia merahsiakan kisah tragis itu dari pengetahuan kami kerana khuatir ia akan mengganggu ketenangan kami.
            Kini, segala persoalan yang berlegar-legar di mindaku sudahpun terjawab. Mimpi ngeri yang kualami hampir setiap malam. Misteri rumah kosong yang sering mengundang rasa takut yang terlampau setiap kali aku melaluinya. Malah, pandangan orang sekeliling setiap kali aku dan ‘Iman’ duduk dan berbual berdua ketika sedang menunggu ketibaan keretapi. Semuanya telah kutemui jawapannya.
            Namun hanya satu saja yang masih menjadi tanda tanya. Jika benar Iman telah tiada di dunia ini, siapakah gadis yang telah mempelawa aku duduk di bangku stesen tempoh hari? Siapakah gadis yang telah menyelamatkan aku dari terus terjatuh di atas lopak berhampiran rumah kosong itu? Siapakah gadis yang sering bersama denganku setiap pagi ketika hendak ke stesen keretapi? Siapakah gadis yang sering duduk dan berbual denganku setiap pagi ketika sedang menunggu ketibaan keretapi di stesen itu? Siapakah dia? Hantu? Jin? Jelmaan? Ya, mungkin jelmaan Iman. Mungkin rohnya tak tenteram kerana tidak berpeluang untuk mengucapkan kata-kata terakhir buat Nazril sebelum dia ‘pergi’. Tetapi, logikkah teori itu? Jawapan yang masih belum kutemui sehingga kini. Malah aku juga yakin dan pasti, tiada sesiapa yang mampu memberikan aku jawapan tentang misteri gadis di stesen keretapi itu…

TAMAT