Sunday, 15 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 28)

SETELAH empat jam memandu, akhirnya aku sampai juga ke kampung kelahiran ayahku. Sebaik Perodua Myvi kubelok memasuki kawasan laman rumah papan itu, kelihatan Ijie sedang sibuk membaiki motorsikalnya di hadapan rumah. Dia agak tergamam tatkala melihat keretaku menyusur masuk ke kawasan lapang di hadapan rumah itu. Seketika dia tersenyum. Aku turut tersenyum melihatnya.

            Oh adikku. Hatiku berkata sendiri. Sesungguhnya, dia kelihatan cukup matang sekarang, walaupun usianya baru mencecah 17 tahun. Berkulit putih kekuningan dan memiliki sepasang mata yang agak sepet, tak ubah seperti anak Cina. Dia terus menerpa ke arahku sebaik aku memboloskan diri keluar dari kereta. Namun dia agak keberatan hendak menyalami aku, kerana tangannya yang kelihatan kotor dengan minyak hitam. Aku hanya tersengih seraya mengangguk, tanda faham.           
            “Sihat?” soalku. Dia mengangguk laju.
            “Sihat, kak.”
            “Atuk dengan nenek mana?” soalku.
            Ada kat atas tu. Kakak ni balik tak beritahu,” rungutnya. Aku ketawa seraya mencuit dagunya yang sedikit tajam itu.
            “Saja nak buat surprise,” ujarku. Dia turut ketawa.
            “Macam mana study? Periksa tak lama lagi, kan?” Dia mengangguk.
            “Dah prepare?” soalku lagi, agak tegas. Dia hanya tersenyum kambing sambil menggeleng. Aku membeliakkan mata.
            “Tak well prepare lagilah, kak. Alah, SPM lagi sebulan lebih. Banyak masa lagilah, kak,” ujarnya. Aku mengetap bibir sambil menggeleng.

            “Kak,” panggilnya mengejut. Aku memandangnya dengan pandangan yang membundar. “Hah, apa dia?” soalku. Dia tersengih-sengih macam kerang busuk.
            “Kenapa bertunang tak beritahu?” soalnya lancar. Aku termangu. Perlukah aku memberitahunya yang aku telah memutuskan tali pertunangan tersebut?
            “Kenapa, kak?” soalnya. Riak wajahnya tampak berubah sama sekali. Segera aku menggeleng. “Hmm… tak ada apa, dik. Alah, bukan kakak tak mahu bagitahu. Pihak lelaki datang rumah pun secara mengejut. Kakak pun tak sangka dia orang nak datang dan terus bertunang,” jawabku. Dia tersengih lagi.
            “Kakak naik dululah, ya. Eh, atuk macam mana? Masih macam tu jugak?” soalku sebelum melangkah menaiki tangga.
            “Hmm… macam tu jugaklah, kak. Pendengaran dah kurang jelas. Jalan pun makin slow, nak kena pimpin,” jawab Ijie. Aku mengangguk. Sesungguhnya, aku sudah tersedia maklum akan keadaan datukku yang kian uzur itu.

            Aku terus menaiki anak tangga di beranda. Suasana rumah papan itu agak sunyi dan sepi. Aku melaung memberi salam. Seketika kedengaran salamku dijawabnya. Nenek meluru ke ruang tamu. Wajahnya begitu ceria menyambut kedatanganku.
            “Aween,” sapanya mesra. Aku memanjangkan langkah mendapatkannya. Sebaik tangannya kusalam dan kucium, pantas kupeluk tubuh kecil yang kian membongkok itu.
            “Lama Aween tak balik. Kami di sini semua rindukan Aween. Selalu ayah seorang aja balik. Kenapa tak ikut sekali?” dia bersuara lirih. Sayu aku mendengarnya.
            “Aween sibuk, nek. Masa tu Aween baru mulakan kerja sambilan. Sekarang Aween dah berhenti,” terangku. Nenek tersenyum seraya mengusap pipiku lembut.
            “Sampaikan kamu bertunang pun kami di sini tak tahu. Alih-alih aja sampai jemputan ke rumah ni. Kenapa dengan kami pun nak bersenyap-senyap? Ijie tu, dia adik kamu. Dia pun terkilan bila tak dimaklumkan. Terkejut dia bila kad kahwin kamu sampai,” kata nenek sayu. Sebak aku mendengarnya.
            “Nenek, bukan Aween tak nak beritahu. Aween bertunang pun mengejut, nek. Pihak lelaki datang ke rumah secara tiba-tiba. Aween tak tahu apa-apa. Dah tu, tempoh pertunangan pun cuma dua bulan aja,” ujarku memujuk hati tua itu. Nenek tersenyum hambar. Aku tahu, dia terkilan dengan sikapku yang seakan tidak mengendahkan mereka di sini sejak akhir-akhir ini.

            “Siapa?” Tiba-tiba kedengaran satu suara yang agak kuat. Kami tersentak. Aku memandang nenek.
            “Atuk?” soalku seakan berbisik. Nenek mengangguk lesu. Segera aku melangkah ke dalam, di mana datukku ditempatkan.
            “Aween datang, tuk,” ujarku. Segera aku mendapatkannya. Punggungku dilabuhkan ke sisi katilnya. Tangan tua itu kusalam. Lama bibirku melekap ke tangannya itu. Seketika mataku terus merenung sayu tubuh yang amat kurus sehingga menampakkan tulang-belulangnya itu. Airmataku menitis tanpa dipinta. Sudah agak lama aku tidak pulang melawat mereka di sini.
            “Aween sihat?” soalnya lemah. Aku mengangguk laju.
            “Sihat, alhamdulillah,” jawabku.
            “Ayah tak ikut balik sekali?” soalnya lagi. Aku menggeleng.
            “Sibuk menguruskan majlis Aween barangkali?” dia bersuara lagi. Aku mengangguk lemah. Mengiakan kata-katanya itu. Ah, semakin bersalah aku dibuatnya.

*****
AKU mencapai sampul surat yang terletak di atas peti sejuk itu. Isinya kukeluarkan. Hatiku terus dipugut rasa sayu tatkala menatap coretan yang tertulis di dalamnya.

Undangan Majlis Perkahwinan Azween dan Azhari

Walimatul Urus
Kamaruddin Bin Haji Ayob
Dengan penuh kesyukuran menjemput ayahanda Haji Ayob dan bonda sekeluarga ke majlis tambatan janji, izin berwali, ijab bersaksi puteri saya yang dikasihi:

Khairul Azween Binti Kamaruddin
dengan
Khairul Azhari Bin Ramli

            Aku mengetap bibir dengan rasa hiba. Menurut perancangan, majlis ini akan berlangsung dua minggu lagi. Dalam hati aku tertanya-tanya, sudahkah Farhana menyerahkan cincin itu kepada Azhari? Bagaimanakah agaknya reaksi Azhari apabila menerima cincin itu kembali?

Ah, entahlah. Sejak akhir-akhir ini, fikiranku sering kacau-bilau. Adakah disebabkan keputusan yang kubuat itu menyebabkan fikiranku berserabut seperti ini? Tak habis-habis memikirkan keputusan yang telah kubuat. Malah, rasa bersalah terus memburu diriku. Ya, memang aku bersalah. Aku bersalah kepada semua orang. Ayah, ibu, Azhari… ah, semuanya! Namun, apakan daya. Hatiku begitu kuat mengatakan yang ini adalah keputusan yang terbaik, biarpun telah melukakan banyak pihak. Aku pasti akan dipersalahkan nanti. Tentu ibu serta seluruh kaum keluarga Azhari akan membenciku. Malah, tentu ayah juga akan mengamuk bila mendapat tahu yang aku telah memutuskan pertunangan ini tanpa sebarang perbincangan. Ah, pelbagai kemungkinan yang menghantui fikiranku ini. Sesungguhnya, aku pasrah dengan ketentuan Ilahi. Aku pasti, suatu hari nanti mereka akan faham.
*****

“KENAPA kakak tak beritahu yang kakak dah bertunang?” soal Ijie keras. Ketika itu kami sedang mengambil angin petang di pangkin yang terletak di bawah pokok bunga tanjung di halaman rumah. Aku bungkam. Seketika kuhelakan nafas berat. Aku tahu, dia terkilan kerana aku merahsiakan hal pertunanganku.
            “Ijie, bukan maksud kakak nak merahsiakan semua ni…”
            “Habis tu, kenapa? Apa, Ijie tak layak untuk tahu?” pantas dia memintas kata-kataku. Aku mengeluh berat.
 “Ijie sedar, kak. Siapalah kami di sini untuk berhak tahu semua tu.”
            “Jie, apa Ijie cakapkan ni?” soalku keras.
            “Memang dari dulu lagi kakak dengan ayah tak pedulikan Ijie di sini. Ijie ni dah macam bukan adik kakak lagi, kan?” dia terus melempiaskan rasa tidak puas hatinya.
            “Khairul Azizi!” bentakku mulai meradang.
            “Memang betul, kan? Tak payah kakak nak nafikan. Memang Ijie ni tak guna. Sebab tu ayah buang Ijie. Ayah hantar Ijie tinggal dengan atuk dan nenek. Kalau dah tak suka sangat kat Ijie, kenapa tak hantar aja Ijie ni ke rumah kebajikan!”

            Aku beristighfar panjang mendengar kata-kata yang lahir di bibir adik tunggalku itu. Namun hatiku turut merasa sayu dan hiba.
            “Astagfirullahal’azim. Ijie, jangan cakap macam tu, dik. Ayah dan kakak sendiri tak pernah anggap Ijie orang luar. Ijie tetap adik kakak. Kakak tak ada saudara lain lagi. Ijie ajalah yang akak ada, dik,” aku bersuara lirih. Ijie ketawa sinis.
            “Sudahlah, kak. Kakak ingat adik tak tahu? Dulu, ayah memang bencikan Ijie, kan? Ayah tak terima kelahiran Ijie, sebab mama meninggal kerana melahirkan Ijie. Sebab tu ayah tak sukakan Ijie!” ujarnya keras. Aku termangu seketika. Di kala itu timbul tanda tanya di benakku ini. Mana dia tahu semua ini?
            “Apa yang Ijie mengarut ni? Mana ada? Siapa yang cakap semua ni, dik?” soalku mulai berang. Ijie tersenyum sinis.
            “Tak payahlah kakak nak tanya siapa yang cakap. Tapi memang betul, kan? Ya, Ijie yang bersalah. Ijie yang menyebabkan kematian mama. Kalau bukan kerana kelahiran Ijie, tentu mama masih hidup, kan? Tentu ayah dan kakak sedang bergembira sekarang ni, kan? Kakak pun taklah kehilangan kasih sayang mama. Dan ayah pun tak adalah sunyi sekarang ni,” bentaknya.

            Aku mengurutkan dada, menahan sabar. Kalau hendak diikutkan hati, mahu saja aku menampar pipi adikku itu kerana kelancangan mulutnya berkata-kata sebentar tadi. Memang sudah melampau!
            “Cukup, Ijie. Cukup! Kakak tak mahu dengar semua tu!” aku mulai meninggikan suaraku. Nafasku turun naik. Azizi tak sepatutnya mengata ayah sebegitu. Dan dia tak berhak melibatkan arwah mama dalam hal ini. Mama sudah lama pergi. Dia tak seharusnya mengungkiti orang yang sudah tiada.
            “Ijie,” aku mulai sebak.
            “Sampai hati kau kata ayah macam tu. Kenapa mesti pandang serong pada ayah hanya kerana cerita yang dah lapuk tu? Kau tahu tak, betapa banyak jasa yang telah ayah lakukan untuk kau?” kataku dalam nada suara yang tenggelam-timbul. Sesungguhnya, tahap kemarahanku sudah sampai di kemuncaknya.
            “Dan sampai hati jugak ayah membuang Ijie hanya kerana kematian mama!” tengkingnya. Matanya begitu buntang memandangku.
            “Ijie!” jeritku lantang. Kali ini dia terdiam. Mata kami saling bertemu. Aku dengan beraninya merenung mata tajam adikku itu. Begitu juga dengan dia.
            “Jangan sekali-kali kau kurang ajar, Jie. Kalau arwah mama masih ada, tentu dia jugak akan kecewa melihat anaknya terlalu biadap macam ni!”

            Ijie terus membisu. Namun pandangannya masih dihalakan denganku. Matanya masih seperti tadi, bagaikan seekor harimau yang ingin membaham mangsanya.
            “Ijie, kau dengar sini baik-baik. Kau jangan cakap ikut sedap mulut kau aja, Jie. Kau tak tahu, kenapa ayah begitu. Sebenarnya, dia tak berniat untuk membenci kau, jauh sekali nak membuang kau,” aku bersuara sayu.
“Kau baru lahir ketika tu. Kau tak tahu betapa hebatnya penderitaan ayah setelah kematian mama. Ayah begitu tertekan, Jie. Ayah bagaikan hilang punca setelah kematian mama. Dia tak boleh terima yang mama telah pergi dijemput Ilahi. Kakak sendiri melihat keadaan ayah ketika itu. Cukup menyayatkan hati. Belum reda lagi kesedihan kakak di atas pemergian mama, ditambah pula dengan keadaan ayah yang sebegitu rupa.” Aku mulai menangis tatkala menceritakan kisah yang amat memilukan sepanjang kehidupanku itu.
He was not being himself that time. Kerana asyik terkenangkan arwah mama, diri kakak sendiri pun terabai. Dia langsung tak pedulikan kakak. Kakak terkilan sangat waktu itu. Dahlah kakak kehilangan kasih sayang mama. Kepada siapa lagi yang harus kakak menumpang kasih selain dari ayah? Ayah pulak macam tu. Saban hari asyik meratapi pemergian mama.” Aku berhenti seketika, menyeka airmataku yang kian lebat merembes keluar.
“Kerana itulah, ayah menyesali dengan kelahiran kau dan tidak dapat menerima kehadiran kau. Tapi kau tak boleh nak salahkan ayah sepenuhnya, sebab ayah dalam keadaan yang tidak waras masa tu. Dia tak sedar dengan segala tindak-tanduknya ketika itu. Demi untuk meredakan keadaan yang tegang, atuk dan nenek telah membawa kau pulang ke kampung. Mereka mahu menjaga kau. Tak sampai hati mereka untuk membiarkan kau terus dibenci ayah. Atuk dan nenek bercadang akan memulangkan kau semula ke pangkuan ayah setelah ayah benar-benar stabil. Tapi, keadaan ayah makin hari makin tak terurus. Lantaran itu, atuk dan nenek serta seluruh kaum keluarga ayah yang lain telah membawa ayah berjumpa dengan seorang yang warak untuk memulihkan semula keadaannya. Alhamdulillah, tak lama selepas itu keadaan ayah pulih seperti sedia kala. Ayah mulai dapat menerima hakikat yang mama telah pergi buat selama-lamanya. Malah dia jugak dapat menerima kehadiran kau. Dia mahu mengambil kau semula. Tapi, nenek pula yang berat hati hendak menyerahkan kau semula kepada kami. Sebab itu ayah mengalah. Dia tak mahu tengok atuk dan nenek kesunyian. Maka sebab itulah kau dibiarkan tinggal bersama atuk dan nenek di sini,” aku mengakhiri cerita itu dengan tersedu-sedu.

Sekilas aku memandang Ijie yang kelihatan bungkam tanpa kata. Wajahnya turut kelihatan sayu. Ada air yang kelihatan bertakungan di kolam matanya. Hidungnya kembang-kempis menahan sendu.
“Selama ni, dah terlalu banyak jasa yang telah ayah lakukan terhadap kau. Ayah mahu mengambil semula hati kau. Tapi kau terus bersikap keras kepala begini. Kau terus dengan dendam kau. Namun begitu, ayah tetap tidak putus asa. Dia terus berusaha untuk memujuk kau semula. Kau tahu tak selama ni, ayahlah yang kerap mengirimkan kau duit? Atuk dan nenek tak mampu untuk biaya perbelanjaan sekolah dan yuran peperiksaan kau. Ayahlah yang mengirimkan wang itu kepada atuk setiap bulan untuk perbelanjaan kau,” sambungku lagi.
“Habis tu, duit motorsikal tu pun dari ayah jugak?” soal Ijie. Aku mengangguk lemah. “Ya, itu pun dari ayah,” jawabku perlahan. Ijie melopongkan mulutnya. Mungkin terperanjat mendengar semua ini.
“Selama ni, Ijie ingat atuk yang berikan duit tu untuk Ijie beli motor. Katanya untuk kemudahan ke sekolah dan kelas tusyen,” ujarnya. Aku menggeleng.
“Tak, Ijie. Semuanya dari ayah. Kau bertuah, Ijie. Cuba kau tengok, ada tak kawan-kawan kau di kampung ni yang mampu pergi ke kelas tusyen? Tak ada, kan? Kalau ada pun, jarang. Cuba kau fikir, setakat pendapatan atuk yang datang dari hasil kutipan buah dari kebun, mana cukup untuk tampung semua tu?”

Ijie terus membisu mendengar kata-kataku. Mulutnya yang tadinya begitu lancang berkata-kata seakan terkunci rapat.
            “Lagi satu, jangan sekali-kali kata yang Ijie menyebabkan kematian mama. Ijie tak menyebabkan kematian mama. Mama meninggal kerana menderitai kanser pangkal rahim. Pada awal kehamilannya, doktor telah mengesahkan penyakitnya itu. Mama disuruhnya menggugurkan kandungannya. Tapi mama tak mahu. Dia terlalu sayangkan kandungannya. Dia teramat sayangkan kau. Jadi, janganlah kau nak menyalahkan diri kau lagi, Ijie. Arwah mama sendiri yang nakkan kau merasai nikmat hidup di dunia ni. Ayah telah menceritakan segala-galanya kepada kakak, dik,” tuturku lembut. Dia masih membisu.

            “Kakak masih ada masa untuk pulang menjenguk kami di sini, ya?” akhirnya dia bersuara, mengubah topik perbualan kami setelah lama menyepi diri.
            “Kalau ada masa terluang, kakak akan balik jenguk semua,” kataku.
            “Tentu kakak dengan ayah sedang sibuk membuat persiapan majlis tu, kan?” soalnya lagi. Aku termangu seketika. Perlukah aku memberitahu semua akan pembatalan majlis perkahwinanku itu?
            “Ijie,” ujarku lembut. Dia menoleh memandangku.
            “Kakak, kakak…” Ah, terasa berat pula bibir ini hendak memberitahunya.
            “Kenapa, kak?” soalnya.
            “Sebenarnya kakak tak jadi kahwin, dik,” tuturku perlahan.
            “Hah! Apa?” Ternyata dia terkejut mendengar perkhabaran itu.
            “Tapi kenapa, kak?” soalnya sedikit meninggi.
            “Kakak belum bersedia, dik. Banyak lagi urusan yang belum kakak selesaikan. Kalau boleh, kakak nak semuanya selesai sebelum kakak melangkah ke alam perkahwinan,” sengaja aku mencipta alasan.
           
            Ijie mendengus keras. “Urusan apa, kak?” soalnya bersama kerutan di dahi. Ah, nampaknya, peluang sudah terbuka luas. Kurasakan, inilah masanya yang paling sesuai untuk aku menjalankan tanggungjawabku yang telah diamanahkan selama ini.
            “Banyak, dik. Antaranya urusan adik dengan ayah,” ujarku perlahan. Dia semakin hairan. “Urusan adik dengan ayah?” soalnya. Aku mengangguk.
            “Sebelum kakak meninggalkan keluarga kakak dan mengikuti suami, kakak harus memastikan yang Ijie berbaik semula dengan ayah,” tegasku.
            “Tapi kenapa, kak?” soalnya berbasa-basi.
            “Ijie, kakak tak mahu ayah kesunyian. Kakak tahu, setelah kakak kahwin nanti, kakak terpaksa tinggalkan ayah sendirian. Selama ini, kakak telah menemani hidup ayah. Kakak nak pastikan yang ayah tidak kesunyian setelah ketiadaan kakak nanti. Dan kakak rasa, siapa lagi yang dapat mengisi kekosongan hidup ayah selain dari Ijie. Ijie jugak anak dia. Malah, tanggungjawab Ijie terhadap ayah jauh lebih besar sebab Ijie anak lelaki. Kalaupun ditakdirkan Ijie mendirikan rumahtanggga suatu hari nanti, hubungan Ijie dengan ayah tetap tidak akan terputus. Tanggungjawab untuk menjaga ayah tetap di bahu Ijie,” terangku panjang-lebar. Ijie terdiam.
“Habis tu, kakak nak Ijie buat apa?” soalnya bagaikan orang bodoh. Ah, takkan dia masih tak faham-faham lagi!
            “Senang aja. Tolong berbaik dengan ayah. Dan kalau boleh, kakak nak Ijie tinggal dengan ayah di KL selepas tamat SPM nanti,” aku bertegas lagi. Dia termangu seketika.   “Habis tu, macam mana pulak dengan atuk dan nenek di sini? Sejak kecil Ijie dibesarkan di sini. Takkan Ijie nak tinggalkan mereka macam tu aja?” dia membantah dengan alasannya tersendiri.

            Aku mengeluh berat. Ijie seakan mahu mengelak dari bertembung dengan ayah. Sedangkan kedua orang tua itu tidak kisah langsung sekiranya ayah hendak membawa Ijie tinggal di Kuala Lumpur bersamanya.
            “Pak Long dengan Mak Long kat belakang rumah tu kan ada? Apa yang Ijie nak risaukan?” bidasku. Dia merengus lagi. Keras.
            “Kak, cuba kakak tengok keadaan atuk sekarang ni? Dan cuba kakak fikir, dari kecik dia membela Jie. Bila dah besar, Jie nak kena tinggalkan dia dalam keadaan yang sebegitu rupa. Kakak fikir Jie sampai hati ke nak buat macam tu?” Aku mengurutkan dahi. Seketika aku merengus lemah.
            “Tak apalah. Kakak tak mahu paksa Ijie lagi. Terpulang pada adik nak tinggal kat mana sekalipun. Cuma, satu aja yang kakak pinta, dik. Kakak nak adik berbaik semula dengan ayah. Rapatkan semula hubungan adik dengan ayah yang dah lama renggang ni. Sayangilah ayah sepertimana ayah menyayangi adik. Itu sahaja. Tolonglah dik,” rayuku. Dia termangu seketika.
“Bolehkan, dik?” rayuku lagi. Dia menghelakan nafas berat.
            “Habis tu, macam mana pulak dengan penerimaan ayah nanti, kak?” soalnya masih ragi-ragu.
            “Ijie, ayah dah lama menerima Ijie dalam hidupnya semula, dik. Cuma adik aja yang tak mahu bagi ayah peluang. Selama ni, banyak perkara yang dah ayah lakukan untuk mengambil semula hati adik. Tapi adik masih jugak berkeras kepala. Semakin ayah mengejar adik, semakin jauh adik melarikan diri. Kenapa adik terus nak berdendam dengan ayah? Dia tu ayah kita. Kalau dia tak ada, kita takkan dapat menikmati kehidupan di bumi ALLAH ni,” tuturku panjang lebar.

            Ijie bungkam lagi. Lama dia begitu. Wajahnya tampak sendu. Tentu dia terkilan dengan apa yang telah kuceritakan ini. Aku terus menanti keputusannya dengan penuh sabar. Dan seketika dia mengangguk lemah.
             “Tapi adik masih terkilan dengan perbuatan ayah dulu. Adik sukar nak melupakan perbuatan ayah yang pernah membuang adik dulu. Mana ada seorang ayah yang sanggup buang anaknya sendiri?” ujarnya perlahan. Aku mengeluh. Seketika aku melangkul bahunya. Kepalanya kubawa ke dadaku.
            “Jangan macam tu, dik. Yang dah lepas tu biarkanlah lepas. Yang penting sekarang ni, ayah benar-benar menyesal dengan sikapnya yang terlalu menurutkan perasaan dulu. Cuba adik fikir, ayah bersikap begitu hanya seketika cuma. Tak sampai pun setahun. Tapi, dendam Ijie terhadap ayah terlalu lama. Dari dulu sampai ke saat ni. Sampai bila Ijie nak terus membenci dan berdendam dengan ayah? Janganlah memusuhi ayah lagi. Jangan jadi anak derhaka. Tak cium syurga,” nasihatku panjang.
            “Kak, maafkan adik,” ucapnya perlahan.
            “Tolonglah, dik. Penuhi permintaan kakak ni. Kakak berharap sangat yang suatu hari nanti adik dapat menerima ayah semula,” rayuku buat kesekian kalinya.
            “Kak, adakah disebabkan perkara ni, kakak sanggup membatalkan perkahwinan kakak?” soalnya sebak. Aku menghelakan nafas berat. Seketika aku mengangguk lesu.
            “Ya. Kakak buat semua ni demi kebaikan kita bersama. Kakak nak bahagiakan ayah. Kakak nak tengok adik gembira di sisi ayah. Barulah kakak dapat meninggalkan keluarga kita dengan tenang dan hidup bahagia di samping suami. Selagi adik dan ayah berpecah-belah macam ni, hati kakak takkan tenang, Jie,” ujarku sayu.
            “Kak, begitu besar pengorbanan kakak buat kami. Maafkan Jie, kak. Maafkan Ijie. Ijie janji akan mengambil-alih tugas kakak menjaga ayah. Ijie janji, kak,” ucapnya sayu.

Aku tersenyum lemah. Airmata gembira semakin lebat bercucuran. Ya ALLAH, sesungguhnya aku memanjatkan rasa syukurku terhadapMu, kerana telah melembutkan hati adikku ini. Terima kasih, Tuhanku. Semoga kau gembirakanlah hidup mereka ini, Ya ALLAH. Mama, Aween telah berjaya, ma. Aween telah berjaya memujuk Ijie agar pulang ke pangkuan ayah. Semoga mama gembira dengan berita ini di alam sana. Dikejauhan ini, akan kuutuskan doa agar rohmu ditempatkan bersama insan-insan yang dikasihiNya. Amin.

Saturday, 14 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 27)

TANPA DISEDARI, sebulan telah berlalu. Ini bermakna sebulan lagi majlis perkahwinan antara aku dan Azhari akan dilangsungkan. Aku semakin bingung dengan sikap diam diri Azhari. Setakat ini, alhamdulillah kerana separuh dari urusan perkahwinan kami hampir selesai. Baju nikahku dijangka akan siap dalam seminggu lagi. Kad jemputan juga sudah mula diedarkan kepada saudara-mara dan rakan-rakan. Urusan tempahan makanan dari caterer dan canopy telah diuruskan oleh ayah. Aku hanya menguruskan hal sewaan pelamin, baju persandingan, barang-barang hantaran serta tempahan door gift untuk para tetamu. Namun, agak sukar bagiku untuk meguruskan barangan hantaran kerana gagal menghubungi Azhari. Yalah, aku bukannya tahu sangat apa yang dia suka atau tidak.
            “Alah, apa susah? Kau beli aja barang-barang yang biasa dia pakai dan boleh digunakan bila-bila masa. Macam baju kemeja, stoking, minyak wangi, kasut, macam-macamlah,” cadang Farhana. Aku tersenyum hambar. Rasa hendak menangis pun ada. Yalah, siapa yang tak terkilan dan sakit hati bila tunangan sendiri tidak ambil peduli akan hal kita? “Ni hah, aku belikan kau majalah khas untuk raja sehari. Dalam tu, banyak panduan yang boleh diguna pakai,” ujar Farhana lagi seraya menyerahkan majalah ‘Pesona Pengantin’ kepadaku. Aku menyelak muka surat majalah itu satu-persatu. Seketika aku menguntumkan senyuman manis buatnya.
            Thanks, Anne. Kaulah sahabat aku yang paling memahami,” ucapku terharu. Dia tersenyum. “Hmm… macam tulah. Senyum pun. Inilah dinamakan wajah bakal pengantin baru. Berseri aja,” pujinya sambil mencubit pipiku. Aku mengaduh.
            “Okey, malam ni, aku list down barang-barang yang aku nak beli buat hantaran. Esok, kau kena temankan aku shopping lagi, boleh?” pintaku.
            “Alahai, aku tak boleh nak janjilah, Aween. Takut tiba-tiba Kimi pulak ajak keluar,” ujarnya serba salah.
            “Alah, Anne. Aku rasa kali ni ajalah kita dapat bersama. Lepas ni, bila aku dah jadi bini orang, aku dah tak boleh nak bersama dengan kau lagi. Please, Anne… Cuma sebulan ni aja. Lepas aku kahwin, kau bolehlah enjoy puas-puas dengan buah hati kesayangan kau tu,” rengekku. Farhana terdiam.
            Pleaselah, Anne. Kali ni aja kita dapat bersama. Aku nak habiskan sisa-sisa zaman bujangku yang ada ni bersama dengan kau. Aku nak bersama dengan kau puas-puas,” rengekku lagi. Farhana mengetapkan bibirnya. Lama dia begitu. Memikirkan permintaanku itu.
            “Hmm… okeylah, okeylah. Tapi, kalau Kimi nak ikut macam mana?” dia mendugaku. Aku mengangguk laju.
            “Baguslah. Boleh aku tanya pendapat dia. Yalah, aku ni bukannya reti sangat beli barang-barang lelaki ni. Sekurang-kurangnya ringan sikit beban aku ni,” kataku. Farhana tersenyum. Lantas hidungku yang mancung ini dicuitnya lembut. Aku tersenyum gembira.

*****

JAM sudah menunjukkan ke angka dua belas. Aku masih lagi duduk di ruang tamu. Rancangan yang tertayang di televisyen langsung tidak menarik minatku. Pandanganku hanya tertumpu pada sebuah album lama yang menempatkan gambar-gambar perkahwinan ayah bersama arwah mama serta gambar-gambar sewaktu aku masih kecil.

            Aku tersenyum sendirian menatap gambar-gambar yang merakamkan detik-detik bersejarah antara ayah dan arwah mama. Mereka memang tampak secocok. Kata orang, wajahku persis wajah arwah mama. Tapi padaku, aku lebih nampak wajahku pada wajah ayah. Mataku agak redup dan sepet seperti ayah, tetapi mata mama tampak galak dan bundar. Cantik dan menikam. Namun bila kuteliti wajah mereka berdua, baru aku sedar yang terdapat persamaan pada wajah ayah dan arwah mama. Cuma bentuk mata mereka sahaja yang tampak berbeza.

            Sebaik aku menyelak lagi album kenanga tersebut, hatiku terus dirundung rasa hiba sebaik terpandang pada sekeping foto. Wajah mama tampak ceria di sebalik matanya yang galak itu, sambil mengendong aku yang ketika itu baru berusia tiga tahun. Aku pula tersenyum manja sambil memeluk erat tengkuk mama. Kami sama-sama tampak ceria. Ah, mama… Sesungguhnya aku cukup terkilan, kerana arwah mama tidak berkesempatan untuk meraikan hari bahagia anak gadis tunggalnya ini. Seketika airmataku menitis setitik demi setitik, mengenai album gambar yang hanya dilitupi dengan sehelai plastik nipis itu.

            “Aween,” sapa ayah tiba-tiba. Pantas aku menyeka airmata yang mengalir di pipiku. Di kala itu juga ayah melabuhkan punggungnya di sisiku. Bahuku dipautnya mesra. Seketika aku melentokkan kepalaku ke bahunya. Aku dibelai seperti anak kecil. Ayah hanya memerhatikan album yang masih berada di atas ribaku.
            “Kenapa tak tidur lagi?” soal ayah.
            “Aween belum ngantuk lagi, ayah,” jawabku perlahan. Seketika ayah mencapai album tersebut lantas menatapnya dengan pandangan yang sayu.
            “Ayah, kalau mama masih ada, kan best?” ujarku tiba-tiba. Ayah tersenyum hambar. “Tentu dialah orang yang paling gembira dan paling sibuk untuk buat persiapan. Aween pun tak adalah sampai penat macam ni sebab nak uruskan seorang diri,” luahku sebak.
           
            Seketika kepalaku diusapnya mesra. “Nak buat macam mana, sayang. ALLAH lebih menyayangi mama. Ayah tahu Aween sedih sebab mama tak ada di sisi sewaktu Aween nak bergelar isteri nanti. Tapi, kita harus relakan semua tu. Kalau kita benar-benar sayangkan arwah, kita harus redha. Lagipun, mama Aween akan menderita kalau dia terus hidup. Lebih baik kita biarkan ALLAH mengambilnya,” ujar ayah perlahan.
            “Mama dulu sakit apa, ayah? Aween tak pernah tahu pun apa sakit mama. Apa yang Aween tahu, mama pergi selepas berjuang melahirkan Ijie.” Ayah termangu seketika. Lama aku menunggu jawapan darinya. Seketika aku memegang telapak tangannya. “Ayah,” ujarku perlahan. Ayah terus memandangku sayu dan sepi. Aku pula memandangnya dengan penuh berharap.

*****

AKU menjadi bingung. Adakah keputusan yang kubuat kali ini benar-benar yang terbaik? Aku tak fikir begitu. Namun, demi melihat orang yang kusayangi hidup bahagia, aku harus berkorban. Aku tak mahu dia menderita di kemudian hari.
            “Kau ni dah gila ke! Hei, Aween! Hari pernikahan kau tak sampai sebulan lagi, tau! Persiapan pun dah dibuat. Semuanya hampir selesai. Kad pun dah diedarkan. Tiba-tiba kau nak minta putuskan pertunangan ni. Kau ni dah hilang akal ke!” marah Farhana. Aku bungkam. Namun dalam hatiku ini, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa beratnya untuk aku membuat keputusan ini.
            “Apa masalah kau sebenarnya, Aween? Kalau kau tak nak kahwin dengan Ari, kenapa kau terima lamaran keluarganya hari tu? Terus-terang aja kat ibu dia yang kau tak suka, habis cerita!” bentak Farhana lagi. Aku masih terdiam. Hanya mampu menerima herdikan rakan karibku itu. Seketika aku menggeleng lemah.
            “Apa niat kau sebenarnya buat semua ni?” soalnya, mulai mengendurkan suaranya yang tadinya begitu lantang memarahiku.
            “Aku tahu, ini bukan satu keputusan yang bijak. Tapi, bagi aku, inilah satu-satunya keputusan yang kuanggap yang tebaik. Bukan untuk aku, tapi untuk dia. Aku tak mahu dia menderita nanti,” ujarku panjang. Farhana merengus.
            Sorrylah, member. Aku tak faham.”
            “Aku ada alasanku tersendiri, Anne,” tegasku.
           
            Farhana terdiam. Matanya begitu tajam merenung mataku. Cukup dalam menikam. Aku tahu, dia begitu marah denganku. Ya, sememangnya aku tidak seharusnya berbuat begini. Keputusanku untuk memutuskan pertunangan ini seolah-olah telah memainkan perasaan Azhari. Aku seperti memperkotak-katikkan perasaannya. Sesungguhnya lelaki itu tidak bersalah. Malahan dia juga tidak seharusnya menerima ujian yang berat sepertimana yang telah ditanggung oleh ayahku dulu. Aku tak sanggup untuk melihatnya begitu.

            Dengan perlahan aku melucutkan cincin belah rotan yang tersarung kemas di jari manisku. Kucapai tangan Farhana lantas kuletakkan cincin pertunangan tersebut ke telapak tangannya.
            “Tolong berikan balik cincin ni kepadanya. Kirim salam padanya. Katakan yang aku benar-benar minta maaf. Aku tak boleh terima dia. Ini bukan untuk kebaikan aku aja, tetapi untuk kebaikan dia jugak. Suruh dia cari perempuan lain yang boleh menemani hidup dia sepanjang hayat,” tuturku lemah. Farhana termangu. Kepalanya digelengkan laju. Wajahnya yang tadinya cukup serius bertukar menjadi sayu.
            “Aween,” ucapnya lemah.
            “Kenapa, Ween?” soalnya sebak. Aku hanya mampu menggeleng. Seketika, airmataku turut gugur.
            “Adakah kerana sikapnya yang tak mengendahkan kau selama ni membuatkan kau berubah fikiran?” soal Farhana lembut. Aku menggeleng lagi.
            “Jangan bohong aku, Aween. Kita dah berkawan lama. Aku dah kenal sangat-sangat dengan kau. Malah aku memang dah masak benar dengan sikap kau,” ujarnya lirih. Aku mulai tersedu.
            “Kau sebenarnya merajuk dengan dia, kan? Tapi, janganlah sampai buat keputusan yang terburu-buru macam ni,” pujuknya.
            “Anne, aku tahu kau kecewa dengan keputusanku ini. Bukan setakat kau, tapi semua orang. Keluarga Ari, ibu Ari, ayah aku dan Ari sendiri. Aku tahu aku telah mengecewakan ramai pihak. Tapi, ini semua demi masa depan kami, Anne. Kau tak tahu, betapa beratnya derita ayah aku setelah kematian mama aku. Aku tak mahu Azhari merasai penderitaan yang pernah dialami oleh ayahku. Malahan, aku takut Ari akan tinggalkan aku suatu hari nanti. Dulu kasihnya pernah beralih arah. Tak mustahil bila dia dah bosan nanti, dia akan cari orang lain,” hujahku panjang. Begitu lirih suaraku menuturkannya.
            “Astagfirullahal’azim… Aween, jodoh pertemuan, ajal dan maut semua di tangan Tuhan. Kalaupun kau pergi selepas berkahwin nanti, itu sudah tersurat. Bukannya kerana kau mengikuti jejak ibu kau. Semua orang akan rasa mati, Aween. Mati ni bukannya satu penyakit keturunan. Itu adalah satu perkara yang pasti. Macam mana kau boleh berfikiran sempit macam ni?” tutur Farhana lagi. Kesal.
            “Aween, kenapalah sejauh itu yang kau fikir? Apa, kau dah lupakah, sebagai hamba ALLAH yang lemah, apa yang harus kita buat supaya kita terhindar dari sebarang musibah? Kita mestilah selalu berdoa moga Dia kurniakan kita tubuh yang sihat dan rumahtangga yang kukuh dan harmoni. Ini, belum apa-apa lagi kau dah berputus asa. Hei, inikah Khairul Azween yang aku kenal selama ni? Berjiwa kental, bersemangat besi. Tapi hari ni, sudah terbukti yang kau ni seorang yang pengecut. Mengaku kalah sebelum berjuang!” dia menjerkahku. Aku hanya terdiam sambil berpeluk tubuh.
            “Cakaplah apa yang kau nak cakap, Anne. Aku dah tak ambil peduli pun. Aku rasa ini aja jalan yang terbaik,” jelasku. Farhana mengeluh berat.
            “Hmm… entahlah, Aween. Aku sendiri tak faham dengan kau ni. Nak kata kau ni tak terpelajar, tak jugak. Bukannya calang-calang perempuan kau ni. Pemegang ijazah dalam usia dua puluh empat tahun. Tak semua orang dapat apa yang kau ada sekarang ni, Aween,” Farhana berkata lemah.

            Suasana menjadi sepi seketika. Farhana masih termangu-mangu, merenung cincin belah rotan yang masih berada di telapak tangannya itu. Seketika dia memandangku semula. Jelas akan kesayuan di sebalik matanya yang agak redup itu.
            “Ayah kau dah tahu?” soal Farhana. Aku mengetap bibir lama. Aku serba salah. Dengan perlahan aku menggeleng. Farhana mengeluh lagi. Berat kedengarannya.
            “Kau ni, kenapalah tak nak bincang dengan ayah kau dulu sebelum buat apa-apa keputusan? Tak baik membelakangkan keluarga,” dia bersuara lirih. Aku masih bungkam. “Kenapa tidak kau sendiri yang berikan balik cincin ni kepada dia?” soal Farhana lagi. Pantas aku menggeleng.
            “Aku tak mahu menghadap muka dia, Anne. Kalau dia tak sudi nak bersemuka dengan aku, bincang dengan aku pasal urusan perkahwinan ni, kenapa mesti aku pulak yang terhegeh-hegeh nak mencari dia? Biarlah. Kami bertunang pun tanpa bersemuka, dan biarlah kami putus juga tanpa bersemuka,” ujarku perlahan.
            “Senang betul kau cakap, ya? Habis tu, kalau dia tanya aku, apa aku nak jawab?” soal Farhana seolah tidak puas hati. Aku tersenyum sinis.
            “Anne, setahu aku, kau dengan Kimi kan pandai buat strategi?” sindirku. Farhana merengus lagi.
            “Okey, aku cuba. Tapi, sebelum tu aku nak ingatkan kau, Ween. Azhari terlalu sayangkan kau. Dia cinta sangat kat kau. Selama bertahun setelah dia putus dengan budak junior tu, dah puas dia cari kau. Dia rasa berdosa kerana mengecewakan kau dulu. Dia nak tebus balik kesalahan yang dah dia lakukan tu. Dia terlalu gembira bila akhirnya dia bertemu semula dengan kau. Tapi kau pulak seakan tak menghargai kedatangannya. Aween, cuba kau fikir apa perasaan keluarga kau. Lebih-lebih lagi ayah kau yang dah bertungkus-lumus menyiapkan persediaan untuk kau selama ni. Keluarga Azhari. Kau tak fikir ke perasaan ibu dia? Selama dia kenal kau, dia menatang kau bagai minyak yang penuh, macam anak-anak dia jugak. Tapi akhirnya, inikah balasan kau buat insan-insan yang terlalu menyayangi kau?” Farhana bersuara lagi. Aku hanya terdiam. Sesungguhnya, segala kata-kata yang dilafazkan Farhana itu tadi memang ada kebenarannya.
            “Habis tu, lepas ni kau nak ke mana?” soal Farhana lagi.
            “Aku nak pulang ke kampung aku di Johor. Dah lama rasanya aku tak balik jenguk keluarga aku di sana. Aku rindukan adik aku, Ijie,” jawabku. Farhana mengeluh lagi. “Aween, sebelum terlambat, fikirkanlah baik-baik,” dia terus memujukku. Aku hanya membisu. Walau apapun, ini adalah hala tuju hidupku. Aku ada hak untuk menentukannya. Aku rela membujang sampai bila-bila daripada melihat orang lain berduka setelah hidup bersama denganku nanti.

Monday, 9 May 2011

Novel - Kasihmu di Jiwaku (Bab 26)

AKU hanya duduk berteleku di kerusi ruang makan. Selepas usai solat Subuh, aku menyiapkan sarapan pagi untuk ayah seperti biasa. Kini, aku sekadar menghabiskan hari-hariku di rumah sahaja. Bila aku kebosanan, aku akan keluar bersama Farhana.

            Sejak akhir-akhir ini, aku jarang sekali dapat bersama dengan Farhana. Yalah, dia sekarang sudah ada Hakimi. Masanya banyak dihabiskan bersama jejaka itu.
            “Itulah kau, ada kawan yang setia menemani, kau buat macam tu. Kau hancurkan hatinya. Sekarang, baru kau rasa kesepian, kan?” kata-kata Farhana tempoh hari bagaikan bergema di gegendang telingaku. Benar-benar membuatkan diriku dihimpit dengan rasa bersalah. “Aku tak ada niat langsung nak sakiti hati dia, Anne. Cuma aku nak jarakkan lagi hubungan kami yang semakin hari semakin erat ni. Aku tak mahu mengharapkan apa-apa darinya. Aku dapat rasakan, semakin rapatnya hubungan kami, hatiku semakin dekat dengannya,” luahku kepadanya. Farhana merengus.
            “Dah tu, apa salahnya? Bila hati dah sama-sama suka, teruskan ajalah. Apa masalahnya?” Aku mengeluh. Farhana tidak memahami akan apa yang tersirat di sebalik hati kecilku ini.
            “Okey, aku mengaku yang aku masih sukakan Azhari, tapi macam mana pulak dengan dia? Dia suka ke kat aku? Aku takut nanti aku yang bertepuk sebelah tangan. Aku tak mahu perasan sendiri. Nanti aku jugak yang akan merana, Ann,” luahku lagi.
            “Aween, dengar sini baik-baik. Azhari masih sukakan kau. Azhari masih sayangkan kau. Dia masih cintakan kau, tapi kau tu aja yang tak mahu nak faham hati dan perasaannya,” tekan Farhana. Aku terkedu. Benarkah apa yang kudengarkan ini?
            “Mana kau tahu semua ni, Anne?” soalku hairan. Begitu yakin sekali Farhana membuat kenyataan itu.
            “Aween, maafkan aku sebab tak beritahu kau tentang hal ini awal-awal. Sebenarnya, Kimi dah tahu duduk perkara sebenar. Bukan aku yang beritahunya, tetapi Azhari sendiri yang menceritakan kepada Kimi. Tapi kau jangan risau. Setakat ni, cuma Kimi seorang aja yang tahu selain dari kita bertiga. Kau tahu tak, Azhari selalu meluahkan isi hatinya kepada Kimi? Kimi dijadikan tempat untuk dia bercerita. Lepas tu, Kimi beritahu aku. Sebenarnya, kami yang plan semua ni supaya kau dengan Azhari selalu bertemu. Kami mahu kau dengan Azhari rapat kembali. Dan apa yang penting, kami nak satukan semula kau orang berdua. Tapi, aku kecewa sangat bila mengenangkan sikap kau yang ego tak sudah,” terang Farhana panjang.

Aku melopong. Ya ALLAH, apa yang dah aku lakukan ini? Kenapalah tergamak aku mengecewakan rakan-rakanku sendiri dan kenapa aku sanggup melukakan perasaan Azhari? Jejaka itu tidak bersalah. Malah dia terlalu ikhlas. Itu memang tidak dapat kunafikan, kerana pada malam itu, aku dapat melihat cahaya keikhlasan itu di sebalik sinar matanya. Namun ketika itu, aku telah terlanjur kata. Rasa kesal terus menyerbu ke sanubari. “Ya Allah, Anne. Apa dah aku buat ni?” keluhku dalam nada kesal.
“Hmm… itulah kau. Suka sangat bertindak sesuka hati tanpa fikir hati dan perasaan orang lain. Dia benar-benar ikhlas, Aween. Apa, kau tak nampak ke kesungguhan yang ditunjukkannya semasa kau orang bersama?” Aku mengeluh berat.
“Aku sedar, Anne. Tapi aku masih ragu-ragu.”
“Kenapa mesti ragu-ragu? Sebab dia pernah kecewakan kau dulu, maka sebab itu kau masih ragu-ragu dengan ketulusan hatinya? Huh, kau silap, Aween. Kau silap!” Farhana merengus geram. Aku menguak rambutku ke belakang. Dahiku turut kuusap lembut. “Aween, sebenarnya ada sesuatu perkara yang kau tak tahu selama ni. Sorry, aku tak dapat nak beritahu kau. Kalau kau nak tahu, kau tanya Azhari sendiri. Ada satu rahsia yang cuba disembunyikannya dari pengetahuan kau selama ni. Cuma dia tak mahu cakap, sebab tak mahu kau terluka dengan kisah lama tu.” aku tergamam mendengar kata-kata Farhana itu. Apa yang cuba disembunyikan dari pengetahuanku?

“Aween,” sapaan ayah mematikan lamunanku. Ayah mengambil tempat di hadapanku. Seketika aku menggelabah.
            “Ah, ayah,” ucapku gugup. Ayah tersenyum. Pantas aku mencapai sebiji cawan lalu kutuangkan air Nescafe panas kegemarannya ke dalam cawan tersebut.
            So, apa plan Aween lepas ni? Bila nak start cari kerja? Dah lama sangat Aween duduk berehat kat rumah?” soal ayah, memulakan topik pagi itu.
            “Setakat ni, belum rancang apa-apa lagi, ayah. Aween masih belum bersedia nak mulakan apa-apa lagi. Tunggulah, bila keadaan okey dulu,” jawabku. Ayah mengeluh berat bersama gelengan kecil. Entah apa yang terlintas di fikirannya sehingga dia mengeluh seperti itu.
            “Hari ni, Aween tak ke mana?” soal ayah mengalih, mengalih tajuk. Aku menggeleng. “Tak, ayah. Aween tak ke mana pun hari ni,” jawabku. Ayah turut mengangguk. Seketika dia menyuap oat yang terhidang ke mulutnya.
           
            “Hmm… apa khabar Azhari? Dah lama ayah tak dengar cerita pasal dia?” Aku tergamam. Soalan ayah itu benar-benar menyentap tangkai jantungku. Apa yang harus aku jawab? Perlukah aku berterus-terang kepada ayah tentang apa yang telah kuucapkan kepadanya malam itu? Sudah tentu ayah juga akan menyalahkanku dan menyebelahinya seperti Farhana. Ah, memang salah aku pun, kerana terlalu mengikut kata hati.
            “Dia okey, ayah. Agaknya dia sibuk, sebab tu dia menyepi sekejap,” ujarku meyakinkan ayah. Ayah mengangguk.

            Setelah menghabiskan sarapannya, ayah bergegas bangun dan mencapai brierfcasenya. Aku turut bangun dan mengikut jejak ayah dari belakang. Sepeti biasa, aku akan menghantar pemergian ayah sehingga ke muka pintu. Dan seperti biasa juga aku akan bersalaman dengannya.
            Take care,” pesan ayah. Aku mengangguk.
            Drive carefully,” pesanku pula. Ayah mengangguk.
            Sure honey,” ucapnya lalu mencuit pipiku. Aku tersenyum manja.

            Sebaik kereta ayah hilang dari pandangan, terus aku ke meja makan semula untuk berkemas. Setelah selesai mengemas meja dan dapur, aku ke bilikku semula. Segera aku merebahkan tubuh ke katil. Rasa bosan mulai menggamit. Sesekali aku akan mengerlingkan tubuh ke kiri dan ke kanan. Niat di hati hendak menyambung tidur semula. Namun tak terlelap pula mataku ini. Kini, barulah aku rasa kesunyian. Mungkin ini balasan ke atas diriku yang tak pernah nak menghargai kawan. Sekarang, terimalah! Padan muka! Aku mengutuk diriku sendiri.

            Tiba-tiba, terlintas di fikiranku akan sesuatu. Ya, sudah lama rasanya aku tidak ke kedai buku. Dan sudah lama jugalah aku telah meninggalkan hobiku yang suka membaca novel sejak di bangku sekolah lagi. Kalau sebelum ini, aku tidak akan ketinggalan untuk mendapatkan novel-novel terbaru. Malah, perkembangan dunia penulisan dan kisah-kisah para penulis kegemaranku turut kuambil tahu. Tapi itu dulu, sewaktu aku masih dalam pengajian. Waktu itu lebih seronok kerana boleh dikatakan ramai rakan-rakan memiliki minat yang sama denganku. Jadi, kami kerap berkongsi dan saling bertukar-tukar cerita selain dari mentelaah.

            Namun kini, sejak aku meninggalkan dunia kampus, aku tidak lagi mengambil tahu hal-hal berkaitan dengan penulisan itu. Malah, aku jarang ke kedai buku untuk mencari novel-novel terbaru. Tentu sudah banyak yang telah aku ketinggalan. Pantas aku melompat turun dari katil menujuk ke meja komputerku. Laci meja kutarik dan kukeluarkan beg duitku. Aku tersenyum sebaik mengeluarkan dua helai note lima puluh ringgit dari dalamnya. Ah, cukuplah ni. Bisik hatiku. Segera aku bersiap. Di dalam kepalaku kini hanya terlintas ‘MPH Bookstore’ yang terletak di MidValley Megamall. Aku gemar ke sana. Selain memiliki ruang yang besar dan menjual buku-buku yang pelbagai, di sana turut terdapat ruang membaca dan juga sebuah kafe yang disediakan khas untuk para pengunjung untuk membaca sambil menikmati makanan ringan dan minuman. Biasanya, setelah aku membeli novel, aku akan terus membacanya di kafe tersebut sambil menikmati secawan the tarik.

            Aku tersenyum sendiri. Rasa rindu terhadap hobi yang sudah sekian lama kutinggalkan itu. Ya, mulai saat ini, aku akan isi masa-masaku dengan melakukan aktiviti lamaku itu. Pastinya hari-hariku yang suram akan menjadi lebih bermakna.

*****

HARI INI, hari Sabtu. Aku langsung tidak bercadang hendak keluar ke mana-mana. Hanya duduk di rumah, melayan novel-novel yang telah kubeli tempoh hari. Tambahan pula, hari ini ayah juga bercuti. Sekurang-kurangnya, tidaklah aku kesunyian kerana ayah ada di rumah.

            Aku terbaring di atas katil sambil kusyuk menghayati jalan cerita novel yang kubaca. Serasakan, baru pagi tadi aku memulakan bacaanku. Sekarang, hendak masuk tengahari, sudah lebih separuh buku itu telah habis kubaca. Kalau boleh, aku hendak meneruskan bacaan sehinggalah ke penghujung cerita. Aku yakin aku dapat menghabiskannya dalam masa sehari sahaja.

            Sedang aku leka, tiba-tiba pintu bilikku diketuk. Ah, kacau daun! Tentu ayah. Kalau tak, siapa lagi. Pantas aku bangun dan terus meluru ke pintu lalu membukanya. Memang sudah aku agak. Wajah ayah terpacul di muka pintu.
            Ada apa, ayah?” soalku lembut. Ayah tersenyum penuh makna.
            Ada orang sedang menunggu di bawah,” ujarnya. Senyumannya masih terukir di bibir. Aku mengerutkan dahi.
            “Siapa, ayah?” soalku lagi.
            “Turun ajalah. Tukar baju tu. Pakai baju yang elok sikit. Biar sopan. Jangan pakai selekeh macam ni!” gumam ayah dan terus berlalu dari situ. Aku menggarukan kepala yang tidak gatal. Pelik.

            Tanpa berfikir panjang, aku ke almari pakaianku lalu mengeluarkan sehelai T-shirt jenama Diesel berlengan tiga suku panjang serta sepasang jeans biru tua. Wajahku yang kelihatan berserabai turut kuperkemaskan agar kelihatan lebih rapi. Setelah bersiap ala kadar, barulah aku turun ke bawah. Aku memanjangkan langkahku untuk melihat siapa yang sedang menungguku di bawah. Lagipun, tak baik buat orang tertunggu-tunggu.
           
            Tiba di ruang tamu, langkahku terhenti. Aku bagaikan tidak percaya melihat dua insan yang sedang duduk di ruang tamu sambil berbual-bual dengan ayah. Rasanya, wanita itu aku kenal tetapi terdapat juga seorang jejaka yang tidak kukenali. Sebaik menyedari kehadiranku di situ, wanita itu memaling bersama senyuman di bibir.
            “Aween,” sapanya lembut. Aku tersenyum lantas bergegas mendapatkannya.
            “Ibu,” ujarku riang. Kami saling berpelukan, melepaskan rindu yang terpendam. Sukar untuk percaya akan kedatangan wanita yang telah kuanggap sebagai ibuku sendiri itu. Pelukan kami terlerai.
            “Ibu apa khabar?” soalku. Ibu mengangguk perlahan.
            “Ibu baik, sayang. Aween sihat?” soal ibu pula. Aku mengangguk laju.

Seketika pandanganku beralih ke arah seorang jejaka yang kelihatan tenang duduk berhampiran dengan ibu. Wajahnya tampak bersahaja tetapi terserlah juga ketegasannya. Ibu memandang kami silih berganti. Dia tersenyum. Mungkin faham akan persoalan yang bermain di mindaku kini.
            “Aween, ini ibu kenalkan, Abang Amal. Dialah abang Ari yang ibu ceritakan dulu tu,” ucap ibu lembut. Aku tersenyum memandang jejaka itu. Senyumanku dibalasnya mesra. Memang benar, wajah mereka agak berlainan. Aku masih sukar hendak percaya, yang mereka begitu sudi hendak singgah ke rumahku ini. Walhal, tempat mereka terlalu jauh, di Utara Semenanjung sana.

            Mengenangkan situasi itu, tiba-tiba dadaku berdegup kencang. Apakah tujuan mereka datang ke sini? Apa yang lebih menghairankan aku, Azhari tidak bersama mereka. Kalau setakat hendak datang bertandang, tentu Azhari juga akan ada bersama. Takkan dia hendak membiarkan ibu dan abangnya datang berdua ke rumahku ini? Usapan lembut ibu yang menyinggah ke ubun-ubunku kian membuatkan dadaku semakin berdebar-debar. Serasakan, kedatangan mereka ini mengandungi makna yang besar.
            “Aween,” ujar ibu perlahan. Aku menelan air liurku. Terasa kesat dan kelat.
            “Sebenarnya, kami datang ni, ada hajat besar. Ini semua atas permintaan Azhari sendiri,” ibu bermukadimah. Aku hanya diam kaku.

            Seketika, wanita itu mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya. Aku tergamam tatkala melihat sebuah kotak merah baldu sudahpun berada di telapak tangan ibu. Semakin kencang degupan jantungku ini sebaik kotak itu dibuka. Sebentuk cincin belah rotan tersemat kemas di situ. Aku memandang wajah ibu dalam keadaan yang terpinga-pinga.
            “Aween, ibu dan Abang Amal mewakili Azhari untuk ke sini sebab nak sampaikan hajat Azhari. Kami nak melamar Aween bagi pihak Azhari untuk dijadikan isterinya,” tutur ibu satu persatu dalam loghat Utaranya. Aku terkesima. Terkejut, memang terkejut. Aku terus terkaku. Mulutku seakan terkunci rapat, manakala lidahku turut kelu untuk berbicara.
            “Ibu,” hanya itu yang mampu kuluahkan. Ibu tersenyum. Anak-anak rambutku diusapnya lagi dengan perlahan.
            “Ibu tahu tentu Aween terkejut, kan?” ucapnya lembut.
             
Aku menelan air liur. Nampaknya, dia benar-benar ikhlas dan bersungguh hendak melamarku. Kalau tidak, masakan dia menyuruh ibu dan abangnya datang? Perlukah aku terima? Sudah bersediakah aku untuk menjadi isterinya? Segala-galanya bagaikan mimpi. Aku sama sekali tidak terfikir yang hal ini akan berlaku. Tambahan pula, ia datanganya dari Azhari sendiri.
“Ibu,” ujarku perlahan.
“Aween serahkan semuanya kepada ayah Aween. Biar dia yang tentukan. Kalau dia setuju, Aween setuju,” tuturku perlahan.
“Aween, ayah beri kebebasan kepada Aween untuk buat keputusan. Aween ada hak untuk menentukan hidup Aween. Aween dah dewasa. Ayah percaya yang Aween dapat berfikir secara matang,” sampuk ayah perlahan. Ah, semakin serba salah aku dibuatnya. Ayah telah menyerahkan segala-galanya kepadaku. Kini, keputusan berada di tanganku. Sama ada aku hendak terima atau tidak.

Seketika kemudian, segala-gala yang telah berlaku beberapa hari yang lalu bermain semula mengganggu fikiranku. Kata-kata Farhana di dalam telefon tempoh hari, benar-benar mengusik naluri dan perasaanku. Kini sudah jelas akan kesungguhan Azhari itu apabila ibu dan abangnya sendiri yang datang ke rumah dan melamarku. Aku memejamkan mataku rapat, mengumpul segala kekuatan yang ada. Seketika kemudian, aku membukanya semula lalu aku mengangguk perlahan. Ibu tersenyum lega.
“Kalau Aween dah setuju, izinkan ibu sarungkan cincin ni kat jari Aween bagi pihak Azhari?” pintanya lembut. Aku mengangguk lagi. Dengan perlahan aku menghulurkan jari manis tangan kananku kepada ibu. Dengan penuh berhati-hati cincin belah rotan itu disarungkan ke jari manisku. Aku merenung cincin yang tersarung kemas di jariku itu dengan rasa terharu. Lantas tangan ibu kusalam dan kucium dengan rasa kasih dan hormat. Ibu pula terus membawaku ke dalam pelukannya yang kejap. Terasa hangat sekali pelukan seorang ibu itu. Seketika wajahku diciumnya dengan penuh kasih sayang. Aku semakin sebak dan tidak dapat menahan airmataku dari terus mengalir.

Segala-galanya berlaku di dalam sekelip mata. Ibarat mimpi. Sesungguhnya aku masih lagi terkejut. Masih sukar untuk percaya dengan apa yang telah berlaku ini. Aku sama sekali tidak menyangka yang aku kini sudah bergelar ‘tunangan’ kepada Azhari, jejaka yang pernah bertakhta di hati ini ketika di zaman remajaku dulu. Aku juga tidak menyangka yang aku turut berpeluang untuk merasai detik bersejarah ini. Cuma yang bezanya, majlis ini secara mengejut dan di luar pengetahuanku, bukan dirancang dan jauh sekali untuk dibuat secara besar-besaran. Sememangnya ia adalah di luar dugaanku.

“Encik Kamaruddin,” ujar ibu perlahan kepada ayah.
“Kami sekeluarga berharap sangat supaya majlis nikah mereka berdua ni dipercepatkan,” usul ibu kepada ayah. Ayah kelihatan tenang.
“Saya tak kisah, asalkan itu yang terbaik buat anak saya. Saya berharap sangat yang Azhari mampu menjaga anak gadis tunggal saya ni sebaik yang mungkin. Saya tak mahu hidupnya dipersiakan. Semenjak arwah isteri saya meninggal, saya tak ada orang lain melainkan dia dan jugak anak lelaki saya yang kini berada di bawah jagaan kedua orang tua saya di kampung. Dialah satu-satunya anak perempuan yang saya ada. Pada saya, selama ini dialah yang menjadi racun, dia jugalah yang menjadi penawar dalam hidup saya ni selepas kematian arwah isteri saya,” ujar ayah sayu.
“Kami faham, Encik Kamaruddin. Saya akan pastikan anak teruna saya tu akan menjaga Azween dengan baik. Saya takkan biarkan hidup Azween terabai,” ucap ibu bersungguh, seraya mengusap kepalaku. Aku tersenyum hiba.
“Apa pula kata Aween? Setuju kalau ibu cadangkan supaya majlis nikah Aween dengan Ari diadakan dua bulan dari sekarang?” soal ibu kepadaku. Aku terkebil-kebil. Seketika aku mengalihkan pandanganku ke arah ayah. Ayah masih tersenyum tenang. Melihat riak wajah ayah yang redup itu, aku bertambah yakin. Dengan perlahan aku mengagguk tanda setuju.
“Aween setuju, ibu,” ucapku lembut. Ibu tersenyum lagi.
“Alhamdulillah,” ucapnya. Berseri wajah itu. Tentu dia gembira kerana anak teruna kesayangannya bakal merempuh gerbang perkahwinan kelak. Dan akulah gadis yang dikatakan bertuah yang telah berjaya mencuri hati anak terunanya itu. Ah, bertuahkah aku memiliki Azhari? Hatiku bertanya sendiri.

*****

“TAHNIAH!” ucap Farhana riang. Aku tersenyum lebar melihat dia begitu gembira sekali apabila aku mengkhabarkan berita baik itu kepadanya.
Finally kau orang berdua bersatu jugak,” ujarnya lagi. Senyuman masih terukir kemas di bibir mungkilnya. Aku hanya mampu ketawa kecil. Sedangkan hatiku ini masih keliru, sama ada keputusan ini merupakan satu keputusan yang wajar ataupun tidak.
Thanks, Anne,” ucapku terharu. Namun hambar sekali kedengarannya. Farhana mengerutkan wajah.
“Kenapa, Aween? Kau tak gembira ke?” soalnya. Aku mengetapkan bibir lantas mengangguk laju.
“Mestilah aku gembira.”
“Tapi, muka kau tu tak nampak ceria. Seolah-olah semua ni atas dasar paksaan, bukan dengan hati yang rela,” katanya. Aku ketawa kecil.
“Kau masih ragu-ragu lagi ke dengan budak Ari tu? Hisy, kau ni…” keluhnya berat. Aku tahu, dia agak keliru dengan sikapku sejak akhir-akhir ini. Aku sendiri mengaku, hidupku bagai tak tentu arah semenjak hubungan aku dan Shazzy putus.
“Apa lagi yang kau nak bimbangkan? Tengok, keluarga dia sendiri yang datang pinang kau. Dah terang-terang kat depan mata yang dia benar-benar jujur dan ikhlas nak memperisterikan kau. Aku salute betul dengan Azhari tu. Betul-betul tabik spring. Even dia sekarang berada di zaman moden yang serba canggih ni, masih tak lupa pada adat. Dia langsung tak mengenepikan keluarganya. Jarang kita jumpa orang macam tu. Kalau akulah, aku pun nak Kimi buat macam tu jugak. Suruh keluarga dia sendiri yang datang jumpa keluarga aku, bukan dia datang pada aku, dan terus melamar,” bebel Farhana lagi. Aduh, bingit telingaku ini mendengar omelannya itu.
“Cik Farhana, siapa kata aku tak suka? Kalau kau nak tahu, inilah saat-saat yang paling aku nanti-nantikan selama ni, tau,” ujarku bersungguh. Namun, itu semua hanya lahir dari bibir. Di hati, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

“Haa… macam tulah,” ucapnya senang hati. Aku tersenyum sinis melihat rakanku itu. Hairan. Aku yang bertunang, dia pulak yang exited. Gerutu hatiku.
“Tapi, yang tak bestnya, Anne. Pertunangan aku ni berlangsung secara tiba-tiba. Mengejut, kau tahu tak. Kalau sebelum ni, aku selalu berangan, kalau boleh nak buat majlis. Pakai baju lawa-lawa… Ini, kau tahu aku pakai apa masa ibu dia sarungkan cincin kat jari aku ni? Aku cuma pakai T-shirt dengan seluar jeans aja. Punyalah sempoi!” kataku mengenangkan kembali detik-detik itu. Memang kelakar. Farhana ketawa.
“Huh, tak pernah dibuat orang,” rungutku. Farhana mencebik.
“Siapa kata tak pernah? Ada, tapi tak ramai,” sangkalnya.
“Tapi tak apa, kan?” ujarnya sambil mencuit pehaku.
“Sesekali kita buat something different dari yang lain, apa salahnya,” sendanya diiringi tawa. Aku mencebirkan bibir.

“Kau dengan Kimi bila lagi?” soalku pula kepadanya.
“Aku?” soalnya kembali. Aku mengangguk laju.
“Aku lama lagi,” jawabnya. Aku mencebik. Huh, lama lagi konon.
“Yalah, lama tu bila?” soalku menekan. Dia menjungkitkan bahu. Masih kelihatan bibirnya yang terukir dengan segaris senyuman.
“Entahlah. Terpulanglah pada si Kimi tu, bila dia nak masuk meminang. Tunggu ajalah,” ujarnya. Aku ketawa kecil.
“Jangan tunggu lama-lama, nanti…” kata-kataku tergantung di situ.
“Nanti apa?” soalnya keras. Aku ketawa melihat Farhana yang kelihatan cuak.
“Nanti diambil orang,” jawabku berjenaka. Kami ketawa serentak.
“Apahal pulak? Sepatutnya dia tu yang tak boleh tunggu lama-lama, nanti aku yang kena kebas dek orang,” Farhana memperbetulkan kata-kataku. Dan tawa kami semakin menjadi.

“Hei, dahlah tu. Jomlah kita pergi makan. Aku dah lapar ni,” ajakku sebaik perutku mulai berbunyi meminta untuk diisi.
“Kau belanja?” pintanya. Aku mengangguk.
“Ya, aku belanja kau, sempena meraikan pertunanganku dengan Azhari,” ucapku. Dia tersenyum kambing. Sukalah tu, bila dapat makan free. Hatiku berbisik.
“Dengan satu syarat,” ujarku selamba. Dia memandangku sambil membeliakkan mata. Aku tersenyum kambing.
“Huh, kau ni ada-ada ajalah. So, apa dia?” soalnya sedikit kasar, namun aku tahu, ia berbaur gurauan.
“Lepas tu kau kena temankan aku pergi shopping, boleh?” pintaku. Dia mengerutkan dahinya.
Shopping? Kau nak beli apa?” soalnya.
“Ai, kan tak lama lagi aku dah nak kahwin? Mestilah macam-macam aku nak beli,” ujarku bersahaja. Farhana tersengih.
“Fuh, semangat nak kahwin! Baru bertunang tiga hari dah nak bershopping barang-barang kahwin?” perlinya. Aku mencebik.
“Wei, makcik. Kau ingat dua bulan tu satu jangka masa yang lama? Rasanya pejam celik, pejam celik, dah sampai dua bulan. Sikit-sikitlah. Sekarang ni, aku cuma nak beli kain untuk buat baju nikah dulu. Itu yang penting. Takut nanti orang tak mahu ambil tempahan, macam mana? Tak ke haru namanya tu?” kataku. Dia mengangguk bersama mulut yang membulat. Aku ketawa melihat gimiknya itu.
“Apalah, kau ni. Orang sekarang tak main tempah-tempah. Sewa aja dari butik,” ujar Farhana lagi.
“Anne, nikah kahwin ni cuma sekali aja seumur hidup. Aku kalau boleh nak simpan secebis kenangan sempena hari bersejarah tu, tau. Biarlah aku tempah baju nikah aku. Baju sanding aku sewa kat butik, sebab nikah tu penting. Itulah yang dituntut agama dan mengikat kita sebagai pasangan suami isteri. Bersanding tu cuma adat aja,” hujahku. Farhana mencebirkan bibir.
“Hmm… yalah, yalah, makcik oi! Suka hati kaulah. Yang nak kahwinnya kau, bukannya aku,” cebiknya. Aku ketawa kecil seraya mencuit bahunya.

*****

PERJALANAN hidupku kini bertambah ceria semenjak mula bergelar tunangan Azhari. Namun aku agak hairan. Kenapa Azhari masih berjauh hati denganku? Setiap kali aku cuba menelefonnya, panggilanku tidak dijawabnya. Dan bila aku menghantar pesanan ringkas, langsung dia tidak membalasnya. Adakah dia masih merajuk dan terasa hati dengan kata-kataku pada malam itu?

            Sesekali timbul juga rasa geram di hati ini. Serasakan diriku ini tidak diendah langsung oleh tunangku sendiri. Adakah dia mahu mengujiku? Dia ingin tahu sejauh mana penerimaanku terhadap dirinya? Mungkin juga. Tapi, kenapa dia begitu? Bukankah aku sudah menerima lamarannya? Malah kami akan bersatu tidak lama lagi seperti mana yang diimpikannya selama ini. Jadi, apa lagi yang dia tidak puas hati denganku?
            “Hisy, aku betul-betul tak fahamlah dengan mamat tu. Sejak kami bertengkar beberapa malam sebelum kami bertunang, sampailah ke saat ni, langsung aku tak dengar khabar berita darinya. Apahal dia tu?” rungutku. Farhana dan Hakimi yang duduk bertentangan denganku saling berpandangan sesama sendiri.
            “Kimi, takkan dia tak cakap apa-apa kat kau?” soalku mengasak Hakimi. Jejaka itu hanya menggelengkan kepala lemah.
            “Dia tak cakap apa-apa pun kat aku. Malah, hal dia menghantar rombongan meminang kat rumah kau pun dia tak cerita kat aku dengan Anne. Kami tahu yang kau orang dah bertunang bila kau beritahu Anne, lepas tu Anne pulak beritahu aku. Dia dah lama tak hubungi aku, Ween. Kali terakhir dia call aku pada malam kau orang mula berkrisis hari tu,” terang Hakimi satu-persatu. Farhana hanya membatukan diri.
            “Ni yang aku was-was ni,” keluhku. Kedua sahabatku di hadapan masih lagi membisu. Mungkin mati akal untuk berkata-kata. Aku tahu, mereka begitu berharap agar aku dan Azhari akan bersatu. Malah, selama ini merekalah yang bersungguh-sungguh merancang pelbagai rancangan supaya aku dan Azhari sering menghabiskan masa kami bersama. Mereka mahu kami rapat seperti dulu.

            Seketika kedengaran suara keluhan berat dari bibir Hakimi. Dia menggaru-garukan kepalanya. Wajahnya tampak runsing sekali.
            “Hisy, pening kepala aku ni. Bila si Ari bersungguh, kau jual mahal. Bila kau dah beri respon positif, dia pulak yang buat perangai. Entahlah, aku pun tak faham dengan kau orang berdua ni,” rungutnya. Farhana tersenyum hambar.